Shila Amzah Lebih Selesa Berkawan Lelaki Berusia
Ditulis oleh Nonie
Dikatakan sedang hangat bercinta dengan pemain muda pasukan harimau muda Haziq Zikri dan sering kelihatan bersama dalam majlis keraian, Shila Amzah tampil menafikan gosip tersebut.
Ujarnya, Zikri tidak lebih sekadar kawan. Mungkin andaian timbul apabila keduanya sering muncul bersama.
“Zikri bukan kekasih Shila, namun dia adalah kawan yang paling rapat buat masa ini. Tak dinafikan memang kami selalu keluar bersama. Namun dia muda daripada Shila dan perangainya masih kebudak-budakkan.
“Tak mungkin kami akan bersama sebab dalam berpasangan Shila tak boleh terima seseorang yang lebih muda. Lagipun lelaki ini lambat matang. Shila perlukan seseorang yang boleh membimbing.
“Lagipun tak sesuailah kami bersama sebab dia pun tak lama berada di Malaysia dan dia pun tak mungkin suka Shila (ketawa). Mak Zikri pun tak kisah keluar gosip antara kami sebab dia tahu kami memang rapat tapi tak adalah sampai bercinta,” jelasnya yang turut berkawan rapat dengan Fizo Omar.
Lebih selesa bersendirian buat masa ini, jadual aktiviti yang padat menyukarkan Shila melapangkan masa bersama yang tercinta.
“Masih terlalu awal untuk fikirkan soal cinta dan kahwin. Kalau Shila sudah ada calon pun mungkin lagi empat tahun baru fikirkan soal kahwin.
“Susah sebenarnya nak bercinta sebab kerja Shila tak tentu masa dan tak semua boleh faham. Bukannya boleh selalu dating macam orang lain. Bukan salah untuk bercinta cuma bila bercinta ia akan menganggu reputasi dan tak bagus untuk karier.
“Dan Shila elakkan bercinta dengan orang dalam industri sebab terlampau banyak berita perceraian dan perpisahan selebriti yang keluar setiap hari.
“Shila tak mencari tapi kalau berjumpa yang sesuai, syukurlah,” ujarnya lebih selesa dikenali sebagai Shila Amzah dan bukannya Shila OIAM.
Bukan Artis Iklan
Perjalanan kariernya tidak seindah yang diduga. 10 tahun bergelumang menggapai peluang dan baru kini bakatnya mula dipandang. Dan kini muncul pula suara sumbang mengatakan rezeki yang datang atas bantuan ayahnya, N.D. Lala. Cerita makin hangat apabila Shila diangkat menjadi duta terbaru Safi Balqis Perfect 10.
“Shila tahu ada yang gelarkan Shila artis iklan. Banyak yang masih merendahkan kredibiliti dan bakat yang ada. Shila ambil masa 10 tahun untuk sampai ke tahap ini. Ada yang hanya ambil tiga tahun. Shila lalui jalan yang sukar dan masih banyak yang perlu dicapai.
“Tak benar Shila dapat bantuan ayah atas segala hasil yang diperolehi. Ayah tak ada masa nak melobi kerana banyak lagi kerja penting yang harus dilakukan,” ujarnya yang bakal muncul dengan album baru yang mengisahkan kisah hidupnya.
Mangga Online
SOFAZR Angkat Mohd Atlas
Ditulis oleh Nonie

Pada sidang media pelancaran album Sofazr semalam, nama Mohd Atlas menjadi persoalan yang bermain di kepala rakan media yang hadir. Masakan tidak, nama itu diangkat menjadi sebahagian judul album, Maaf Dari Hati Mohd Atlas. Nama itu juga disebut-sebut sebagai tulang belakang yang banyak membantu karier Sofazr, malah lirik dan lagu sepenuhnya album ini juga oleh Mohd Atlas. Siapa Mohd Atlas sebenarnya?
Setelah puas berteka teki akhirnya Zimi (gitar kedua) yang juga merangkap Pengarah Urusan Global Record tampil meleraikan kekusutan. Jelasnya Mohd Atlas tidak wujud di dunia nyata.
“Mohd Atlas hanyalah sebagai simbolik bagi ahli kumpulan Sofazr dan seorang lagi rakan kami. Kami bekerjasama menghasilkan album keenam Sofazr dan sebab itu kami menggunakan nama pena tersebut. Mohd adalah lambang kepada kami semua lelaki dan Atlas mencerminkan dunia. Sebab itulah judul album kami mempunyai maksud tersirat, Maaf Dari Hati Mohd Atlas yang bermaksud maaf seorang lelaki untuk seluruh dunia,” katanya.
Tampil dengan nama baru, Sofazr menurut Zimi bukanlah untuk mengelirukan peminat. Namun katanya Sofazr dianggotai enam orang justeru penambahan huruf R dibelakangnya adalah pangkal nama Rodie selaku pemain keyboard.
“Dulu Sofaz hanya ada lima orang ahli. Dan nama Sofaz diilhamkan daripada gabungan nama setiap ahli. Selepas itu Rodie menyertai kami sewaktu album kedua namun kami masih kekalkan nama Sofaz. Selepas kontrak bersama Suria Recods tamat, kami mengambil keputusan menggunakan nama baru ini di bawah pengurusan Global Record.
“Lagipun peminat Sofazr sedia maklum penambahan R adalah untuk Rodie,” jelasnya yang menerima wang suntikan berjumlah RM100,000 daripada Global Record.

Album yang menelan belanja RM50,000 ini memuatkan sepuluh lagu antaranya Maaf Dari Hati, Terasa Di Syurga, Jiwa Kacau, Kenapa Aku Mencintaimu dan Su dan bakal berada di pasaran akhir Disember ini.
Beralih Ke Lakonan
Bukanlah sesuatu yang asing bagi penyanyi terjun ke dalam bidang lakonan. Walau masih di dalam dunia yang sama, namun kepakarannya tentu jauh berbeza. Ada juga sesetengah artis yang terjun menceburi bidang lakonan kerana karier nyanyian dipandang sepi peminat seni tanah air.
Mungkin wajah Aremeer (vokalis) bukanlah asing kepada peminat drama Melayu dan ManggaOnline akui Aremeer berbakat. Namun bagaimana pula apabila anggota Sofazr yang lain turut diketengahkan sebagai pelakon dan dengar kata mungkin sebuah filem mengisahkan kehidupan anggota Sofazr akan difilemkan.
“Kami pernah berlakon bersama dalam drama Awal Muharram berjudul Dakwah Muharram dan itulah kali pertama didedahkan dengan dunia lakonan. Kemungkinan besar kisah kehidupan kami akan difilemkan dan ia masih lagi dalam perancangan. Filem ini bergenre komedi dan kami sanggup ambil risiko untuk melangkah jauh ke depan. Abang Badul dam Fauziah Gous banyak membantu kami teknik lakonan yang berkesan,” ujar Zimi.
Tujuh tahun dalam industri muzik, namun Sofazr masih belum mampu berdiri megah dengan jenama mereka. Mengakui hakikat tersebut, Zimi rela berada pada tahap yang mendatar seperti yang dihadapi Sofazr saat ini.
“Kami bertahan kerana Sofazr ada konsep yang tak ada pada kumpulan lain. Sehingga kini band kami masih stabil dan belum pernah lagi bertukar ahli. Terima kasih kepada peminat yang tak pernah menghampakan.
“Biarkan graf kami terus mendatar. Kalau terlalu cepat naik, kami bimbang jatuh juga mendadak. Bila begini senang untuk uruskan Sofazr,” katanya yang baru selesai mengadakan persembahan di Singapura.
FOTO oleh HAFIZH KHOSMAT
Mangga Online
Shila Amzah Duta Terbaru SAFI BALQIS Perfect 10
Ditulis oleh Nonie

Kecantikannya semakin mekar dengan haruman semerbak Puteri Balqis. Kejelitaan sejati dan suci impian setiap wanita Muslim selaras dengan tuntutan Islam. Diinspirasikan daripada Puteri Balqis pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman a.s, Safi Balqis, produk kecantikan halal utama di dunia kini muncul dengan produk terbaru SAFI BALQIS – Perfect 10.
Memahami kehendak wanita kini, Safi muncul dengan formulasi Perfect 10 dengan 10 manfaat untuk kulit halus dan cerah berseri dalam masa dua minggu. Kini tiada lagi kulit kusam dan tidak sekata. Inilah yang dikata sebagai generasi keempat produk Safi Balqis.
Menurut Pengurus Kumpulan Produk UNZA (M) Sdn Bhd, Mahsuri Sulaiman, produk terbaru ini dikaji dan dihasilkan sesuai dengan permintaan wanita masa kini. Selaras dengan kemajuan teknologi formulasi Nano Biowhite, Safi berbesar hati memperkenalkan duta terbaru yang bakal memberi inspirasi kepada gadis di luar sana.
“Produk terbaru ini membantu memberi tindak balas kepada kecantikan dan tahap keyakinan wanita. Dan untuk memastikan generasi keempat produk Safi Balqis terus menerajui pasaran produk pencerahan kulit, kami tampilkan Shila Amzah sebagai duta terbaru.
“Kami tetapkan kriteria yang tinggi terhadap pemilihan duta yang bakal membawa Safi ke peringkat teratas. Shila Amzah dilihat calon terbaik berdasarkan kepada karisma yang ada pada dirinya. Tiada gosip liar dan sentiasa dedikasi terhadap karier yang dibina sejak kecil. Karisma, keazaman dan bakat yang ada adalah faktor utama mengapa Shila dilantik,” katanya.
Perlantikan sebagai duta produk kecantikan baginya adalah transisi baru kepada perubahan untuk imej yang lebih matang. Bagi Shila, Safi Balqis merupakan platform perubahan yang membantu sisi kewanitaannya. Tambahan pula, peluang yang datang ketika itu secara kebetulan menandakan detik penting dalam hidupnya.
“Shila terima sebab formula baru yang Safi perkenalkan, Perfect 10. Kebetulan angka 10 juga adalah tahun ke-10 Shila terbabit dalam bidang seni dan 10 juga adalah ulangtahun Safi Balqis UV White di pasaran. Itu membuatkan Shila semakin tertarik untuk menerimanya. Lagipun sebagai artis, Shila perlukan produk kecantikan yang sesuai dengan muka lebih-lebih lagi apabila kerap menggunakan mekap.

“Sebenarnya Shila tak sangka akan terpilih sebab Safi mula menghubungi Shila sekitar 2008 dan tiada khabar berita selepas itu. Namun rupanya mereka menunggu kontrak bersama Dynaz tamat dan terus tawarkan Shila sebagai duta terbaru.
“Tak dinafikan Shila nampak matang apabila dikaitkan sebagai duta Safi. Namun sebenarnya selama ini Shila mencari-cari tranformasi untuk beralih daripada zaman remaja ke arah kewanitaan. Dan pembabitan dengan Safi merupakan masa yang terbaik untuk perubahan imej wanita yang lebih matang,” ujar Shila yang mengikat kontrak dua tahun bersama Safi Balqis.

Di sini ManggaOnline sertakan bersama 10 manfaat produk Safi Balqis Perfect 10 yang boleh didapati sekitar harga RM6.50 hingga RM25.90 :
1. Memudarkan pigmentasi
2. Menyamaratakan tona kulit
3. Melindungi dari sinar UV
4. Mencerahkan kulit
5. Melindungi dari radikal bebas
6. Meningkatkan keelastikan kulit
7. Menghidratkan kulit
8. Mengekalkan lembapan
9. Menghaluskan kulit
10. Melembutkan kulit
Mangga Online
Zizan Nin Digugurkan, Permintaan Melampau
Ditulis oleh Nonie

Teater Muzikal Tun Mahathir bakal dipentaskan kembali atas permintaan ramai. Pementasan semula ini menjadikan ia sebagai teater pertama di negara yang dipentaskan dalam tempoh yang singkat iaitu hanya tiga bulan.
Namun banyak pelakon digugurkan daripada pementasan ini. Antara nama besar yang tidak turut serta adalah Erra Fazira dan Zizan Nin. Menurut Siti Rohayah Attan selaku penerbit Teater Muzikal Tun Mahathir, pengguguran pelakon tidak menjejaskan sesi latihan walaupun mengakui kesuntukan masa sebelum tarikh tayangan pada bulan Januari tahun depan.
“Sebaik sahaja selesai pementasan yang lalu, saya utuskan surat kepada Tun Mahathir meminta kebenaran mementaskan semula teater ini dan tidak sampai tiga hari saya dapat jawapan yang positif. Kata Tun “saya tiada keberatan untuk dipentaskan semula dan kalau boleh saya mahu melihat sendiri teater tersebut”.
“Dan untuk musim kedua Erra Fazira dan Zizan Nin tidak akan bersama kita. Banyak pelakon lama digugurkan kerana sifat diva yang mereka bawa semasa teater. Ini pengajaran kepada mereka yang tidak menghargai peluang yang diberi, dan kebanyakan mereka hanyalah watak sampingan namun mengalahkan artis ternama. Saya sifatkan orang begitu tidak layak menyelami semangat Tun Mahathir.
“Zizan pada mulanya bersetuju untuk berlakon dalam musim kedua, namun segalanya musnah selepas pengurus Zizan memutuskan untuk tidak bersetuju kerana bayaran yang diterima kurang memberansangkan.
“Memang terjadi dalam setiap produksi selalunya bayaran pertama akan lebih banyak kerana masa latihan panjang yang diperuntukkan. Musim kedua sepatutnya lebih mudah kerana masing-masing telah pun mengetahui perwatakan dan jalan cerita.
“Pengurus Zizan meminta harga yang tidak pernah terjadi dalam sejarah Istana Budaya, even Maya Karin tidak dapat harga tersebut untuk teater. Dan dia meminta royalti ke atas setiap barangan yang tertera gambar Zizan.
“Sungguh sayang kerana Zizan pelakon yang bagus namun pengurusnya menutup peluang untuk dia berkembang,” ujarnya yang sedang mempertimbangkan Ady Putra menggantikan watak Tun Mahathir sewaktu remaja.
Mengulas ketiadaan Erra membawakan watak Tun Siti Hasmah, Rohayah menjelaskan kesukaran mendapatkan khidmat pelakon jelita itu berikutan dengan jadualnya yang padat. Beliau juga menolak dakwaan Erra menolak watak tersebut kerana tidak puas hati dengan watak yang diberi.
“Kami tiada masalah dengan Erra dan saya begitu kecewa dia tidak dapat bersama kerana komitmennya bersama program realiti nyanyian. Saya ada dengar gosip mengatakan Erra malu dengan watak tersebut. Jika benar kenapa tidak menolaknya awal-awal lagi sewaktu menerima skrip. Dia ada masa untuk menolak sebelum memalukan diri sendiri di atas pentas.
“Namun saya tak percaya gosip tersebut. Mungkin ada yang sengaja menyebarkannya untuk merenggangkan hubungan kami,” jelasnya.
Tak Emosi Dengan Kritikan
Setiap individu mempunyai perspektif masing-masing terhadap sesuatu yang berlaku. Biarpun dikritik hebat terhadap perkembangan cerita Teater Muzikal Tun Mahathir yang lepas, Rohayah menerimanya dengan tenang.
“Saya tak emosi dan tak kisah dengan kritikan kerana semua orang layak memberi komen. Ada yang katakan kehebatan Tun tak terserlah dalam teater ini, namun bagi saya kehebatan Tun tak mungkin dapat dipentaskan kerana Tun adalah insan yang sangat istimewa.
“Tak mungkin kami dapat membina karektor hebat Tun dalam jangka masa yang singkat. Namun semua layak beri pendapat kerana Tun adalah milik semua,” katanya.
Teater Muzikal Tun Mahathir bakal dipentaskan semula pada 21 hingga 30 Januari 2011 di Panggung Sari Istana Budaya. Tiket berharga RM32, RM52, RM82, RM102, RM152 dan RM302 boleh diperoleh melalui www.ticket2u.biz.
Antara nama yang menjadi sebutan yang bakal menggantikan Erra Fazira adalah Vanidah Imran. Apa-apa pun kita nantikan sahaja waktu pementasan nanti.
Mangga Online
Kenali Peserta PILIH KASIH Musim 2
Ditulis oleh Nonie

Musim pertama telahpun berlalu dan Iqbal Mazlan dinobatkan sebagai juara. Kini debaran semakin terasa bagi 16 penghuni baru ‘akademi’ ini demi menyahut cabaran dalam arena lakonan. Peserta yang terpilih bukan calang-calang, sebahagiannya telahpun menimba pengalaman bergelar pelakon.
Memilih pendekatan yang lebih tegas, Pilih Kasih musim terbaru menetapkan tahap disiplin yang tinggi terhadap penuntutnya. Tiada hubungan luar dibenarkan termasuk telefon dan televisyen agar sepenuh perhatian dapat diberi sepanjang tiga bulan proses pembelajaran.

Program terbitan Suhan Movies & Trading ini turut menampilkan barisan juri profesional dan barisan tenaga pengajar untuk memantapkan perkembangan ilmu lakonan seperti Erma Fatima (Teater), Datuk Ibrahim Ahmad dan Aziz M Osman selaku guru Drama Pendek dan Hamzah Tahir (Monolog) manakala Fauziah Nawi dan Dr Abu Hassan selaku juri tetap. Fatimah Abu Bakar pula bertanggungjawab memberi pendedahan dan motivasi memandangkan tekanan yang dihadapi peserta semakin bertambah.

ManggaOnline (MO) berkesempatan bertemu sebahagian peserta Pilih Kasih Musim Kedua dan hasilnya memberansangkan. Namun MO tertarik kepada Ahmad Iswazir Ismail yang juga digelar klon Pierre Andre, kematangan dan rasional memberikan jawapan menarik perhatian. Kata-kata seperti ahli sufi dan falsafah dalam setiap bicara seperti lagak orang seni. Sesuai sekali berada dalam industri.
“Lakonan sudah jadi kehidupan saya. Proses pembelajaran hidup adalah hasil daripada lakonan dan ianya adalah sisi lain kehidupan manusia. Kita seharusnya berfikir luar daripada kotak kerana lakonan bukan sekadar hiburan.
“Setiap apa yang berlaku ada persoalannya, sebagai penonton, kita mengambil pengalaman yang dilihat untuk cipta hidup yang lebih baik. Kita adalah satu watak, dengan lakonan saya boleh menghayati watak lain. Namun semua harus sedar, kita semua adalah pelakon yang berpentaskan dunia.
“Walaupun saya lepasan Diploma Arts & Design, namun semasa belajar saya masih mencari-cari apa matlamat sebenar dan saya jatuh cinta pandang pertama apabila menyertai teater dan membuat keputusan untuk terus mengorak langkah lebih jauh dalam lakonan.
“Harapan saya hanyalah satu, untuk menang dan menjadi pelakon profesional,” katanya yang pernah terlibat dengan teater Uda Dan Dara di Istana Budaya.

Sementara itu, bagi si cantik yang juga bekas pramugari ini, Cristina Suzanne Stockstill, 25 atau lebih selesa dipanggil Eeyn, tujuan utama menyertai Pilih Kasih agar dapat menjadi pembuka jalan kepada pintu rezekinya.
“Tiada niat untuk popular, niat saya hanya untuk mencari rezeki dan mampu memiliki rumah sendiri suatu hari nanti. Tahap keyakinan diri saya rendah sebelum ini dan saya harap pendedahan yang diberi dapat membantu ke arah perubahan yang lebih positif.
“Waktu ujibakat, saya bermonolog kenapa tak kaya dan abang Rosyam katakan perwatakan saya seperti tomboi membantu lakonan nampak lebih natural,” ujar gadis kelahiran Johor Bahru ini.

Bagi Mohamad Nabil Razali, 18, dorongan kakak menguatkan lagi semangat untuk mencuba nasib dalam ujibakat program ini. Namun lakonan bukanlah sesuatu yang asing baginya, pengalaman bersama produksi drama mungkin satu kelebihan bagi Nabil berbanding peserta lain.
“Minat berlakon memang ada namun banyak yang perlu diasah. Saya percaya abang Rosyam mampu memimpin kami ke saluran yang betul. Pilih Kasih merupakan platform yang tepat untuk menonjolkan bakat yang ada.
“Saya mahu penonton senang hati melihat lakonan yang ditonjolkan nanti,” katanya yang pernah muncul dalam drama Habil Dan Qabil.

MO terhibur dengan keletah peserta dari Kelantan, Nor Munirah Mokhtar (Myra), 19, gayanya sempoi dan berseloroh. Ketika diaju sebab memilih Pilih Kasih sebagai platform, seloroh sahaja Myra katakan nak popular. Namun usaha gadis genit ini mencapai cita-cita harus dipuji. Berulang alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur semata-mata ingin menghadiri ujibakat.
“Saya balik ke Kelantan untuk ujibakat namun di sana hanya menerima peserta lelaki dan perempuan tidak dibenarkan masuk. Jadi saya terpaksa balik semula ke Kuala Lumpur untuk menghadiri ujibakat. Saya sangat meminati bidang ini sejak kecil dan berharap agar impian menjadi kenyataan. Namun tak mahu terlalu yakin, nanti kecundang pula,” luahnya.

Pilih Kasih musim ini juga turut menampilkan peserta dari Sabah, Alia Afiqah Abden, 18. Peserta tinggi lampai ini pada mulanya datang ke sesi ujibakat hanya untuk melihat Rosyam Nor secara dekat, namun siapa sangka hatinya terbuka untuk mencuba dan berjaya melepasi ujian.
“Saya hanya mahu lihat abang Rosyam namun bila melihat peserta lain bersemangat untuk mencuba, saya rasa tercabar dan terus menjalani ujibakat. Waktu itu pertama kali saya baca skrip dan berlakon.
“Sebelum ini saya hanya terlibat dengan pertandingan Ratu Cantik seperti Miss Eastern Plaza Tawau, Miss Fotogenik, Miss Cheongsam Sabah dan banyak lagi. Saya mahu kembangkan bakat ke bidang lakonan dan naikkan nama Sabah kerana jarang ada pelakon yang datang dari sini.
“Jika berjaya, mungkin saya akan beralih ke bidang nyanyian pula selepas ini,” ujarnya yang mempunyai pertalian saudara dengan Mas AF.
FOTO oleh ZAKARIA IDRIS
Mangga Online