Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Populariti Ziana Belum Pudar

March 9, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:10 pm



Oleh Zaidi Mohamad

Lebih 300 peserta berebut menjadi protegenya untuk program Mentor

POPULARITI Ziana Zain ternyata belum pudar apabila kira-kira 300 orang mengambil peluang untuk menjadi anak didik atau protege kepada penyanyi itu dalam sesi uji bakat program Mentor musim akan datang yang dijalankan di Sri Pentas, TV3, Sabtu lalu.

Kehadiran mereka amat dialu-alukan oleh Ziana kerana penyanyi itu sendiri mahu melihat ada bakat pelapis. Pelbagai ragam dan gaya dapat disaksikan dalam sesi ujian ini sehingga Ziana tidak dapat mengelak untuk tersenyum dan ketawa.

Namun, penyanyi itu menegaskan dia mahu mencari mereka yang berani tampil dengan identiti tersendiri berserta penampilan yang menarik.

“Aspek suara serta nada suara perlu bagus selain mempunyai ‘attitude’ yang baik. Tidak perlu meniru atau nak jadi macam Ziana Zain.

“Kebanyakan yang datang tidak memilih lagu nyanyian saya. Mungkin takut. Tapi ada yang nampak seperti mat rock tetapi menyanyi lagu Madah Berhelah. Saya menyarankan mencuba uji bakat bersama Mus vokalis kumpulan May,” katanya.

Menurut Ziana yang pertama kali membabitkan diri sebagai mentor dalam program itu, dia sendiri mengharapkan kehadiran bakat pelapis untuk terus memastikan kesinambungan dunia seni berpanjangan.

“Saya seronok melihat gelagat mereka yang datang diuji bakat. Apabila dikritik, wajah mereka seperti nak marah, kecewa, tidak pasti dan ada juga menerima teguran dengan senyuman. Ada yang merayu diberi peluang kedua.

“Senario itu sering terjadi dalam sesi uji bakat. Kalau nak difikirkan soal kasihan, memang misi untuk mencari protege saya akan menjadi sukar. Tapi saya sudah tahu apa yang nak dicari. Selalunya kalau yang datang itu buka suara saja, kita dapat tahu sama ada dia boleh diketengahkan atau tidak.

“Kalau tak ada bakat, kita tak boleh berbuat apa-apa. Tugas saya di sini mencari bakat baru yang istimewa dan boleh digilap,” katanya.

Hanya menjadi diri sendiri

DITANYA mengenai karakter sebenarnya bergelar mentor, Ziana atau Siti Roziana Zain ini menjelaskan dia hanya menjadi diri sendiri tanpa dibayangi orang lain.

“Apa yang anda lihat, ialah diri saya. Saya lebih suka wujudkan situasi yang membuatkan sesiapa yang bekerjasama dengan saya termasuk protege nanti, selesa. Apabila selesa, senang nak jalankan kerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kakak kepada Anuar Zain ini sibuk menjalani latihan teater muzikal sulung Gamat 2. Teater arahan Zaifri Husin menyaksikan Ziana memegang peranan sebagai Ketua Obor-Obor. Gamat 2 dipentaskan pada 12 hingga 22 Mac ini di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang di ibu negara.

“Bukan senang berlakon teater. Saya pula tak pandai menari. Apapun, saya seronok dapat berlakon teater ini. Watak pun tak perlu serius sangat. Lebih santai,” katanya.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment