Skip to content

Archive for May 2010

31
May

Tragedi Zaiton Sameon Diangkat Ke Filem




Ditulis oleh Nonie
  
  

Tragedi ngeri yang berlaku ke atas Zaiton Sameon masih terpahat walaupun memori pahit itu telah hampir 20 tahun berlalu. Kemalangan berlaku tika hidupnya dilimpahi kemasyuran di puncak populariti. Dan tak pernah disangka wanita ini kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata, wang, anak tunggal kesayangannya dan keluarga. Sejak itu, kehidupannya terumbang ambing menanti dan mengharap pada yang sudi menghulur bantuan.

Bukannya tidak pernah kembali ke arena yang pernah memberi rezeki padanya, namun penyanyi lagu Menaruh Harapan itu tidak lagi mempunyai kudrat melakukannya. Rata-rata hilang kepercayaan dengan keupayaannya. Semuanya bagai tidak kena dan hidupnya dimanipulasi individu yang cuba mengambil kesempatan.

Arah hidup bagai hilang selepas tragedi 21 Februari 1990 di Batang Kali, Selangor yang meragut segala-galanya dari hidup wanita malang ini. Namun dugaan Allah tidak mampu dielak oleh kita sebagai hambanya. Kegemilangan itu  tersimpan rapi dalam kotak ingatan Zaiton walaupun luka parah di jiwa masih berdarah.

Hanya Sekadar Peringatan

Tidak semua mengerti keperitan hidup yang dialami dan berpegang kepada niat meringankan beban wanita terbabit, produksi filem Animasi Upin dan Ipin dengan syarikat Beruang Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah filem biografi mengisahkan liku-liku perjalanan hidup Zaiton Sameon.

Bagi Fauziah Nawi, pengarah Zaiton-Ceritaku, filem ini bukan bertujuan mengaib atau membuka pekung di dada, apatah lagi banyak persepsi negatif melingkari perjalanan hidup wanita itu.

“Tak ramai yang buat biografi ketika artis itu masih hidup dan kami cuba ambil peluang itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Bukan tidak mahu memilih subjek lain, namun Zaiton ada kisah yang dapat dikongsi bersama bagaimana seorang itu boleh hilang segala-galanya sekelip mata semasa berada di puncak.

“Banyak peristiwa yang tidak pernah diketahui akan dipaparkan dalam filem ini dan semuanya mengikut apa yang telah diceritakan Zaiton kepada kami. Namun sama ada tepat atau tidak, hanya Zaiton dan Allah yang mengetahuinya.

“Zaiton semakin dilupakan walaupun pernah memberi pengaruh yang sangat besar dalam industri suatu ketika dulu. Memang kami akan menampilkan sisi gelap seorang Zaiton, namun tidak sekali-kali akan mengaibkan. Segalanya hanya bertujuan mendekatkan kembali Zaiton dengan peminat dan secara tak langsung menjadi sumber rezeki meneruskan hidupnya,” ujar Fauziah yang telahpun memilih Mislina  Mustapha sebagai watak utama dalam filem Zaiton-Ceritaku.

Mangga Online

27
May

Reza Hasbi Berteater

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Pemenang tempat kedua program realiti Pilih Kasih, Reza Hasbi sekarang sudah mula mendapat perhatian dalam bidang seni. Sekarang Reza sedang berlatih untuk sebuah teater berjudul Jalan.G Belakang Bukit Bintang.

Teater itu akan dipentaskan di Dewan Bahasa Dan Pustaka pada 9 hingga 13 Jun depan. Setelah menjalani latihan Reza mula rasa seronok berteater.

“Melalui penglibatan saya dalam teater ini, banyak yang saya belajar. Yalah dulu semasa dalam program Pilih Kasih kita diajar juga aspek teater. Tapi apabila benar-benar bekerja ini suasananya tidak sama.

“Saya ni masih baru dan pengalaman selama menjalani latihan banyak mengajar saya. Tunggulah apabila teater ini dipentaskan nanti. Ia bukanlah teater besar sebagaimana yang dipentaskan di tempat yang lebih besar, tapi rasa puas juga apabila dapat peluang berlakon teater ini,” kata Reza.

Teater arahan Eddy Rusdi itu dipersembahkan oleh ER Production. Ia mengisahkan Alif yang tertipu dengan janji kosong kawan-kawannya dan sampai Bukit Bintang. Di sana dia melalui pelbagai masalah. Bukan masalah dia sahaja, malah masalah orang lain turut tempias.

Dia juga berjumpa dengan watak lain seperti orang baik, orang jahat, orang yang baik macam jahat, orang baik tapi jahat dan orang yang tak tahu dia jahat atau baik. Isu yang diangkat adalah kasih sayang dan cinta. Bukan cinta jiwang, tapi cinta kepada Ilahi dan kekeluargaan.

Turut diselitkan isu dadah, pelacuran, masalah remaja, isu terkini yang ramai orang tak perasan tapi sebenarnya berbahaya jika kita tidak pantau.

Selaian Reza yang membawakan watak Norman, teater ini menampilkan Sofian Bujang Pilih Kasih (Alif), Aman Sharoni Pilih Kasih (Danial Wong), Mai Anak Wayang (Tina) dan ramai lagi.

Sambung belajar di Aswara

Reza juga masih minat meyambung pelajaran. Minggu lalu dia menjalani temuduga untuk memasuki pengajian dalam bidang lakonan di ASWARA. Sememangnya ASWARA membuka peluang kepada pemenang Pilih Kasih untuk menyambung pengajian dalam bidang lakonan.

“Saya harap dapat mendalami ilmu lakonan secara langsung kerana saya memang sangat meminati bidang seni ini dan ingin menjadi seorang pelakon yang disegani suatu hari nanti,” jelas pelakon yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu.

 

 

 

Mangga Online

25
May

Lagenda Budak Setan Karya Pencinta Agung

Ditulis oleh Nonie
  
  

Penantian 25 tahun Ahadiat Akashah berakhir apabila novel terhangat sepanjang zaman, Lagenda Budak Setan (LBS) diadaptasi ke dalam filem. Bermula tahun 80-an, novel ini mula meniti dibibir peminat novel tempatan dan terus mendapat sambutan hangat sehingga ke hari ini.

Tidak seperti kisah cinta melayu yang biasa, LBS dipersembahkan dengan begitu indah sekali. Terbuai dengan sinematografi yang mengasyikkan, menjadikan perjalanan cinta Kasyah dan Ayu bagai kisah dongeng. Filem arahan Sharad Sharan ini mampu membuatkan penonton terbuai mengenang kembali cinta monyet yang pernah mencuri hati remaja kita dulu.

Kisah bermula apabila seorang pelajar nakal dan anti-perempuan, Kasyah (Farid Kamil), terjerat dan jatuh cinta pandang pertama dengan seorang pelajar baru iaitu Ayu (Lisa Surihani). Segalanya begitu indah sehinggalah Kasyah terpaksa meninggalkan Ayu untuk membuat kajian bagi menamatkan pengajiannya. Sepeninggalan Kasyah, Ayu dipaksa berkahwin dengan bekas kekasihnya Azmi (Que Haidar), seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Kesengsaraan Ayu bertambah parah apabila terlibat dengan kemalangan yang telah menghancurkan wajahnya. Ayu muncul dengan identiti baru. Muncul pula Emilia (Shikin Kamal) yang banyak membantu kerjaya Kasyah dan menaikkan kembali semangat yang telah pudar akibat ditinggalkan Ayu. Muncul pula Katerina (Fazura) yang turut sama mengharap cinta Kasyah.

Setulus manakah cinta lelaki yang dilabelkan sebagai budak setan? Sama-sama saksikan filem yang akan ditayangkan di seluruh pawagam bermula 3 Jun ini.

Tidak dapat dinafikan, ramai yang mengalirkan air mata tika menonton LBS, malah penulisnya sendiri mengakui hasil yang diterjemahkan berjaya meruntun jiwa lelakinya. Malah tidak salah sekiranya Mangga Online menggelarkan LBS ini sebagai Twilight versi tempatan.

Pastinya selepas menonton LBS, peminat akan berpusu-pusu mencari novel tersebut untuk mengetahui sendiri apa yang berlaku kepada Katerina dan kesudahan kisah cinta agung ini.

 

Mangga Online

20
May

Kalau Nak Kahwin Saya Beritahu… Zamani

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Selama Zamani menyepi banyak gosip pasal dirinya. Antaranya kisah kononnya Zamani berkahwn dengan seorang gadis Kelantan. Zamani menafikan gosip tersebut.

Malah kata bekas penyanyi utama kumpulan Slam itu, dia tidak akan menyorok pasal perkahwinannya apabila masanya tiba nanti. Tapi sekarang Zamani belum ada perancangan ke arah itu.

 

“Saya tidak kisah apabila ada gosip macam itu. Saya tak ada jawab kepada semua sebab kalau kita panjangkan pun tak ada guna sebab benda kosong kan.

“Insya-Allah, saya tak berani nak kata bila, kalau sudah jodoh saya sampai saya akan beritahulah, walaupun saya tak buat majlis sekalipun saya akan jemput. Benda ini  akan keluar dari mulut saya sendirilah,” kata Zamani kepada Mangga Online.

Zamani sekarang kembali menemui peminatnya setelah lagu single barunya,. Terima Kasih mula diputarkan di radio dan mendapat sambutan menggakkan. Dia juga mula mengadakan persembahan pentas dan show di TV.

“Saya akan mengeluarkan album baru dalam masa terdekat ini. Sebenarnya saya dah rakam enam buah lagu. Pada awalnya mahu keluarkan album mini sahaja, tapi apabila pihak syarikat nampak sambutan sangat menggalakkan, saya diminta menambah rakaman lagu lagi untuk terbitkan album penuh, sebab itulah album tidak dapad dipasarkan lagi.

“Saya masih menyanyi dan tak hilang, saya tak ada lagu baru dan tak ada cerita yang nak diberitahu, jadi saya senyaplah,” katanya apabila ditanya pasal penyepiannya selama ini.

Zamani juga salah seorang artis yang akan memeriahkan Karnival Suara Malaysia anjuran akhbar Mingguan Malaysia di Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor pada 29 dan 30 Mei depan. Mangga Online bertndak selaku portal rasmi.

Mahu bawa album ke Jakarta

Zamani dsan Slam pernah popular di Indonesia malah sehingga sekarang namanya masih diingati oleh peminat di sana. Zamani juga berhasrat untuk memperkenalkan album barunya ke sana kerana nampak peluang untuk kembali menghiburkan peminat seberang.

“Ada peminat di sana yang dah tahu saya akan muncul dengan album baru. Kalau ada peluang saya akan cuba bawa album baru ini ke sana,” ujar Zamani.

 

 

 

 

 

Mangga Online