Skip to content

Archive for December 2010

24
Dec

Wani Juara Kamilah Bintang




Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Hasil usaha yang sungguh-sungguh dan keazaman untuk menjadi juara merialisasikan impian Syazwani Sapari (Wani), 10, apabila menjadi juara sulung bagi program pertandingan nyanyian realiti remaja, yang pertama ditayangkan di Astro Ceria, Kamilah Bintang.

Wani berjaya membawa pulang hadiah utama  berupa tabung pendidikan bernilai RM15,00, pakej percutian ke Taman Tema Gold Coast untuk sekeluarga (empat orang; dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak) termasuk hotel dan tiket penerbangan, sebuah komputer riba berjenama VAIO, dua keping tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas  dan sebuah Ipod Shuffle.

Faisal terpaksa dengan  keputusan yang sengit dan mendapat tempat kedua sementara, Farhan mendapat tempat ketiga. Walau bagaimanapun, persembahan dari Dayang, Qistina dan Aiman  tidak mengecewakan dan mendapat sambutan penonton.

“Astro Ceria sangat berbangga dengan pencapaian kesemua peserta Kamilah Bintang. Mereka telah menunjukkan potensi yang amat membanggakan sepanjang berada dalam program ini. Kualiti nyanyian dan persembahan pentas mahupun tahap keyakinan mereka jauh telah meningkat berbanding kali pertama membuat persembahan di pentas Kamilah Bintang enam minggu lalu.

”Kami juga amat berterima kasih kepada ikon-ikon muzik tanah air seperti Amy Search, Kumpulan Hujan, Stacy, Aizat dan Farah Asyikin yang telah  berkongsi  pengalaman luas mereka dalam bidang seni kepada bintang muda ini. Kehadiran mereka telah meningkatkan motivasi dan menjana daya kreativiti para peserta untuk mengembangkan bakat terpendam dan potensi yang ada dalam diri mereka,” kata Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh.

Pada konsert akhir Kamilah Bintang turut menampilkan kesemua starguide membuat persembahan.

Kamilah Bintang yang diacarakan oleh Zoey dan Nora Danish ini merupakan pertandingan nyanyian sewaktu musim cuti sekolah yang julung kali ditayangkan di Astro Ceria dan merupakan satu-satunya program realiti di Malaysia yang tidak menyingkirkan pesertanya. Juara hanya ditentukan menerusi markah terkumpul sepanjang enam konsert mingguan bersiaran termasuk konsert akhir.

”Kami juga berbangga kerana telah mengisi masa lapang anak-anak muda ini sepanjang cuti sekolah dengan aktitiviti yang berfaedah. Pengalaman yang mereka perolehi sepanjang berada dalam program ini amat berguna setelah kembali ke sekolah nanti. Selain dapat berkongsi cerita dengan rakan-rakan, keyakinan dan motivasi yang diperoleh untuk membuat persembahan bolehlah disalurkan pula ke arah tumpuan pelajaran mereka selepas ini,” tambah Koh.

Program Kamilah Bintang bukan sahaja telah menyediakan platform untuk para peserta menunjukkan bakat terpendam tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk berbakti dan menyumbang kepada sekolah masing-masing. Pelbagai habuan menarik telah disumbangkan oleh para peserta kepada sekolah mereka setelah berjaya mengumpul markah tertinggi untuk persembahan mingguan.

”Kami juga ingin memberikan penghargaan kepada tiga orang juri tetap iaitu Aznil Nawawi,  Syafizawati Sharif dan Adibah Noor yang telah melaksanakan tugas dengan amat baik. Mereka telah memberikan banyak tunjuk ajar terutamanya daripada aspek kualiti vokal, keaslian dan kreativiti, mutu persembahan dan pemilihan lagu yang sesuai,”  kata Evon.

Mangga Online

20
Dec

Dina Nadzir Turun 14 Kilo

Ditulis oleh Nonie
  
  

Nampaknya usaha Faradina Mohd. Nadzir atau lebih mesra disapa Dina menurunkan berat badannya benar-benar berhasil. Jika dulu Dina mengenakan baju bersaiz 18, kini dia berjaya memuatkan badannya dengan saiz 14. Satu perubahan yang cukup besar berjaya dilakukan.

Tidak malu berkongsi beratnya kepada ManggaOnline (MO), Dina berkata jika dahulu beratnya 99 kilogram, kini dia boleh berbangga dengan berat 85 kilogram. Menurut Dina, sindiran rakan-rakan menguatkan lagi azamnya menguruskan badan.

“Dina rasa seronok sangat bila berat turun sebab sudah boleh pakai legging. Dulu memang tak muat. Dina ambil masa tujuh bulan untuk turunkan berat. Kalau dulu Dina lebih selesa dengan imej sporty, tapi sekarang rasa lebih feminin sebab dapat sesuaikan pelbagai jenis fesyen.

“Kawan-kawan kerja selalu sindir Dina bila nak pergi gim sebab mereka jenis yang jaga tubuh badan. Lama-lama Dina pun ikut dan jadikan gim sebagai rutin harian. Kesihatan dan stamina Dina pun semakin bagus sebab tak penat bila perform atau buat kerja berat. Dina tak tetapkan target berat namun buat masa sekarang, Dina akan teruskan workout,” ujarnya yang turut mengambil produk Himalaya, AyurSlim sebagai salah satu langkah menurunkan berat badan.

Berbaloi Tinggalkan Nyanyian

Rezeki pengacaraan lebih berpihak kepada gadis berusia 25 tahun ini walau titik permulaannya bersama Malaysian Idol adalah untuk menggapai impian bergelar penyanyi. Kini bidang seni suara seperti sudah dipinggirkan dalam kamus hidupnya.

Manakan tidak, sudah hampir dua tahun Dina tidak keluar dengan produk baru dan lebih selesa mengembangkan kerjaya sebagai penyampai radio di Era FM.

Namun seperti kata Dina, hendak diluah mati emak, ditelan mati bapa. Kedua-dua bidang itu amat dicintainya, namun apakan daya, kudrat dan masa tidak mengizinkan.

“Dina pernah terfikir nak teruskan karier nyanyian, namun dalam masa yang sama Dina mahu fokuskan kepada kerjaya penyampai radio. Dina kena korbankan salah satu supaya Dina dapat fokus. Lagipun Dina masih lagi mencari hala tuju dalam nyanyian dan Dina tak terfikir pasaran muzik sekarang sesuai dengan konsep lagu Dina.

“Tapi sebenarnya Dina telahpun siap merakam 13 buah lagu untuk album terbaru, namun tidak dikeluarkan lagi. Peminat sekarang lebih menyukai muzik indie dan rock, muzik Dina pula lebih terarah kepada konsep R&B, jadi lebih sesuai sekiranya Dina tunggu masa yang sesuai untuk buat comeback,” ujarnya yang mahu lari daripada imej Malaysia Idol dan lebih selesa dengan gelaran Dina Nadzir.

Semakin seronok dengan kerjaya yang dibina, baginya bidang pengacaraan menjanjikan ilmu berguna sesuai dengan keperluan semasa.

“Pengorbanan Dina berbaloi sebab di stesen radio, banyak yang dipelajari dan setiap hari ada sahaja ilmu baru yang Dina tahu. Dina juga terpaksa menempuh tugasan wartawan menemu bual selebriti dan dari situ barulah Dina tahu sukarnya tugas yang digalas mereka.

‘Apa yang Dina pelajari, media selalunya berkenaan perspektif kerana itulah apa yang peminat mahu lihat. Apa yang dilihat, itulah yang menjadi bahan berita,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Hello arahan A.R. Badul.

 

Mangga Online

17
Dec

Heliza Bercuti Bersama Peminat Di Surabaya

Ditulis oleh Nonie
  
  

Baru-baru ini ManggaOnline (MO) difahamkan penyanyi kecil molek, Heliza pergi bercuti bersama peminat di Surabaya. Banyak juga gambar yang dikirim kepada MO untuk dikongsi bersama peminat.

Antara tempat menarik yang dikunjungi adalah Masjid Al-Akbar Surabaya, Air Terjun Coban Rondo dan Permata Tanggulangin Collection. Tak ketinggalan restoran yang menurutnya sangat enak seperti Ikan Bakar Cianjur, Rumah Makan Padang Antika Jaya dan Warung Bethania.

FOTO Ihsan HELIZA

Mangga Online

17
Dec

Elly Mazlein Akhirnya Buat Album

Ditulis oleh Nonie
  
  

Memulakan karier sebagai penyanyi namun entah di mana silapnya, nama Elly Mazlein seakan tenggelam dihimpit lambakan penyanyi baru yang mula bertapak ketika itu. Biarpun datang dengan pakej lengkap, namun pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini tidak mampu mendaki hingga ke puncak.

Di sebalik kepayahan melakar nama sebagai penyanyi, rezeki dalam bidang lakonan memihak kepadanya. Dan bermulalah kerjayanya membintangi drama-drama Melayu popular tanah air. Namun setelah hampir lima tahun meninggalkan seni suara, rindu Elly mula terasa.

Katanya, bukan niat melupakan terus nyanyian lantaran kerjayanya bermula dari situ. Namun kesibukan penggambaran mengehadkan masanya mencari material baru untuk album.

“Akhirnya niat Elly untuk buat album setelah lima tahun tangguh tercapai. Kalau dulu jadual Elly padat dengan aktiviti seni, namun sekarang Elly tekad luangkan masa untuk masuk ke studio semula dan inilah hasilnya, sebuah album terbaru Elly Mazlein.

“Inilah hadiah untuk peminat yang tak jemu-jemu menyokong karier Elly. Buat masa ini Elly akan keluar dengan single Please Forgive Me ciptaan Julfekar,” katanya dengan penuh kelembutan.

Mengapa Memilih Tajuk Inggeris?

ManggaOnline (MO) fikirkan mungkin Elly mahu berubah angin mencuba kelainan dengan menyanyikan lagu-lagu Inggeris melihatkan kepada judul lagu yang dimuatkan dalam album terbarunya seperti Please Forgive Me dan Kata Saja I Love You. Namun cepat-cepat Elly menyanggah. Katanya hanya judul yang berbahasa Inggeris, namun liriknya tetap dalam bahasa Melayu.

Julfekar yang kebetulan turut berada di situ menjelaskan, bahasa tidak seharusnya statik. Baginya ini merupakan satu kelainan atau gimik bagi kemunculan semula Elly Mazlein.

“Bahasa haruslah berkembang, namun jangan sekali-kali rosakkan bahasa. Sebab itu dalam lagu ini tajuknya sahaja Inggeris, namun liriknya bahasa Melayu. Kita tak harus ketinggalan dari segi bahasa,” ujar Julfekar yang turut menerbitkan album ini dibawah syarikat miliknya, Millennium Art.

Hal Peribadi Bukan Untuk Dikongsi

Itulah kata-kata Elly apabila persoalan mengenai status dirinya yang dikatakan sudah menjadi milik orang singgah di telinga. Baginya kedatangan dalam industri hiburan bukanlah untuk menjaja cerita peribadi, sebaliknya wanita berusia 29 tahun ini lebih senang bercerita hal kerjaya.

“Elly masih seperti dulu, lebih senang merahsiakan hal peribadi kerana ianya tiada kena mengena dengan kerjaya. Kalau sampai masa Elly berkahwin, Elly akan beritahu.

“Semua ada hak untuk berdiam. Elly tak ada masalah dengan cerita-cerita sumbang mengenai peribadi Elly kerana orang boleh berfikir yang macam-macam namun tak semestinya betul. Yang penting Elly selalu berfikiran positif,” katanya yang selesa muncul dengan imej gadis Korea sempena kelahiran album terbaru.

FOTO NOOR ASREKUZAIREY SALIM

Mangga Online

16
Dec

AKU MASIH DARA Dikecam Hebat

Ditulis oleh Nonie
  
  

Belum pun reda dikecam akibat dialog nasi lemak 50 sen Cuti Cuti Cinta, Idham sekali lagi diterjah kontroversi. Aku sangap lubang. Itulah antara dialog yang ditonjolkan pengarah Ahmad Idham dalam filem terbaru arahannya, Aku Masih Dara.

Lebih membimbangkan, dialog lain seperti group sex dan pakai tudung untuk cover love bite antara yang sering bermain di bibir setelah menonton sebahagian sedutan filem berkenaan.

Tajuk filem sahaja sudah kontroversi, menontonnya membuatkan ManggaOnline (MO) tak senang duduk melihat aksi panas dan agak keterlaluan yang dipaparkan.

Sekadar tersenyum, Ahmad Idham mengakui hakikat filem arahannya banyak mengeluarkan isu sensitif. Namun itulah risiko yang harus dibayar apabila realiti difilemkan.

“Apa yang mereka lihat adalah daripada trailer dan setahu saya tak pernah lagi orang review trailer. Sebenarnya dialog tersebut ada dalam percakapan harian kita tapi mereka jadikan isu bila ia ditujukan kepada janda (Nora Danish).

“Saya sudah biasa dengan kritikan dan filem Aku Masih Dara dibuat untuk golongan remaja. Saya harus selami jiwa remaja jika mahu menarik perhatian mereka untuk menonton. Kita tak boleh menidakkan hakikat apa yang dipaparkan, itulah sebenarnya yang berlaku dalam realiti.

“Berkenaan dialog aku sangap lubang, ianya disebut oleh watak yang menjengkelkan dan sesuai dengan situasinya yang sedang khayal pada masa itu. Tak sesuai jika seseorang yang berada di bawah pengaruh dadah, menyebut ayat yang formal kerana ianya akan nampak palsu. Saya buat cerita untuk remaja so tak bolehlah buat cerita yang metafore, kenalah buat sesuatu yang straight forward untuk memudahkan mereka faham. Sebab itulah tajuk Aku Masih Dara paling sesuai.

“Banyak lagi pengajaran dalam filem ini, mengapa hanya melihat yang negatif sahaja? Fikirkan mengapa begitu mudah remaja lari daripada kesilapan dan kaitkannya dengan kehidupan? Janganlah kita gunakan agama untuk menutup kesilapan. Itulah yang saya cuba terapkan dalam filem ini.

“Itulah masalahnya penonton ini. Kita cuba terapkan dakwah tapi mereka tak mahu ikut. Tapi bila ada dialog yang kontroversi, itulah yang menjadi sebutan. Orang di Malaysia ini diberi masa 11 tahun belajar dari darjah satu hingga tingkatan lima, takkan lah mereka tak boleh fikir mana yang elok atau tidak,” jelasnya panjang lebar.

Tidak kisah digelar watak antagonis dalam industri, baginya watak itulah yang memajukan industri perfileman.

“Kepercayaan penonton terhadap filem Melayu masih 50 peratus. Walau filem arahan saya banyak menimbulkan kontroversi, namun anda tidak boleh menidakkan hakikat bahawa filem Melayu kini semakin mendapat tempat. Percayalah saya tak pernah berniat menjatuhkan industri perfileman, sebaliknya saya turut membantu memajukannya,” tambah Idham.

 

Aku Masih Dara mengisahkan tiga sahabat baik, Aleesya (Yana Samsudin), Sofea (Raja Farah) dan Hani (Diana Amir) membesar dengan latar keluarga yang berbeza. Kehidupan serba moden menyebabkan mereka leka dengan tuntutan agama lantas terjerumus dengan gaya hidup barat. Pergaulan bebas serta menghalalkan yang haram bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan mereka.

Namun segalanya berubah apabila Firdaus (Asyraf Muslim) muncul di kalangan mereka sehinggalah terdetik hati Sofea untuk berubah menjadi kedamaian. Saksikan kesudahan filem kontroversi ini di pawagam bermula 16 Disember ini.

FOTO oleh ZAKARIA IDRIS

Mangga Online

16
Dec

Raja Farah Terguris Isu Berat Badan Diperbesar

Ditulis oleh Nonie
  
  

Bukan sekali ManggaOnline (MO) dengar orang bercerita mengenai berat badan Raja Farah. Malah isu tersebut diperbesarkan sehingga menutup cerita kerjaya seninya. Malah kerana itu jugalah fitnah dirinya berbadan dua mula menular di alam maya. Terluka dengan kenyataan tersebut, wanita yang baru melangsungkan perkahwinan dengan Megat Bashirun Qhuyum ini berharap bakatnya lebih dipandang berbanding tubuh fizikal.

“Farah akui berat memang naik sekarang namun tak patutlah dijadikan isu semata-mata kerana Farah selebriti. Tak guna juga kalau cantik namun bakat tak kemana.

“Sebenarnya berat Farah mula naik sejak duduk di pulau untuk ambil lesen dive master di Pulau Perhentian dan Lang Tengah. Selepas habis menyelam mesti perut lapar dan tak sedar berat mula naik ketika itu. Berat Farah sudah mula naik sejak awal tahun, namun mengapa bila Farah ambil keputusan untuk berkahwin keluar kenyataan bahawa Farah mengandung. Itu semua tidak benar.

“Suami Farah bagi sokongan dan ajak Farah untuk ke gim dan sauna namun Farah ada masalah untuk bersenam, malas. Tapi suami pandai pujuk dan banyak memberi galakan untuk menurunkan berat badan. Risau sebenarnya dengan penampilan menyebabkan tawaran berlakon semakin kurang namun bila risau, Farah semakin kuat makan. Namun syukur kerana buat masa ini Farah tak ada masalah dengan tawaran.

“Farah boleh terima kritikan dengan hati terbuka asalkan tidak keterlaluan. Tapi timbul gosip yang bertalu-talu mengenai Farah mengandung, memang tak dapat nak terima kerana ia adalah fitnah. Keluarga jauh dan peminat mula pandang serong bila keadaan itu berlaku. Farah ada migrain dan situasi itu menyebabkan kesihatan Farah terganggu,” ujarnya yang sibuk dengan penggambaran Kau Dan Aku.

Mula Bosan Dengan Dunia Seni

Bermula seawal usia 15 tahun, wajah manisnya kerap menghiasi iklan komersial sehinggalah tawaran berlakon mula singgah menjadi sebahagian kerjaya seninya. Namun kini, timbul keinginan di hati ingin menamatkan karier demi menurut jejak suami menetap di Kelantan. Hatinya masih ragu, mungkinkah itu keputusan terbaik dalam hidupnya.

“Mungkin Farah akan slow down dengan lakonan sebab suami telah merancang membuka perniagaan spa di Kota Bahru, Kelantan. Kalau menjadi, mungkin Farah akan berpindah ke sana tahun depan kerana perniagaan suami pun berpusat di sana. Sebenarnya ini adalah permintaan suami agar Farah kurangkan aktiviti seni, namun Farah terpaksa akui belum bersedia sepenuhnya kerana masih banyak yang belum dicapai. Sebagai pelakon, Farah kepingin mendapat pengiktirafan.

“Mungkin tak ada rezeki, cuma kalau dapat ia membakar semangat untuk lakukan yang lebih dalam karier. Namun buat masa sekarang Farah fikirkan tak apalah tak dapat capai apa-apa dalam lakonan. Mungkin Farah akan dapat yang lebih di luar sana.

“Namun sebenarnya, hajat untuk berundur memang ada, namun Farah tak berani buat keputusan drastik begitu. Cuma apabila fikirkan sudah terlampau lama dalam industri, Farah jadi rimas dan bosan. Farah tak kisah tinggalkan dunia glamor, namun sayang untuk tinggalkan lakonan kerana itu minat Farah,” ujarnya merancang mendapatkan anak selepas majlis resepsi awal tahun depan.

FOTO oleh ZAKARIA IDRIS dan NOOR ASREKUZAIREY SALIM

Mangga Online

16
Dec

Daphne Iking Terbuka Bab Agama

Ditulis oleh Nonie
  
  

Berkongsi keterujaan melihat anaknya, Isobel Daniella Iking-Chong, 3, membesar dalam suasana harmoni dan penuh ketenangan, Daphne melahirkan kesyukuran dikurniakan pembantu rumah yang patuh ajaran agama.

Menurutnya lagi, bukan menjadi masalah melihat anaknya dibesarkan mengikut didikan agama Islam malah Daphne memberi kebebasan memilih agama yang ingin dianuti dewasa kelak.

“Saya bersyukur ada pembantu rumah yang sangat baik. Saya tahu dia sangat berdisiplin kerana belum pernah gagal menjalankan tanggungjawab sembahyang lima waktu walaupun sibuk menguruskan rumah. Anak saya pun rapat dengan dia dan Isobel selalu ikut cara-caranya bersembahyang.

“Walaupun saya beragama Kristian, namun itu bukanlah masalah yang besar. Saya sangat terbuka mengenai agama kerana semua agama mengajar kebaikan malah saya sendiri pernah mengambil peluang berpuasa pada bulan Ramadhan dan ianya bagus untuk kesihatan. Pembantu saya mengajar pelbagai bab berkaitan agama dan kini Isobel sudah pandai menyebut alhamdulillah dan bismillah.

“Saya tak mahu terlalu menekan anak soal beragama kerana itulah cara saya dibesarkan dulu. Cukuplah jika dia kenal dan takut keoada tuhan. Biarlah Isobel belajar segalanya dan apabila besar nanti dia mampu berfikir sendiri dan memilih sendiri.

“Ada juga yang berkata saya belajar mengenai Islam kerana sedang bercinta dengan orang Melayu, semua itu mengarut,” ujar yang mula mengenali Islam selepas penghijrahan ke Semenanjung.

Masih bersendirian tika ini, kata Daphne ramai yang menyarankannya berpacaran dengan mat salleh. Namun hakikatnya hati Daphne lebih cenderung memilih seseorang yang memahami budaya dan adat ketimuran.

“Saya berharap berjumpa dengan seseorang yang memahami diri saya yang sebenar. Ramai kawan yang menyarankan saya dating dengan mat salleh, tak minatlah. Saya perlukan seseorang yang serius seperti bekas suami, Ryan kerana saya juga begitu. Saya tak suka seseorang yang suka lepak untuk dijadikan suami. Namun buat masa sekarang, saya tak mencari,” ujarnya yang tidak menolak jika bertemu jodoh dengan lelaki Melayu.

FOTO oleh NOOR AZLINA JAAFAR

 

Mangga Online

16
Dec

Amazing Race Bujang Sepah Memang Best

Ditulis oleh Nonie
  
  

Baru-baru ini ManggaOnline (MO) dijemput ke Golden Palm Tree Resort Sepang untuk bersama-sama menyertai Amazing Race Bujang Sepah anjuran Astro. Pelbagai aktiviti dianjurkan selama dua hari menetap di resort yang indah lagi mewah itu antaranya amazing race dan persembahan ala disko.

Bersama teman media lain, kami dibahagikan kepada empat kumpulan dan MO ditempatkan bersama kumpulan D yang kami namakan Girls Jer. Al maklumlah semuanya kaum wanita.

Amazing race mengambil tempat sebaik sahaja selesai makan tengahari. Dua jam ke hulur ke hilir mencari 14 petunjuk yang diberikan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menemukan bola emas yang menandakan titik tamat perlumbaan. Terima kasih kepada Mamat yang banyak membantu kami mencari petunjuk demi petunjuk. Tapi malangnya kumpulan MO hanya sekadar menduduki tangga ketiga.

Malamnya pula acara persembahan dan kami diberikan rambut dan perhiasan untuk memantapkan persembahan. Tanpa disangka Girls Jer mendapat tempat pertama.  Teman media juga berkesempatan beramah mesra dengan anggota Sepah yang sememangnya sempoi dan kelakar. Dalam pada itu, sempat jugalah mengorek cerita sehingga terbongkar rahsia pertunangan Syuib dan Siti Sarah pada November lalu.

Al kisahnya, Bujang Sepah Si Lalalitamplom ini merupakan sebuah drama komedi yang menampilkan Juara Raja Lawak Musim Ketiga, Sepah sebagai bintang utama. Tanpa disedari, drama ini juga telah masuk musim kedua atas sambutan peminat yang menggalakkan.

Kata Mohd Nadzri Zainal Abidin atau Jep, musim terbaru mengisahkan ragam tiga bujang hartawan segera yang ingin mencari jodoh setelah memiliki harta peninggalan ibu mereka. Namun mereka berputus saudara akibat perselisihan dalam pembahagian harta. Dalam pada itu, Syuib berjumpa keratan peta yang menceritakan tentang sebuah harta milik moyangnya yang menyembunyikan 12 butir berlian di Daerah Nami.

Bermulalah pengembaraan tiga bujang menjejaki berlian peninggalan moyang. Pelbagai dugaan terpaksa dihadapi sepanjang pengembaraan ke Daerah Nami. Jangan lupa saksikan drama komedi ini bermula 3 Januari 2011 pada jam 10.00 malam menerusi saluran 105.

Dikatakan Teruk Disiplin

Hampir jatuh merudum dalam industri gara-gara Sepah dikatakan tidak berdisiplin. Nekad memperbaiki sikap dan hubungan keruh antara media, Sepah kini muncul dengan nafas baru.

“Waktu mula-mula masuk ke dalam industri ini, kami memang tak tahu apa yang harus dilakukan. Keadaan bertambah teruk bila berlaku salah faham antara kami dengan salah sebuah akhbar tabloid. Maklumlah kami dari kampung dan tak tahu selok belok jalan di sini, so banyak berlaku salah faham.

“Keadaan tersebut mengganggu karier kami dan lebih teruk kami telah menyebabkan kerja orang lain tertangguh. Insyaallah Sepah akan cuba perbaiki sikap,” jelas Jep yang pernah bekerja di Syarikat Penerbangan Air Asia bersama Syuib sebagai ramp.

Karier dalam bidang seni tidak pernah diimpikan tiga anak muda ini. Lebih selesa meneruskan kehidupan di kampung halaman, menurut Jep pada mulanya mereka bertiga mengambil keputusan mengumumkan persaraan pada malam kemenangan Raja Lawak.  Namun rezeki yang tidak putus-putus melimpahi kehidupan, mereka nekad mengambil risiko.

“Dulu kami masuk Raja Lawak sebab cabaran kawan-kawan. Tak sangka pula menang. Tambahan pula, rezeki datang mencurah-curah selepas dua tahun dalam industri so nekad kami teruskan. Tuntutan peminat juga antara sebab mengapa kami teruskan juga. Kami ini orang kampung dan lebih selesa dengan kehidupan dulu,” jelasnya yang selalu berdiskusi dengan rakan Sepah yang lain untuk muncul dengan lawak segar agar peminat tidak bosan.

FOTO oleh JEFFRI IRAN dan Ihsan ASTRO

Mangga Online

16
Dec

Aksi Mesra Mamat (Sepah) – Ada (Butterfly)

Ditulis oleh Nonie
  
  

Jejaka tinggi lampai Sepah ini mengakui pada teman media dia sedang berkawan rapat dengan adik kepada gitaris utama Kristal, Rody. Nama gadis yang dimaksudkan adalah Nursyuhaada Baharudin atau lebih selesa disapa Ada. Ada merupakan vokalis kumpulan Butterfly, sebuah kumpulan rock wanita dan pernah keluar dengan single Angkasawan dan Benci.

Keduanya juga tidak menolak apabila diminta bergambar berdua. Malah Ada juga hadir menemani Mamat pada Amazing Race Bujang Sepah bersama media.

Jelas Mamat atau nama sebenarnya Md Noor Murad atau Md Noor, hubungannya dengan Ada masih lagi dalam peringkat permulaan. Masih terlalu awal mengikat hubungan mereka dengan tali pertunangan.

ManggaOnline (MO) harap Mamat cepat-cepat sunting Ada, maklumlah orang cantik ni ramai yang suka. Nanti melepas pula. Semoga berkekalan jodoh hendaknya.

FOTO oleh JEFFRI IRAN dan ASTRO

Mangga Online

16
Dec

Konsert Permata Seni Hebat Dan Comel

Ditulis oleh Nonie
  
  

Tiada apa yang mampu ManggaOnline (MO) ungkapkan sewaktu menonton Konsert Permata Seni di Istana Budaya semalam. Cukup teruja melihat kanak-kanak comel menari mengikut rentak zapin.

Bukan itu saja, anak-anak berbakat ini turut memperlihatkan kehebatan seni koir dan seni muzik. Hadirin tak putus-putus memberikan tepukan gemuruh setelah selesai satu persembahan. Nyata mereka turut terpukau melihat permata kecil di depan mata.

Persembahan koir dibimbing oleh penyanyi popular dan juga guru vokal, Syafinaz Selamat manakala seni muzik dipimpin Konduktor Orkestra Simfoni Kebangsaan Istana Budaya, Mustafa Fuzer Nawi.

Hadirin turut terpukau dengan persembahan piano solo klasikal Adik Tengku Ahmad Irfan bin Tengku Ahmad Sharizal dengan petikan piano yang hebat dan mengusik perasaan dengan seleksi lagu Piano Concerto No. 1 in E minor, Op.11-3 movement (Rondo-Vivace) by Frederic Chopin.

Hanya satu ulasan untuk Konsert Permata Seni, menakjubkan.

FOTO oleh DJOHAN SHAHRIN SHAH

Mangga Online