Skip to content

Archive for May 2011

30
May

Elly Pilih Pengarah Drama




Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein payah bercerita pasal kisah hatinya. Malah tunangnya hanya didedahkan pada hari mereka ditunangkan pada 29 Mei lalu. Elly akhirnya disunting oleh pengarah drama Azmi Hata.

Mereka merancang berkahwin Februari depan. Azmi, 36, pernah mengarah drama yang turut menampilkan Elly antaranya Hantu Gigi, Relakan Cinta dan Kasih Berbunga Lalang.

“Kami dah kenal selama dua tahun dan sudah tiba masanya untuk kami membawa hubungan ini ke peringkat yang lebih serius,” kata Elly semasa ditemui media pada majlis yang berlangsung di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur semalam.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi mengundang media ke majlis pertunangnnya demi menutup cerita sebelum ini kononnya dia sudah bernikah.

Azmi yang turut hadir selepas selesai acara pertunangan, meluahkan rasa syukur kerana majlis yang diatur berjalan lancar. Pihak lelaki membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak keluarga Elly.

“Kami merancang bernikah Februari tahun depan,” kata Azmi, seorang yang berstatus duda beranak dua.

 

 

Mangga Online

27
May

Elly (Mencari Cinta) Nikah Ahad Ini

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Ingatkah lagi kepada Elly, gadis yang pernah menjadi tumpuan umum apabila menyertai program realiti mencari jodoh, Mencari  Cinta di TV3 beberapa tahun lalu?

Pasti semua masih ingat kerana itulah satu-satunya program seumpamanya di Malaysia dan ia tidak diteruskan kerana sebab-sebab tertentu. Elly tidak ke jenjang pelamin dengan lelaki yang menjuarai program itu. Apa cerita jodoh Elly sekarang?

 

Elly, 35, akhirnya akan ke jenjang pelamin dengan lelaki pilihan hati, RJ (Norashid Jeran), 39, seorang pegawai bank. RJ seorang duda beranak tiga.

Mereka akan bernikah Ahad ini dalam satu majlis tertutup di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Selamat pengantin baru Mangga Online ucapkan kepada bakal pengantin baru itu.

Majlis persandingan akan diadakan pada 4 Jun ini di kediaman keluarga Elly atau nama penuhnya Norsalwa Zakaria di Keramat, Kuala Lumpur.

Saya mendapat undangan daripada Elly yang kini bekerja di Plus Berhad. Sebenarnya Elly pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebelum bertukar kerjaya.

“Betul ke Che Li nak tulis berita pasal saya ni… saya bukannya artis, sekarang jadi orang terowong aja,” kata Elly kepada saya. Tapi dia tahu namanya pernah jadi bahan berita ekoran penyertaannya dalam program Mencari Cinta dulu.

Bagaimana dan bila agaknya Elly dan RJ berjumpa?

“Saya dah kenal lama dah. RJ tu family friend. Bila dah jumpa balik tu lah yang menjadi tu.

“Saya tak ada masalah dengan bakal anak-anak tiri saya. Saya memang sukakan budak-budak pun.

“Anak-anak bukan halangan, sebaliknya membuatkan saya lebih terbuka menerima bakal suami saya,” jelas Elly melalui BBM kepada saya.

 

 

 

 

 

Mangga Online

27
May

Lisa Banyak Tahu Tentang Diri Saya Melalui Keluarga -Yusry

Ditulis oleh wahida othman
  
  

Lebih mudah berbicara soal cinta berbanding pasangannya, Lisa Surihani, pengarah dan pelakon popular, Yusry Abdul Halim mengakui hubungan antara mereka kini sudah melepasi fasa perkenalan.

 

Yakin dengan hubungan yang terjalin, Yusry juga menjelaskan dia kini selesa bersama Lisa dan menganggap hubungann antara mereka sudah mulai matang.

 

“Saya selesa bersamanya, dan hubungan kami juga sekarang ini sudah pun melebihi fasa perkenalan, walaupun usianya masih muda, tapi Lisa lebih matang dan bersamanya, tidak ada istilah cintan-cintun dan cinta monyet.

“Kami bukan lagi kawan rapat, tetapi lebih daripada itu dan hubungan ini juga sudah menuju kearah yang lebih matang.

“Sukar untuk bercerita tentang hubungan kerana di peringkat ini apa sahaja yang kami lakukan ianya kelihatan indah sahaja,”luah Yusry.

Bawa Jumpa Keluarga

Serius dengan apa hubungan yang terjalin, kedua-dua mereka sudah pun bertemu dengan keluarga masing-masing.

“Saya sudah bertemu dengan keluarga Lisa, dan begitu juga dengannya. Seharian dia bersama keluarga saya, katanya dia lebih mengenali diri saya daripada apa yang diceritakan mereka berbanding bila bersama saya.

“Tidak dinafikan keluarga saya juga selesa dengan hubungan kami, dan tetapi hubungan ini belumlah sampai ke tahap untuk berkahwin, kerana ia masih baru lagi,”jelasnya lagi.

Ambil Kesempatan

Bercerita tentang hubungannya itu, Yusri menafikan bahawa Lisa cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.

“Jika benar Lisa jenis itu, sejak daripada dahulu perkara ini akan tersebar, bukannya setelah dia berkawan dengan saya.

“Selepas ini Lisa akan bekerjasama dengan syarikat Skop Production, jadi adakah selepas ini Lisa akan dikaitkan dengan Syamsul Yusof pula.

“Saya sudah lama mengenalinya, tetapi hubungan ini hanya lebih rapat beberapa bulan lepas, jika dia mahu mengambil kesempatan, dia sudah lakukan sejak dahulu lagi,”luah Yusri yang mengakui ada merancang beberapa projek besar bersama Lisa Surihani.

Mangga Online

26
May

Lisa Tidak Kisah Status Duda Yusry

Ditulis oleh wahida othman
  
  

Dia tidak mengiyakan, dan dia juga tidak pernah menafikan ada sesuatu dalam hubungan yang terjalin antara dirinya dengan pengarah dan juga pelakon popular, Yusry Abdul Halim.

Biarpun banyak cakap-cakap nakal yang mengatakan mereka sedang asyik bercinta, namun pelakon jelita, Lisa Surihani masih enggan mengakui sama ada mereka benar-benar sedang berkasihan.

 

Namun begitu,dia mengakui sedang mengenali rapat salah seorang anggota kumpulan KRU ini, dan tidak kisah dengan statusnya sebagai seorang duda. Jelas Lisa dia tidak pernah menganggap status itu sebagai faktor untuk dia berkawan rapat.

“Kalau saya kisah dengan status dudanya, saya tidak akan mulakan hubungan ini sejak awal lagi. Pada saya, status itu tidak penting, dan ia sama sekali tidak mengganggu saya.

Sesetengah orang pasti tidak selesa dengan status sebegitu, tapi pada saya ia tidak menjadi masalah besar,”luahnya.

Ditanya tentang perjalanan hubungan mereka, jelas Lisa dia masih tidak boleh bercerita tentang perkara ini kerana tidak manis baginya untuk bercerita soal cinta.

“Sebagai perempuan, saya rasa tidak manis untuk saya terlalu bercerita tentang perkara ini. Saya lebih suka bercerita tentang kerjaya sahaja, berbanding bercerita mengenai peribadi sebegini, saya harap anda semua faham.

“Mengenai Yusri, kami makin mengenali, itu sahaja yang boleh saya katakan,”jelas Lisa lagi.

Lisa juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia mendekati Yusry hanya sekadar untuk mengambil kesempatan dalam kerjayanya.

“Saya tak boleh kawal apa orang nak cakap, tapi saya bukan begitu. Saya percaya, rezeki itu di tangan Allah, dan tak perlu saya berkelakuan begitu untuk mendapatkannya.

“Sejak usia 11 tahun saya sudah berusaha sendiri untuk mendapatkan tawaran lakonan, jadi saya tidak perlu taktik sebegini untuk mendapatkan job,” luahnya yang ditemui di majlis pra tonton filem Karak, arahan Yusry Abdul Halim.

Lisa Surihani akan kembali mengacarakan program Mari Menari musim kedua, dan akan muncul dengan filem Sekali Lagi pada bulan Jun ini.

Mangga Online

24
May

Berjayakah Erra & Aaron Jiwai Notalgia Badai Semalam?

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Erra Fazira dan Aaron Aziz dinamakan sebagai pelakon utama teater Badai Semalam di Istana Budaya yang akan dipentaskan pada 11 hingga 20 November depan. Berjayakan pasangan itu mengembalikan nostalgia kisah cinta era 60-an yang pernah menarik minat remaja itu?

Novel tulisan Khadijah Hashim itu mengisahkan pasal percintaan dua darjat antara anak majikan dengan anak pembantu rumah. Fiem dulu-dulu banyak sekali membawakan tema itu, tapi kisah cinta hari ini semakin moden dan pelbagai gaya pengisiannya.

Ada yang kata Erra dan Aaron tak cukup remaja untuk membawakan watak anak muda dilamun cinta, Mazni dan Karim. Mereka kerap berganding dalam drama eksklusif di Astro. Kali ini mereka meneruskan sinambungan cinta di pentas teater pula.

 

Populariti Erra di pentas teater tidak boleh dinafikan apabila Muzikal Tun Mahathir lakonannya antara yang mendapat sambutan ramai. Aaron juga pernah mencuba nasib di pentas teater menerusi tetaer Muzikal Natrah arahan Erma Fatima.

“Perjalanan hidup yang dilalui oleh Mazni dalam novel ini ada persamaan dengan perjalanan hidup saya dalam bidang seni. Karakternya sebagai seorang wanita yang kuat dan cekal mengejar cita-cita serta lalui rintangan dalam cinta. Semangat Mazni dalam novel ini dekat dengan saya,” kata Erra.

Novel itu pernah menjadi teks sekolah untuk pelajaran sastera sekolah menengah pada tahun 80-an. Badai Semalam banyak pengaruh dan pembacanya hari ini pasti mahu melihat adakah  kisah yang pernah membuatkan mereka menitiskan air mata semasa membaca itu akan membawa impak yang sama.

Sementelah Istana Budaya sendiri sudah lama tidak membawa teater realisme, sebab banyak sangat produksi yang memilih pendekatan muzikal. Badai Semalam semestinya ditunggu-tunggu oleh peminatnya.

Pada awalnya Badai Semalam dijadualkan pementasan pada Jun depan, tapi dek masalah tertentu termasuk jadual pelakon yang padat, ia terpaksa dianjak ke hujung tahun. Selaib mereka, Badai Semalam turut membariskan Umie Aida, Fizz Fairuz dan Ziela Jalil.

Tiket menonton teater arahan Khairunazwan Rodzi dan skrip oleh Rahimidi Zahari ini dijual dengan harga daripada RM30 hingga RM300 dan boleh dibeli di Box Office, Istana Budaya, Jalan Tun Razak  atau menerusi di www.ticket2u.biz.

Sinopsis Badai Semalam

Mazni anak seorang pembantu rumah membesar bersama ibunya yang tua dan uzur di sebuah banglo milik Encik Haris dan Puan Rohana. Mazni membesar di dalam rumah tersebut dengan penuh kesederhanaan kerana menyedari diri dan ibunya hanya menumpang.

Walaupun majikan ibunya amat berbesar hati membenarkan mereka tinggal disitu, tetapi pandangan jiran tetangga amat buruk dan negatif terhadap mereka. Mereka berasa irihati dan cemburu dengan kecantikan dan kebijaksanaan Mazni apatah lagi apabila Karim, anak Encik Haris dan Puan Rohana mula jatuh hati kepada gadis tersebut.

Daripada perasaan kasih jatuh kepada cinta. Walaupun banyak tentangan dan fitnah yang dilemparkan, tetapi Karim nekad memperisterikan Mazni. Puan Rohana tidak bersetuju kerana malu apabila orang luar mula memperkatakan pasal maruah keluarga nanti.

Ibu Mazni amat kecewa apabila mendengar tohmahan dan fitnah tentang Mazni yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh. Di saat Mazni memerlukan sokongan, ibunya meninggal dunia. Tinggallah Mazni berdua dengan Karim sebagai suami isteri.

Dalam pada masa yang sama Mazni menyambung pelajaran. Hari berganti hari, terlalu banyak dugaan yang datang. Mazni terpaksa membahagikan masa antara keluarga dan pelajarannya. Karim mula berubah laku selepas mendirikan rumahtangga. Dia kembali dengan perangai lama yang suka berfoya-foya kerana merasakan Mazni telah mengabaikannya dan sibuk dengan buku.

 

Mangga Online

23
May

Gula Gula Yang Seksi

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Hari ini konsep muzik dan fesyen dari Korea yang dikenali sebagai  K Pop menguasai carta. Peminat mereka merata di seluruh dunia. Malaysia juga dilanda demam K Pop. Persembahan mereka mendapat sambutan, lagu-lagu juga ada pasaran.

Malah fesyen yang digayakan oleh anggota kumpulan dari Korea juga jadi ikutan. Sebab itulah banyak kumpulan baru dari Malaysia bangun dengan memanjangkan rupa dan bunyi muzik dari sana. Salah sebuahnya, kumpulan enam wanita yang menggelarkan diri sebagai Gula Gula.

Setelah melalui ujibakat yang  dihadiri lebih 200 orang pada September 2010, mereka yang terpilih untuk menggangotai  Gula Gula berdasarkan kebolehan dalam nyanyian, menari dan komitmen. Paras rupa yang menarik juga antara kreteria pemilihan.

Gula Gula bernaung di bawah Eight Tones Communications Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai pihak pengurusan. Orang yang bertanggungjawap menubuhkan kumpulan Gula Gula ialah komposer terkenal Hadi Hassan yang juga bertindak sebagai penerbit.

Siapa Gula Gula?

Siapa anggota Gula Gula yang tampil dengan imej seksi ini? Mari berkenalan dengan mereka. Mereka tak anggap penampilan sebagai seksi sebaliknya mengikut arus fesyen masa kini.

Nurfarahin Mohamad Khosaini (Rara), 22, dari Selangor seorang lepasan diploma dalam jurusan Komunikasi dan Media. Anak ketiga daripada lima beradik ini mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik sehingga mendorongnya untuk menceburi bidang nyanyian dan menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa.

Erwina, 23, dari Kota Belud, Sabah dibesarkan di Johor Bahru, Johor. Erwina seorang pengemar muzik sejak kecil lagi. Sejak  zaman persekolahan  Erwina aktif di dalam pertandingan koir yang dianjurkan oleh sekolahnya. Erwina sekarang pelajar peringkat Diploma dalam jurusan muzik di UiTM.

Rozalia Siteo (Achie), 21, dilahirkan di Keningau, Sabah mula menjejakkan kaki dalam dunia nyanyian sejak berada di bangku sekolah.  Selain genre K-pop, graduan jurusan teknologi makmal perubadan itu juga gemar mendengar muzik R&B, jazz, akustik dan balada.

Joyce Antonius  (Joy), 21,  berasal dari Keningau, Sabah ini boleh bermain gitar, piano dan mencipta lagu. Dia juga pelajar bidang muzik di UiTM.

Nooraishah Ibrahim (Chacha), 22,  dari Kuala Lumpur juga sangat meminati muzik dan tarian. Dia mempunyai kelulusan peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan.

Jenny Lim Mei Mei (Mei Mei),  21, dari Sabah pula berdarah campuran Cina, Thailand dan Kadasan Dusun. Dia masih belajar dalam jurusan rekaan dalaman dan amat meminati bidang nyanyian. Mei Mei juga berpengalaman menyanyi beberapa lagu iklan.

“Memandangkan genre K-Pop menjadi kegilaan remaja Malaysia masa kini, saya terpanggil untuk menyahut kekosongan ini di persada muzik tempatan,” kata Hadi yang juga adik kepada Salamiah Hassan.

Mangga Online

20
May

Nurul Ain Terkilan Jadi Cemuhan Ramai

Ditulis oleh wahida othman
  
  

Baru-baru ni kecoh dengan gambar pelakon baru yang dicemuh di blog-blog dan surat khabar kerana dikatakan terlalu alpa mengejar populariti sehingga sanggup menayangkan gambar separa bogel miliknya.

Mungkin ramai yang belum mengenali siapa wanita berani ini, dan mungkin juga ramai yang tidak mengetahui apa niat sebenar wanita ini merakamkan aksi panas sebegini. Bukan mahu mencari publisiti murahan, tapi Nurul Ain Nordin mahu jelaskan hal sebenar.

Tidak pernah terlintas gambar asal yang diambil dengan tujuan gambar poster promosi  dalam filem sulung lakonannya yang berjudul Suatu Malam Kubur Berasap ini tersebar di Internet lantas dijadikan bahan umpatan. Nurul Ain atau Ain mengakui terkilan dan kecewa dengan perkara ini.

Baru memulakan kerjaya dalam bidang lakonan, menurut Ain yang juga seorang model sambilan, dia tidak berniat langsung menjadikan gambar itu sebagai batu loncatan untuk dia mencari populariti, malah dia juga mengaku tidak mengetahui siapa yang sebenarnya menyebarkan gambar itu kepada umum.

“Gambar ini dirakam oleh isteri bos saya di dalam studio kami untuk dijadikan poster filem Suatu Malam Kubur Berasap tetapi ia bukanlah final product, menurut mereka, hanya separuh gambar yang akan digunakan dan di bahagian bawah (bahagian punggung) akan diedit oleh pereka  grafik dengan ifek akar, kurap dan sebagainya untuk diberikan kesan hantu.Tapi tak sangka, gambar asal ini tersebar terlebih dahulu sebelum poster itu keluar.

“Saya tidak tahu bagaimana gambar ini boleh tersebar, dan sewaktu terbaca artikel di akhbar, saya memang terkejut. Saya tidak sangka akan dihemtam dengan begitu teruk.

“Saya dikatakan artis haprak. Bagi saya, saya tidaklah haprak, tetapi saya akur kerana mungkin saya terlalu berfikiran terbuka sehingga sanggup berpakaian sebegitu ketika itu.

“Setelah apa yang berlaku, saya tidak berniat mahu mengambil tindakan pada sesiapa. Mungkin ada orang yang tidak jujur dan bertanggungjawab cuba menyebarkan gambar ini kepada umum, tetapi sekiranya saya ambil tindakan sekalipun, gambar tersebut tetap tidak boleh ditarik semula,” jelas Ain.

Dibuang Universiti?

Baru berusia 23 tahun, Ain sebenarnya masih menuntut di Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), dalam Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik.

Malangnya, semenjak gambar panas ini tersebar di internet dan akhbar, Ain diberikan surat peringatan  daripada universitinya. Biarpun perkara ini masih di dalam perbincangan, namun sekiranya pihak universiti mendapati dia bersalah, maka dia boleh dibuang daripada meneruskan pengajian.

“Inilah kesan yang saya terima setelah akhbar menghentam saya gara-gara gambar itu.

“Saya hanya tinggal satu kertas sahaja lagi, sebelum tamat belajar pada tahun ini, jadi rugi jika saya dibuang kerana perkara sebegini.

“Saya akan berbincang dengan dekan saya, Prof. Madya. A. Razak Mohaideen dan akan menceritakan perkara sebenar tentang gambar itu,” jelasnya.

Ibu Marah-Marah

Masih baru dalam selok belok dunia hiburan ini, ternyata Ain agak kekok menguruskan kontroversi ini. Mengakui dimarahi oleh ibunya, dia juga perlu berhati-hati dimasa akan datang supaya perkara sebegini tidak akan berulang kembali.

“Tak dinafikan, ibu saya sangat marah bila membaca artikel mengenai gambar ini, tapi apa boleh buat ia sudah pun tersebar,” luah Ain.

Ain juga sebenarnya belum bersedia untuk memberi kenyataan kerana takut ia akan disalahanggap sesetengah pihak. Dia bimbang akan dituduh jual publisiti murah. Dia mahu berdiam dulu. Bukan mahu melarikan diri, sebaliknya dia tidak mahu mencari salah mana-mana pihak.

“Saya bimbang kalau-kalau kenyataan saya akan menyinggung hati bos saya. Saya takut kenyataan saya akan menampakkan saya menyalahkan bos saya pula. Bukan itu niat saya,” katanya yang juga bekerja sebagai Penolong Penerbit di Out Loud Studios.

Namun apabila ditemui media selepas selesai menjadi model pada majlis pelancaran buku kompilasi terbaru terbitan Utusan Karya di Saloma Bistro, Kuala Lumpur semalam, Ain tidak mampu mengelak lagi.

“Saya ada tanya wartawan yang mengundang saya, sama ada hari ini ada sesi temu bual atau tidak, dia kata tidak. Tapi tak apalah! Dah anda semua tanya… saya jelaskanlah,” kata Ain yang kelihatan tabah berdepan soalan yang menyentuh pasal maruah dan harga dirinya.

 

 

 

Mangga Online

12
May

Shahir Teman Paling Rapat Dengan Saya… Rozita

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Hubungan cinta Rozita Che Wan dan Shahir AF8 semakin diperkatakan. Mereka payah membuka mulut untuk menjelaskan pasal status hubungan, sama ada hanya sekadar teman sama kerjaya atau lebih daripada itu.

Sekarang Rozita semakin terbuka bercerita pasal hubungan mereka apabila mengakui Shahir sebagai teman yang paling rapat dan akrab dengannya, malah mereka sedang saling mengenali hati budi masing-masing.

Rozita membuat pengakuan itu kepada majalah Harmoni keluaran terbaru yang memuatkan wajahnya sebagai penghias muka depan dengan tajuk, Hampir Setahun Bercinta: Rozita Che Wan Serasi Bersama Shahir.

Kalau mahu tahu lebih lanjut pengakuan Rozita kenalah mendapatkan majalah terbitan Utusan Karya itu.

 

“Apa yang boleh saya katakan, bahawa saya selesa berkawan dengannya. Keperibadian yang ditunjukkan oleh Shahir benar-benar buat saya senangi.

“Walaupun usia Shahir muda lebih belasan tahun daripada saya, namun sifatnya yang matang membuatkan hati saya terpikat,” akui Rozita kepada wartawan majalah itu.

Rozita juga menyifatkan Shahir sebagai seorang lelaki yang budiman, merendah diri dan sangat berlemah lembut apabila berbicara.

Pemikiran mereka juga hampir sama dalam hal-hal tertentu yang memudahkan mereka bertukar pendapat.

Namun Rozita tidak berani meletakkan sasaran lebih-lebih (perkahwinan) kerana mereka masih dalam fasa mengenali hati budi.

Dia juga mengaku sering keluar makan-makan sambil berborak kalau ada masa luang. Maklumlah dia sangat sibuk dengan penggambaran drama.

“Karier dia baru nak bermula, saya bimbang jika apa yang saya cakap boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan boleh buat dia hilang peminat,” kata Rozita yang sekarang sedang menghabiskan sisa penggambaran telefilem Diari Summercamp bersama Shahir di Perlis.

Rozita dan Shahir berlakon seabagai pasangan kekasih dalam drama terbitan Zeel Production itu. Turut berlakon, Tomok, Lia Natalia, Aida AF9, Fir Affandi, Aqiem Othman dan ramai lagi. Drama itu akan ditayangkan di Astro bulan depan.

 

Mangga Online

12
May

Haiza Anjur Show Sendiri

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Nama Haiza bukanlah baru. Malah penyanyi yang popular sebagai artis dangdut itu tidak pernah ketandusan tawaran mengadakan persembahan di merata tempat.

Setelah berasakan semakin matang dalam kerjaya dan mahu melangkah lebih maju dalam bidang seni, Haiza menubuhkan syarikat pengurusan acara, My Own Entertainment Management (MOEM) sejak beberapa  bulan lalu. Dia mahu berubah ke arah lebih maju.

Penubuhannya setelah 16 tahun bergelar anak seni itu, demi mencorakkan urusan kerjayanya lebih sistematik dan mengikut prosedur.

Aktiviti pertama MOEM ialah program Malam Gala Jom Kopi Kopi  (Bersama Haiza) pada 21 Mei ini di Hotel UiTM, Shah Alam, Selangor. Ia sebuah acara yang mengadunkan hiburan, pendidikan dan kebajikan.

“Semestinya acara kemuncaknya ialah persembahan istimewa daripada saya. Saya akan muncul dengan pakej persembahan istimewa kepada semua yang hadir nanti.

“Saya ingin menonjolkan apakah konsep tawaran persembahan saya kalau mengadakan persembahan makan malam,” katanya yang kini bukan lagi penyanyi dangdut sepenuhnya.

Pada majlis itu juga Haiza akan memperdengarkan lagu terbaru berkonsep pop urban ciptaan Omar K berjudul  Marilah Padaku.

“Ini acara pertama kami, selepas ini kami rancang mengadakan pogram lain antaranya bengkel kecantikan, melancong bersama peminat, aktiviti kebajikan dan banyak lagi,” kata Haiza.

 

Mangga Online

8
May

Zed Zaidi Di Kawal Ketat

Ditulis oleh wahida othman
  
  

 


Majlis resepsi perkahwinan gilang-gemilang dan penuh protokol milik pelakon, Zed Zaidi dan isterinya, Nelly Natalia berlangsung dengan sempurnanya di Dewan Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.

Majlis yang bermula seawal 8 malam ini bagaimanapun dikawal ketat oleh 20 orang petugas yang mengiringi pengantin disetiap upacara yang berlangsung sehingga kedengaran rungutan beberapa jurugambar media kerana menyukarkan mereka daripada mengambil gambar pengantin.

Mengakui petugas itu ditaja oleh Epanco, jelas Zed Zaidi, mereka semua telah pun diberi taklimat terlebih dahulu sebelum majlis resepsi ini berlangsung.

Dihadiri oleh lebih kurang 800 orang tetamu, majlis berkonsepkan moden tradisional ini turut dihadiri oleh beberapa orang tetamu terhormat dan rakan-rakan artis antaranya Liyana Jasmay, Fizz Fairuz, Kamal Adli, Misha Omar, Emilda Rosmila, dan Intan Ladyana.

Biarpun penat, namun kedua mempelai bersyukur apabila majlis itu selamat berlangsung dengan jayanya.

“Saya memang risau dengan perjalanan majlis ni, walaupun ada atas pelamin tapi hati saya berdebar-debar, takut ada yang datang tidak ada tempat duduk dan macam-macam perkara lain.

“Alhamdulillah, bila majlis selesai walaupun penat, saya berpuas hati dengan perjalanan majlis ini. Walaupun ada beberapa kekurangan, tapi saya ia tidak mengganggu perjalanan majlis,”jelasnya.

Tamat agenda pernikahan dan persandingan, kini Zed Zaidi dan isteri sedang mencari masa yang sesuai untuk mereka berbulan madu. Memilih Dublin, Ireland sebagai lokasi bulan madunya nanti, Zed berharap dapat bertemu adiknya disana.

“Selain berbulan madu saya mahu melawat adik perempuan saya, Rozleen yang menetap di sana. Dia tidak dapat hadir pada majlis ini, jadi saya akan kesana untuk bertemunya.

“Namun, setakat ini kami berdua masih belum mempunyai tarikh yang sesuai untuk kesana, dan memandangkan cuti tidak lama, jadi kami belum ada tarikh yang benar-benar khusus,”jelasnya lagi.

Tak lengkap sekiranya pasangan pengantin ini tidak menyatakan impian mereka terhadap anak. Mahu segera memiliki anak, Zed tidak sabar mahu melihat wajah anak-anaknya nanti.

“Kalau boleh saya mahukan anak secepat mungkin, dan sebolehnya saya biarlah sebelum saya berusia 30 tahun,”jelas Nelly yang kini baru berusia 28 tahun.

“Saya berserah pada tuhan, itu semua rezeki daripadaNya, tetapi sebolehnya biarlah secepat yang mungkin kerana saya sudah tidak sabar nak lihat anak-anak saya nanti ikut wajah saya atau Nelly,”luahnya.

Majlis resepsi ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi, Zehra Zamri, Adeeb The Fabolous Cats, dan Zizi The Fabolous Cats.

Pasangan ini telah melangsungkan pernikahan pada 29 April yang lalu di Restoran Felda Villa, Kuala Lumpur.

 

Mangga Online