Anne Hamid Tumpu Keluarga
Ditulis oleh Rosli Manah

Sudah lama tak dengar cerita bekas pencaraca Muzik Muzik, pelakon dan penyanyi Anne Hamid. Ingat lagi pada lagu Zapin Berkasih (ada juga namakan lagu itu sebagai lagu Nyiur Gading) nyanyian Anne? Dunia glamor Anne hilang terus selepas mendirikan rumah tangga lebih sepuluh tahun lalu.
Malah kelibatnya juga jarang dilihat dalam mana-mana majlis glamor. Baru-baru ini apabila pihak TV3 membuat rakaman program Melodi Raya dan majlis berbuka puasa bersama puluhan artis dan bekas selebriti TV3, Anne turut muncul memenuhi undangan.
“Kali ini saya tak dapat mengelak apabila kawan-kawan undang ke majlis ini,” kata Anne apabila ditanya khabarnya.
Anne akui dia terpaksa menghilangkan diri untuk menguruskan rumah tangga. Apatah lagi menjaga anak kecil Airis Umairah yang baru masuk dua tahun. Anak sulungnya Arif Hasanal kini sudah berusia 10 tahun. Anne mencipta nama dengan program Muzik-Muzik pada tahun 1995 hungga 1999. Selepas berkahwin Anne berehat sementara.
“Selepas memiliki seorang anak, saya muncul semula dalam program Muzik-muzik pada tahun 2001, tapi pasa masa itu saya tak boleh memberikan komitmen kerana mahu menguruskan rumah tangga lalu mengambil keputusan berhenti.
“Tak sangka dalam diam-diam itu sudah sepuluh tahun saya tinggalkan segala bidang seni. Bukannya tidak ada minat, tetapi saya harus beri keutamaan kepada rumah tangga dulu.
“Suami saya sebenarnya tak pernah menghalang, cuma dalam keadaan sekarang saya kena pilihlah mana-mana undangan yang sesuai. Suami saya membina sebuah bilik muzik untuk saya kerana dia tahu saya suka menyanyi. Jadi di bilik itulah saya melakukan aktiviti yang saya sukai itu
“Saya tak kata mahu meninggalkan bidang seni sepenuhnya. Kalau ada tawaran saya akan pertimbangankan. Semestinya tidak boleh macam dululah. Saya rasa program hiburan pun mungkin sudah tidak sesuai dengan saya lagi,” kata Anne kepada Mangga Online.
Bercerita pasal perancangan menyambut hari raya, Anne dan keluarga merancang beraya di kampung orang tuanya di Pahang beberapa hari sebelum pulang semula ke ibu negara untuk berhari raya di rumah keluarga mentua di Gombak.
Mangga Online
Sri Kandi Jejak Rasul 16
Ditulis oleh Nonie

Julung kalinya, Jejak Rasul 16 akan menampilkan kaum Hawa menerajui salah sebuah segmen paparan Trilogi Suara Kebenaran. Menariknya 10 episod pertama akan mengupas sejarah perjuangan dakwah dan usaha mengembangkan syiar Islam di samping memberi kesedaran tentang kepentingan dan kekuatan kaum Hawa menerusi paparan menarik tokoh-tokoh seperti Siti Khadijah binti Khuwailid, Siti Fatimah Az-Zahraa, Fatimah binti Al Khattab, Siti Aisyah binti Abu Bakar dan ramai lagi.
15 tahun bersiaran dan jarang sekali Jejak Rasul memaparkan kisah hebat perjuangan tokoh wanita dan kini wanita sendiri diangkat untuk melihat sendiri tempat tinggalan sejarah yang pernah menjadi saksi kisah kehidupan wanita-wanita hebat ini. Kisah-kisah Sri Kandi Islam ini diselami sendiri Ezzah Aziz Fawzy (pengacara), Mazlin Nordin (penerbit dan pengarah) dan , Shadiya Abbas (wartawan penyiaran) dengan hanya dibantu oleh seorang krew lelaki, Jebat M Rosli (jurukamera).
“Sepanjang 23 tahun bekerja dengan TV3 saya memang banyak terlibat dengan acara membabitkan wanita. Dan saya hanya sekadar melawat atau melakukan umrah jika pergi ke Mekah. Namun pemergian kami kali ini sangat mencabar kerana harus melihat pada perspektif yang berbeza. Bila tiba di sana dan meneliti kembali apa yang pernah terjadi di tempat yang sama dulu, kami bayangkan kembali betapa gigihnya mereka berjuang demi Islam.

“Wanita dahulu menjadi tulang belakang dalam kejayaan Islam memenangi hati masyarakat. Khadijah sanggup menghabiskan hartanya semata-mata untuk membantu Nabi Muhammad s.a.w menegakkan syiar Islam. Aisyah r.a pula menjadi tempat rujukan para sahabat Nabi s.a.w mendapatkan nasihat.
“Kita harus hapuskan pandangan kaum wanita adalah second class citizen kerana kedudukan wanita istimewa pada tempatnya sendiri. Zaman dahulu juga sudah wujud datuk bandar wanita yang menerajui pembangunan semasa zaman Saidina Umar Al-Khattab. Namun timbul juga kesulitan kepada kami kerana masyarakat Arab sememangnya begitu memelihara kaum wanita daripada sebarang fitnah dan musibah. Ini mendatangkan kesulitan memandangkan kami perlu masuk ke tempat-tempat tertentu untuk melakukan penggambaran.
“Selain itu, cabaran utama apabila cuaca di sana mencecah 50 darjah celcius dan kesukaran untuk menggambarkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat kerana mereka tidak boleh digambarkan,” ujar Ezzah terharu dapat menyelami sendiri sejarah tokoh wanita Islam.
Mazlin turut berkongsi pengalaman sepanjang 21 hari berada di Syria, Mesir dan Arab Saudi.

“Saya lakonkan kembali watak Sumaiyah ketika disula dan tak dapat menahan kesedihan membayangkan wanita sesuci itu diseksa dengan kejam sehingga mati. Pengalaman mendaki Gua Hira’ selama tiga jam yang kini dilengkapi kemudahan mendaki tangga pun tak mampu kami hadapi namun digagahkan jua apabila mengenangkan Khadijah hampir setiap hari mendaki gua itu untuk menghantar makanan kepada suaminya.
“Tak dapat saya bayangkan kegigihan Khadijah membantu Rasulullah s.a.w walaupun ketika itu usianya 53 tahun dan mendaki bukit setinggi dua ribu kaki. Saya sendiri terpaksa bertongkat untuk naik ke atas dan Khadijah terpaksa melaluinya seorang diri. Banyak perkara yang menginsafkan dan kami berharap apa yang cuba disampaikan dapat diselami ke dasar hati,” katanya pada Majlis yang dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menerusi 10 episod seterusnya, penerbit Muhamad Amin Yusoff dengan bantuan Abdullah Sidek Majin sebagai pengantara segmen Jihad akan cuba menjelaskan objektif serta konsep jihad dan gambaran situasi yang membenarkan pertempuran sebagai benteng terakhir untuk memelihara kesucian agama dan nyawa umatnya.
Manakala dalam segmen Yahudi & Bani Israel, penerbit dan pengantara Mohd Fasil Mohd Idris akan mengupas konflik di Palestin, pemahaman terhadap erti istilah Israel, Yahudi dan Zionis menerusi 10 episod seterusnya.
Saksikan dokumentari sejarah ini sepanjang bulan puasa bermula 11 Ogos, jam 6.00 petang setiap hari di TV3. Adapun apa yang disiarkan bukanlah untuk diingati sebagai bahan sejarah, namun harus dijadikan teladan dan pengajaran menghadapi dunia yang semakin penuh dengan cabaran ini untuk lebih mengingati Allah SWT.

FOTO oleh NOOR ASREKUZAIREY
Mangga Online
Kenapa Jue Aziz Main Api?
Ditulis oleh Nonie

Orang-orang tua kerap berpesan, jangan bermain api, kelak nanti membakar diri. Akibat ingkar dengan amaran tersebut, Jue Aziz merana hampir seminggu akibat luka yang masih belum sembuh hingga ke hari ini.
“Jue memang suka dengan aktiviti lasak. Kisahnya bermula bila Jue dan rakan-rakan yang lain pergi bercuti ke Koh Samui Thailand. Di sana banyak aktiviti menarik yang kami cuba antaranya bermain gelung api.
“Sebab tak tahan dengan godaan, Jue beranikan diri melompat dengan gelung api. Tapi kaki Jue tersangkut dan jatuh tersembam atas tanah. Mulanya tak sakit, tapi lama-lama dapat lihat kesan terbakat di peha. Terpaksa tahan sebab tak mahu rosakkan mood bercuti di sana.
“Maybe Jue salah teknik melompat. Boleh katakan ini tragedi sewaktu bercuti tapi ikhlasnya Jue seronok. Jue seorang yang lasak so tak kisahlah semua tu. Lagipun banyak kali juga Jue cedera sebab asyik buat aktiviti lasak. Luka ni pun Jue letak gamat dan syukur luka makin sembuh,” ujarnya pelakon jelita ini.
Sukar Jiwai Watak Lembut
Cabaran yang besar kepadanya membawakan watak gadis yang penuh kelembutan. Memegang watak Ayu dalam drama bersiri Lagenda Budak Setan disifatkan sebagai tanggungjawab yang besar. Karakter dan mood yang sentiasa berubah tidak mudah untuk dilaksanakan.
“Saya menangis bila tak dapat jiwai watak yang diberi. Drama ini sangat complicated dan saya rasakan wataknya sangat heavy sebab kena carry perasaan yang pelbagai. Dan saya izinkan Nas T pukul saya betul-betul sebab kami mahu penonton betul-betul rasa apa yang disampaikan.
“Lebam-lebam juga badan saya dipukul tapi saya suka sebab itu berjaya membuatkan watak kami nampak real,” katanya mengakui masih mencari cinta baru.
Digosipkan bercinta dengan Zulhuzaimy, namun cepat-cepat Jue menafikan. Katanya mereka hanya teman biasa. Apa yang penting Jue lebih senang berkongsi pendapat dan selesa berkawan dengan jejaka itu.
Mangga Online