3 Macan Dilarang Hamil
Ditulis oleh Rosli Manah
Kumpulan 3 Macan manjadi artis Indonesia terbaru mencuba nasib di Malaysia. Modal mereka ialah merakam semula lagu-lagu yang pernah popular dengan sentuhan muzik meraka yang ada elemen dangdut moden.
Tiga wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai 3 Macam ini juga tidak kekok tampil dengan gaya seksi yang menjadi sebahagian daripada diri mereka apabila mengadakan persembahan pentas. Kerana keperluan penampilan menarik itulah personel cantik itu tidak dibenarkan hamil.
“Bukan tidak boleh hamil selama-lamanya, tapi sekarang ini 3 Macan sangat padat aktiviti mengadakan persembahan pentas dan show di TV, jadi kami tidak boleh hamil dalam masa terdekat,” kata ketua kumpulannya, Lia Ladysta.
Salah seorang anggota kumpulan itu, Yeni Angraeni sudah berumahtangga. Dia juga mengikut syarat dan terpaksa merancang kehamilan dalam tempoh tertentu. Lia juga sudah punya pacar, pelakon dan model Andreano Philip. Seorang lagi ahli, Ayu Terra masih solo.
“Saya belum lagi merancang berkahwin, biarlah kami terus bercinta dulu. Saya mahu memastikan 3 Macan terkenal dan mendapat tempat dahulu sebelum memikirkan hal peribadi. Lagipun, 3 Macan kan tidak dibenarkan hamil dahulu.
“Syarat tidak boleh hamil itu kami buat kerana keperluan sebagai ahli 3 Macan ialah keupayaan beraksi lincah di atas pentas. Kami perlu membuat aksi split kaki, berguling dan menaiki badan anggota lain semasa menyanyi, jadi ia memerlukan susuk tubuh yang cergas dan baik.
“Kalau hamil atau beranak pasti ada pergerakan yang tak boleh dilakukan. Kami juga bimbang susuk badan akan gemuk selepas melahirkan anak,” sambung Lia.
Promosi ke ceruk rantau
3 Macan tidak bermasalah untuk mengadakan promosi ke mana sahaja. Malah sedia ke pedalaman asalkan mereka tahu di situ ada peminat.
Semasa di Kuala Lumpur mereka turut dibawa mengadakan persembahan dan promosi album di kawasan penempatan tenaga kerja Indonesia di sini. Mereka sedia menghiburkan penghuni rumah kongsi sekitar kawasan pembangunan yang kebanyakannya didiami warga Indonesia.
“Mereka seronok sekali menghiburkan pekerja Indonesia di sini, mereka makin seronok apabila ramai yang terhibur dan sanggup naik pentas menari bersama 3 Macan,” kata Andreano yang mengiringi 3 Macan sepanjang sesi promosi.
Andreano juga terlibat dalam syarikat pengurusan 3 Macan, Glow Managemement.
Mereka juga turut mengadakan persembahan di luar daerah di Indonesia apabila mendapat undangan penganjur serta promosi.
Tak tiru artis lain
Album terbaru yang memuatkan lagu-lagu popular Makhluk Tuhan Paling Seksi, Doktor Cinta, Kucinta Kau Apa Adanya, Munajat Cinta, Jatuh Cinta Lagi dan lain-lain.
Adakah 3 Macan meniru gaya artis popular lain?
Kata Lia: “Memang syarikat punya idea agar kami rakamkan semula lagu-lagu popular dalam versi dangdut. Kami tak tiru sesiapa kerana kami muncul berbeza apabila di atas pentas. Kami juga mempunyai imej yang tersendiri.
“Bukanlah kami mahu cari jalan mudah kerana dalam album terdahulu, kami rakam lagu-lagu baru, tapi album itu tidak dipasarkan ke Malaysia.
“Kami sudah ada identiti sendiri dan sudah dikenali dengan gaya ini. Buktinya gaya rambut kami juga jadi ikutan. Ada pemimat yang memberitahu pendandan rambut di salun mahukan gaya rambut Lia 3 Macan, Ayu 3 Macan atau Yeni 3 Macan. Sebab itu kami masih kekalkan gaya rambut berwarna-warni sebab ia sudah menjadi ikutan.”
Ubah konsep lebih luas
Kemunculan awal 3 Macan (nama lama Trio Macan) membawakan lagu-lagu dangdut sepenuhnya. Pada masa itu kelibat mereka hanya boleh ditonton di saluran TPI sahaja kerana stesen TV itulah yang menyiarkan lagu-lagu dangdut.
“Album terbaru ini kami ubah konsep muziknya. Ia masih ada sentuhan dangdut, tapi kami suntikkan muzik moden agar penguasaan kami lebih meluas.
“Sekarang kami sudah diterima masuk ke semua stesen TV apabila muzik kami bukan lagi jenis dangdut asli,” jelas Lia.
Mangga Online
VEE Jaga Batasan Seorang Isteri
Ditulis oleh Nonie

Gelaran isteri bukanlah penghalang untuk Vanidah Imran atau lebih senang disapa dengan panggilan Vee ‘bercinta’ lagi. Meskipun menjadi milik mutlak kepada Shidi Ishak, Vee diizin menjalin kasih asalkan tidak melanggar batasan yang ditetapkan.
“Shidi tahu Vee bagaimana. Vee tahu apa yang boleh dan tak boleh buat. Tapi bila berlakon, memang Vee tak akan sekali-kali berkemban. Maruah suami dan keluarga harus dijaga walaupun suami beri keizinan untuk meneruskan karier lakonan. Selalunya pengarah akan faham jika Vee tak selesa lakonkan sesuatu babak dan dia tak akan memaksa.
“Vee pun ada anak-anak yang bersekolah dan kalau boleh tak mahulah mereka malu dengan lakonan ibu sendiri. Vee akan pastikan tak ada satu babak atau lakonan Vee yang cenderung ke arah yang negatif,” ujar Vee memberi komen apabila digandingkan bersama Rosyam Nor dalam drama Isabella.

Menyedari lakonannya sebagai pasangan bercinta dalam Isabella akan menimbulkan rasa kurang senang peminat memandangkan statusnya sebagai isteri, lebih-lebih lagi Vee dan Shidi antara pasangan paling romantis walau sudah sembilan tahun berumahtangga.
“Bukan Vee tak pernah berlakon sebagai pasangan bercinta, cuma mungkin dengan abang Rosyam, adegan dan perasaan romantik yang penonton rasakan lain sebab abang Rosyam pelakon hebat. Vee senang ‘bercinta’ dengan dia sebab ada chemistry yang wujud antara kami. Malah Shidi sendiri kenal rapat dengan abang Rosyam.
“Vee tak berapa fikirkan soal romantik dengan abang Rosyam sebab itu adalah tuntutan kerja. Kalau selalu dihimpit perasaan begitu, kita akan sekat kemampuan seorang pelakon. Ini pertama kali Vee digandingkan dengan abang Rosyam dan kadang kadang sukar nak baca apa yang dia nak. Tapi syukur sebab banyak yang Vee belajar seperti teknik bermain kamera dan skrip,” kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 ini.
Vee membawakan watak Isabella yang mengalami gangguan mental akibat kehilangan kekasihnya dalam sebuah kemalangan. Isabella adalah sebuah kisah cinta yang penuh tragis yang menggandingkan pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi dan Omar Abdullah. Drama ini bakal bersiaran menerusi saluran 105 bermula 13 Julai ini di Astro Prima.
FOTO oleh AMIN FARIJ HASAN
Mangga Online
MANTRA Menghantui Fikiran
Ditulis oleh Nonie
Biarpun sudah selesai penggambaran filem ke-38 terbitan Metrowealth, Mantra, namun pengalaman yang dikutip sepanjang 28 hari di lokasi bukan mudah dilupakan. Mengakui seorang penakut, pengarah Mantra, Azhari Zain menganggap filem ini kerap menganggu fikirannya dan akibat terlalu obses dengan proses pembikinannya, dia kerap terlihat benda yang tidak sepatutnya.
“Waktu saya mula-mula mendapat skrip daripada Shahriman Wahap dan cuba fahami keseluruhan cerita, saya sudah mula takut dan dapat bayangkan apa yang akan berlaku jika difilemkannya. Mantera yang tercatat dalam skrip itu adalah mantera sebenarnya yang berasal dari Siam dan Jawa. Kadang kala saya terbaca mantera itu sebab ia dah melekat dalam kepala saya.
“Akibatnya waktu saya memandu benda itu duduk di sebelah saya dan saya kerap ternampak makhluk-makhluk lain sewaktu shooting. Pada pengetahuan saya, jika hati kita bersih makhluk tersebut akan muncul untuk menunjukkan situasi atau keadaan sebenar dirinya.

“Banyak lagi peristiwa pelik yang berlaku di dalam rumah yang berusia 500 tahun seperti krew filem hilang dalam rumah dan ketika tidur di dalam rumah tersebut dan saya mimpi mendapat sebilah keris, apabila terjaga saya dapati keris itu ada di sebelah saya,” ujarnya bersyukur diberi kesempatan menjalankan penggambaran di Penjara Pudu sebelum dirobohkan.
Mantra memaparkan kehancuran sebuah masyarakat sekiranya mereka bersekutu dengan syaitan untuk membalas dendam. Bagi Azhari, dia hanya ingin menunjukkan bagaimana rapuhnya sifat manusia akibat perasaan hasad dengki. Dapat dilihat bagaimana insan teraniaya mengambil jalan yang salah bagi menuntut bela. Kehilangan isteri meremukkan lagi jiwa Muzir (Zul Handy Black) dan peluang mempelajari ilmu hitam sewaktu dalam tahanan tidak dilepaskan begitu saja.
Filem yang menelan belanja RM1.8 juta ini dibintangi oleh Zul Suphiaan, Hasnul Rahmat, Ana Dahlia, Mas Muharni, Bob Lokman dan ramai lagi.
FOTO oleh SITI SUHAIDA NAPIALPHRI




Mangga Online