Heliza Nak Jadi Penceramah Motivasi
Ditulis oleh Nonie

Setelah menangguhkan pengajiannya selama setahun demi perjuangan dalam Akademi Fantasia 5, Nur Heliza Helmi akhirnya berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan (Biologi dan Kimia) pada 11 Oktober yang lalu.
“Bukan mudah untuk saya habiskan pengajian ini sebab sepatutnya saya hanya mengambil masa empat tahun tetapi sebab sibuk dengan karier seni, saya terpaksa tangguh pengajian setahun. Paling mengharukan, semasa menerima ijazah, ramai yang menepuk tangan apabila tiba giliran nama saya disebut. Ada yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar saya.
“Saya berhasrat nak sambung pengajian pada peringkat sarjana tetapi bukan dalam masa terdekat ini sebab saya juga baru membuka syarikat produksi,” ujarnya.
Anak kelahiran Kuala Terengganu tekad menyumbangkan ilmu dan motivasi kepada pelajarnya kelak. Malah undangan sebagai penceramah motivasi di sekolah dijadikan sebagai batu loncatan untuk menggapai impian tersebut.
“Saya kena tambahkan ilmu lagi jika mahu menjadi seorang penceramah motivasi yang berjaya kerana saya semakin minat dalam bidang ini. Tidak sangka pula selepas tamat belajar, banyak pula peluang untuk saya memberi ceramah di sekolah,” katanya yang menerima undangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah untuk bercerita mengenai pemakaian tudung.

Katanya, jadual kerjaya yang ketat tidak pernah menghalang dirinya untuk meluangkan masa memberi motivasi kepada pelajar-pelajar yang telah selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi menggalakkan mereka ke sekolah selepas peperiksaan.
“Selepas ini, saya turut mendapat jemputan untuk memberikan ceramah di sebuah sekolah di Perak. Walaupun sibuk, saya tetap akan cuba memberikan sumbang kepada para pelajar sekali gus dapat mempraktikkan bidang pendidikan yang saya pelajari sebelum ini,” katanya yang mengakui seronok berjumpa dengan pelajar-pelajar sekolah.
Mangga Online
Kelakar Ke Ako Mustapha?
Ditulis oleh Nonie
Bakal menggantikan Pierre Andre dalam Halimah Jongang (HJ) musim kedua, mampukah pelakon yang terkenal dengan watak serius dan romantik ini memainkan watak komedi yang mencuit hati.
Adalah mudah baginya membuatkan penonton menangis dengan pembawaan watak yang berkesan, namun adakah semudah itu membuatkan yang menonton ketawa hingga tak kering gusi?
“Saya terima watak ini untuk cabar diri sendiri. Kalau tak pasti penonton bosan bila setiap kali saya muncul dengan watak yang sama.
“Masa mula-mula A.Aida offer, saya buat research dan tengok kembali HJ untuk faham jalan cerita dan watak Ali yang dibawa Pierre. Watak tidak berubah, cuma kali ini Ali akan dilakonkan saya.
“Saya lebih selesa bawa watak tersebut dengan cara sendiri dan tidak terikut-ikut dengan cara Pierre. Dan selebihnya saya belajar daripada barisan pelakon veteran semasa shooting. Saya beruntung sebab para pelakon HJ semuanya kelakar so secara tak langsung watak saya sebati dengan elemen lucu tersebut.
“Memang dulu saya ada berlakon dalam Kapten Boleh namun itu adalah rancangan kanak-kanak, so HJ adalah percubaan pertama saya untuk watak komedi.
“Saya terbuka untuk cuba segalanya sebab tak mahu hadkan diri dengan perkara yang sama. Dan saya terima sebab yakin inilah masanya untuk mencuba. Memang risau kalau gagal bawa watak komedi, namun kalau tak cuba saya pun tak tahu sejauhmana kebolehan diri,” ujarnya yang kini mengusahakan perniagaan barang runcit.

Muka Sama Macam Pierre Andre
Menyifatkan Ako sebagai seorang yang cepat belajar dan senang untuk bekerjasama, penerbit A. Aida memilih Ako untuk drama terbaru terbitannya atas alasan wajah Ako yang seakan-akan Pierre. Malah Ako sendiri mengakui ada yang terkeliru antara dirinya dengan Pierre.
“Aida kata sebab utama dia pilih saya adalah kerana muka saya yang seakan-akan Pierre. Kadang kala kalau terserempak dengan peminat di luar, mereka ingatkan saya adalah Pierre Andre,” katanya sambil ketawa.
Kalau nak tahu Ako kelakar atau tidak, sama-sama kita saksikan Halimah Jongang musim kedua bermula 27 Oktober ini, setiap Rabu, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Prima (105).
FOTO oleh SHAHRIL AZMAN BIN MOHD ZAIN
Mangga Online
Shah (X Factor) Nikah 30 Oktober
Ditulis oleh Rosli Manah

Shah X-Factor atau Irwan Shah Azhar akan menamatkan alam solo dengan teman lama, Sharifah Fairuz Jamalullail pada 30 Oktober ini. Mereka akan bernikah di rumah keluarga perempuan di Johor Bahru, Johor.
Majlis persandingan pasangan itu akan diadakan dalam majlis sederhana di Dewan Hayati Mawar, Johor Bahru keesokan harinya. Mereka saling mengenali sejak awal pembabitan Shah, 32, dalam bidang nyanyian. Fairuz atau nama manjanya Wish berusia 24 tahun.
Selepas berkahwin mereka merancang bekerjasama mengusahakan produk kecantikan bersama rakan kongsi.
Sekiranya segala perancangan berjalan lancar mereka akan melancarkan produk tersebut dua minggu selepas berkahwin. Nampaknya Shah sudah merancang masa depan bersama dengan teliti.
Bagaimana mengenali bakal isteri?
Cerita Shah: “Sebenarnya kami pertama kenal semasa X-Factor mengadakan persembahan di Johor. Pada masa itu dia masih bersekolah. Kami bertukar nombor telefon dan berkenalan. Pada masa itu dia tak tahupun saya ini penyanyi. Selepas kenal barulah dia sedar.
“Tapi tak lama selepas itu kami terputus hubungan. Lapan tahun kemudian kami terserempak di KLCC dan kembali berkawan. Setelah lama berkawan barulah kami declare sebagai pesangan kekasih.
“Kebetulah dia sambung belajar di Melbourne, Australia dan saya juga dapat kerja sebagai tukang masak di sana. Kami jadi semakin rapat sehingga memutuskan untuk mengikat pertunangan dan berkahwin.”
Itulah cerita Shah yang sudah lama meninggalkan bidang seni sebab dia baru pulang ke tanah air tahun lalu dan bekerja sebagai jurilatih kecergasan secara personal.
Bakal isterinya mengikuti bidang perniagaan. Kena benarlah bila Shah mahu meneroka perniagaan dalam bidang kecantikan. Produk kecantikan lelaki antara yang menjadi fokusnya.
Mahu kembalikan X-Factor
Shah dah kawan-kawan lama juga sudah mula berpakat untuk kembali aktifkan semula X-Factor. Shah, Danny, Jim dan Zack sudah berbincang.
Namun Fendi membayangkan tidak mampu bersama kerana komitmen kerja. Fendi bagaimanapun merestui dan menyokong mereka kembali bersatu.
“Selepas ini kami akan berbincang untuk kembali bersama X-Factor. Saya harap segala urusan akan berjalan lancar.
“Pada majlis persandingan saya nanti kami akan mengadakan persembahan bersama,” jelas Shah yang bersemangat untuk terus aktif.
Malah sekiranya segalanya berjalan lancar, produk yang bakal dilancarkannya nanti akan menjadi sebahagian penaja kecantikan anggota kumpulan X-Factor.
Mangga Online
Apa Kata Pemenang FFM23
Ditulis oleh Nonie

Tak Sangka Menang – Norliana Samsudin
Penantian tujuh tahun akhirnya berbaloi apabila Norliana Samsudin dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada malam perasmian Festival Filem Malaysia ke-23.
“Memang Yana tak sangka akan menang sebab saingan sangat hebat seperti Lisa Surihani dan Ziana Zain. Yana tak boleh puaskan hati semua pihak dan setiap pertandingan pasti ada kalah menang dan malam ini malam Yana.
“Harap keputusan tidak dipertikaikan. Terpulang kepada juri kerana mereka tahu ciri-ciri yang diperlukan untuk menang.
“Memang Yana akui sukar bawakan watak tersebut dalam Adnan Sempit dan syukur bakat Yana diiktiraf,” ujarnya.

Berbaloi Akhirnya – Shaheizy Sam
Calon semuanya hebat belaka. Namun nampaknya tuah menyebelahi Shaheizy Sam apabila berjaya memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM-23 bagi filem Evolusi KL Drift.
“Memang calon semuanya hebat dan kemenangan ini memang mengejutkan. Jujurnya saya tak mengejar anugerah kerana apa setiap apa yang dilakukan, pasti saya lakukan yang terbaik. Namun saya tetap menghargai anugerah ini kerana segala hasil kerja saya berbaloi akhirnya.
“Kemenangan ini untuk peminat kerana mereka yang menilai dan membayar untuk melihat lakonan saya. Kerana mereka, saya sentiasa ingin lakukan yang lebih baik.
“Tak dinafikan saya pernah rasa terpinggir kerana walau sudah lama dalam industri bakat saya seakan dipandang sepi. Namun itu yang memberikan semangat dan inilah hasilnya,” katanya merancang untuk merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada masa hadapan.

Kongsi Kemenangan Bersama – Fimie Don
Keletahnya sentiasa mencuit hati dan dia adalah bakat muda yang paling menonjol buat masa ini. Fimie Don berjaya membuktikan kehebatannya dengan memenangi Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM-23 menerusi filem Magika.
“Syukur sangat-sangat saya berjaya memenangi anugerah ini. Namun saya ingin kongsikan kemenangan ini dengan semua yang tercalon kerana mereka juga yang terbaik.
“Saya tak jangka akan menang sebab saya masih hijau dan baru membintangi tiga buah filem. Gementar bila tengok mereka yang tercalon namun mungkin rezeki saya,” luah Fimie.
Mangga Online
Ponti Anak Remaja Idea Saya Sendiri – Nizam Zakaria
Ditulis oleh Nonie

Bukan sekali dua ManggaOnline mendengar komen yang datang daripada penonton yang melihat sedutan drama Ponti Anak Remaja yang bersiaran di Astro Ria. Rata-rata mengaitkannya dengan filem popular cinta antara pontianak dan manusia, Twilight.
Latar tempat yang sinonim dengan filem tersebut, apatah lagi fesyen rambut yang mirip Edward Cullen. Adakah hanya kebetulan atau pengarah bijak mengambil kesempatan daripada populariti cinta dua alam?
“Ponti Anak Remaja keluar lebih dahulu daripada Twilight dan merupakan skrip saya sendiri yang ditulis pada tahun 2008. Saya tak meniru Twilight.
“Inspirasi saya adalah berdasarkan lagenda Melayu yang begitu popular dalam masyarakat kita. Dan saya sendiri telah lama menulis buku-buku seram seperti Awang Vampiro dan Susuk,” ujarnya menafikan dakwaan tersebut.
Berkongsi detik manis bersama media tika telefilem ini mendapat respon positif daripada penonton dari Singapura. Nizam mengakui sukar untuk menembusi pasaran Singapura kerana kebanyakan produk yang dihasilkan tidak menepati citarasa.
“Akhirnya ada juga produk Malaysia yang diterima di sana. Susah untuk buat mereka sukakan drama Malaysia namun respon yang saya terima sangat positif dan mereka katakan Ponti Anak Remaja tidak membosankan untuk ditonton.
“Saya bekerja keras dan teliti dengan setiap drama arahan saya. Saya nak buat penonton rasa akhirnya ada juga drama yang mereka boleh tonton.
“Selalunya saya melihat komen penonton melalui Twitter dan dari satu saya dapat agak apa yang mereka suka atau tidak,” ujar anak kelahiran Singapura ini.
Drama Mini Bersiri Ponti Anak Remaja
Walau dikritik, telefilem ini tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat. Hasilnya, muncul drama empat episod Ponti Anak Remaja yang bakal disiarkan di Astro Ria.
Membariskan pelakon-pelakon seperti Liyana Jasmay, Nazim Othman, Tam Shuhaimi dan Azlee Khairi, drama ini merupakan kesinambungan daripada telefilem Ponti Anak Remaja.
Mengisahkan hidup Ponti iaitu puntianak yang berubah menjadi manusia dan terpaksa berdepan dengan onak dan ranjau kehidupan sebagai seorang pelajar kolej di Kuala Lumpur.
Konflik tercetus apabila kekasih lama pada alam puntianaknya dahulu datang kembali merebut kasih Ponti yang kini telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bernama Hazuan.
E4451D65-787D-1E8D-143C-20EC82334A08
1.02.28
Mangga Online
Kahwin: Bienda Masih Berahsia
Ditulis oleh Rosli Manah
Penyanyi Bienda mengadakan majlis persandingan perkahwinannya dengan penerbit kanan di Media Prima Berhad, Kamarul Zariman Abdul Rahman di Selayang, Selangor pada Jumaat, 8 Oktober 2010.
Namun penyanyi itu masih ingin berahsia pasal tarikh sebenar dia dan suaminya disatukan. Mengapa Bienda masih tak mahu dedahkan tarikh pernikahan yang dijalankan secara tertutup itu? Adakah benar Bienda sebenarnya sudah lebih setahun bergelar isteri?
“Saya masih belum bersedia untuk memberitahu bilakah saya bernikah. Saya akan mengumumkan apabila tiba masa yang sesuai nanti,” kata Bienda kepada media ketika ditemui selepas majlis persandingannya.
Keputusan enggan memberitahu umum pasal tarikh pernikahan membuatkan ada pihak yang tertanya-tanya apa alasan yang bermain di minda pasangan itu. Apatah lagi mereka kini sudah sah sebagai suami isteri dan wajah suaminya juga sudah dikenali.
Bienda yang berasal dari Tumpat, Kelantan, sebuah daerah yang dipisahkan oleh sungai dengan Selatan Thailand bagaimanapun memberitahu dia bernikah di kampungnya.
Adakah gosip pasal pernikahan rahsia Bienda yang pernah diperkatakan sekitar setahun lalu benar belaka? Bienda mungkin belum sedia menjelaskannya kerana semasa gosip itu diperkatakan dulu, Bienda bersungguh-sungguh menafikannya. Dia perlukan masa untuk memberitahu kebenaran.
Susuk badan Bienda yang dilihat sedikit berisi sejak akhir-akhir ini membuatkan banyak yang membuat andaian Bienda sudah lama bernikah. Namun apa-apapun kena tunggu pengakuan Bienda sendiri. Dia mungkin ada alasan mengapa masih mahu berahsia tarikh pernikahannya.
Pertemuan di lokasi
Bienda atau nama sebenarnya Nur Razlinda Razli, 26, mengenali Zariman atau lebih mesra dipanggil Boy sekitar tiga tahun lalu semasa terlibat dalam penggambaran drama. Pada masa itu boy bekerja sebagai krew filem dengan Skop Productions.
Dalam pertemuan itu Boy memberanikan diri meminta nombor telefon Bienda untuk perbincangan pasal satu produk penjagaan mata.
“Pada 15 April 2007 Boy melamar saya… dia bukan melamar untuk menjadikan saya kekasih dia, sebaliknya mahu menjadikan saya isteri dia,” kata anak kepada penyanyi dangdut Sheeda itu lagi.
Mangga Online
Jasmine Soraya Belajar Dari Kesilapan
Ditulis oleh Nonie

Pernah menggemparkan industri dengan kontroversi gambar terlampau yang tersebar melalui internet. Itulah harga yang harus dibayar apabila mula menjadi perhatian melalui pencarian Gadis Melayu musim kedua. Namun Syarifah Jasmine Soraya tekad melupakannya dan belajar daripada kesilapan.
“Alhamdulillah kontroversi itu tak mengganggu karier dan kehidupan saya. Saya sudah move on. Itu adalah Jasmine yang dulu.
“Sekarang saya lebih berhati-hati dengan setiap langkah yang diambil. Kalau orang nak bangkitkan kembali gambar lama itu, saya tak akan layan kerana sekadar membuang masa.
“Apa yang penting saya tahu apa yang saya buat dan syukur keluarga banyak bagi sokongan ketika saya dihimpit isu penyebaran gambar tersebut. Saya juga tak akan berhenti daripada karier seni semata-mata kerana perkara remeh begitu,” ujarnya.

Hos AUTO
Biarpun tidak berjaya meraih sebarang tempat dalam Gadis Melayu 2, namun rezeki masih berpihak kepadanya. Ditawarkan sebagai pengacara bagi program baru TV3, Auto, Jasmine nyata terharu dengan sokongan yang diberikan kepadanya meskipun pernah dipalit kisah hitam.
“Saya sendiri terkejut apabila ditawarkan menjadi hos walaupun ramai yang datang masa audition.
“Auto memerlukan saya tahu secara terperinci setiap ciri dan bahagian automotif. Memang kekok rasanya sebab selalunya hal berkaitan kereta dan motor akan dikendalikan orang lelaki. Namun saya banyak buat kajian untuk pastikan saya benar-benar tahu apa yang ingin disampaikan kepada penonton.
“Saya masih belajar dan setiap kritikan akan saya perbetulkan,” katanya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dan Pengurusan Media di Kolej Universiti Taylor.
Auto akan disiarkan setiap Ahad pada jam 5.00 petang.
FOTO oleh SYEFRY MONIZ B MOHD NIZAR
Mangga Online