Dengarnya…: Gadis Indonesia Pilihan Hasnul
SUDAH lama Cik Normah tak dengar khabar mengenai pelakon Hasnul Rahmat. Cik Normah mula mengenali pelakon ini sejak dia mula berlakon filem KL Menjerit.
Selepas itu, pelakon kelahiran Singapura ini ada berlakon dalam beberapa filem seperti Paloh, Lang Buana, Rock, Gangster dan Maut.
Kemudian, cerita mengenai Hasnul senyap saja. Entah kenapa, tak taulah.
Sekarang Cik Normah sudah jarang nampak kehadirannya di majlis hiburan. Mungkin juga Hasnul sibuk dengan kerja lain kot! Tak kisahlah, asalkan Hasnul berjaya dalam kerja yang dilakukannya.
Cik Normah malas nak memeningkan diri sendiri pasal orang lain. Tapi dalam senyap-senyap itu, ada pihak memberitahu pasal Hasnul. Cik Normah berterus terang saja mengenai khabar terbaru pelakon itu.
Dalam diam, rupa-rupanya, Hasnul akan bernikah dengan wanita dari Indonesia. Cik Normah diberitahu seorang teman, majlis pernikahan mereka akan diadakan di Jakarta pada 13 Mac ini. Cik Normah difahamkan wanita pilihan Hasnul itu bergelar pensyarah seni. Mereka juga banyak berkongsi minat yang sama.
Mereka sudah lama kenal dan memutuskan untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini. Baguslah benda yang baik buat apa nak sorok. Betul tak? Teman Cik Normah beritahu lagi majlis persandingan sebelah pengantin lelaki akan diadakan di Singapura. Nampaknya Hasnul tak buat majlis di Kuala Lumpur.
Tak apalah, Cik Normah nak ambil kesempatan ini mendoakan semoga jalinan perkahwinan antara Hasnul dan bakal isterinya itu akan diberkati Tuhan. Dimurahkan rezeki selalu dan dikurniakan cahaya mata yang sihat. Mungkin lepas ini, kalau ada masa boleh Cik Normah suruh teman sepejabat bertanya khabar terbaru Hasnul.
Berita Harian