Dituduh Bercinta Dengan Anding, Amran Ambil Tindakan Polis?
Ditulis oleh wahida othman

MD Amran Hj Ismail, masih ramai yang tidak mengenali nama ini, namun bagi mereka yang pernah menonton filem pendek kontroversi, Chukang, sudah tentu wajah dan nama lelaki ini pernah bermain di dalam kotak fikiran mereka.
Malah dek kerana dirinya yang masih mentah dalam dunia seni membuatkan langkah kaki anak muda ini seakan terhenti seketika sewaktu filem Chukang ini dilanda kontroversi sedikit masa lalu.
Kini ketika dia baru sahaja mahu melebarkan sayapnya dalam dunia lakonan, sekali lagi nama Amran tercalar dengan kontroversi besar apabila dia ditudah menjalinkan hubungan songsang dengan pelakon dan penyanyi, Anding.
Di lapor sedang hangat bercinta, pasangan ini turut dituduh melakukan perbuatan sumbang di depan khalayak selain pernah dikatakan bercuti bersama di sebuah pulau, dan diibaratkan seperti sedang berbulan madu.
Malu dan tertampar dengan apa yang dituduh, Amran akan membuat satu sidang media untuk menjelaskan tentang perkara itu.
“Saya baru sahaja menanda tangani perjanjian dengan syarikat MIG minggu lepas, dan pihak MIG meminta agar saya tidak memberi sebarang komen terdahulu tentang perkara ini sebelum mereka melakukan sebarang sidang media minggu hadapan.
“Namun secara peribadi, saya memang terkejut dengan apa yang dilaporkan semalam, seluruh peminat dan ahli keluarga menghubungi saya untuk bertanya tentang perkara ini, namun saya tidak boleh membuat sebarang penjelasan sekarang.
“Subhanallah, Nauzubillah, perkara ini sangat memalukan dan ia satu fitnah yang besar dalam hidup saya. Jujurnya, saya tak berani nak komen lanjut kerana sebagai orang islam, saya tidak boleh menuduh sebarang orang yang menjadi penyebab dan penyebar cerita ini.
“Apa yang boleh saya katakan, saya harap peminat dan keluarga memihak pada saya dan memberi semangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini,”jelas Amran.
Terkena Buatan Orang
Bercerita lanjut tentang perkara ini, jelas Amran namanya sudah tercemar semenjak dia memulakan lakonan dahulu, malah dia mengakui selalu diugut dan adakalanya seperti terkena buatan orang.
“Sejak dahulu saya seringi di ganggu oleh orang yang tidak dikenali, setiap hari ada yang menelefon saya, mengajak untuk melakukan seks. Saya terkejut dan bila disiasat, rupanya ada orang lain yang menggunakan nama dan gambar saya di laman web songsang.
“Setiap hari saya diganggu dengan kiriman sms yang mengajak saya melakukan hubungan songsang, dan semua mesej-mesej yang dihantar masih berada di dalam simpanan saya, jika perkara ini berlarutan, saya akan buat laporan polis untuk menyiasat tujuan sebenar mereka,”luah pelakon drama Bila Musang berjanggut, Bella, dan Sang putera Aurora.
“Dua tiga minggu yang lepas, badan saya tak sihat, seluruh badan seperti di cucuk-cucuk dengan jarum yang tajam, tapi saya tidak tahu semua perkara ini ada hubung kait atau tidak dengan penyebaran fitnah ini,”sambungnya lagi.
Jatuhkannya
Melihat pada sisi lain, jelas Amran dia hanya bersangka ada seseorang cuba menjatuhkan dirinya dalam bidang ini, malah dia juga menjelaskan hubungannya bersama Anding bukanlah seakrab yang di gambarkan.
“Anding kawan saya, kami mempunyai minat yang sama iaitu bila ada masa lapang kami akan pergi ke gimnasium.
“Apa yang diceritakan dalam gosip itu tidak benar sama sekali. Kami tidak pernah bercium di khalayak dan kami juga tidak pergi ke pulau berkenaan untuk berbulan madu,”jelasnya lagi.
Mangga Online
Berjayakah Hazama & Fina Angkat AF9?
Ditulis oleh Rosli Manah

Hazama dan Fina dibawa masuk sebagai pelajar baru Akademi Fantasia 9 (AF9) menggantikan tempat Amir dan Aida yang dibawa keluar kerana sebab yang difikirkan sesuai oleh pengetua dan tenaga pengajar program realiti itu melalui kejutan Operasi Gugur.
Berjayakah Hazama dan Fina menarik perhatian penonton yang sudah selesa dengan pelajar sedia ada? Sejauhmanakah pula mutu kedua-dua mereka sehingga pihak produksi sedia membawa masuk?
Kononnya ada kritikan yang diberikan oleh peminat bahawa ada segelintir pelajar AF9 yang tidak bersungguh-sungguh. Kerana itulah Operasi Gugur diperkenalkan.
Fina ialah adik kepada Aida yang disingkirkan. Dia salah seorang yang datang uji bakat dan tidak dipilih kerana tidak mencecah usia menimum yang ditetapkan. Pada hari kemasukannya ke AF9, usianya sudah mencecah 18 tahun.
Sekali fikir, bunyinya macam ada perancangan membawanya masuk selepas mencecah usia 18 tahun. Tapi hanya pihak produksi yang tahu apa sahaja yang dilakukan oleh mereka. Namun banyak yang memuji vokal Fina dan sudah ada peminat yang mula menyukainya.
Kalau kemasukan mereka bertujuan mahu memberi lebih perhatian terhadap AF9 yang belum nampak impak besar, kita kena tunggu dan lihat. Adakah sesuatu yang luar biasa bakal berlaku dalam konsert minggu ini dan minggu-minggu seterusnya.
Dalam konsert minggu ini, nampaknya lebih ramai pelajar yang dikritik berbanding mendapat pujian pengkritik tetap, Fauziah Ahmad Daud, Hattan dan pengkritik undangan yang juga bekas pengetua AF8, Norman Abdul Halim.
Fauziah naik angin apabila pelajar dilihatnya tidak mengambil kesempatan memilih lagu yang benar-benar menonjolkan kelebihan mereka apabila diberi peluang memilih sendiri lagu nyanyian pada konsert Operasi Gugur itu.
Azri dilihat membuat pilihan lagu yang menonjolkan kekuatannya serta membuat persediaan sepenuhnya sebelum memulakan persembahan. Juri juga sepakat memuji Lena yang memiliki aura tersendiri walaupun sesekali nyanyiannya ada bunyi Ella ketika menyanyikan lagu Layar Impian.
Hazama tak hadir uji bakat?
Kemasukan Hazama menerusi Operasi Gugur menimbulkan rasa tak puas hati segelintir pemerhati AF. Penglibatan Hazama selepas gagal masuk AF4 lima tahun lalu dilihat sudah cukup meletakkannya sebagai seorang artis. Apa perlu dia masuk AF selepas berjaya sebagai penyanyi.
Dalam komen pada laman sosial facebook milik seorang kenalan kepada Fir (yang gagal diserapkan), ada yang mempersoalkan kemasukan Hazama. Katanya nama Hazama tidak tersenarai sebagai calon Top 40 atau Top 25 AF9. Malah katanya lagi Hazama juga tidak hadir uji bakat AF9.
“Mungkin ada juri (pihak produksi) telefon suruh dia masuk… tak adil,” kata penghantar komen dalam loghat Sarawak.
Kalau benarlah komen peminat itu bahawa Hazama tidak hadir uji bakat, mereka ada sebab untuk mempertikaikannya. Memang Hazama pernah sampai ke peringkat Konsert Prelude musim ke empat dulu, tapi kalau dia tak hadir uji bakat AF9, bagaimana namanya tiba-tiba tersenarai.
“Saya tak puas hati dengan kemasukan Hazama. Hazama sudah jadi artis, sudah macam-macam dia buat persembahan dengan artis AF lain. Berilah peluang kepada Fir,” ulas seorang lagi peminat Fir.
Mangga Online
Fiza Tak Maafkan Si Penabur Fitnah!
Ditulis oleh wahida othman

Pergolakkan rumah tangga yang melanda bekas anggota kumpulan Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 30 tahun yang juga merupakan seorang dramatis hangat diperkatakan lewat penghujung tahun lalu.
Pelbagai kritikan dan tanggapan yang dilemparkan kepada isteri Ahmed Farriq Zainul Abidin ini, lantas membuatkan mereka mengambil keputusan untuk bercerai pada tanggal 4 November 2010.
Ramai yang menuding jari kepada Fiza, lantaran punca penceraian itu dikhabarkan kerana sikap Fiza yang curang terhadap suaminya selepas dia menjalinkan hubungan cinta bersama seorang jurukamera bernama Malek.
Biarpun pelbagai kenyataan muncul daripada beberapa orang yang terbabit dalam kontroversi ini, empunya badan, Fiza hanya mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang kenyataan balas untuk membersihkan namanya yang tercemar pada ketika itu.
Menemui Fiza pada majlis sidang media dan pratonton drama-drama terbaru sAstro Prima, wanita yang bakal muncul dengan drama terbaru, Sedepa Ke Syurga ini, menjelaskan apa sebenarnya yang tersimpan selama ini.
“Saya bukan berdiam diri kerana apa yang terjadi itu kesalahan saya, tetapi saya rasa untuk apa lagi saya berkata-kata kerana perkara itu sudah pun terjadi. Kalau saya ceritakan perkara sebenar sekalipun, saya tidak mungkin dapat suami saya semula, jadi lebih baik saya diam, lagipun saya tidak suka mengaibkan orang.
“Cerita saya suka mengganggu rumah tangga orang sudah berlaku sejak saya bujang lagi, kemudiannya ia senyap seketika selepas saya berkahwin dan cuti daripada berlakon selama empat tahun, namun perkara ini berlaku kembali selepas saya mula berlakon tahun lalu,” luah Fiza.
Ada hubungan dengan malek?
Dituduh nusyuz kerana curang pada suaminya, Fiza menafikan dia ada menjalinkan hubungan dengan lelaki bernama Malek.
“Lillahitaalla, saya tidak pernah menaruh perasaan pada Malek. Dari mula saya berkawan dengannya, saya tidak pernah sedikit pun berniat untuk mengambil suami orang.
“Hubungan saya dan suami sedikit bermasalah pada masa itu, jadi mata saya sering bengkak setiap kali ke lokasi penggambaran, dan ketika itu Malek selalu bertanya. Jadi di situ hubungan kami jadi rapat, tetapi kami tidak bercinta.
“Saya kecewa bila ada laporan media mengatakan saya curang dan selalu keluar dengan Malek, perkara itu membuatkan hubungan saya dan suami semakin teruk, begitu juga hubungan Malek dan isterinya.
“Saya tidak akan maafkan orang yang membuat cerita ini, dia telah memporak-perandakan keluarga saya, dan saya sangat benci dengannya. Saya tak sangka hubungan baik kami selama ini memakan diri, dan saya hairan kenapa dia sanggup lakukan perkara itu kepada saya.
“Pada saya, cerita-cerita yang dikeluarkannya yang membuatkan saya dan suami bercerai,” jelas Fiza.
Kecewa dan Masih Sayang
Tertekan dengan apa yang terjadi pada ketika itu, Fiza mengakui dia terlalu kecewa dengan perceraian ini.
“Tipulah kalau saya kata tidak sayang kepada suami, kalau tidak masakan saya boleh bersamanya sehingga mendapat dua orang anak.
“Walaupun sudah bercerai, saya masih boleh berkawan dengannya, saya juga masih lagi tidur di rumah ibu mertua saya dan tiada sebab untuk kami bergaduh.
“Kadang-kadang saya rasa, kalau saya tidak mula berlakon semula, pasti rumah tangga saya selamat. Tak dinafikan keluarga saya bersedih dengan apa yang berlaku, tetapi mereka memahami,” ujarnya yang mengakui sudah tahu tentang rancangan bekas suaminya mahu berkahwin dengan wanita lain tidak lama lagi.
Mangga Online
6ixth Sense Makin Kukuh
Ditulis oleh Rosli Manah
Setelah enam tahun mencipta nama baru tahun ini kumpulan 6ixth Sense mula berasa sebagai sebuah kumpulan popular. Itupun kerana lagu-lagu nyanyian mereka menjadi pilihan penerbit drama bersiri. Kebetulan drama tersebut jadi popular.
Secara tak langsung nama kumpulan mereka juga semakin dikenali. Buktinya 6ixth Sense menanag kategori kumpulan popular dalam satu majlis baru-baru ini. Malah mereka juga menjadi kumpulan yang paling bangak kuantiti lagu dimuatturun.
6ixth Sense popular kerana drama bersiri? Apatah lagi drama Asmara yang sudah masuk musim kedua menggunakan lagu Menyesal nyanyian mereka sebagai lagu tema.
“Alhamdulillah kami tak kisah kalau ada yang kata 6ixth Sense popular kerana lagu kami menjadi pilihan drama bersiri. Kami memang mahu dikenali kerana muzik dan lagu kami, bukannya personaliti kami,” kata vokalisnya, Ady.
Mereka juga tidak kisah kalau ada yang kata 6ixth Sense lambat popular kerana bagi mereka mencipta nama mungkin bukan perkara payah. Tapi mengekalkan nama yang dibina adalah sesuatu yang memerlukan kerja kuat.
“Setelah enam tahun kami masiih di sini dan kedudukan kami semakin baik. Ia bukan perkara yang datang dengan mudah,” katanya semasa ditemui pada majlis kesyukuran yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.
Sementara itu album mereka berjudul Campur Tolak Kali Bahagi akan diterbitkan dalam pakej baru menggunakan judul Lagu Popular Drama Asmara. Nampaknya populariti drama Asmara membawa tuah kepada kumpulan 6ixth Sense.
Mahu Ke Indonesia
Semasa popular dengan lagu Tanpa, pihak syarikat rakaman pernah cuba membawa 6ixth Sense ke negara jiran, Indonesia.
Mereka pernah ke sana namun belum dapat impak positif. Walaupun lagu Tanpa dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Cinta Dua Dunia, nama kumpulan itu belum menyerlah.
“Kami akan mencuba lagi menembusi pasaran sana dengan album baru nanti. Mahu ke sana bukannya mudah kerana terlalu banyak kumpulan baru yang diperkenalkan di sana dari semasa ke semasa,” jelas Ady lagi.
Mereka tidak mahu mengalah dan menganggap telah gagal ke sana. Kalau di Malaysia mereka mengambil masa enam tahun sebelum bergelar artis popular, diharapkan populariti hari ini akan membuka mata pihak sana pula.
Lagu-lagu 6ixth Sense juga semakin diminati artis lain. Kumpulan itu mula menulis lagu untuk Alyah, Farawahida dan beberapa artis lain.
Mangga Online
Shahir Popular Kerana Kontroversi
Ditulis oleh wahida othman

Memenangi Anugerah Artis Baru Lelaki Popular pada malam Anugerah Bintang Popular, ABPBH 2010 yang lalu membuktikan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir masih mempunyai pengikut yang ramai biarpun sepanjang 2010 yang lalu terlalu banyak kontroversi yang lahir dalam kariernya ini.
Mengakui pernah seketika dalam tahun terbabit, dia berputus asa dengan dugaan yang menimpa, Shahir bagaimanapun berterima kasih kepada peminatnya yang banyak menyokong selama ini.
“Saya berasa sangat bertuah kerana peminat sewaktu berada didalam akademi dulu masih kekal menyokong saya biarpun kini sudah ada musim yang terbaru.
“Tahun lepas saya agak berputus asa, tapi bila saya fikirkan, dugaan seperti ini pernah dilalui oleh setiap artis dan tanpa adanya liku-liku saya tidak mungkin mendapat pengajaran dan pengalaman yang boleh dijadikan panduan.
“Sebenarnya, artis juga manusia, adakalanya kami melakukan kesalahan, kerana kami juga bukanlah sempurna, walau bagaimanapun, kontroversi sebegini sedikit sebanyak membantu menaikkan nama saya menjadi lebih popular tetapi ia perlu ditangani dengan cara yang baik,”jelas Shahir.
Bertanyakan tentang masalah dirinya yang sekarang ini sering dianggap sebagai artis bermasalah, jelas Shahir kesibukkannya membuatkan dia sering terlupa jadual dan jarang mengangkat panggilan telefon.
“Saya sekarang ini sibuk dengan rakaman album baru, jadi banyak habiskan masa disini. Bila ada media atau pengurus cuba menghubungi, saya jarang dapat mengangkat panggilan kerana jarang bersama telefon apabila bekerja.
“Masalah kesihatan pula, ia sudah beransur baik dan saya semakin sihat sekarang ini,”Luah Shahir lagi.
Jika dahulu dia pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon jelita, Rozita Che Wan kini menurut Shahir dia tidak lagi bersama sesiapa kerana belum bersedia untuk menerima penangan cinta.
“Buat masa sekarang biarlah saya bersendirian, saya kasihan pada keluarga yang turut terkena tempiasnya sekiranya ada kontroversi mengenai saya. Lagipun pada usia yang masih muda ini biarlah saya habiskan masa untuk berkarya dan berlakon,”jelas Shahir yang turut menghasilkan beberapa buah lagu untuk album terbarunya nanti.
Mangga Online
Shaheizy Sam Menangis Kerana Khaty Fudziah
Ditulis oleh wahida othman

Dia terlalu terkejut sehinggakan dipenghujung majlis penganugerahan ini, lelaki bernama Shaheizy Sam mengakui menghadapi pedih ulu hati kerana kesan keterujaannya ketika mengambil anugerah pada malam itu.
Tidak pernah menyangka dirinya bakal menyandang gelaran artis paling popular dalam ABPBH ini, menurut Sam, angan-angannya semenjak tiga tahun lepas menjadi kenyataan yang paling bermakna tahun ini.
Mengalirkan air mata ketika sidang media dilakukan pada malam itu, Sam melahirkan rasa bangga kerana dia sudah menjadi apa yang diharapkan oleh ibunya selama ini.
“Hidup saya hanya ada emak saya, dia yang membesarkan saya selama ini tanpa ayah dan bagi saya dia adalah segala-galanya sekarang ini. 
“Saya langsung tidak menyangka saya akan menang malam ini, bila nama diumumkan fikiran saya hanya terfikirkan emak saya dan sebab itu saya berlari kepadanya.
“Saya terlalu bersyukur dengan apa yang dianugerahkan pada malam ini, terima kasih pada yang menyokong saya selama ini, kepada para penerbit yang tidak jemu menjemput saya menjayakan filem mereka, pada para wartawan yang tidak pernah berputus asa membuat cerita-cerita saya biarpun adakalanya saya rasakan tiada cerita yang menarik tentang diri saya tetapi mereka tetap mencari saya dan menulis tentang saya sehingga ia menarik perhatian peminat.
“Pada semua peminat-peminat saya, yang banyak menyokong saya untuk sampai ketahap ini dan pada semua yang menaikkan nama saya selama ini. Sebaik mana sekalipun atau sehebat mana pun saya sekarang ini, tanpa bantuan peminat saya tidak akan berada di atas pentas malam ini untuk anugerah artis paling popular ini.
“Sebenarnya semenjak kemenangan Mawi tiga tahun lepas, saya sudah berangan-angan sekiranya saya yang naik ke pentas untuk anugerah paling popular ini, tetapi akhirnya angan-angan saya menjadi kenyataan.
Tak Mahu Sam Berubah-Khaty Fudziah
Sebak melihat aksi Sam pada malam itu, jelas pelakon Khaty Fudziah Musa, dia berbangga dengan kejayaan Sam dan yakin anaknya kini sudah tahu arah tuju hidupnya.

“Sebagai ibu saya bersyukur dengan apa yang diberikan kepada Sam, malah apa yang saya risaukan sebelum ini sudha pun berakhir apabila saya lihat Sam kini sudah mempunyai arah tujunya sendiri.
“Satu nasihat saya kepadanya, jadilah dirinya yang sekarang ini sampai bila-bila dan selamanya, dan janganlah dia berubah biarpun dia sudah dianugerahkan dengan anugerah sebaik ini.
Kronologi Karier
Shaheizy Sam Abdul Samad yang mesra disapa Sam ini bukanlah artis baru, malah jika diselak semula fail-fail kehidupan lamanya, nama Shaheizy Sam sudah mula memasuki dunia seni ini semenjak dia berusia 12 tahun lagi, iaitu sewaktu dia membintangi filem Sama Tapi Tak Serupa bergandingan dengan pengacara popular, Aznil Hj Nawawi.
Biarpun tidak ada yang menyedari watak kecilnya dalam filem itu, Sam kemudiannya meneruskan kerjayanya selepas tamat PMR dengan melakonkan watak Pa’e dalam satu drama tv arahan Saian Salimon. Bertitik tolak daripada drama inilah nama Sam meniti bibir para peminat. Bakat Sam benar-benar terserlah apabila diberi peluang membawakan watak remaja yang kurang kasih sayang hingga melayakkan drama itu menerima 2 pencalonan di Anugerah Skrin 1998.
Namun oleh kerana terlalu meminati dunia muzik, Sam kemudiannya menyepikan diri dalam dunia lakonan dan menumpukan perhatian terhadap kumpulan Hip Hop yang bergelar M.O.B. Biarpun berjaya mendaki populariti pada awal tahun 2010, namun, nasib M.O.B tidak seterang yang diharapkan.
Sam kemudiannya kembali ke dunia lakonan pada usianya 20 tahun, iaitu sekitar tahun 2003. Dia muncul dalam projek filem digital indie arahan Woo Min Jing berjudul The Son, yang disiarkan menerusi slot televisyen Odisi di ntv7 ini, Sam berpeluang bekerja bersama pelakon-pelakon veteran seperti Afida Es, Yalal Chin dan Hashim Osman.
Berjinak-jinak semula dalam kehidupan orang pelakon, Sam melalui pelbagai dugaan untuk menaikkan nama sebaris dengan artis-artis popular. Namun, hanya pada tahun 2010, namanya mula dipandang tinggi oleh penonton-penonton setelah dia membintangi filem Adnan Semp-It.
Berkait dengan perkara itu, gelagat Sam mula ditiru dan segala tingkah lakunya mula menjadi perhatian. Sam semakin menjadi sebutan bukan sahaja peminat tetapi juga para penerbit filem, apa sahaja yang dilakukan tidak kira filem ataupun drama, Sam semakin menjadi perhatian.
Biarpun baru memenangi satu anugerah dalam dunia hiburan iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Evolusi KL Driff 2 dalam Festival Filem Malaysia (FFM) 2010 yang lalu, namun kekuatan lakonan yang ada padanya tetap menjadi perhatian peminat.
Malah, ada yang mengandaikan, kejayaan filem Ngangkung merebut keuntungan sebanyak RM8 juta adalah bertitik tolak daripada populariti Sam ketika itu.
Dan kini, melihat pada usaha, penat lelah dan pencapaian yang dikecapi sekarang layaklah lelaki bernama Shaheizy Sam ini di nobatkan sebagai artis paling popular 2010!
Mangga Online