Skip to content

Archive for June 2010

11
Jun

Suhaila Tawan Hati Jimmy Shanley




Ditulis oleh Nonie
  
  

Tamat sudah spekulasi yang melanda pengacara sensasi, Jimmy Shanley. Ikatan pertunangan bersama anak pengasas produk kecantikan Natasya pada hari ini menghapuskan gosip mengatakan Jimmy sudahpun berkahwin.

Bertemakan merah jambu, Jimmy ketika ditemui di rumah tunangnya di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, berharap agar tiada lagi cerita tidak berasas dikeluarkan demi menjaga maruah dan nama baik mereka sekeluarga.

“Saya tak pernah sorok hubungan kami selama ini. Jika ada majlis membabitkan media, pasti saya akan bawa dia bersama. Dan hari ini, sah saya menjadi tunangan orang. Dan Insyaallah jika tiada aral melintang kami akan langsungkan perkahwinan awal bulan 10 nanti,” ujarnya kepada ManggaOnline.

Menceritakan detik perkenalan dengan Cik Nursuhaila, Jimmy mengimbau kembali kenangan tahun 2006 ketika penggambaran Trek Selebriti di Genting Highlands manakala keluarga Nursuhaila sedang bercuti di kota keriangan itu.

“Ketika itu Suhaila datang kepada saya dan ingin bergambar bersama. Kami berkenalan ketika itu namun hubungan kami mula serius apabila saya dijemput sendiri ibunya untuk datang membuat kejutan harijadi Suhaila yang ke-24 pada 31 Januari lepas.

“Walaupun hubungan kami masih baru, tapi bila bersama dia dan keluarga, saya rasa seolah-olah telah lama mengenali mereka. Kami jarang dating berdua dan selalunya kami banyak habiskan masa bersama keluarga Suhaila. Parents dia happy go lucky dan boleh ngam dengan saya,” ujarnya mengidam mengadakan majlis resepsi di Kelly Castle.

Jarang sekali dilanda kontroversi dan Jimmy tekad dengan keputusan menjadikan Suhaila sebagai suri hidupnya. Apa keistimewaan Suhaila pada pandangan Jimmy?

‘Saya lihat dia seorang yang patuh cakap ibunya. Dan yang paling penting dia sangat sporting dan understanding. Bukan senang nak cari seseorang yang faham dengan kerja artis yang selalu sibuk.

“Yang pastinya tiada sebab orang nak kata saya ingin menumpang kesenangan dia sebab rasanya family saya masih mampu memberi kesenangan. Dan hasil pendapatan dengan Astro dan syarikat abang sudah cukup membiayai hidup,” kata Jimmy yang diwakili abangnya Datuk Ir. Young Juwahir dalam rombongan meminang.

Pihak lelaki membawa lima hantaran iaitu sebentuk cincin, tepak sirih, senaskah Al-Quran, sepasang telekung dan tas tangan. Hantaran balas oleh pihak perempuan ialah senaskah Al-Quran, sirih junjung, sebentuk cincin, set wangian, sepasang kain baju melayu, kek dan coklat.

 

Mangga Online

4
Jun

Wardina Tulis Buku Pemakanan

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Wardina Safiyyah Fadlullah bermula sebagai model sebelum menjadi pelakon. Sekarang wanita beranak tiga itu lebih cenderung sebagai pengacara. Sebagai pengacara Wardina lebih terarah membicarakan isu kekeluargaan dan anak-anak. Sesuai dengan statusnya.

Pengalaman sendiri dan ilmu yang ditimba melalui kerja dan minat mendalam membaca buku membuahkan hasil menulis sebuah buku pasal pemakanan kanak-kanak berjudul Mama Saya Lapar. Wardina juga menulis sebuah lagi buku berjudul Siapa Alien.

Majlis pelancaran kedua-dua buku tulisan Wardina disempurnakan di Perpustakaan Negara hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar.

Wardina mengakui minatnya menulis buku sudah lama terpendam sejak di bangku sekolah lagi. Buku Mama Saya Lapar itu tercetus daripada kesedarannya apabila sering ditanya tips pemakanan bayi, penyusuan dan sebagainya oleh wanita yang ditemuinya.

“Saya tak tahu mengapa mereka sering bertanyakan pendapat saya. Lalu saya fikir bagus juga kalau saya tulis buku pasal pengalaman sendiri sebagai ibu. Buku ini saya fokuskan kepada aspek pemakanan.

“Ilham buku Siapa Alien pula datang daripada seorang kenalan saya,” kata Wardina.

Majlis pelancaran turut diserikan oleh tiga cahaya mata iaitu Amna Nafeesa, 6, Azra Sareera, 3, dan Imran Arrazi, 7 bulan.

 

Mangga Online

4
Jun

Zizan Raja Lawak Memang Lawak

Ditulis oleh Nonie
  
  

Nampaknya ramai berpuas hati dengan hasil lakonan Zizan Raja Lawak menerusi filem KAPOWW. Walaupun belum ditayangkan, namun diramalkan filem tersebut akan mencapai kutipan box office kerana garapan cerita yang lawak dan menarik.

Bertuah sungguh Zizan dalam perencanaan masa depannya dalam industri ini. Tidak mudah mendapat peluang keemasan tepat pada percubaan pertama dan nampaknya Zizan bagaikan terkena jackpot.

“Dulu melawak hanyalah hobi saja tapi sekarang tak sangka ia menjadi kerjaya saya. Susah sebenarnya nak buat orang ketawa tapi saya suka tengok orang gembira. Bila dah jadi pelawak, walau ada masalah macam mana pun, saya kena profesional. Even saya tengah sedih tapi saya ada tanggungjawab untuk membuat orang ketawa dan gembira.

“Filem Kapoww adalah filem pertama saya jadi hero dan saya akui amat memilih untuk dapatkan yang terbaik. Bila mendapat skrip Kapoww saya sangat teruja dan idola saya, Afdlin Shauki sendiri terlibat dalam filem tersebut makin membuatkan saya makin seronok.

“Selepas Kapoww, ada dua lagi filem iaitu Uncle Usin dan Baik Giler dan saya pegang watak utama. Syukur rezeki makin bertambah dan saya makin mengenali diri sendiri. Saya harap kejayaan ini tak akan buatkan saya lupa diri dan sentiasa berpijak di bumi yang nyata,” ujarnya ketika ditemui semasa penggambaran filem Baik Giler di Melaka.

Luahan Hati Zizan

Jangan tak tahu, selain melawak, Zizan punya bakat lain yang jarang diketahui peminatnya. Ini diakui sendiri oleh Farawahida yang bekerjasama dengannya dalam filem Baik Giler. Zizan punya suara yang merdu.

“Saya tengah usaha nak buat single sendiri tapi bukanlah sekadar tangkap muat atau lagu lawak. Saya lebih sukakan hasil nyanyian yang serius kerana meluahkan apa yang terkandung dalam hati saya. Saya suka bagaimana Malique Too Phat dan Altimet menyuarakan kata hati mereka melalui lagu.

“Namun saya tak mahu terikat dengan satu genre lagu saja kerana minat saya lebih general,” tambahnya mengakui lebih sayangkan kerjaya dari memikirkan soal cinta.

 

Mangga Online

3
Jun

Lagu Lebih Popular Berbanding Anggota 6ixth Sense

Ditulis oleh Nonie
  
  

Bukanlah suatu yang ganjil peminat selalunya lebih mengenali vokalis dan lagu yang didendangkan berbanding ahlinya yang lain. Lima tahun dalam industri dan hanya Adi diketengahkan manakala ahli lain berselindung di sebalik nama 6ixth Sense. Walaupun begitu, band ini tetap kukuh bertahan mencipta kejayaan namun peminat masih kabur akan kehadiran orang penting di belakang vokalis utamanya.

“Kami bersyukur sebenarnya kalau orang lebih kenal lagu 6ixth Sense lebih daripada ahli band kerana kami lebih suka dikenali kerana muzik dan karya yang dicipta, bukan populariti setiap ahli. Bermakna kami berjaya mencipta karya yang baik.

“Jika peminat tahu dan sukakan lagu kami, itu sudah cukup baik. Rata-rata peminat di Malaysia kenal 6ixth Sense dan kami sedang cuba mengintai peluang di Indonesia. Walaupun pernah mencuba nasib menerusi lagu Tak Bisa Memilihmu dan berjaya masuk dalam carta di sana, namun itu belum cukup kuat untuk kukuhkan kedudukan. Namun itu membuktikan kami mempunyai golongan peminat tersendiri

“Terlalu banyak band di sana menjadikan persaingan sangat kuat. Untuk album terbaru, kami cuba kuatkan jentera promosi untuk takluk pasaran Indonesia September ini dan harap peminat di sana dapat terima kehadiran kami,” ujar Adi ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran album ketiga berjudul + – x / yang memuatkan lagu yang dirakam di Bandung, Indonesia.

Formula Baru 6ixth Sense

+ – x / (tambah, tolak, darab, bahagi). Mangga Online (MO) cuba mengerti makna tersirat yang cuba disampaikan 6ixth Sense melalui album terbaru mereka. Namun itulah formula kehidupan yang menentukan perjalanan manusia.

“Kami tahu susah nak sebut tajuk album kami. Memang sengaja pilih begitu sebab akan menimbulkan rasa ingin tahu dan peminat akan dapat jawapannya dalam setiap lagu yang dimuatkan di dalamnya. Kita perlu tambahkan (+) perlakuan baik, menolak (-) segala sifat jahat, gandakan (x) usaha mencari rezeki halal dan agihkan (/) rezeki buat yang lain.

“Tiga buah lagu dirakam di Bandung antaranya Haruskah, Yang Sempurnakanku dan Cinta Matiku. Sengaja berubah mood dan pengalaman di sana sangat berbeza jika dibandingkan dengan cara di Malaysia.

“Setakat ini tiga lagu sudahpun mula dimainkan di radio iaitu lagu Cinta Matiku, Haruskah dan Yang Sempurnakanku. Khatimah cinta dan Kita Boleh iaitu lagu kemerdekaan juga dimuatkan di dalamnya,” tambahnya yang baru memenangi Lagu Paling Popular menerusi GAH 1.

Hadir Bersama Teman Istimewa

Asyik berbicara soal kerjaya, Adi mengejutkan media apabila mengakui hatinya kini sudah dimiliki gadis bernama Zita. Hubungan yang baru berputik itu diharapkan bakal berakhir ke jinjang pelamin. Malah gadis berusia 24 tahun itu sempat hadir memberikan sokongan sewaktu majlis berlangsung.

“Kami kenal sudah setahun lebih, tapi baru serius sejak beberapa bulan lalu. Saya pernah tetapkan target untuk kahwin semasa umur 25 tahun tapi tak menjadi so saya serahkan segalanya kepada takdir,” katanya mengakhiri perbualan.

FOTO oleh ZULHAFIZ HANAFIAH     

 

Mangga Online