Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Tertunailah Hajat

March 10, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 10:20 am



Oleh Farihad Shalla Mahmud


ANTARA rakan artis yang hadir memeriahkan majlis.

Doa Umie Aida untuk dinikahkan di kota suci Makkah dimakbulkan Yang Maha Esa

KETIKA mengerjakan umrah suatu ketika dulu, pernah terdetik di hatinya bahawa jika sudah sampai seru untuk dia melangsungkan perkahwinan, dia teringin sekali untuk melakukannya di kota Makkah.

Kedamaian dan ketenangan yang di Tanah Suci itu begitu menggamit naluri wanitanya untuk mengabadikan hari bersejarah dalam hidupnya di sana. Niat yang baik, lazimnya dimakbulkan tuhan. Selepas sekian lama menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran seorang insan bergelar suami, akhirnya doa yang pernah dilafazkan di bibir Umie Aida itu dijawab Yang Maha Kuasa.

Bukan saja pintu hatinya dibuka untuk menikmati kehidupan berpasangan malah hasratnya untuk bernikah di Tanah Suci Makkah menjadi kenyataan. Umie bersama 20 rombongan lain yang terdiri daripada keluarga dan rakan terdekat akan berangkat ke sana, esok selama seminggu untuk menunaikan segala hajat di hati selain menunaikan umrah.

“Sebelum ini ketika mengunjungi Makkah, memang Umie pernah berniat iaitu jika ada jodoh, Umie memang mahu berkahwin di sana. Malah, jika ditakdirkan meninggal dunia di sana pun, Umie reda. Tuhan memakbulkan doa saya apabila abang juga bersetuju selepas saya menyuarakan hasrat saya itu.

“Insya-Allah, majlis pernikahan itu akan berlangsung pada awal pagi, selepas solat Subuh di Masjidil Haram. Akad nikah itu nanti akan dikendalikan oleh jurunikah bertauliah yang juga rakyat Malaysia dan akan diwalikan oleh abang saya sendiri, Ahmad Riduan.


Umie Aida

“Tiada sebarang hantaran, cuma kami akan bertukar cincin. Mas kahwin saya nanti akan dibayar mengikut dirham manakala wang hantaran pula biarlah ia menjadi rahsia peribadi saya,” luah pelakon ini sewaktu ditemui di majlis berinai yang diadakan di kediamannya di I-Zen Mont Kiara, malam kelmarin.

Sebagaimana bijaknya dia merahsiakan hubungannya dengan seorang ahli perniagaan bernama Datuk Khairuddin Abu Hassan, begitulah cekapnya juga Umie menyembunyikan tarikh sebenar hari pernikahannya itu.

Biarpun sebelum ini ramai yang tertanya-tanya bila pelakon ini bakal menamatkan zaman solonya secara rasmi selepas melangsungkan majlis pertunangan 29 September lalu, wanita bermata cantik ini lebih selesa mengunci mulutnya.

Namun pada malam itu, Umie yang kelihatan anggun dengan gaun petang rona hitam yang sarat dengan perincian serta dandanan Sue Cantik mendedahkan tarikh yang dinantikan ramai itu.


UMIE bersama keluarga dan di samping bakal suami.

“Saya memilih tarikh 14 Mac untuk majlis pernikahan saya itu nanti. Pada mulanya saya merancang untuk bernikah pada 12 Mac namun ditukar menjadi 14 Mac kerana kebetulan tarikh itu jatuh pada hari lahir kakak saya, Erma Fatima.

“Jadi nanti bolehlah kami meraikan dua majlis serentak, iaitu dia sambut majlis hari lahir manakala saya pula sambut ulang tahun perkahwinan. Kira seperti saya hadiahkan adik ipar untuknya,” tutur Umie sambil tergelak kecil.

Sebagai meraikan hari penuh bermakna itu, pemilik nama penuh Umie Khalsum Rahmad Ali berkata, dia juga akan mengadakan majlis resepsi secara kecil-kecilan di sebelah malam khusus untuk rombongan yang mengiringi saya itu,” kata Umie sambil memberitahu hanya keluarga sebelahnya saja yang akan hadir untuk menyaksikan majlis pernikahannya itu.

Manakala keluarga sebelah lelaki tidak dapat ikut serta disebabkan kesihatan bakal ibu mertuanya yang tidak mengizinkan.

Disebabkan lalu sibuk di lokasi penggambaran, Umie mengakui tiada debaran yang bertandang menjelang detik ketibaan hari bahagianya itu.

“Tak sempat nak ada perasaan berdebar dan sebagainya. Mungkin 13 hari bulan nanti baru perasaan itu wujud,” katanya separuh bergurau.

Hadir sama memeriahkan majlis berinai ialah rakan baiknya iaitu Erra Fazira, Zahida Rafik, Ziela Jalil, Sofea Jane, Lisa Surihani, Anne Abdullah, Emelda Rosmila, Datin Nina Juren, Samantha Schubert dan ramai lagi.

Pada majlis akad nikah itu nanti, Umie akan menyarung telekung khas rona putih yang diperbuat daripada renda Perancis bersulam mutiara halus dan kristal Swarovski sentuhan Jovian Mandagie. Pereka fesyen terkenal ini turut dilantik sebagai perunding perkahwinan untuk majlis resepsi yang bakal diadakan di Hotel One World, 28 Mac depan.

“Walaupun sebelum ini saya pernah mengatakan yang saya mahukan konsep Kemelayuan untuk majlis resepsi itu nanti, namun selepas berbincang dnegan Jovian, akhirnya kami memilih konsep moden namun sentuhan kemelayuan tetap ada apabila elemen songket diterapkan dalam majlis itu nanti,” ujarnya.

Dianggarkan seramai 1,200 tetamu bakal menghadiri acara penuh gilang gemilang itu termasuk jemputan khas, Tun Dr Mahathir Mohammad dan isteri, Tun Dr.Siti Hasmah Mohd Ali serta tetamu kehormat lain.

Sesi suai mesra

JIKA insan lain lebih senang berbulan madu terus selepas disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah, lain pula halnya dengan Umie. Sebaik saja dinikahkan nanti, Umie menganggap tempoh selepas itu adalah satu sesi suai mesra dengan abang, panggilan manja untuk suaminya itu.

“Saya lebih senang menganggap tempoh itu adalah sesi suai mesra, mengenali abang dengan lebih dekat lagi memandangkan sejak berkenal, saya tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Insya-Allah selepas mengadakan majlis resepsi pada 28 Mac depan, saya akan pergi berbulan madu di Eropah,” katanya lagi.

Mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, Umie berkata dia memang mengharapkan anak selepas mendirikan rumah tangga nanti.

“Kalau dapat seorang pun jadilah sebagai penyambung zuriat saya nanti,”tuturnya.

Sementara itu, Erma melahirkan rasa terharu apabila adiknya itu memilih tarikh hari lahirnya sebagai hari pernikahannya.

“Dia ada berkata kepada saya yang dia sengaja memilih tarikh 14 Mac itu bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran saya. Jadi bolehlah kami meraikan hari itu bersama-sama. Secara jujur, saya gembira kerana akhirnya terbuka juga pintu hatinya untuk mendirikan rumah tangga.

“Apapun, keputusannya itu masih belum mampu meredakan hati saya sehinggalah saya sendiri melihat dia selamat dinikahkan,’ ujar kakak sulung Umie ini.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment