Keberkesanan Skrin Sentuh
Teknologi Apple mendahului walaupun mutu jenama lain semakin meningkat![]()
ADA pengguna telefon bijak Apple iPhone yang mungkin selalu bersikap berat sebelah dan terlalu memuji kelebihan telefon skrin sentuh itu.
Mereka sering mendabik dada dan memuji jumlah aplikasi yang ada (sekitar 160,000 aplikasi aktif) atau membanggakan faktor ‘cool’ yang mengiringi setiap produk bingkai putih daripada Apple.
Meluat bukan?
Namun satu ciri iPhone yang memang benar-benar mengatasi ciri-ciri yang dimuatkan oleh telefon bimbit yang lain adalah keupayaan skrin sentuhnya, menurut laman berita teknologi maklumat, Wired.
Skrin sentuh iPhone jauh lebih responsif daripada skrin sentuh BlackBerry Storm, Motorola Droid, Nexus One dan banyak lagi telefon bimbit bijak yang lain.
Perbezaan ini menghairankan kerana kesemua telefon bimbit bijak ini menerapkan perkakasan skrin sentuh yang sama – penghasil telefon bimbit biasanya membeli skrin sentuh sebagai komponen asing daripada sekumpulan pengedar yang sama.
Namun perkakasan semata-mata tidak dapat menentukan mutu respons sesebuah skrin sentuh.
Sebaliknya, keberkesanan fungsi skrin sentuh bergantung kepada gabungan faktor sofwe, kejuruteraan dan penentukuran (calibration).
Dan hanya segelintir penghasil telefon bijak yang berjaya mengimbangi faktor-faktor ini untuk menghasilkan skrin sentuh yang memenuhi jangkaan ramai, menurut pakar teknologi maklumat (IT).
‘Memang ada perbezaan mutu antara skrin sentuh iPhone dan skrin sentuh telefon bijak yang lain,’ kata naib presiden Moto Development Group (MDG), Encik Chris Verplaetse. Syarikat tersebut menghasil dan mengembangkan rekaan produk.
‘Bukankah anda merasai perbezaannya apabila anda menutup pintu kereta Mercedes dan menutup kereta Hyundai walaupun mereka dibina menggunakan keluli yang sama?’ tambahnya lagi.
Antara faktor yang boleh menjejas penentukur (calibration) sensor sentuh adalah butir-butir kejuruteraan, mutu sofwe dan tahap kesepaduan antara pengalaman sentuh dan ruang antara muka pengguna (user interface).
Ini tidak termasuk faktor lain yang sukar dihitung, seperti komitmen sesebuah syarikat untuk menghasilkan pengalaman skrin sentuh yang terbaik untuk pengguna.
Dan Apple nampaknya adalah syarikat yang paling berjaya mengimbangi kesemua faktor ini untuk menghasilkan produk yang amat berkesan, menurut Moto Labs, cabang kajian MDG.
Menguji kebolehan seseorang melakar garisan lurus di telefon bimbit mereka, ia mendapati skrin sentuh iPhone memberikan respons yang terbaik dalam kajian yang dilakukan Januari lalu.
Ia diikuti dengan HTC Droid dan Nexus One, walaupun skrin sentuh Motorola Droid muncul terakhir dalam ujian tersebut.
Evolusi skrin sentuh
Perkembangan dari segi penggunaan telefon bimbit – trend pengguna yang semakin bergantung kepada telefon bimbit mereka untuk melungsur Internet dan memeriksa e-mel – dalam beberapa tahun yang lalu mendorong penghasil telefon bimbit menerapkan keupayaan skrin sentuh kepada produk mereka.
Skrin sentuh awal merupakan skrin sentuh kerintangan (resistive).
Skrin sentuh seperti ini memuatkan dua jaluran logam tipis yang dipisahkan ruang kecil.
Apabila ditekan, jaluran atas akan menyentuh jaluran di bawah dan menghasilkan arahan elektronik yang kemudian diproses oleh cip pemprosesan telefon bimbit itu.
Malangnya, skrin sentuh ini tidak begitu responsif – anda perlu menekan sehendak hati atau menggunakan kuku atau penuding plastik (stylus) untuk merangsang respons daripada telefon bimbit anda.
Sebab itulah, kemunculan skrin sentuh kapasitans (capacitance) Apple dialu-alukan pengguna.
Ia tidak bergantung kepada tekanan di skrin sentuh untuk berfungsi.
Sebaliknya, ia bergantung kepada ciri-ciri elektrik yang wujud di kulit jejari anda.
Oleh itu, sentuhan paling lembut sekali sudah memadai untuk merangsang arahan elektronik dan mengawal fungsi telefon bimbit.
Teknologi kapasitans (capacitance) ini menjanjikan keselesaan pengguna, mengikut teori, namun ia tetap bergantung kepada beberapa faktor berasingan, ujar Encik Andrew Hsu, seorang pakar strategi teknologi di Synaptics, antara penghasil skrin sentuh terbesar di dunia.
‘Teknologi ini memerlukan kerja pembangunan yang banyak dan kepakaran kejuruteraan untuk melahirkan mutu ‘ajaib’,’ ujar Encik Hsu.
Bukan kerana perkakasan semata-mata
Sebab itulah, pengguna tidak mempunyai cara seratus peratus tepat untuk mengukur keberkesanan sistem kapasitans (capacitance) telefon bimbit mereka, menurut Encik Hsu.
Sesebuah skrin sentuh mungkin tepat dan pantas namun keberkesanannya bergantung kepada keupayaan visual telefon bimbit.
Telefon bimbit itu akan kelihatan lembap dan kurang responsif jika keupayaan visual telefon bimbit anda tidak sejajar dengan mutu skrin sentuh.
Keupayaan visual bergantung kepada keupayaan sofwe atau firmware, yang membolehkan pengguna menggunakan ciri-ciri sesebuah telefon bimbit.
‘Tidak menghairankan,’ kata Encik Hsu.
‘Lain sistem, lain kemampuannya,’ tambahnya.
Bersaing dengan Apple
Oleh kerana inilah, penghasil telefon bimbit bijak lain kini sedang bergegas cuba menyaingi mutu iPhone.
Baru-baru ini, penghasil Blackberry, Research In Motion, berjaya menyelesaikan masalah sofwe yang membuat setiap gambar tergendala sebelum dapat dilihat di skrin telefon bimbitnya.
Apabila sofwe tersebut diperbaiki, masa respons skrin sentuhnya dengan sendiri meningkat dan sekali gus memperbaiki pengalaman pengguna.
Satu lagi masalah yang membelenggu penghasil telefon bimbit bijak adalah memisahkan kuasa elektronik jari daripada gangguan arahan elektrik daripada sumber luar. Sesebuah skrin sentuh tidak akan memerlukan sebarang tekanan untuk mengesan arahan elektronik di jari seseorang sekiranya gangguan elektrik luar ini tiada.
Gangguan seperti ini sukar dielakkan kerana ia lahir daripada komponen telefon bimbit itu sendiri atau barangan di sekelilingnya.
Mengapa Apple lebih berkesan
Kejayaannya mengasingkan gangguan elektronik dengan lebih berkesan adalah satu kelebihan yang dimiliki Apple.
Ia menggunakan litar aplikasi khusus bersepadu (ASIC) buatan sendiri yang boleh melantangkan arahan elektronik dan sekali gus menenggelamkan gangguan elektronik luar.
Syarikat lain hanya membeli ASIC daripada pembuat cip pihak ketiga.
Satu lagi sebab mengapa skrin sentuh Apple lebih responsif adalah kerana ia menggunakan sumber kuasa elektrik 12 volt.
Penghasil telefon bimbit yang lain hanya menggunakan sumber kuasa elektrik 3-5 volt sahaja.
Walaupun voltan lebih tinggi ini bermakna hayat bateri akan terjejas, ia merangsang respons skrin kepada sentuhan, menurut satu kajian MDG.
Namun faktor paling ketara yang melontarkan Apple ke persada pasaran telefon bimbit skrin sentuh adalah kewujudan ketua pegawai eksekutif (CEO), Encik Steve Jobs.
Beliau terkenal dengan cara pekerjaan yang suka mencuba sendiri sesuatu produk yang dihasilkan syarikatnya.
Dan beliau tidak akan melancarkan sesuatu yang tidak memenuhi jangkaannya, menurut Encik Verplaetse.
‘Beliau besar kemungkinan selalu bertanya:
‘Adakah ini apa yang saya inginkan?’
Nota: Sumber daripada www.wired.com
Cyberita