Konsert Legenda Rock Gegar Tawau

BANDI (kiri), Mus dan Asheed tidak sabar untuk beraksi di sabah.
SETELAH kehangatan Konsert Double Trouble Jelajah Borneo Search & Wings di Tawau tahun lalu, diikuti dengan live showcase dari kumpulan Project Pistol dan Def Gab C pada bulan Jun dan Julai tahun ini, kini daerah Tawau bakal digegarkan lagi dengan Konsert Legenda Rock.
Konsert ini akan dihangatkan empat artis rock terkenal tanah air dalam satu persembahan.
Persembahan yang dijadualkan akan berlangsung pada 1 Oktober depan bakal melibatkan empat nama besar iaitu Ella, Mus (May), Bandi (Amuk) dan Asheed (Def-Gab-C).
Menurut penerbit konsert berkenaan, Rosmin Hashim, pemilihan empat nama tersebut berdasarkan satu kaji selidik yang dibuat mendapati empat ikon muzik itu amat popular di negeri Sabah itu.
‘Seperti May, Amuk dan Def-Gab-C, mereka masing-masing pernah mengalami sendiri kehangatan sambutan peminat di sana menerusi persembahan lalu.
‘Kemunculan Ella pula amat dinanti-nantikan oleh peminat di sana yang belum berpeluang melihat ratu rock negara itu beraksi secara dekat,’ katanya.
Rosmin berkata, peminat yang dikenakan tiket masuk hanya RM20 akan menikmati persembahan selama lebih tiga jam pada malam tersebut.
Bakal diadakan di Kompleks Sukan Tawau Sabah, menurut Rosmin, pihaknya menjangkakan seramai 20,000 peminat akan membanjiri kompleks itu yang bukan sahaja datang dari Tawau tetapi juga daripada daerah berdekatan.
‘Kami menjangkakan peminat bukan sahaja datang dari Tawau tetapi juga dari daerah seperti Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan,’ katanya.
Ditanya mengenai pemilihan Tawau sebagai tempat pilihan, Rosmin berkata, kedudukan geografi Tawau sebagai bandar ketiga terbesar di negeri itu dengan jumlah penduduk melebihi 350 ribu adalah antara faktor pendorong.
Tambahnya lagi, selepas konsert, peminat berpeluang bergambar dengan artis kegemaran mereka dengan sedikit bayaran dikenakan selain boleh membeli kemeja-T konsert yang bakal dijual di tapak persembahan.
Sementara itu, Bandi memberitahu dia sangat teruja untuk mengadakan persembahan tersebut dan menyifatkan peminat di Tawau sangat memberi sokongan setiap kali membuat persembahan di sana.
‘Ini bukan pertama kali saya membuat persembahan di sana jadi saya tahu keadaannya dan bagaimana untuk memenuhi kehendak mereka,’ ujarnya.
Bakal mempersembahkan empat buah lagu, Bandi memberitahu persembahan mereka akan diiringi oleh Point Band selain beberapa kejutan istimewa untuk peminat.
Mengakui teruja untuk bekerjasama dengan tiga lagi sahabatnya di kota Tawau nanti, jelas Mus daripada kumpulan May, dia tetap memberikan persembahan yang terbaik biarpun terpaksa beraksi sendirian tanpa ahli kumpulan yang lain.
‘Terima kasih kepada penganjur kerana memilih kami, sebenarnya ramai lagi artis boleh mengisi konsert ini, tetapi penganjur memberi kepercayaan buat kami untuk memberikan persembahan yang terbaik malam ini.
‘Walaupun tidak bersama ahli band yang lain, tetapi saya tetap mewakili May dan masih menggunakan nama May di sana.
‘Ini bukan kali pertama saya beraksi di Tawau dan Sabah, malah sebelum ini pun sudah beberapa kali May membuat persembahan di sana, dan jujurnya memang penduduk di Sabah memang sangat meminati muzik rock,’jelas penyanyi kumpulan May ini.
Utusan
Berhenti Panggil Saya Klon Yuna – Najwa Latif
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN

Gadis berusia 16 tahun ini bersedia menjadi anak seni sepenuh masa.
KEDENGARAN memang bukan satu isu, tapi itulah kenyataan apabila ada sesetengah pihak yang menyamakan dirinya dengan penyanyi Yuna. Lantaran imej dan perjuangan muzik lebih kurang sama, menyebabkan dia terus dilabel klon Yuna. ‘Dilahirkan’ menerusi medium serupa – laman sosial Youtube – menguatkan lagi persepsi mengatakan dia adalah Yuna seterusnya.
‘Saya dan Yuna adalah dua individu berbeza. Dia adalah bintang dan punya kedudukan tersendiri. Sedangkan saya cuma artis yang baru nak berjinak-jinak dalam industri.
‘Tidak adil andai berterusan melabel saya adalah klon Yuna. Bagi saya peluang untuk buktikan siapa Najwa Latif sebenarnya,’ rayu bintang baru berbakat yang semakin popular dengan lagu Muka Buku dan Carta Hati ini.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga menyatakan rasa kagum terhadap kejayaan Yuna sehingga ke peringkat antarabangsa.
Pencapaian yang dimiliki penyanyi berkenaan juga menjadi pembakar semangat buat gadis berusia 16 tahun ini. Impiannya, dia mahu menjejak langkah Yuna andai rezeki berpihak kepadanya.
Buat permulaan, pemilik nama Imratul Najwa ini terpilih sebagai pemenang Anugerah Bakat Muda Selangor dalam bahagian muzik kategori solo menumpaskan dua finalis lain iaitu Amanda Imani dan Amirah Ali pada 17 September lalu.
‘Sememangnya, saya tidak menyangka meraih kejayaan sejak diperkenalkan secara rasmi kira-kira empat bulan lalu. Memang saya berpuas hati dengan kejayaan ini. Namun tidak pula lekas terlena dengan apa yang ada,’ kata artis rakaman NAR Records ini.
Kejayaan itu juga mencuri perhatian bapa Najwa iaitu Abdul Latif Ismail, 50, dan ibu, Zarina Saamah, 47, yang tidak menyangka kejayaan anak setelah dikhabarkan tentang kemenangan tersebut.
Lantaran itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat ini memeterai janji pada dirinya sendiri atas kejayaan tersebut.
Permuafakatan diri agar tidak mudah lupa diri anda dilimpahi populariti satu ketika nanti. Begitu juga tidak akan berubah atas kehendak orang lain.
‘Saya juga akan cuba berkomunikasi dengan semua penyokong dan tidak terlibat dengan sebarang kontroversi. Kalau boleh saya mahu menjadi artis contoh buat golongan remaja seperti saya,’ kata gadis yang punya kemampuan bermain dram, piano selain gitar ini.
Menyelak kembali bagaimana bakat seninya dikesan, anak ketiga dari empat beradik ini memberitahu semuanya bermula usianya mencecah 14 tahun.
Apabila dia diberi kepercayaan oleh bapanya untuk mengikuti kelas gitar secara formal di Sekolah Muzik Yamaha di Batu Pahat. Bertitik tolak dari situ, dia memberanikan diri untuk memuat turun persembahan bermain gitar di Youtube.
Sokongan kuat daripada kakak Syafika Latif, 22, merakam permainan gitarnya membuatkan dia sudah punya kira-kira 44 klip video di medium berkenaan.
Nyanyiannya boleh diikuti dengan menggunakan enjin carian Youtube: Najwa Latif. Boleh juga ikuti perkembangannya di Facebook: Najwa Latif Fan Page atau Njwalatif (Twitter).
Utusan
Man Bai Kembali
LAMA juga Man Bai tidak keluar dengan album baru. Kalu terakhir dia keluar dengan album solo pada tahun 1997 dan 1998 dengan album Man Bai dan Positif. Pun begitu peminat tetap akan terkenangkan lagu Kau Ilhamku yang cukup menaikkan namanya satu ketika dahulu.
Bersilih tahun, Man Bai tetap matang dalam membawakan lagu. Lagu-lagu yang termuat dalam album terbaru yang berjudul Inspirasi ini juga cukup enak didengar. Paling tidak Man Bai menunjukkan sesuatu yang baru dalam album ini.
Album yang mengandungi lapan buah lagu termuat lagu Kau Ilhamku dan Masih Aku Terasa versi 2011. Lagu lain termasuklah Kita Cinta, Air Mata dan Sendiri.
Utusan
Travelog AirAsia Keliling Dunia

Edd Radze (kiri), Zulfazli dan Datuk Farid Ridzuan ketika berada di London.
SELAMA ini wajahnya hanya berada di belakang tabir tetapi kali ini wajah Edd Radze akan menemui penonton melalui rancangan Trevelog AirAsia yang akan mula bersiaran pada awal November ini di saluran TV3.
Bukan satu ada dua destinasi tetapi Edd Radze akan terbang ke 26 destinasi terbaik di seluruh dunia melalui rancangan ini yang juga merupakan rancangan pertama yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan terbaik dunia itu.
‘Kalau diikutkan memang saya pernah mengendalikan beberapa segmen di Majalah 3 bersama Nurul Syuhada sebelum ini. Itu hanya slot kami bersama rancangan popular tersebut.
‘Melalui rancangan ini, saya akan mengendalikan sepenuhnya aktiviti santai yang berkisah perjalanan ke pelbagai destinasi serata dunia bersama artis-artis popular tanah air.
‘Kita tidak sekadar menyasarkan untuk mempopularkan destinasi semata-mata tetapi dalam masa yang sama mahu para tetamu AirAsia mendapatkan maklumat yang lengkap bila mahu berkunjung ke mana sahaja.
‘Segala-gala ada di sini. Tetamu boleh melihat apa yang kami sediakan termasuklah bagaimana nak daftar masuk, apa yang ditawarkan oleh penerbangan kami, pemilihan hotel dan destinasi-destinasi menarik yang patut dikunjungi,’ jelas Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan AirAsia ini lagi.
Pelbagai informasi lain turut akan diberikan kepada penonton termasuklah perkhidmatan yang ditawarkan oleh AirAsia dan AirAsia X. Produk-produk yang akan diketengahkan termasuklah Tune Talk, Tune Hotel, AirAsia Go dan sebagainya.
Pada 26 September ini, Edd Radzhe akan berkunjung ke kota cinta Paris bersama Maya Karin dan beberapa orang yang lain untuk memulakan siri jelajah dunianya.
Selepas itu jelajah akan mengembara ke destinasi Asia seperti Manila, Filipina, Bandung, Indonesia, Guangzhou, China dan Vietnam sebaik sahaja pulang dari Paris.
Tidak terhenti setakat itu, pelbagai destinasi lain yang sudah disahkan termasuklah London, Australia, Korea Selatan, New Zeland, Jepun dan beberapa tempat lagi menunggu masa untuk dijelajahi.
Beberapa artis popular tanah air sudah mengesahkan tempat untuk bersama dengan program Travelog AirAsia termasuklah Fara Fauzana, Ella, Fauziah Latif, Intan Ladyana, Nora Danish, Juliana Evens, Daphene Iking dan ramai lagi.
‘Memang ramai yang memberikan maklum balas positif pada program yang akan saya kendalikan ini. Ada yang teruja dan tak sabar-sabar lagi nak melihat ia ditayangkan di kaca tv.
‘Ramai juga artis-artis tempatan yang mahu turut serta. Cuma saya cukup berbesar hati apabila Datuk Pahamin Rejab dan Datuk Aziz Bakar sudi untuk turut serta dalam destinasi akan datang,’ kata Edd Radze yang menggunakan khidmat jurusolek Zulfazli Suhadi dalam kesemua episod.
Utusan
Suka Aktiviti Kemasyarakatan
Oleh: ROSLI MANAH
(rosli.manah@utusankarya.com.my)
Foto: JEFFRI IRAN
Pakaian: SELENDANG SUTERA HOUSE BOUTIQUE, JALAN SARIKEI OFF JALAN PAHANG, KUALA LUMPUR
Solekan: WAWAI (012-3219078)
ANAK muda ini berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan. Tapi kelibat Mohammad Edrin Nordin sering dilihat dalam aktiviti kemasyarakatan anjuran Persatuan Anak Jeli Di Perantauan (PAJAR) di Lembah Klang.
Dia aktif kerana mengenali aktivis persatuan itu dan ingin bersama-sama menghulurkan tenaga untuk aktiviti kemasyarakatan. Dia seronok dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat senegeri.
‘Saya seronok dengan aktiviti kemasyarakatan. Kebetulan PAJAR memang aktif dan banyak aktiviti anjuran mereka di Lembah Klang ini. Walaupun bukan rakan sekampung, tapi saya seronok bersama-sama mereka.
‘Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong royong serta membantu dalam aktiviti bercorak mengukuhkan ikatan kekeluargaan,’ kata Edrin kepada Pancaindera.
Sepanjang Ramadan lalu, Edrin bersama-sama dalam aktiviti berbuka puasa bersama ahli persatuan itu yang diadakan di beberapa bandar di Lembah Klang.
‘Kita mengadakan majlis di kawasan mereka. Cara ini dibuat bagi memudahkan ahli hadir. Kalau kita buat secara berpusat mungkin ada ahli yang tak dapat bersama-sama.
‘Aktiviti ini bukanlah bermotif politik sebaliknya lebih kepada bertanya khabar serta menguar-uarkan perkembangan di Jeli kepada mereka secara langsung.
‘Walaupun mereka sudah lama tak balik ke kampung, tapi mereka tahu apakah pembangunan serta isu semasa yang sedang berlaku di sana,’ jelas Edrin.
Edrin juga aktif dalam aktiviti yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO). Dia juga terlibat secara langsung dalam penganjuran perhimpunan pasal isu murtad baru-baru ini.
Nampaknya Edrin macam berminat dalam bidang politik. Dia akui memiliki kecenderungan sebab itulah memulakannya dengan aktiviti kemasyarakatan dan bersama NGO bagi menimba pengalaman bersama masyarakat.
‘Siapa tahu suatu hari nanti saya akan terlibat secara langsung dalam politik,’ kata Edrin lagi.
Sementara itu, tahun ini Edrin beraya di Kuala Lumpur sahaja sebab keluarganya datang dari Kelantan untuk beraya. Kalau orang lain pulang ke kampung, keluarganya pula mahu merasa suasana beraya di Kuala Lumpur.
‘Kalau mahu dibandingkan memanglah beraya di kampung lebih meriah kerana ramai saudara-mara. Tapi saya tetap gembira sebab masih bersama keluarga walaupun tak pulang ke kampung.
‘Ada juga saudara-mara lain yang menetap di Kuala Lumpur, jadi suasana raya masih menyeronokkan,’ kata anak bongsu daripada empat beradik itu lagi.
Utusan
2010 Derita, 2011 Bahagia
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

RITA dan Aidil membawa dua anaknya berhari raya di rumah keluarga di Perlis.
TAHUN 2011 – lebih tepat lagi, selepas kelahiran anak kedua, kehidupan pelakon Rita Rudaini ditafsir kembali bercambah dengan riak bahagia.
Perasaan sedih, berduka dan pertelingkahan dengan suami, Aidil Zafuan Abdul Razaq juga bagaikan sudah berakhir dan kini hasrat mereka hanya satu- mengikat kamar hidup dengan agam cinta lebih kukuh.
1 Syawal yang lalu, adalah bukti betapa pasangan ini sebenarnya mampu keluar daripada aroma sedih dan kembali mencari damai.
Berkat kesabaran atas segala dugaan yang bertandang, hari ini bahagia milik mereka bersama dua putera kecil.
‘Memang raya tahun ini sangat berbeza. Jika tahun lepas saya menyambut hari raya dengan tangisan sebab ‘terpisah’ dengan suami sendiri, tahun ini berbeza.
‘Syukur sangat kepada Allah kerana kami dapat meraikan 1 Syawal dalam sebuah keluarga yang lengkap sempurna.
‘Kehadiran Arjuna juga membuatkan kami berasa sebagai sebuah keluarga yang sudah lengkap. Hari ini, anak-anak adalah kekuatan saya untuk berhadapan dengan apa juga perkara, saya tak akan mengalah dengan mudah demi masa depan mereka,’ kata pelakon jelita ini.
Rita dan suami membawa dua putera mereka, Airit Rayyan, 3 tahun dan Airit Arjuna, 1 tahun menyambut hari raya di Utan Aji, Perlis untuk bersama-sama dengan keluarga Rita pada Ramadan terakhir.
Mereka sempat meraikan Syawal di situ selama tiga hari sebelum kemudian bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan aktiviti kerjaya yang menunggu.
Tahun lalu episod kelam melanda apabila pasangan ini menyambut Syawal dalam keadaan yang tidak normal ekoran persengketaan.
Sengketa yang hampir membawa kepada ‘perceraian’ itu mendapat liputan meluas di akhbar apabila Aidil dikatakan langsung tidak menjengok isterinya ketika menyambut hari raya meskipun meraikan Syawal dengan keluarganya di Kedah.
Pun, itu cerita lama. Apa yang mahu dikongsikan kali ini ialah rakaman bahagia bersama anak-anak dan keluarga yang lahir daripada hati penuh ikhlas.
Keluarga mentua kembali damai
Bagaimanapun ketika ditanya apakah dia turut menziarahi keluarga mentua, Rita hanya tersenyum manja.
Katanya, lebih elok kalau dia tidak membicarakan topik berkenaan buat masa sekarang.
‘Tak usahlah bertanya soal itu. Saya sudah katakan sebelum ini, bila pintu hati saya sudah benar-benar terbuka, insya Allah ia akan berlaku.
‘Bila masanya? Hanya Allah yang punya jawapan. Setakat ini hubungan saya dengan ibu dan bapa Aidil sudah okey, bila mereka hendak melihat cucu, mereka boleh datang ke rumah kelamin kami,’ katanya.
Selepas Aidilfitri, Rita terus sibuk dengan tawaran berlakon. Baginya, kehadiran Arjuna menambah lagi peratusan tanggungjawab yang terpikul di bahu.
‘Semenjak melahirkan Arjuana, rezeki memang tidak putus dan saya sangat bersyukur. Sememangnya bila anak bertambah, dengan sendirinya rezeki juga semakin bertambah. Itulah kuasa Allah dan kami sangat bersyukur,’ katanya.
Selepas Arjuna, Rita bersedia untuk mengandung lagi mengenangkan usianya yang sudah dipertengahan 30-an.
Jika sesetengah artis menolak untuk terlalu kerap hamil, terutamanya dalam tempoh yang dekat, pelakon ini sebaliknya.
‘Kalau seorang isteri dapat merasai kebahagiaan daripada seorang suami, sudah tentu dia akan memberi segala-galanya, jiwa dan raga. Sama juga seperti saya, saya tidak akan menolak untuk mengandung lagi. Apa pun saya sanggup korbankan termasuk dalam soal anak, tak kira berapa sekali pun yang diharapkan,’ katanya yang berhasrat untuk memiliki anak perempuan pula selepas dua putera.
Utusan
Saya Tak Makan Hasil Duit Mia Sara
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto FATAH SULAIMAN

Anak kecil ini diramalkan punya masa depan cerah dalam bidang lakonan.
MEMIKUL tanggungjawab bapa kepada pelakon cilik popular, Mia Sara Nasuha bukan satu perkara mudah. Macam-macam kerenah yang perlu dilayan kerana anak kecilnya itu memerlukan perhatian sang bapa. Tambahan pula kali pertama berurusan dengan orang industri.
Bagaimanapun, kewajipan itu tidak sesukar jika dibandingkan dengan pandangan masyarakat sekeliling terhadap dirinya. Anak kecil berusia enam tahun itu disifatkan sebagai lubuk emas.
Tambahan pula banyak tawaran yang datang, sekali gus menaikkan saham dirinya sebagai orang tua kepada Mia Sara.
Lantaran itu, tersebar cerita berbaur cemburu mengenai kewibawaan dirinya yang dikatakan memakan hasil pendapatan anak sendiri. Itu termasuk meminta Mia Sara bekerja sampai lewat 2 atau 3 pagi bagi menjayakan sebuah drama bersiri.
‘Saya bukan seorang bapa zalim. Membiarkan darah daging sendiri bekerja siang dan malam tanpa belas kasihan,’ bicara awal Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh membuka cerita gosip membabitkan namanya itu.
Terus-terang, dia sudah menjangkakan penyebaran cerita tidak berasas itu seawal dia membawa masuk anak ke dalam industri seni tanah air tahun lalu.
Cuma menunggu masa sahaja untuk membiarkan dirinya ‘ditembak’ dengan persoalan sedemikian rupa. Lantaran itu, Muhammad Ridhuan mengambil pendekatan bertenang menjawab semua persoalan sewaktu bertemu di sidang akhbar pelancaran drama bersiri komedi Cuak untuk siaran Astro Ceria di Ampang, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
‘Saya tahu, pasti akan ada cerita kurang manis macam ini sewaktu awal melangkah masuk dalam industri lagi. Pasti akan keluar cerita kurang senang tentang saya yang tak bekerja tetap.
‘Sebenarnya, saya bekerja sebagai pegawai pemasaran dahulu tapi berhenti kerja semata-mata memberikan tumpuan kepada Mia.
‘Saya memang seorang cukup cerewet dalam penjagaan Mia. Saya kena pastikan waktu rehat, tidur dan keperluan vitamin mencukupi supaya dia boleh membesar normal seperti kanak-kanak lain,’ katanya lagi.
Bapa tunggal ini juga menafikan dia menggunakan sumber pendapatan berlakon Mia Sara untuk menyara tiga lagi anaknya iaitu Adriana Izzati, 10, Muhammad Danish Iman, 7, dan Amani Iman, setahun.
‘Tak adil menuduh saya sebegitu seolah-olah nampak sangat teruk,’ tingkah Muhammad Ridhuan menolak dakwaan tersebut.
Demi keselamatan anak ketiganya itu, Muhammad Ridhuan juga sanggup mencari penjaga wanita yang bertindak sebagai peneman Mia Sara. Walaupun hakikatnya, dia sukar untuk percayakan orang lain.
‘Dia masih memerlukan saya untuk melayan kehendak dirinya. Sudah pasti cara kita melayan anak orang berbeza dengan kita melayan anak sendiri.
‘Sebab itu, saya pastikan dia sentiasa dalam lingkungan pemerhatian saya. Hadir pada setiap waktu makan dia dan bagi sediakan air andai dia kehausan, walaupun terpaksa berulang ke set lokasi berulang kali,’ ceritanya.
Ditanya adakah dia mengetahui gerangan siapa yang mencacatkan kredibiliti dirinya sebagai bapa Mia Sara, lelaki ini terdiam. Katanya, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi lebih gemar bersikap memaafkan.
Baginya, kebenaran pasti akan diketahui kelak. Apa yang mampu dibuat adalah berdoa keselamatan anaknya.
Anak jati Melaka ini juga menjelaskan bahawa dia tidak mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan terbaik buat Mia Sara.
‘Saya tak mahu dia terlalu leka dengan lakonan dia. Memang saya ada rancang sesuatu untuk masa depan Mia. Seperti mana yang dilakukan oleh mana-mana bapa di dunia ini,’ katanya penuh optimis sebelum mengakhiri pertemuan.
Utusan
Sepi Seorang Ikon Negara
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto IRWAN MAJID

Bersama rakan-rakan konvoi motosikal besar Kuala Lumpur Bikers Club (KLBC) di Surau Zolkifli Al-Ansar, Taman Rahmat Jaya Kundang, Kuang, Selangor baru-baru ini.
DUTA Belia Negara, Maznah Zolkifli mengakui bahawa kehidupan hariannya tidak pernah sunyi dari dihujani persoalan yang satu itu. Perbincangan melibatkan pasangan hidup yang kerap diajukan di kalangan sanak saudara dan rakan terdekat.
Reaksi wanita ini menjawab persoalan itu pula tetap sama – tak ada jodoh lagi. Pun begitu, sebagai wanita yang punya kedudukan tersendiri di kalangan masyarakat ini juga tidak terlepas dari memikirkan perkara yang sama.
‘Inilah cabaran buat seorang wanita yang dikenali,’ dedah awal Maznah menyingkap sisi peribadinya berkenaan persoalan tersebut.
Wanita ini mengakui sudah bersedia untuk berumah tangga sekiranya jodoh sudah sampai. Kepada Ilahi urusan tersebut dipanjatkan.
Ditanya apa kemungkinan yang menyebabkan dia masih belum punya insan istimewa, wanita ini tersenyum manis.
‘Ini semua terpulang kepada pandangan masing-masing. Mungkin orang lelaki nampak luaran personaliti saya yang gemarkan aktiviti lasak dan boleh berdikari.
‘Sedangkan, saya adalah wanita normal. Ada keinginan mahu berkahwin, punya anak dan menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri lain,’ luah wanita ini lagi.
Cuba mengorek rahsia Maznah tentang jejaka yang pernah mendekati wanita ini, mengundang rona merah di mukanya.
‘Tidak manis buat seorang wanita seperti saya berbicara tentang lelaki sebegini rupa. Tapi, ada ramai jejaka yang cuba mendekati saya. Saya juga tak pernah tolak untuk keluar bersama,’ dedah Duta Euro Flying Club ini lagi.
Ditanya apa yang berlaku sewaktu mencari titik keserasian di kalangan lelaki berkenaan, penerima Anugerah Ikon Wanita 2007 ini kembali tersenyum.
‘Semua perkara ini terpulang kepada individu masing-masing. Bagi saya, ia umpama bonus buat sang suami punya isteri ‘feminin tapi lasak’ yang boleh melakukan banyak perkara tanpa bergantung pada dirinya.
‘Saya tetap menghormati lelaki yang bakal menjadi ketua rumah tangga kelak. Sebab syurga berada di kaki lelaki,’ katanya penuh optimis.
Ditanya adakah Maznah adalah seorang cerewet dalam bab memilih lelaki, wanita ini punya alasan sendiri.
‘Pasangan yang ingin berkahwin semua pasti menitikberatkan persoalan agama, keserasian kerja, penerimaan keluarga. Namun begitu, saya yakin urusan jodoh ini biarlah diserahkan kepada Maha Esa,’ ujarnya ringkas.
Dalam perkembangan lain, aktres, ahli sukan, pelakon dan pakar motivasi ini turut menyatakan rasa tidak sabar untuk kembali bertugas sebagai pengacara.
Antara sedar atau tidak, duta taman tema Sunway Lagoon ini sepi dari dunia pengacaraan sejak 2009. Sedangkan kehidupan berkenaan sebati dalam jiwanya sejak 15 tahun lalu.
‘Saya memang rindukan saat-saat bekerja di hadapan orang ramai. Ramai juga yang sudah bertanyakan bila saya kembali di kaca televisyen. Namun semuanya bergantung kepada rezeki.
‘Andai diberi peluang saya ingin mengulas tentang sisi kehidupan, karier, gaya hidup dan kesenian dalam program berkenaan, ‘ kata pengacara Citarasa Tokoh untuk siaran Astro Ria pada 2007 ini.
Pun begitu, Maznah berazam akan manfaatkan sepenuhnya peluang itu kerana dia mahu menyuntik elemen perubahan kepada golongan belia.
Apatah lagi melihat sendiri kebanyakan program televisyen yang disiarkan masa kini kurang menekankan soal kekuatan dan sumbangan belia dalam misi pembangunan negara.
‘Kekuatan televisyen tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia banyak mempengaruhi jiwa orang muda. Jangan biarkan mereka banyak disogokkan dengan rancangan kosong semata-mata. Sebab mereka adalah pelapis negara satu masa nanti,’ azam wanita ini di penghujung perbualan.
Semua perkembangan Maznah boleh diikuti menerusi laman web www.maznahzolkifli.com.my, facebook Maznah Zolkifli Fan Page atau boleh berhubung dengannya di maznah@maznahzolkifli.com.my.
Utusan
Ramona Jelas Skandal Pemain Bola

WANITA ini mengaku tidak selesa dengan dakwaan skandal antara dia dan Asrarudin yang baginya tidak lebih daripada sekadar teman.
Siapa sebenarnya Asraruddin di hati Ramona? Istimewa sangatkah sampai tiba-tiba sahaja dikaitkan ada skandal dengan dia? Tiada yang istimewa. Dia cuma kawan saya sahaja.
Kalau tak ada apa-apa tak kanlah orang nak mengata dik oi..banyak mata yang nampak awak dan dia selalu keluar bersama. Tolong jawab!
Memanglah kami berdua ada keluar bersama untuk beberapa kali. Tapi sumpah! Saya dan Asra cuma kawan biasa sahaja. Sekarang kan tengah musim raya, jadi kami adalah beberapa kali pergi memenuhi undangan rumah terbuka bersama. Memang nampak rapat, tapi sebenarnya kami cuma kawan biasa.
Ala…bila ditanya sekarang tak mahu mengaku. Dah sah-sah awak asyik berkepit berdua ke sana ke mari. Memanglah orang akan syak sesuatu. Tak begitu?
Tak betul tu kak. Saya tak nafi yang saya ada keluar dengan dia. Tapi tak pernah berdua. Biasanya mesti beramai-ramai dengan kawan-kawan lain.
Cuba jelaskan, macam mana awak boleh kenal dengan Asra?
Saya kenal dia pun baru sangat. Adalah dalam beberapa bulan lepas. Dia ialah kawan kepada kawan saya. Kami bertemu semasa keluar makan bersama-sama. Kalau nak tahu, masa mula-mula jumpa tu, saya memang tak tahu dia pemain bola. Bukan saya sengaja nak dekat-dekat dengan dia sebab status dia seorang pemain bola.
Jawapan macam nak selamatkan diri saja.. iya ke ni?
Betul. Punyalah saya ni tak kenal dia, sampai saya ingat dia ni budak band mana entah pada awalnya. Lepas kawan memperkenalkan, barulah saya tahu yang Asra merupakan pemain bola skuad kebangsaan.
Bila dah jadi macam ni, orang akan kata Ramona ada hati nak dapat nama dengan cara mencari skandal. Macam mana tu?
Sebab itulah saya tampil beri penjelasan. Jangan kerana saya artis, maka orang mudah nak lempar tohmahan dan jadikan satu-satu hal tu sebagai isu. Walhal, kawan-kawan perempuan lain pun ada keluar dengan dia. Tapi kenapa orang nampak saya saja?
Mungkin awak je yang paling ‘menyerlah’ antara mereka kot? Sekarang ni mesti awak selalu ke stadium bagi sokongan pada Asra bukan? Penyokong setia gitu..
Sumpah kak. Seumur hidup, saya tak pernah jejak ke stadium. Tapi lepas kenal Asra, adalah sekali tu saya pergi ke stadium untuk menonton perlawanan antara pasukan Selangor dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dah nama pun kawan, tak akanlah saya nak datang sokong pun boleh jadi satu isu?
Macam mana pula dengan ugutan yang Ramona terima tu?
Saya pun tak mahu fikir dah biarpun saya tahu, semasa kami keluar, saya perasan ada orang ambil gambar kami. Saya tak berani nak tuduh siapa. Individu itu paksa saya mengaku yang saya ada hubungan dengan Asra. Tak masuk akal! Iyalah sebab memang saya dan Asra tak ada apa-apa.
Jadi, apa harapan Ramona berhubung isu ini?
Saya harap lepas penjelasan ini dikeluarkan, tak ada lagi pihak yang salah faham mengenai hubungan kami. Saya bukan nak cetuskan kontroversi. Bahkan, saya sendiri rasa serba salah dengan Asra bila jadi macam ni.
Utusan
Hebat Penangan Idham

RAMAI yang menjangkakan filem Hantu Bonceng boleh dapat kutipan yang besar memandangkan filem itu ditayangkan masa cuti hari raya.
Dan telah ramai itu memang benar-benar terjadi apabila filem lakonan Zizan dan Juliana Evans itu dah cecah RM8 juta selepas dua minggu ditayangkan.
Itu memang satu pencapaian yang baik bagi Syed untuk orang berpengalaman macam Ahmad Idham. Iyalah, dalam dok sibuk-sibuk bercerita dengan beberapa rakan media baru-baru ini, mereka cukup gembira dengan hal itu.
‘Dulu masa buat Adnan Sempit, dapat RM7 juta. Tapi itu filem orang lain. Idham hanya mengarah sahaja. Jadi berapa sahajalah yang Idham dapat, bukan masuk poket dia semua tu.
‘Tapi sekarang, untung atau rugi semuanya dia dapat. Kalau dapat lebih, lebihlah yang dia dapat. Memang itu sudah cukup untuk membuat dia tersenyum gembira,’ kata teman Syed lagi ni.
Syed tak kisah berapa filem yang Idham nak buat sekalipun. Dengar khabarnya Idham sasar nak buat empat buah filem dalam masa setahun.
Kira okeylah banyak tu, asalkan cerita yang disajikan pada penonton tak busuk dan klise. Bukan apa, kadang kala kita terlalu mengejar kuantiti, sampaikan kualiti teruk yang langsung tak layak diangkat sebagai filem.
Syed tak kata sesiapa tetapi dalam hal ini dah banyak contoh yang kita boleh tengok. Kata filem tapi kualiti serupa drama. Sedih bukan.
Syed: Jom ramai-ramai serbu rumah terbuka Just K Family Karaoke di Selayang Mall petang ni bermula pukul 5 petang.
Utusan