Merai Hari Kemerdekaan
Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto MOHD NAIM AZIZ

AZAM Pit (kiri sekali) bersama Enot dan Syed Ali menghiburkan pelajar Sekolah Kebangsaan Setapak Indah minggu lalu.
ANTARA sedar atau tidak, hampir 54 tahun negara Malaysia yang tercinta mencapai kemerdekaan. Dalam usia yang cukup matang ini, kita tidak pernah lupa pada jasa dan pengorbanan yang telah ditabur oleh orang terdahulu.
Tidak pernah melupakan apa yang telah dikorbankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu, sambutan Bulan Kemerdekaan sudah bermula di pelbagai peringkat termasuklah di sekolah.
Pada 23 Julai yang lalu Pancaindera berkesempatan singgah ke Sekolah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur bagi meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Pengisian program bukan sekadar berkisar pada sambutan kemerdekaan semata-mata tetapi dalam masa yang sama turut diadakan Karnival Keusahawanan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mengumpul lebih seribu tetamu pada hari tersebut.
Pelbagai aktiviti yang telah diatur oleh pihak sekolah untuk menyemarakkan lagi rasa cinta pada negara di samping menghargai keamanan dan kedamaian yang dikecapi oleh kita selama ini.
Tidak terhenti daripada terus menyubur rasa bersyukur atas nikmat dan kurniaan daripada-Nya, rata-rata pelajar sekolah itu cukup teruja dengan sambutan yang diadakan.
Untuk golongan artis pula, ini merupakan peluang terbaik untuk turut sama menyemarakkan lagi rasa berkobar-kobar itu. Setidak-tidaknya mereka akan menjadi pencetus semangat untuk terus menjunjung megah apa yang sudah ada.
Pagi itu perkarangan sekolah penuh sesak dengan kehadiran para pelajar dan ibu bapa. Selain acara gerai pameran dan jualan oleh pelajar dan ibu bapa terselit juga pentas kecil yang digunakan oleh artis kita untuk membuat persembahan.
Ternyata kehadiran beberapa artis popular tanah air seperti Zain Saidin, Enot Abdullah, Syed Ali, Azam Pit, Munir, Mohd Mentor dan Hairi Safwan Aznan sudah cukup untuk membuat pelajar-pelajar sekolah teruja dengan kunjungan mereka ini.
Bukan seperti acara konsert mahupun persembahan besar yang lain, barisan artis ini cukup santai menghiburkan peminat dengan sisi yang berbeza.
Kelibat Enot dan Syed Ali yang bertindak selaku pengacara sudah cukup untuk membuatkan dataran sekolah itu riuh dengan gelak tawa yang tak henti-henti. Ada sahaja usikan mereka terhadap kelompok pelajar sekolah yang memenuhi sekeliling pentas.
Bagi Mohd pula, ini merupakan kunjungan kali pertama dia ke sekolah untuk membuat persembahan dan sudah pasti dia cukup teruja kerana berpeluang turun padang bersama artis lain.
‘Ini bukan sekadar acara nyanyian dan acara suka-suka. Memang ini peluang yang jarang saya dapat sebenarnya. Dapat duduk dan bermesra dengan pelajar sekolah memberikan satu pengalaman baru pada saya.
‘Lagipun ini merupakan permulaan bagi sambutan Bulan Kemerdekaan yang akan disambut tak lama lagi. Jadi selain berhibur artis yang hadir juga boleh sama-sama meniup semangat pada pelajar,’ jelas pelakon ini lagi.
Munir yang cukup popular dengan kumpulan Phyne Ballerz satu ketika dahulu cukup seronok melayan keletah kanak-kanak yang begitu meminati dirinya apatah lagi dapat menyumbangkan sebuah lagu baru untuk peminat kecilnya.
‘Ini merupakan pengorbanan kecil saya. Kalau nak dibanding dengan pejuang yang dahulu mungkin macam langit dengan bumi bezanya. Kalau tidak dapat berjuang macam orang dahulu, cukuplah saya dapat tiup semangat untuk semua pelajar sekolah.
‘Paling tidak acara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan antara saya dan anak-anak sekolah di samping dapat meraikan bulan Kemerdekaan ini,’ katanya.
Utusan
Jelas Hubungan Dengan Pengkid
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my

JANGAN terkejut kalau anak kelahiran Kundasang, Sabah ini mengakui bahawa dia lebih selesa berkawan dengan lelaki berbanding dengan perempuan.
Alasannya, kebanyakan kaum Hawa kadangkala tidak boleh menerima cara dia bergurau senda. Ada masanya terlalu kasar dan tidak tertib menerusi bahasa badan dan bicara kata.
‘Sejak membesar bersama tiga abang dan sepupu lelaki di kampung sejak kecil sampai sekolah menegah. Bersama mereka saya bermain dan melakukan aktiviti harian. Cakap saja apa juga permainan lasak, semuanya pernah saya main.
‘Panjat pokok, lambung duit syiling, main baling selipar atau galah panjang, semuanya dilakukan bersama dengan budak lelaki,’ dedahnya mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.
Naib Juara Akademi Fantasi 8 (AF8) ini juga mengatakan bahawa perangai lasak dia menyebabkan dia tak punya ramai kawan perempuan. Apatah lagi apabila kebanyakan mereka lebih suka duduk di rumah, tak suka jalan jauh dan macam-macam lagi.
Sedangkan dalaman Adira penuh dengan sikap kelakian. Gemarkan sesuatu aktiviti yang boleh mencabar fizikal dan mental.
Atas sikap itu juga, catatan perjalanan seni Adira dicacatkan dengan cerita kurang enak tentang cinta songsang apabila dia berkawan dengan golongan pengkid.
Khabar negatif itu tersebar termasuk melibatkan satu insiden kemalangan apabila kekasih Adira, Hafiz AF dikatakan sengaja menolak seorang perempuan berperwatakan semacam lelaki, Zack pada Mei lalu.
‘Sebenarnya, ramai yang salah tafsir dengan kejadian itu. Saya didakwa punyai kecenderungan dengan sama jantina dan macam-macam lagi. Sebaliknya, saya masih lagi waras.
‘Saya selesa berkawan dengan golongan sebegitu. Mereka juga manusia biasa. Dan jangan salahkan mereka andai mereka berwatakan begitu. Tak adil bukan,’ soalnya semula.
Mengulas pernyataan Adira yang seolah-olah membela golongan pengkid, wanita berusia 19 tahun ini berulangkali menegaskan bahawa dia bukan jenis gemar melabel manusia.
‘Saya bukan nak membela golongan itu. Cuma saya beranggapan bahawa kita tak boleh terlalu rigid dengan penilaian mata sendiri. Janganlah disebabkan penampilan mereka yang semacam lelaki itu, kita dah cakap yang macam-macam bukan?
‘Saya pula jenis yang selesa berkawan dengan semua orang. Tak kira sama ada lelaki atau perempuan. Selagi mereka tak buat jahat dengan saya, tak jadi masalah,’ jelasnya.
Mengajukan persoalan sama ada penyanyi yang lahir pada 19 September 1991 ini sudah bosan dengan stigma yang menyebabkan personaliti wanitanya seringkali disalah faham oleh sesetengah pihak, Adira terdiam.
‘Bagi saya cukup-cukup cerita ini. Saya memang tak boleh nak jaga hati semua pihak. Tapi saya tak boleh nak halang bila orang masih bercakap tentang perkara ini. Biarlah, bila dah penat nanti, pasti berhenti.
‘Yang pasti, semua orang ada kisah silam mereka sendiri dan saya tak terkecuali. Adira dulu yang tomboi sudah tak ada lagi. Masa berlalu dengan cepat dan saya menganggap apa yang berlaku adalah asam garam kehidupan,’ katanya jujur.
Katanya, kudrat kecilnya tak terdaya untuk melawan lemparan kata-kata negatif terhadapnya. Kalau pun ada ketikanya Adira merasakan sesuatu tuduhan itu melampau, namun hanya ada satu perkara yang terdaya dilakukannya iaitu berdiam diri.
Utusan
Saya Mangsa Keadaan- Fazura
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
Solekan NAJIB (0122116962)
Pakaian RIZMAN RUZAINI (0174766004)

Fazura
CUACA panas membahang, tetapi petang itu kelihatan begitu sempurna. Cuaca yang indah dan di sebalik senyum yang tersungging, dia….memang sangat cantik.
Usai didandan, gaun merah melekap di badan dan dia mula bercanda dengan lensa.
‘Hmm, sudah lama tak jumpa orang Pancaindera. Lama sangat Faz tak jadi penghias muka depan Pancaindera ni,” katanya dalam manja yang mempesona.
Memang lama benar kami tidak bertemu, sementelah dia bukanlah artis yang ‘gila’ kepada publisiti murahan.
Tidak juga mudah melayan cerita-cerita kontroversi, Fazura biasanya memilih ‘diam’ daripada berkata-kata, demi menyelamatkan keadaan.
‘Beginilah kehidupan Faz dari dulu sampai sekarang. Kalau ada benda tentang kerjaya yang mahu diceritakan, Faz bersedia muncul di media.
‘Tetapi kalau tentang personal, kisah kontroversi, maaflah, Faz tidak perlukan itu semua kerana selama ini orang kenal Faz dengan bakat, bukan kerana cerita panas,” katanya, memulakan bicara penuh sopan.
Ditanya tentang kehidupan, seperti dulu juga, mulutnya bak bertih kalau bercerita tentang kerjaya. Lakonan kekal di persada utama dan dia masih menerima rezeki besar daripada tugas jurucakap produk ternama.
Bariskan jenama antarabangsa, ya, dia memang ahlinya. Kalau tidak masakan Lux, Nutox, Hairdream dan Avon sanggup membayar ‘wang besar’ untuk memiliki aura pesonanya.
‘Jadi duta produk ni, apa yang Faz paling suka ialah dapat bertemu dengan penggemar di luar Kuala Lumpur. Sibuk membawa nama produk yang Faz wakili ke sana sini, memberi peluang untuk Faz bertemu orang ramai dengan lebih dekat.
‘Ini yang Faz mahukan,, bertemu orang ramai secara terus. Awal 2011 itulah tugasan yang membuatkan Faz menjadi terlalu sibuk.
‘Kepuasan bertemu dan ramah mesra, berkenalan dan kenal siapa yang sebenarnya menyokong Faz selama ini adalah satu keindahan yang besar dalam kerjaya Faz sebagai anak seni,” katanya yang kembali bertandang di ruang tamu rumah kita melalui drama kontroversi, Tahajud Cinta.
Bakal ke lokasi seterusnya bagi menjayakan Kitab Cinta sepanjang Ramadan ini untuk sambutan Aidilfitri, Fazura mengakui semakin lama dalam dunia lakonan, cintanya terhadap bidang yang satu ini semakin subur mengharum.
‘Orang selalu bertanya Faz, setelah sekian lama berlakon, dalam kehidupan apa lagi yang Faz mahukan?
‘Itu soalan yang susah untuk dijawab sebenarnya. Dalam lakonan Faz tak pernah memperoleh kepuasan maksimum.
‘Faz berasa semakin lama dalam bidang ini, masih banyak yang perlu Faz cari, yang perlu digali.
‘Sementelah kita orang seni, rezeki kita melalui cabang ini. Kita tidak boleh buat main-main dengan sumber rezeki.
‘Sebab itu, sehingga hari ini, lakonan masih menjadi persoalan penting dalam diri Faz. Setiap babak dan setiap watak adalah peluang untuk Faz mencari kesempurnaan dalam bidang lakonan.
‘Selagi minat terhadap lakonan tidak terhenti, selagi itulah Faz akan terus berlakon,” katanya.
Sibuk menguruskan kerjaya lakonan dan sebagai wajah eksklusif pelbagai jenama popular, hampir 10 tahun berlakon, tidak ada istilah rehat bagi dirinya.
Meskipun jarang muncul di dada akhbar dan majalah, kerja seninya masih menimbun sekaligus membuktikan Fazura kekal laris.
Berasa diri disayangi
Meskipun sudah dijadikan syarat awal supaya tidak terlalu dalam ‘mengorek’ cerita peribadi, ia tidak mungkin terkecuali.
Ternyata, bukan mudah mengorek cerita tentang rahsia hatinya. Meskipun tahu kasih pelakon asal Pahang ini dengan seorang kenamaan masih berlangsung dan utuh, susah untuk mengesahkan daripada mulut empunya diri. Biarlah kekal menjadi teka-teki.
‘Dari dulu lagi Faz memang bukan jenis artis yang suka bercerita tentang hal peribadi. Minta maaf sangat sebab itu memang karakter Faz.
‘Maklum sajalah, Faz perempuan, tak boleh bercerita lebih-lebih soal cinta sebab nampak macam tak manis,’ katanya, mohon pengertian.
Menurut Fazura, selain tidak mahu dikatakan ‘syok sendiri’ seboleh mungkin dia menutup mulut daripada berbicara tentang hati dan perasaan supaya ia tidak disensasikan orang.
‘Cuma apa yang Faz boleh beritahu ialah Faz sangat bersyukur dengan kehidupan hari ini. Hal-hal lain, tak perlulah hendak diceritakan banyak kerana saya menerima kehidupan ini dengan seadanya sahaja,” katanya lagi.
Mengakui pada usia mencecah 28 tahun, soal jodoh dan pernikahan tidak boleh ditepis, namun Fazura lebih selesa menyerahkan percaturan hidupnya kepada Yang Maha Esa.
‘Sebagai perempuan, tidak dinafikan dalam doa selalu kita berharap untuk mendapat seorang lelaki yang baik, sayangkan kita dan beriman.
‘Bagaimanapun kita hanya manusia. Faz selalu percaya, Allah mempunyai perancangan yang paling baik untuk diri Faz dalam soal berkaitan dengan jodoh. Jadi tak perlu risau sebab segala-galanya sudah ada dalam kalam-Nya,” katanya lagi.
Sampai waktu dan ketika, akan datang seorang lelaki terbaik untuk masa depan dirinya, menjadi bapa kepada anak-anak yang bakal dilahirkan, itu yang dipegang.
Pun apa yang penting, biarlah lelaki yang bakal menjadi ketua keluarganya kelak adalah seorang lelaki yang boleh mengasihinya setulus hati, sanggup bersusah dan senang, bagaimana ayah dan ibu menjaganya sewaktu kecil.
‘Tak kira siapa jodoh itu, yang penting dia boleh menggembirakan Faz. Hidup kita ni sekejap sahaja, Faz selalu berdoa supaya bertemu dengan lelaki yang boleh jaga dan sayangkan Faz setulus hati.
‘Perkahwinan bukan hanya untuk sehidup dan semati. Kalau boleh, kita mahu bertemu dengan pasangan kita sampai ke akhirat.
‘Jadi, untuk bercakap tentang jodoh dan pernikahan bukan sesuatu yang mudah bagi Faz kerana lebih baik kita serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa,” katanya.
Dalam kehidupan, menurut Fazura dia tidak mahu meminta lebih. Cukup sekadar berasa diri disayangi dan dikasihi oleh Sang Pencipta.
‘Selama ini hidup Faz cukup sempurna, terasa sangat diri ini disayangi oleh Yang Esa kerana setiap permohonan Faz kepada-Nya mudah dimakbulkan.
‘Tak ada apa lagi yang nak minta selain menurut perintah dan tanda bersyukur terhadap apa yang dikurniakan. Kalau jodoh belum sampai, tak perlu hendak menangis bersedih kerana Allah ada rancangan terbaik untuk Faz dimasa depan dan kita tak boleh mendahului takdir Allah,” katanya lagi, seperti berfalsafah.
Enggan layan cerita murah
Menyentuh mengenai isu membabitkan soal pertelingkahan dengan seorang pelakon baru, Fazura mahu kenyataan yang diberikan ini yang terakhir di media.
Bagi Fazura, melayan persoalan remeh temeh sebegitu, hanya menjamin kerugian bagi pihak diri sendiri.
‘Dalam hal berkenaan, saya berasakan diri saya sebagai mangsa keadaan. Tetapi biarlah, perkara remeh-temeh dan cerita murahan tak perlu dilayan sangat.
‘Jika untungkan orang lain, biarlah pihak berkenaan saja yang mainkan isu. Matlamat awal saya jadi anak seni yang cari makan dalam bidang ini untuk berlakon, bukan muncul di dada akhbar dengan cerita murahan dan gosip tidak berasas.
‘ Ini penjelasan terakhir, saya tak akan menjawab lagi soalan tentang artis baru itu. Tolonglah bantu saya untuk tidak melayan cerita murahan. Ini sandiwara yang menguntungkan orang lain yang dalam masa sama sangat merugikan saya,’ katanya, tegas.
Menurut Fazura, cerita pertelingkahan itu tidak ada nilai langsung dan tidak perlu diberikan perhatian besar.
‘Apa yang lebih penting lagi, saya tidak mahu melayan niat jahat orang lain terhadap diri sendiri, kehidupan saya dan orang-orang yang saya sayang.
‘Sekalipun ada pihak yang mahu ‘meracun’ masyarakat dengan cerita tidak benar, saya serahkan kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana,” katanya.
Penjelasan Fazura ini tanpa berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak, tetapi dengan rendah diri dia memohon agar pihak media tidak lagi mengaitkan dirinya dengan pelakon baru atau sebarang sensasi yang tidak menguntungkan.
Petang sudah berlalu dan langit tidak lagi biru di atas.
Saya teringat kata-kata akhirnya ” Nama saya Nur Fazura, dan saya mahu menjadi sahabat kepada semua orang, bukan musuh sesiapa kerana di sisi Tuhan, kita semua adalah sama.”
Utusan
Octopus Couples Get Touchy-Feely In Public
WITH arms and legs entwined, snaking around each other like tentacles, these couples are too caught up in their private moments of passion that they are oblivious to embarrassed glances from members of public.
‘Octopus couples’, as they have been termed by STOMPers frustrated by their unabashed amorous antics, have been spotted in buses, trains, void decks and even shopping centres in all manner of compromising positions.
Such sights are common these days with positions escalating to ‘koala hugging’- another term coined by STOMPers to describe a position where usually a girl sits facing her partner, straddling him.
‘If couples do this in public, the youth will follow as well,’ said Govinda Raju, a senior technician who is a parent to two teenagers.
Despite being modern and liberal, 20-year-old NSF Siddiq Poh said that he felt ‘Singapore is an Asian society that is still not ready for such things’, and he himself ‘would feel awkward’ if he saw such intimate scenes in public.
His female friends, polytechnic students Seet Yu Ai and Rennie Peen added that a particular STOMP contribution where a male was holding onto his girlfriend’s chest on the bus was ‘not loving, but obscene.’
They also managed to come up with other comical names for some of the dubious positions people have been caught in. Watch RazorTV for more.
Straits Times
Juara Milik Nor Asma & Nurul Faizatul
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Nor Asma Che Som, 25, tersenyum bangga dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya kategori b.
SAMBUTAN yang diterima sepanjang Fiesta Bera 2011 berlangsung dua minggu sudah memang cukup hangat. Namun jangan tak tahu, tempias kemeriahan fiesta juga turut dirasai semua peserta pertandingan Ratu Kebaya Pahang Mak Dara 2011!
Merupakan lokasi keenam selepas Melaka, pertandingan kali ini telah disertai seramai 25 peserta yang tentunya bukan sahaja dari daerah Bera, tetapi seluruh negeri Pahang.
Diadakan di Tapak Expo Daerah Bera, pertandingan kali ini telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Nurul Faizatul Othman, 24.
Kemenangan Faizatul dilihat cukup istimewa kerana selain telah bergelar ibu, dia juga telah mengejutkan barisan juri apabila mendedahkan bahawa dia bertugas sebagai seorang anggota polis berpangkat konstabel.
Juri yang dibarisi oleh pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib dan dua pelakon terkenal iaitu Abby Abadi dan Neelofa ternyata kagum dengan bakat yang ada pada Faizatul meski dia dilihat memiliki ciri-ciri kelembutan dan keayuan seorang wanita Melayu.
Menurut Faizatul, misi utama dia menyertai pertandingan adalah untuk membuka mata umum bahawa tidak semua wanita yang bertugas sebagai anggota polis tidak boleh menyertai pertandingan ratu sedemikian.
‘Sebagai anggota polis, saya sememangnya dilatih dengan disiplin yang ketat dan diterapkan dengan komitmen yang tinggi terutama ketika menjalankan tugas.
‘Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mempunyai kelembutan sebagai seorang wanita Melayu. Jadi saya mahu buktikan bahawa saya juga boleh lakukannya seperti ratu-ratu cantik yang lain.
‘Lagipun tak salah saya mencuba, ‘ katanya.
Kemenangan Faizatul sekali gus melayakkan dia pulang dengan gelaran juara Ratu Kebaya Pahang Mak Dara untuk kategori A yang dikhaskan kepada wanita yang mempunyai berat badan 59 kilogram ke bawah.
Keterujaan tentunya semakin terserlah di wajah Faizatul apabila dia diumumkan turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest’ Secret bernilai RM500 serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia.
Menumpaskan 15 peserta yang lain, kemenangan Faizatul itu turut menyaksikan Fatin Yang Maida Ramli, 24, sebagai naib juara manakala Rosmaliza Rameli, 25, pemenang di tempat ketiga.
Sementara itu, untuk kategori B (60 ke atas), juri telah sebulat suara memilih Nor Asma Che Som, 25, yang merupakan seorang suri rumah dan juga ibu kepada seorang cahaya mata.
Pulang membawa hadiah wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest’ Secret (RM500) serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia, Nor Asma ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah bergelar juara.
Menurut Nor Asma, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut apalagi penyertaan itu pada awalnya disertai secara suka-suka selain berniat mahu mencuba nasib.
‘Tak sangka pula menang. Saya anggap ini rezeki anaklah. Apa yang menyebabkan saya lebih terharu, sebelum saya masuk pertandingan ini, ramai di antara kawan-kawan yang memandang rendah.
‘Iyalah..sebab saya ni montel. Tapi saya tetapkan juga keyakinan bahawa saya boleh lakukannya dan ternyata saya berjaya membuktikannya sekarang,’ katanya bangga.
Kemenangan Nor Asma diikuti oleh Hafidah Abdul Malik, 28, meraih tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Rosmawati Rahmat, 29.
Sementara itu, pencarian Ratu Kebaya di Negeri Sembilan, Johor Bharu dan berikutnya, akan diteruskan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai, sila dapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini yang akan dimaklumkan menerusi sisipan Pancaindera dari semasa ke semasa.
Utusan
Bahana Minyak Dagu
SEBUT saja ‘minyak dagu’ bayangan misteri mula menjengah fikiran masyarakat.
Bukan saja mencetuskan kebimbangan serta membuat orang lain menderita jika terkena minyak sihir atau guna-guna itu, malah masih ada yang sanggup menggunakannya sekalipun ditegah Islam.
Pengajaran daripada kesan buruk amalan minyak dagu menarik minat MIG untuk muncul bersama sebuah lagi karya seram bertajuk Minyak Dagu arahan Azhari Zain.
Ia menggandingkan pelakon sedang meningkat, Fezrul Khan bersama Yana Samsuddin selaku pasangan utama.
Barisan pelakon lain yang menjayakannya juga bukan calang-calang seperti Maimon Mutalib, Mior Hashim Manap, Kartina Aziz, Zul Suphian dan Wan Hanafi Su. Nama mereka sudah cukup hebat untuk mengikat filem ini agar menjadi karya yang kuat kelak.
Menceritakan mengenai filem itu, Azhari ketika ditemui berkata, karya berkenaan diketengahkan untuk memberi mesej dan pengajaran berguna kepada masyarakat.
“Tidak kira berapa banyak filem yang saya arahkan, paling penting, setiap satu mesti menyelitkan mesej yang membina kepada penonton.
“Mungkin minyak dagu bukan satu isu baru, tapi ramai masih kurang faham mengenai kesan buruknya. Saya rasa penggunaan minyak dagu jarang-jarang diketengahkan dalam filem.
“Apapun pembikinan Minyak Dagu menarik kerana penulis skrip, Meor Shariman Meor Shafie banyak membuat penyelidikan.
“Ini dapat memberi gambaran lebih tepat untuk diterjemahkan dalam filem apatah lagi orang lebih banyak mendengar namun tidak tahu akibat minyak dagu boleh membuat orang lain sengsara,” katanya pada majlis doa selamat dan pelancaran filem Minyak Dagu di Wisma MIG, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Azhari sinonim dengan pengarahan filem seram antaranya, Santau, Mantra, Flat 3A dan Keramat.
Fezrul, 29, yang membintangi filem kedua MIG selepas Sumpahan Kum-Kum, mengakui teruja dengan prospek lakonan filem Minyak Dagu.
“Minyak Dagu? Ada pelbagai cerita didengar daripada orang tua, tetapi tidak tahu bagaimana minyak dagu diperoleh dan tujuan penggunaan.
“Saya sendiri berdebar diberi watak sebagai Azman yang pasif dalam filem itu. Apapun saya harap cabaran bekerja bersama Azhari memberi pengetahuan baru buat saya,” katanya.
Yana, 26, kali kedua membintangi filem seram selepas Histeria terbitan Tayangan Unggul pada 2009 arahan James Lee.
“Minyak Dagu menyusul selepas telemovie Kubur Tak Bertanda dalam slot Astro Citra sebelum ini. Saya teruja membintangi Minyak Dagu kerana meneruskan kesinambungan berlakon bersama ramai pelakon terkenal. Saya pernah bergandingan bersama Pierre Andre dan Shaheizy Sam dalam filem MIG.
“Apa diharapkan saya dapat merasa dan mencungkil rasa ingin tahu mengenai minyak dagu yang dikatakan diambil daripada mayat wanita meninggal dunia.
Menarik untuk diketahui,” katanya memegang watak sebagai Emelda.
Filem berkisar mengenai pasangan Azman dan Emelda sudah bertunang yang merancang untuk berkahwin. Namun sikap Azman yang kedekut membuatkan ibu bapa Emelda, Mak Ainon dan Pak Leman lebih senang dengan Dr Johan, bekas teman lelaki Emelda.
Disebabkan keluarga Emelda memilih Dr Johan sebagai menantu, Azman menggunakan ilmu sihir terhadap Emelda.
Minyak Dagu baru memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Harian Metro
Perang Eina & Bkay Belum Selesai!
Ditulis oleh wahida othman

Bermasam muka selepas terjerat dalam satu kontroversi, hubungan dua orang pelakon baru, Eina dan Bkay Nair dikatakan masih lagi belum pulih. Kedua-dua masih teguh mempertahankan diri masing-masing membuatkan tiada jalan perdamaian ditemui buat ketika ini.
Biarpun sudah lebih lima bulan filem Ratu yang dikatakan menjadi punca perbalahan ini tamat tayangannya di seluruh panggung, namun perang dingin antara kedua-dua artis ini masih lagi belum tamat.
Ia berikutan beberapa perbalahan yang berlaku sewaktu filem Ratu mula ditayangkan pada Februari lalu, selepas Eina dikatakan cuba mencetuskan kontroversi apabila dikhabarkan menjadi dalang yang bertanggungjawab menyebarkan gosip, Abd Latiff mempunyai skandal dengan Pengurus Koordinasi dan Perhubungan Awam, anak syarikat Lineclear, Wayang Studios International (WSI), Tryambikay Vendages Nair (Bkay) yang heboh diperkatakan orang di persada seni tanah air ketika itu.
Biarpun masing-masing sudah mengeluarkan kenyataan di media-media, namun hubungan itu nampaknya tidak juga menemui penyelesaian.
Bertembung dalam majlis The Blue Kebaya Showcase yang diadakan di The Weld semalam, Eina dan Bkay kelihatan tidak betah untuk beraksi dihadapan satu lensa yang sama, masih terpancar kedinginan yang tidak dapat disorokkan oleh wajah dan aksi mereka ketika itu, Bkair dan Eina kemudiannya mengaku, mereka masih belum bertegur sesama sendiri.
“Selepas apa yang terjadi, tidak ada sebarang bentuk perhubungan antara pihak saya dan dia. Biarpun sebelum ini, ada pihak ketiga cuba menjernihkan hubungan antara saya, dia dan pihak Ratu The Movie, tapi tidak juga berjaya.
“Memang filem sudah lama keluar panggung, namun perkara ini masih belum selesai, dan saya juga masih belum menerima bayaran yang sepatutnya lagi.
“Tentang saya dan Bkair, sememangnya saya sudah agak kami akan bertembung di mana-mana majlis, kerana industri kita bukanlah terlalu besar untuk menyorok antara satu sama lain, tapi setakat ini jika bertembung sekali pun, kami tidak pernah bertegur siapa dan biasanya, kami hanya buat hal masing-masing,”jelas Eina.
Enggan berlakon bersama
Selepas apa yang berlaku pada dirinya, jelas Eina, hatinya masih belum bersedia untuk bekerjasama dengan Bkay. Namun, setiap yang berlaku pada masa lalu tetap menjadi pengajaran untuknya di masa akan datang.
“Serik untuk berlakon itu memang tidak ada dalam diri saya, apa yang berlaku sebelum ini saya jadikan pengajaran untuk saya terus berusaha dimasa akan datang.Saya berterima kasih pada mereka yang banyak menasihati agar saya lebih berhati-hati selepas ini.
“Untuk berlakon dengannya (Bkay) itu saya rasa tidak. Kalau ada yang tahu situasi antara kami, mereka mesti faham. Saya tidak boleh memaksa perasaan untuk berbaik sedangkan dalam hati masih terasa pedihnya, jadi untuk itu, saya rasa eloklah jika kami tidak lagi bergandingan,”jelas Eina.
Menyanyi
Baru berusia 16 tahun, Eina bukan sahaja mahu menceburi bidang lakonan, tetapi gadis cantik ini juga sedang dalam proses untuk menghasilkan single pertamanya yang akan mula dirakamkan selepas raya nanti.
“Saya baru saja selesai penggambaran drama Pucuk Muda Kerabu Tauge, dan selepas ini saya akan berehat sementara ramadhan. Sepanjang ramadhan saya akan tumpukan sepenuhnya untuk meneliti single terbaru saya yang bakal dirakamkan selepas raya nanti.
“Saya memang meminati bidang nyanyian, malah dari awal lagi saya masuk kedunia hiburan ini, saya sudah memilih untuk menjadi penyanyi, namun entah bagaimana rezeki dalam bidang lakonan nampak lebih mendahului.
“Untuk single ini saya memilih lagu daripada Adnan Abu Hassan, sebab saya memang meminati lagu-lagu hasil sentuhannya,”jelas Eina yang tidak menggunakan mana-mana syarikat rakaman untuk menghasilkan singlenya ini.
Mangga Online
Saya Tidak Semurah Itu – Watie
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

Berdoa agar rumah tangga ketiga bersama Joey kekal selamanya.
BBERITA baik yang dikhabarkan oleh pelakon Norwatie Sadali atau mesra dipanggil Watie ini sememangnya sudah dijangka.
Bekas anggota kumpulan Elite ini dilihat matang dan benar-benar serius dengan pilihan hatinya, untuk sama-sama melangkah sekali lagi ke alam perkahwinan.
‘Memang betul, saya dan Joey sedang kumpul duit sekarang ini. Nak buat kenduri kahwin lepas raya nanti,’ kata Watie.
Wanita ini kemudian menyambung, ‘Kalau boleh kami mahu meraikan hari bahagia sambil bersedekah makan pada tetamu. Nak ajak juga semua kenalan datang memeriahkan majlis kami,’ bicaranya.
Panahan mata yang menyertai pertemuan di lokasi penggambaran drama berjudul Antara Maghrib & Isyak terbitan Suhan Movies di Saujana Utama, Sungai Buloh Selangor, Selasa lalu membenarkan kata-katanya.
‘Sebenarnya, kami sudah fikir masak-masak tentang perkara ini. Sebagai orang dewasa yang telah menempuhi pelbagai pengalaman hidup dan fasa gelap masing-masing.
‘Tak salah kalau kami meneruskan hasrat murni untuk bernikah secara baik. Apatah lagi bila sudah tak punya komitmen dengan orang lain.
‘ Atas sebab tersebut, tidak ada alasan lain untuk melengah-lengahkan perkara yang baik ini,’ dedah wanita ini satu persatu.
Itu termasuk menunggu kes perceraian Joey bersama Noraini Nasir yang masih dalam prosiding perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat Kajang, Selangor itu selesai.
‘Kami ada rancangan tersendiri untuk perkahwinan ketiga ini. Antaranya berhajat nak bersanding. Itu adalah impian kami sebab sebelum ini tak diberi peluang untuk duduk di pelaminan. Nak juga merasa debaran raja sehari.
‘Secara peribadi saya memang dah tak sabar menunggu hari penting itu. Sebab saya dah cukup bersedia memikul tanggungjawab baru,’ dedah wanita yang sudah tujuh tahun hidup bersendirian tanpa ditemani insan bergelar suami ini.
Malah apa yang lebih menggembirakan hatinya apabila anak tunggal Watie, Ahmad Afif Daniel, 7, turut merestui hajatnya itu.
Afif begitu ceria selepas mengetahui tentang hubungan mereka dan tak sabar-sabar untuk mendapat ayah baru.
Bukan punca penceraian
Sebenarnya, Watie mengakui bahawa dugaan hidupnya tak pernah berhenti. Sering dihimpit dengan pelbagai cerita kurang manis termasuk cerita kurang enak mengatakan Watie adalah perosak rumah tangga antara Joey dengan Noraini.
‘Sebenarnya saya dah tak sanggup lagi nak dengar banyak versi cerita tak betul tentang hubungan kami. Sekali lagi saya menegaskan bahawa saya bukan punca perceraian Joey.
‘Saya mengenali Joey dalam keadaan dia tak ada lagi hubungan dengan mana-mana perempuan. Saya sendiri tak sangka boleh jatuh cinta dengan dia selepas berlakon dalam drama Blues Pasar Tani,’ hujah Watie menyentuh persoalan berkenaan.
Isu duduk serumah
Dalam perkembangan yang berkaitan, Watie turut menafikan bahawa dia pernah duduk serumah dengan Joey. Gosip keterlaluan itu disambut dengan penafian.
‘Maaf, saya bukan semurah itu. Cerita tentang perkara ini memang keterlaluan tapi saya masih boleh bersabar. Sebab saya tahu siapa yang menyebarkan gosip ini.
‘Yang penting saya dan Joey tahu batas pergaulan kami. Itulah risiko yang perlu diambil bagi pemegang status duda dan janda.
‘Sebab itu, saya tetap tak mahu ulas perkara ini. Bimbang juga kenyataan yang saya keluarkan ini boleh menyebabkan ada pihak yang terasa hati,’ katanya jujur.
Sakit & anak perempuan
Membuka lembaran kesakitan yang dialami Watie sebelum ini menyebabkan pelakon drama Mimpi Sabrina ini mengucap panjang. Rasa syukur kerana penyakit yang dialaminya tidak begitu serius.
Semuanya berlaku usai penggambaran drama berjudul Jangan Hantar Ku Ke Neraka bersama Allahyarham Faizal Yusof penghujung tahun lalu. Apabila Watie terlalu tertekan melakonkan babak antagonis.
Kesan dari itu, seluruh badan kirinya terasa kebas-kebas. Mengganggu keseluruhan aktiviti rutinnya sehingga perlu membuat rawatan akupuntur.
Seiring dengan itu, Watie dikaitkan dengan seorang gadis remaja berusia 14 tahun dari Johor yang mendakwa dirinya adalah ‘anak luar nikah’ penyanyi tersebut.
‘Saya tak mahu komen pasal perkara itu. Biarlah saya menyelesaikan sendiri. Lebih baik saya pendam kebenaran dari memburukkan keadaan.
‘Lagi pun, saya sedang dalam proses berubat penyakit kebas ini. Doktor cakap penyakit saya tak serius tapi saya tak boleh dalam keadaan tekanan,’ ujarnya minta dimengerti.
Pada masa yang sama, Watie menganggap semua dugaan yang menimpa secara bertubi-tubi itu ada hikmahnya. Baginya, Tuhan tidak akan memberi kebahagiaan kepada hambanya secara total. Ia bergantung kepada persediaan dan cara penyelesaian di pihak individu tertentu.
Utusan
Animasi Anak Malaysia Di Pentas Dunia
Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto JEFFRI IRAN

Rentetan daripada itu, animasi Re-Entry telah pun mendapat pengiktirafan oleh Naib Presiden STS, Samuel Coniglio sebagai muzik video pelancongan angkasa pertama dunia melalui runut bunyi Ticket to the Moon yang dinyanyikan oleh kumpulan Subculture.
MUNGKIN ramai yang masih belum mengenali pemilik nama Norul Rafidi Zakaria ini. Di sebalik senyum yang tak putus-putus terukir di wajahnya itu, dia menyimpan cerita yang cukup menarik untuk membuatkan sesiapa sahaja buka mata.
Siapa sangka apa yang dikecapi oleh Rafidi cukup besar kesannya. Berpeluang mempersembahkan animasi filem Re-Entry Animated yang bakal ditayangkan di perjumpaan Persatuan Antarabangsa untuk Kemajuan Keselamatan Angkasa Lepas (IAASS) Kelima pada bulan Oktober ini, impiannya kini hanya tinggal selangkah sahaja lagi.
Dalam persidangan yang akan diadakan antara 17 hingga 19 Oktober di Paris itu, Rafidi bakal mempersembahkan filem animasi tiga minit (trailer) berkaitan dengan filem animasi pelancongan angkasa pertama dunia kepada pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Agensi Angkasa Eropah (ESA), Agensi Penerokaan Aero-Angkasa Jepun (JAXA) serta para penerbit dan pengarah dari Hollywood.
Lantas peluang yang ada telah menjadikan Rafidi sebagai anak Malaysia pertama yang diberi peluang mempamerkan animasi sedemikian berdasarkan kandungan komik anime Jepun bertajuk Re-Entry.
Komik tersebut merupakan hasil ciptaan Profesor Dr. Patrick Collin yang juga merupakan pensyarah ekonomi dan sumber tenaga angkasa lepas di Universiti Azabu, Jepun di samping perunding untuk JAXA.
Apa yang terkandung dalam komik tersebut merupakan kisah pelancongan angkasa .
‘Berpandukan komik Re-Entry tersebut, saya ambil dan jadikan dia animasi. Pada mulanya, animasi ini dibuat di dalam bentuk dua dimensi atau 2D (untuk watak) dan tiga dimensi atau 3D (untuk objek) selama tiga minit untuk Persatuan Pelancongan Angkasa Lepas – Bahagian Malaysia (STS-MC) untuk dibentangkan di IAASS Keempat di Hunville, Amerika Syarikat pada 19 Mei 2010.
‘Banyak perkara yang perlu saya perbaiki melalui trailer pertama itu. Ramai nama-nama besar dunia yang berpendapat ada penambahbaikan dan perician yang boleh saya laksanakan untuk memperbaikinya.
‘Rentetan daripada itu, animasi Re-Entry telah pun mendapat pengiktirafan oleh Naib Presiden STS, Samuel Coniglio sebagai muzik video pelancongan angkasa pertama dunia melalui runut bunyi Ticket to the Moon yang dinyanyikan oleh kumpulan Subculture.
‘Sehingga hari ini, pasukan saya telah siap membangunkan lebih 70 peratus versi baru animasi Re-Entry untuk dipersembahkan pada bulan Oktober nanti, sepenuhnya dalam bentuk 3D,’ kata lelaki asal Taiping, Perak ini lagi.
Animasi ini berkonsepkan aksi dan adventure bertemakan masa akan datang di Malaysia di mana pelancongan angkasa telah berkembang pesat dan menjadi salah satu penyumbang ekonomi negara.
Animasi ini mempamerkan bagaimana takjubnya kehidupan pelancong yang datang melawat angkasa seterusnya dapat menginap di hotel angkasa. Pelbagai paparan turut diperlihatkan bagaimana pentingnya bidang industri ini termasuklah mencipta pekerjaan yang baru untuk mereka teroka.
Ini bukan satu angan-angan kosong memandangkan segala-galanya yang penuh dengan pendidikan sains angkasa seterusnya menunjukkan pelbagai ruang yang boleh dicipta dengan konsep dunia pembangunan angkasa lepas tanpa sempadan.
Bercerita mengenai isi kandungan pula, Rafidi menjelaskan animasi tersebut bukan direka secara suka-suka sebaliknya idea tersebut turut datang daripada Presiden STS-MC, Norul Ridzuan yang juga merupakan bekas pengarah Planetarium Negara.
Animasi ini turut diiktiraf sebagai penggerak atau perintis animasi yang berkonsepkan Pelancongan Angkasa pertama dunia oleh Pengasas dan Presiden STS sendiri, John Spencer yang juga adalah Arkitek Angkasa NASA.
Tidak melihat animasi ini sebagai kejayaan peribadi semata-mata, Rafidi cukup mengharapkan agar apa yang diimpikan oleh jutaan penduduk dunia yang mahu menjadi pelancong angkasa akan terlaksana tak lama lagi.
Selaku pengarah dan pemegang hak harta intelek (IP) untuk animasi ini, Rafidi juga telah membuka peluang kepada sekumpulan anak Melayu yang berbakat menyumbang idea ilustrasi untuk Re-Entry Animated.
Dengan kerjasama kelab pengumpul figura CShot, sebuah buku idea dan ilustrasi untuk animasi tersebut bakal dikemukakan pada persidangan IAASS di Paris.Animasi ini juga boleh dijadikan rujukan para pelajar kerana isi kandungnya adalah berdasarkan sains angkasa sebenar yang direalisasikan melalui animasi.
‘Persidangan itu juga turut akan dihadiri oleh pelbagai pakar bidang sains angkasa daripada NASA, ESA, JAXA, cerdik pandai daripada universiti seluruh dunia dan juga penggiat serta pembuat filem-filem antarabangsa.
‘Banyak perancangan yang telah kita lakukan untuk projek ini. Untuk animasi berkenaan, kita masih menggunakan lagu kumpulan Subculture dan tiga lagi lagu nyanyian Xtrotoyz. Kalau tak ada masalah, projek filem animasi penuh album runut bunyi Re-Entry Animated akan kita lancarkan di Paris selepas persidangan tersebut,’ kata Rafidi yang cukup berterima kasih apabila akhbar Kumpulan Utusan menjadi media rasmi bagi projek ini.
Animasi Re-Entry merupakan produk Triangle O Sdn. Bhd. yang kini membuka pintu untuk penaja dan pelabur tempatan turut serta dalam projek berkenaan yang dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Bagi mereka yang berminat turut serta boleh melayari www.re-entry.com.my atau Facebook/Re Entry Animated.
Utusan
Peserta Ratu Kebaya Melaka Dipuji
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto GAIE UCHEL

PESERTA bergambar kenangan bersama barisan juri, duduk dari kiri ialah Siti Athirah Dzulkifly, Pegawai Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Liza Deraman, Pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib dan Maya Matahari.
MESKI kecewa kerana disaat-saat akhir pelakon Rozita Che Wan gagal menghadirkan diri sebagai artis jemputan, ia bukan batu penghalang buat 38 peserta Pertandingan Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011 untuk terus ‘melekat’.
Merupakan lokasi kelima selepas Putrajaya pada Jun lalu, Melaka menyaksikan sambutan yang cukup hangat daripada penduduk tempatan yang berminat untuk bergelar Ratu Kebaya di Taman Rempah, Pengkalan Rama.
Faham-faham sahajalah kalau di tapak yang terbuka, sudah tentulah peserta disimbah bahang matahari meski khemah dan segala kelengkapan lain disediakan dalam kondisi cukup baik oleh penganjur.
Walau berpanas terik dan peluh membasahi tubuh, percaya atau tidak, rata-rata peserta tidak sedikit pun menunjukkan reaksi untuk berundur, jauh sekali untuk putus asa.
Wah! Semangat ini memang wajar dipuji dan kami sememangnya kagum dengan warga Melaka yang cukup sporting dan responsif sepanjang program berlangsung.
Malah, apabila disuruh menyanyi, mereka bernyanyi.
Bila diminta untuk berlakon, mereka spontan melakonkan watak yang diberikan. Jangan tak tahu, menari pun boleh!
Tak sangka, warga Melaka sememangnya berbakat.
Pula tu, antara yang dapat dikesan, pasangan ibu dan anak pun turut mencuba nasib dengan menyertai pertandingan. Cukup mengkagumkan!
Masih mengekalkan format yang sama, pertandingan kali ini dimeriahkan dengan kehadiran Maya Matahari sebagai juri jemputan selain juri tetap, pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib.
Sebagaimana yang sering dikatakan oleh Ibu Halimah, matlamat utama pertandingan adalah untuk mencari individu yang layak mewakili negeri masing-masing melalui beberapa kriteria tertentu.
‘Pertama, Ibu mahu mencari wanita yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi, berperwatakan menarik, ceria serta pandai berkomunikasi.
‘Selain itu, seseorang itu juga mestilah tahu bagaimana hendak memperagakan kebaya dengan baik. Paling penting, mereka berani tampil ke depan untuk mencuba menjadi Ratu Kebaya.
Dalam pada itu, barisan juri telah sebulat suara memilih Nur Hayati Azmi, 22, sebagai juara pertandingan bagi kategori A (59 kilogram ke bawah).
Menyusul Nur Hayati sebagai Naib Juara pula ialah Siti Noraini Yusof, 25, manakala pemenang tempat ketiga pula dirangkul oleh Siti Zairel Adha Mohd Zaher, 24.
Melangkah pula kepada kategori B (60 kilogram ke atas), juara Ratu Kebaya telah dimiliki oleh Nur Lela Mohd Nasir, 22.
Kemenangan Nur Lela diikuti oleh Salmia Ismail, 37, serta Shafizawati Nazirudin, 30, di tempat ketiga.
Juara setiap kategori masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM500, hamper tajaan Forest Secret bernilai RM500 termasuk cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia.
Bukan itu sahaja, Nur Hayati dan Nur Lela juga layak mewakili Melaka untuk mara ke peringkat akhir pertandingan Ratu Kebaya yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Disember ini.
Kemaraan ini juga akan menyaksikan mereka bersaing hebat dengan wakil-wakil negeri lain untuk merebut hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, hamper, pakej pelancongan ke Bali, Indonesia selama tiga hari dua malam, serta gelaran Ratu Kebaya 2011.
Utusan