Skip to content

Archive for September 2011

18
Sep

2010 Derita, 2011 Bahagia




Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN


RITA dan Aidil membawa dua anaknya berhari raya di rumah keluarga di Perlis.

TAHUN 2011 – lebih tepat lagi, selepas kelahiran anak kedua, kehidupan pelakon Rita Rudaini ditafsir kembali bercambah dengan riak bahagia.

Perasaan sedih, berduka dan pertelingkahan dengan suami, Aidil Zafuan Abdul Razaq juga bagaikan sudah berakhir dan kini hasrat mereka hanya satu- mengikat kamar hidup dengan agam cinta lebih kukuh.

1 Syawal yang lalu, adalah bukti betapa pasangan ini sebenarnya mampu keluar daripada aroma sedih dan kembali mencari damai.

Berkat kesabaran atas segala dugaan yang bertandang, hari ini bahagia milik mereka bersama dua putera kecil.

‘Memang raya tahun ini sangat berbeza. Jika tahun lepas saya menyambut hari raya dengan tangisan sebab ‘terpisah’ dengan suami sendiri, tahun ini berbeza.

‘Syukur sangat kepada Allah kerana kami dapat meraikan 1 Syawal dalam sebuah keluarga yang lengkap sempurna.

‘Kehadiran Arjuna juga membuatkan kami berasa sebagai sebuah keluarga yang sudah lengkap. Hari ini, anak-anak adalah kekuatan saya untuk berhadapan dengan apa juga perkara, saya tak akan mengalah dengan mudah demi masa depan mereka,’ kata pelakon jelita ini.

Rita dan suami membawa dua putera mereka, Airit Rayyan, 3 tahun dan Airit Arjuna, 1 tahun menyambut hari raya di Utan Aji, Perlis untuk bersama-sama dengan keluarga Rita pada Ramadan terakhir.

Mereka sempat meraikan Syawal di situ selama tiga hari sebelum kemudian bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan aktiviti kerjaya yang menunggu.

Tahun lalu episod kelam melanda apabila pasangan ini menyambut Syawal dalam keadaan yang tidak normal ekoran persengketaan.

Sengketa yang hampir membawa kepada ‘perceraian’ itu mendapat liputan meluas di akhbar apabila Aidil dikatakan langsung tidak menjengok isterinya ketika menyambut hari raya meskipun meraikan Syawal dengan keluarganya di Kedah.

Pun, itu cerita lama. Apa yang mahu dikongsikan kali ini ialah rakaman bahagia bersama anak-anak dan keluarga yang lahir daripada hati penuh ikhlas.

Keluarga mentua kembali damai

Bagaimanapun ketika ditanya apakah dia turut menziarahi keluarga mentua, Rita hanya tersenyum manja.

Katanya, lebih elok kalau dia tidak membicarakan topik berkenaan buat masa sekarang.

‘Tak usahlah bertanya soal itu. Saya sudah katakan sebelum ini, bila pintu hati saya sudah benar-benar terbuka, insya Allah ia akan berlaku.

‘Bila masanya? Hanya Allah yang punya jawapan. Setakat ini hubungan saya dengan ibu dan bapa Aidil sudah okey, bila mereka hendak melihat cucu, mereka boleh datang ke rumah kelamin kami,’ katanya.

Selepas Aidilfitri, Rita terus sibuk dengan tawaran berlakon. Baginya, kehadiran Arjuna menambah lagi peratusan tanggungjawab yang terpikul di bahu.

‘Semenjak melahirkan Arjuana, rezeki memang tidak putus dan saya sangat bersyukur. Sememangnya bila anak bertambah, dengan sendirinya rezeki juga semakin bertambah. Itulah kuasa Allah dan kami sangat bersyukur,’ katanya.

Selepas Arjuna, Rita bersedia untuk mengandung lagi mengenangkan usianya yang sudah dipertengahan 30-an.

Jika sesetengah artis menolak untuk terlalu kerap hamil, terutamanya dalam tempoh yang dekat, pelakon ini sebaliknya.

‘Kalau seorang isteri dapat merasai kebahagiaan daripada seorang suami, sudah tentu dia akan memberi segala-galanya, jiwa dan raga. Sama juga seperti saya, saya tidak akan menolak untuk mengandung lagi. Apa pun saya sanggup korbankan termasuk dalam soal anak, tak kira berapa sekali pun yang diharapkan,’ katanya yang berhasrat untuk memiliki anak perempuan pula selepas dua putera.

Utusan

18
Sep

Saya Tak Makan Hasil Duit Mia Sara

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto FATAH SULAIMAN


Anak kecil ini diramalkan punya masa depan cerah dalam bidang lakonan.

MEMIKUL tanggungjawab bapa kepada pelakon cilik popular, Mia Sara Nasuha bukan satu perkara mudah. Macam-macam kerenah yang perlu dilayan kerana anak kecilnya itu memerlukan perhatian sang bapa. Tambahan pula kali pertama berurusan dengan orang industri.

Bagaimanapun, kewajipan itu tidak sesukar jika dibandingkan dengan pandangan masyarakat sekeliling terhadap dirinya. Anak kecil berusia enam tahun itu disifatkan sebagai lubuk emas.

Tambahan pula banyak tawaran yang datang, sekali gus menaikkan saham dirinya sebagai orang tua kepada Mia Sara.

Lantaran itu, tersebar cerita berbaur cemburu mengenai kewibawaan dirinya yang dikatakan memakan hasil pendapatan anak sendiri. Itu termasuk meminta Mia Sara bekerja sampai lewat 2 atau 3 pagi bagi menjayakan sebuah drama bersiri.

‘Saya bukan seorang bapa zalim. Membiarkan darah daging sendiri bekerja siang dan malam tanpa belas kasihan,’ bicara awal Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh membuka cerita gosip membabitkan namanya itu.

Terus-terang, dia sudah menjangkakan penyebaran cerita tidak berasas itu seawal dia membawa masuk anak ke dalam industri seni tanah air tahun lalu.

Cuma menunggu masa sahaja untuk membiarkan dirinya ‘ditembak’ dengan persoalan sedemikian rupa. Lantaran itu, Muhammad Ridhuan mengambil pendekatan bertenang menjawab semua persoalan sewaktu bertemu di sidang akhbar pelancaran drama bersiri komedi Cuak untuk siaran Astro Ceria di Ampang, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

‘Saya tahu, pasti akan ada cerita kurang manis macam ini sewaktu awal melangkah masuk dalam industri lagi. Pasti akan keluar cerita kurang senang tentang saya yang tak bekerja tetap.

‘Sebenarnya, saya bekerja sebagai pegawai pemasaran dahulu tapi berhenti kerja semata-mata memberikan tumpuan kepada Mia.

‘Saya memang seorang cukup cerewet dalam penjagaan Mia. Saya kena pastikan waktu rehat, tidur dan keperluan vitamin mencukupi supaya dia boleh membesar normal seperti kanak-kanak lain,’ katanya lagi.

Bapa tunggal ini juga menafikan dia menggunakan sumber pendapatan berlakon Mia Sara untuk menyara tiga lagi anaknya iaitu Adriana Izzati, 10, Muhammad Danish Iman, 7, dan Amani Iman, setahun.

‘Tak adil menuduh saya sebegitu seolah-olah nampak sangat teruk,’ tingkah Muhammad Ridhuan menolak dakwaan tersebut.

Demi keselamatan anak ketiganya itu, Muhammad Ridhuan juga sanggup mencari penjaga wanita yang bertindak sebagai peneman Mia Sara. Walaupun hakikatnya, dia sukar untuk percayakan orang lain.

‘Dia masih memerlukan saya untuk melayan kehendak dirinya. Sudah pasti cara kita melayan anak orang berbeza dengan kita melayan anak sendiri.

‘Sebab itu, saya pastikan dia sentiasa dalam lingkungan pemerhatian saya. Hadir pada setiap waktu makan dia dan bagi sediakan air andai dia kehausan, walaupun terpaksa berulang ke set lokasi berulang kali,’ ceritanya.

Ditanya adakah dia mengetahui gerangan siapa yang mencacatkan kredibiliti dirinya sebagai bapa Mia Sara, lelaki ini terdiam. Katanya, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi lebih gemar bersikap memaafkan.

Baginya, kebenaran pasti akan diketahui kelak. Apa yang mampu dibuat adalah berdoa keselamatan anaknya.

Anak jati Melaka ini juga menjelaskan bahawa dia tidak mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan terbaik buat Mia Sara.

‘Saya tak mahu dia terlalu leka dengan lakonan dia. Memang saya ada rancang sesuatu untuk masa depan Mia. Seperti mana yang dilakukan oleh mana-mana bapa di dunia ini,’ katanya penuh optimis sebelum mengakhiri pertemuan.

Utusan

18
Sep

Sepi Seorang Ikon Negara

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto IRWAN MAJID


Bersama rakan-rakan konvoi motosikal besar Kuala Lumpur Bikers Club (KLBC) di Surau Zolkifli Al-Ansar, Taman Rahmat Jaya Kundang, Kuang, Selangor baru-baru ini.

DUTA Belia Negara, Maznah Zolkifli mengakui bahawa kehidupan hariannya tidak pernah sunyi dari dihujani persoalan yang satu itu. Perbincangan melibatkan pasangan hidup yang kerap diajukan di kalangan sanak saudara dan rakan terdekat.

Reaksi wanita ini menjawab persoalan itu pula tetap sama – tak ada jodoh lagi. Pun begitu, sebagai wanita yang punya kedudukan tersendiri di kalangan masyarakat ini juga tidak terlepas dari memikirkan perkara yang sama.

‘Inilah cabaran buat seorang wanita yang dikenali,’ dedah awal Maznah menyingkap sisi peribadinya berkenaan persoalan tersebut.

Wanita ini mengakui sudah bersedia untuk berumah tangga sekiranya jodoh sudah sampai. Kepada Ilahi urusan tersebut dipanjatkan.

Ditanya apa kemungkinan yang menyebabkan dia masih belum punya insan istimewa, wanita ini tersenyum manis.

‘Ini semua terpulang kepada pandangan masing-masing. Mungkin orang lelaki nampak luaran personaliti saya yang gemarkan aktiviti lasak dan boleh berdikari.

‘Sedangkan, saya adalah wanita normal. Ada keinginan mahu berkahwin, punya anak dan menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri lain,’ luah wanita ini lagi.

Cuba mengorek rahsia Maznah tentang jejaka yang pernah mendekati wanita ini, mengundang rona merah di mukanya.

‘Tidak manis buat seorang wanita seperti saya berbicara tentang lelaki sebegini rupa. Tapi, ada ramai jejaka yang cuba mendekati saya. Saya juga tak pernah tolak untuk keluar bersama,’ dedah Duta Euro Flying Club ini lagi.

Ditanya apa yang berlaku sewaktu mencari titik keserasian di kalangan lelaki berkenaan, penerima Anugerah Ikon Wanita 2007 ini kembali tersenyum.

‘Semua perkara ini terpulang kepada individu masing-masing. Bagi saya, ia umpama bonus buat sang suami punya isteri ‘feminin tapi lasak’ yang boleh melakukan banyak perkara tanpa bergantung pada dirinya.

‘Saya tetap menghormati lelaki yang bakal menjadi ketua rumah tangga kelak. Sebab syurga berada di kaki lelaki,’ katanya penuh optimis.

Ditanya adakah Maznah adalah seorang cerewet dalam bab memilih lelaki, wanita ini punya alasan sendiri.

‘Pasangan yang ingin berkahwin semua pasti menitikberatkan persoalan agama, keserasian kerja, penerimaan keluarga. Namun begitu, saya yakin urusan jodoh ini biarlah diserahkan kepada Maha Esa,’ ujarnya ringkas.

Dalam perkembangan lain, aktres, ahli sukan, pelakon dan pakar motivasi ini turut menyatakan rasa tidak sabar untuk kembali bertugas sebagai pengacara.

Antara sedar atau tidak, duta taman tema Sunway Lagoon ini sepi dari dunia pengacaraan sejak 2009. Sedangkan kehidupan berkenaan sebati dalam jiwanya sejak 15 tahun lalu.

‘Saya memang rindukan saat-saat bekerja di hadapan orang ramai. Ramai juga yang sudah bertanyakan bila saya kembali di kaca televisyen. Namun semuanya bergantung kepada rezeki.

‘Andai diberi peluang saya ingin mengulas tentang sisi kehidupan, karier, gaya hidup dan kesenian dalam program berkenaan, ‘ kata pengacara Citarasa Tokoh untuk siaran Astro Ria pada 2007 ini.

Pun begitu, Maznah berazam akan manfaatkan sepenuhnya peluang itu kerana dia mahu menyuntik elemen perubahan kepada golongan belia.

Apatah lagi melihat sendiri kebanyakan program televisyen yang disiarkan masa kini kurang menekankan soal kekuatan dan sumbangan belia dalam misi pembangunan negara.

‘Kekuatan televisyen tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia banyak mempengaruhi jiwa orang muda. Jangan biarkan mereka banyak disogokkan dengan rancangan kosong semata-mata. Sebab mereka adalah pelapis negara satu masa nanti,’ azam wanita ini di penghujung perbualan.

Semua perkembangan Maznah boleh diikuti menerusi laman web www.maznahzolkifli.com.my, facebook Maznah Zolkifli Fan Page atau boleh berhubung dengannya di maznah@maznahzolkifli.com.my.

Utusan

18
Sep

Ramona Jelas Skandal Pemain Bola


WANITA ini mengaku tidak selesa dengan dakwaan skandal antara dia dan Asrarudin yang baginya tidak lebih daripada sekadar teman.

Siapa sebenarnya Asraruddin di hati Ramona? Istimewa sangatkah sampai tiba-tiba sahaja dikaitkan ada skandal dengan dia? Tiada yang istimewa. Dia cuma kawan saya sahaja.

Kalau tak ada apa-apa tak kanlah orang nak mengata dik oi..banyak mata yang nampak awak dan dia selalu keluar bersama. Tolong jawab!

Memanglah kami berdua ada keluar bersama untuk beberapa kali. Tapi sumpah! Saya dan Asra cuma kawan biasa sahaja. Sekarang kan tengah musim raya, jadi kami adalah beberapa kali pergi memenuhi undangan rumah terbuka bersama. Memang nampak rapat, tapi sebenarnya kami cuma kawan biasa.

Ala…bila ditanya sekarang tak mahu mengaku. Dah sah-sah awak asyik berkepit berdua ke sana ke mari. Memanglah orang akan syak sesuatu. Tak begitu?

Tak betul tu kak. Saya tak nafi yang saya ada keluar dengan dia. Tapi tak pernah berdua. Biasanya mesti beramai-ramai dengan kawan-kawan lain.

Cuba jelaskan, macam mana awak boleh kenal dengan Asra?

Saya kenal dia pun baru sangat. Adalah dalam beberapa bulan lepas. Dia ialah kawan kepada kawan saya. Kami bertemu semasa keluar makan bersama-sama. Kalau nak tahu, masa mula-mula jumpa tu, saya memang tak tahu dia pemain bola. Bukan saya sengaja nak dekat-dekat dengan dia sebab status dia seorang pemain bola.

Jawapan macam nak selamatkan diri saja.. iya ke ni?

Betul. Punyalah saya ni tak kenal dia, sampai saya ingat dia ni budak band mana entah pada awalnya. Lepas kawan memperkenalkan, barulah saya tahu yang Asra merupakan pemain bola skuad kebangsaan.

Bila dah jadi macam ni, orang akan kata Ramona ada hati nak dapat nama dengan cara mencari skandal. Macam mana tu?

Sebab itulah saya tampil beri penjelasan. Jangan kerana saya artis, maka orang mudah nak lempar tohmahan dan jadikan satu-satu hal tu sebagai isu. Walhal, kawan-kawan perempuan lain pun ada keluar dengan dia. Tapi kenapa orang nampak saya saja?

Mungkin awak je yang paling ‘menyerlah’ antara mereka kot? Sekarang ni mesti awak selalu ke stadium bagi sokongan pada Asra bukan? Penyokong setia gitu..

Sumpah kak. Seumur hidup, saya tak pernah jejak ke stadium. Tapi lepas kenal Asra, adalah sekali tu saya pergi ke stadium untuk menonton perlawanan antara pasukan Selangor dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dah nama pun kawan, tak akanlah saya nak datang sokong pun boleh jadi satu isu?

Macam mana pula dengan ugutan yang Ramona terima tu?

Saya pun tak mahu fikir dah biarpun saya tahu, semasa kami keluar, saya perasan ada orang ambil gambar kami. Saya tak berani nak tuduh siapa. Individu itu paksa saya mengaku yang saya ada hubungan dengan Asra. Tak masuk akal! Iyalah sebab memang saya dan Asra tak ada apa-apa.

Jadi, apa harapan Ramona berhubung isu ini?

Saya harap lepas penjelasan ini dikeluarkan, tak ada lagi pihak yang salah faham mengenai hubungan kami. Saya bukan nak cetuskan kontroversi. Bahkan, saya sendiri rasa serba salah dengan Asra bila jadi macam ni.

Utusan

18
Sep

Hebat Penangan Idham

RAMAI yang menjangkakan filem Hantu Bonceng boleh dapat kutipan yang besar memandangkan filem itu ditayangkan masa cuti hari raya.

Dan telah ramai itu memang benar-benar terjadi apabila filem lakonan Zizan dan Juliana Evans itu dah cecah RM8 juta selepas dua minggu ditayangkan.

Itu memang satu pencapaian yang baik bagi Syed untuk orang berpengalaman macam Ahmad Idham. Iyalah, dalam dok sibuk-sibuk bercerita dengan beberapa rakan media baru-baru ini, mereka cukup gembira dengan hal itu.

‘Dulu masa buat Adnan Sempit, dapat RM7 juta. Tapi itu filem orang lain. Idham hanya mengarah sahaja. Jadi berapa sahajalah yang Idham dapat, bukan masuk poket dia semua tu.

‘Tapi sekarang, untung atau rugi semuanya dia dapat. Kalau dapat lebih, lebihlah yang dia dapat. Memang itu sudah cukup untuk membuat dia tersenyum gembira,’ kata teman Syed lagi ni.

Syed tak kisah berapa filem yang Idham nak buat sekalipun. Dengar khabarnya Idham sasar nak buat empat buah filem dalam masa setahun.

Kira okeylah banyak tu, asalkan cerita yang disajikan pada penonton tak busuk dan klise. Bukan apa, kadang kala kita terlalu mengejar kuantiti, sampaikan kualiti teruk yang langsung tak layak diangkat sebagai filem.

Syed tak kata sesiapa tetapi dalam hal ini dah banyak contoh yang kita boleh tengok. Kata filem tapi kualiti serupa drama. Sedih bukan.

Syed: Jom ramai-ramai serbu rumah terbuka Just K Family Karaoke di Selayang Mall petang ni bermula pukul 5 petang.

Utusan

17
Sep

Antara Keju Dan Belacan

DRAMA atau filem komedi sememangnya mudah menarik perhatian penonton hingga banyak karya daripada genre itu dihasilkan untuk tontonan di televisyen dan juga di layar perak.

Dalam menarik penonton, penggunaan judul unik juga menjadi keutamaan seperti telefilem Antara Keju dan Belacan arahan Isqandar Jebat yang disiarkan Astro Warna (saluran 132).

Telefilem terbitan Timecode Pictures Sdn Bhd ini menyaksikan gandingan pelakon popular, Natasha Hudson bersama Shuib Sepah, Man dan Bobo Raja Lawak.

Produsernya, Reza Arshad berkata, penerbitan telefilem ini sesuai dengan genre komedi yang dikhususkan saluran Astro Warna untuk pelanggan mereka.


“Penggambaran telefilem ini dibuat pada penghujung Mei lalu. Sejak peringkat awal, pihak produksi terfikir mengambil Natasha sebagai teraju filem ini.


“Keputusan ini dibuat atas cadangan penulis skrip, Zaini Kosnin dan Nasarudin Ab Rasif kerana mereka berasakan watak utama Tyna yang mempunyai wajah ‘Minah Saleh’ sesuai dengannya.

“Ketika nama Natasha dicadangkan kepada stesen TV, mereka juga bersetuju. Pada mulanya, kami perlu menunggu dalam tempoh seminggu untuk mendapatkan khidmat Natasha kerana dia mempunyai komitmen lain.

“Mengikut skrip, plot lebih memfokuskan watak Tyna dan Jai, lakonan Shuib. Namun, kekuatan cerita ini juga didukung pada lakonan Fathil Dani dan Sheila Mambo sebagai ibu bapa Tyna,” katanya.

Reza berkata, dia berdebar menantikan respons penonton terhadap telefilem ini kerana ini buah tangan pertama terbitan Timecode Pictures.

“Melihat pandangan positif produser stesen TV, saya berharap drama ini mencapai matlamat dari aspek rating penonton yang memberangsangkan.

“Astro Warna mempunyai banyak program bermutu termasuk program popular, Maharaja Lawak dan Lawak Minggu Ini. Mengikut program yang pernah disiarkan, saya melihat saluran ini mendapat sambutan baik dan saya percaya ramai peminat komedi mahu melanggan saluran ini,” katanya.

Antara Keju dan Belacan yang disiarkan pada 21 September, jam 10 malam mengisahkan hubungan cinta Tyna dan James sering dipandang serong di kalangan rakan sekerja wanita itu.

Tyna yang bekerja sebagai pengurus di satu syarikat besar di bandar berpura-pura menjalani hidup seperti warga asing yang tidak gemarkan makanan tempatan.

Berbanding James yang bekerja sebagai pensyarah di satu kolej swasta, Tyna berubah selera makan kerana ingin mengikut cara kehidupan teman lelakinya itu.

Namun, di sebalik sikap seperti lupa daratan itu, Tyna mempunyai satu rahsia yang hanya diketahui rakan sekerjanya, Jai yang bekerja sebagai penghantar surat. Jai sebenarnya pernah terserempak dengan Tyna yang mencuri makan sambal belacan di pejabat.

Sebelum kejadian itu, Jai sering memerhati gerak-geri Tyna kerana dia meminati wanita itu. Namun, dalam diam Jai sebaliknya diminati wanita Inggeris, Maria. Suatu hari, James melamar Tyna sebagai isteri dan menyatakan hasrat memeluk Islam.

James berhasrat membawa Tyna pulang ke Hungary selepas berkahwin. Sebelum perkahwinan dilangsungkan, Jai memberanikan diri memberikan hadiah istimewa pada Tyna.

Apa yang mengejutkan Tyna, hadiah itu adalah seketul keju dan satu mangkuk belacan. Di dalam hadiah itu juga, terselit satu DVD bertajuk Antara Keju dan Belacan. Kerana hadiah itu, fikiran Tyna berbelah-bagi untuk memilih siapakah jodoh sebenar.

Harian Metro

11
Sep

Bukan Tak Sudi

pix_gal0
Fasha Sandha ulas kenapa tidak berminat terima tawaran berlakon filem

SENGAJA perbualan pada pertemuan akhir Ramadan lalu dihalakan kepada sisi serius Fasha Sandha dengan menyelami setiap inci perjalanan dirinya yang bergelut mencari ruang udara selesa. Seakan mahu mengusir segala paparan klise yang pernah melekat pada setiap langkah artis yang sinonim dengan frasa kontroversi itu, Fasha kini bagaikan terus bersemangat untuk bangkit menerusi kerjaya seni lakon biarpun kini mula mendapat jolokan ‘Ratu Drama’.

Beralih dari satu lokasi ke lokasi drama berantai berlainan, seolah-olah membayangkan keselesaannya beraksi dalam produksi kecil berbanding ke layar perak.
Senario itu jauh berbeza berbanding ketika dia mula memasuki dunia lakonan di mana wajah Fasha lebih banyak menghiasi layar lebar, bukan kaca televisyen seperti dewasa ini.
“Bukan tidak sudi tetapi saya perlu lebih selektif dan teliti jika mahu ke layar perak. Ketika industri drama dan filem sedang berkembang, saya harus bijak merencana perjalanan karier.

“Untuk apa pergi ke filem jika karakter yang ditawarkan langsung tidak berbekas? Lebih baik saya berlakon drama. Saya tidak mahu membintangi filem jika sekadar menjadi pelengkap tanpa meninggalkan apa-apa kesan kepada penonton,” katanya.

Sebagai pelakon tidak kira apa juga medium pemilik nama lengkap, Nur Fasha Sandha Hassan itu berkata, dia tetap menuntut komitmen dan keseriusan yang sama. Bermain dalam pasaran industri yang kecil memaksanya supaya tidak mengehadkan penampilan pada satu medium semata-mata.

“Senario di sini tidak sama dengan di luar. Pasaran yang kecil membuatkan pelakon tidak boleh meletakkan diri untuk berkarya sama ada cuma di filem atau drama saja. Memang industri filem tempatan sedang berkembang pesat tetapi banyak faktor lain perlu saya pertimbangkan. Apakah semua filem mampu memberikan kualiti sama atau disempurnakan sekadar melepas batok di tangga?

“Kita memerlukan lebih banyak pemain yang berani membawa industri filem tempatan ke satu tahap baru. Itu yang saya nantikan, namun jika ditakdirkan rezeki belum menyebelahi saya salurkan dulu kecintaan itu kepada lakonan drama,” kata Fasha memberikan rasional tindakannya itu.

Membawa topik perbicaraan itu lebih mendalam, Fasha bagaimanapun menolak pandangan segelintir pihak yang melihat nilai komersial seseorang pelakon itu akan merudum jika terlalu kerap muncul di kaca televisyen.

Katanya, usah terlalu tinggi berkhayal hingga lupa bumi yang dipijak kerana perjuangan seseorang pelakon itu tidak akan bernoktah selagi bakat masih diperlukan.

“Mengapa perlu bataskan peluang kerana pelakon itu sendiri yang mencorakkan bagaimana perjalanan kariernya. Usah bermain dengan bayang-bayang sendiri jika itu hanya membawa kerugian,” jelasnya.

Melihat keselesaannya hari ini, Fasha memberitahu, dia sentiasa mensyukuri segala nikmat yang diberikan Tuhan kepadanya.

Malah Fasha juga enggan berangan terlalu tinggi kerana baginya, cukup sekadar memiliki karier yang lancar selain impian bergelar ahli perniagaan tercapai dengan pembukaan Chinta Salon.

“Dua karier ini saja sudah menuntut fokus yang terlalu besar daripada saya. Saya tidak mahu berfikir terlalu jauh, bimbang nanti apa yang diimpikan tidak tercapai,” katanya yang Syawal lalu muncul dalam drama, Ku Petik Dosa menerusi siaran TV3.

Selesa romantis bersama Botak

MENEBUALNYA mengenai lakonan dalam drama ketika ini, Fasha galak memancing perbualan mengenai kerjasamanya dengan pelakon muda, Johan As’ari. Dia akui kagum terhadap bakat besar yang dimiliki pelakon yang mendadak popular selepas muncul dalam drama bersiri terkenal, Juvana.

Fasha dipertemukan dengan pemain watak Botak dalam Juvana itu menerusi drama romantis terbaru yang menghiasi slot Lestary di TV3 iaitu Cinta Elysa bermula 13 September ini. Meskipun belum disiarkan, foto publisiti mereka berdua yang tersebar di laman maya membangkitkan pelbagai reaksi peminat yang melihat keserasian pada gandingan itu.

Cuba membidik soalan nakal, gadis berusia 27 tahun itu mengakui selesa mendampingi Johan. Cuma itu pengakuannya sebelum Fasha segera memintas dan membawa perbualan kembali ke trek asal. Keselesaan mereka cuma tercipta di lokasi penggambaran sementelah bakat baru itu juga mempamerkan kemampuan yang membanggakan.

“Selain skrip dan pembangunan watak, pelakon gandingan juga menyumbang faktor utama untuk saya menerima tawaran daripada sesebuah produksi.

“Bukan cuma Johan yang membuat saya selesa di lokasi, pengarahnya Along Kamaluddin juga teliti lantas membangkitkan kesungguhan kepada kami berdua untuk memberikan yang terbaik,” katanya yang masih berada di lokasi drama itu sehingga pertengahan bulan ini.

Teruja memperincikan setiap perjalanan sepanjang penggambaran drama bersiri terbitan Suhan Movies itu, Fasha mengakui, dirinya menemui kepuasan maksimum tatkala beraksi di lokasi Cinta Elysa. Apatah lagi, Along katanya, ialah seorang pengarah yang menitikberatkan pergerakan setiap pelakon lantas memberikannya cabaran untuk mendalami watak yang dijayakannya.

Sejurus usai penggambaran Cinta Elysa, Fasha mengambil sedikit masa memperhalusi tiga tawaran baru yang setiap satu menawarkannya watak mengujakan.

Bintang Pop

7
Sep

Cherie Hearts-G8 Lawsuit Begins

SINGAPORE: After getting a court order to overturn a receivership appointment by Australian-listed firm G8 in April, childcare operator Cherie Hearts Group International is now suing the former for an alleged breach of contract.

At the start of the hearing in the Supreme Court on Wednesday, Senior Counsel Ang Cheng Hock, who is acting for Cherie Hearts, described the case as one in which an investor had tried to “obtain the assets which it contracted to purchase at an agreed price, without having to pay the full agreed price”.

The relationship between the two companies began in March last year when G8 approached Cherie Hearts to buy over its 64 childcare centres as part of a move by the Australian-listed firm to expand its childcare business into Singapore.

According to lawyers for Cherie Hearts, after several rounds of negotiations, G8 agreed to buy over Cherie Hearts' operations for S$24.6 million.

As part of the business acquisition deal, it would extend a loan of more than $10 million to Cherie Hearts and assume part of the childcare operator's outstanding debts, the lawyers said.

The loan was to have been offset against the purchase price, and Cherie Hearts would receive around $9 million once the sale was completed.

But in March this year, G8 demanded the repayment of the loan and “blithely ignored” that there was an offset against the purchase price, Mr Ang told the court.

In the same month, G8 transferred the shares of the Cherie Hearts' subsidiaries it had bought to its own entity without making the full payment under the agreement, Cherie Hearts' lawyers said.

Co-founders of Cherie Hearts, Dr Sam Yup Soon Guan and Dr Gurchan J Singh, were also removed as directors of these subsidiaries.

By then, G8 had taken over the operations of the childcare centres under these subsidiaries and collected fees directly from the parents of students in the centres.

On March 22, receivers were called into Cherie Hearts' headquarters in Cecil Street, with G8 alleging a loan default of S$5.5 million.

Cherie Hearts is now asking the court to declare that the agreement between the two companies has been terminated and for damages to be assessed.

The hearing continues on Thursday.

- CNA/al

Channel News Asia

4
Sep

Puteri Sarah Lari Daripada Media

SAAT bahagia Puteri Sarah dan kekasihnya, Ammar.
SAAT bahagia Puteri Sarah dan kekasihnya, Ammar.
Aktres dakwa dicekik, ditumbuk teman lelaki

ENAM hari meraikan Syawal, Zubir pasti ketika ini ramai warga kota sedang berpusu-pusu di lebuh raya kembali ke ibu kota selepas kira-kira seminggu menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang di kampung halaman masing-masing. Nasihat Zubir, berwaspadalah sepanjang pemanduan kerana malang tidak berbau. Zubir sendiri pulang lebih awal ke ibu kota kerana tidak mahu menempuh kesesakan lalu lintas, buat sakit pinggang saja duduk lama-lama dalam kereta!
Zubir sebenarnya masih bercuti di lokasi popular kerana Hari Raya sajalah peluang terbaik menenangkan fikiran lebih lama daripada segala cerita panas dan kontroversi yang menyelubungi kehidupan seharian artis. Pun begitu, telefon bimbit tidak pernah dimatikan kerana ia seperti nyawa sendiri.
Sebaik selesai menikmati makan tengahari, Zubir menerima panggilan telefon daripada seorang pengurus produksi (PM) sebuah penerbitan drama TV. Dia bertanyakan nombor telefon bimbit aktres Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 25, yang baru-baru ini, muncul menerusi drama bersiri Laila Manja siaran TV3.

Namun, Zubir memaklumkan kepadanya, Puteri Sarah atau Sarah sudah tidak menggunakan nombor telefon lamanya kerana ia sudah ditamatkan perkhidmatan. Zubir sendiri tidak mempunyai nombor baru Sarah kerana sebelum ini pernah beberapa kali cuba menghubunginya, tapi hampa. Rata-rata teman artis dan TV3 sendiri tidak mempunyai nombor baru Sarah.

Sarah menjadi perhatian media massa apabila Harian Metro terbitan 27 Julai lalu tampil dengan sebuah artikel – ‘Kekasih cekik, tumbuk pelakon’, manakala teks awalan bawah tajuknya ‘Berang kecurangan terbongkar lepas kekasih temui berdua-duaan dengan wanita lain’. Difahamkan, Sarah yang pernah membintangi filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, dicekik, ditampar dan ditumbuk oleh kekasihnya sendiri, Ammar Alfian Aziz, 22.

Ammar sebelum ini pernah membintangi drama bersiri, Tari Kirana yang disiarkan TV3. Terdahulu, Ammar mencetus kontroversi apabila dia memusuhi wartawan apabila dengan penuh emosi dan amarah menulis kata-kata kesat, malah berbaur ugutan terhadap seluruh wartawan di Malaysia, terutama wartawan hiburan menerusi Facebook sehingga beliau terpaksa buat sidang media dan memohon maaf secara terbuka.

Laporan akhbar itu menyebut seorang pelakon drama dan filem popular berusia 25 tahun yang sering mencetuskan kontroversi antaranya penyebaran gambar intim dengan teman lelakinya di internet membuat laporan polis mendakwa dia dicekik, ditampar dan ditumbuk teman lelakinya.

Semuanya bermula apabila pelakon wanita yang bakal muncul menerusi drama Laila Manja di TV3, dipukul selepas terbabit dalam pertengkaran apabila mangsa menemui teman lelakinya itu sedang berdua-duaan dengan seorang wanita di dalam rumahnya. Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di rumah teman lelakinya di sebuah kondominium di Damansara, pelakon lelaki yang turut dilanda kontroversi kerana bergaduh dan mengugut membunuh wartawan tahun lalu, terkejut apabila mangsa tiba-tiba membuka pintu rumahnya.

Terkejut dengan kehadiran mangsa, pelakon lelaki terbabit bertindak memarahi teman wanitanya itu menyebabkan berlaku pertengkaran lebih 10 minit antara mereka. Gagal mengawal kemarahan, pelakon lelaki terbabit mencekik, menampar, memukul kepala dan badan mangsa beberapa kali.

Dalam pergelutan itu, pelakon wanita terbabit berjaya melepaskan cengkaman teman lelakinya sebelum menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan. Difahamkan, sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian kurang 10 minit kemudian sebelum mengarahkan pelakon wanita itu ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan mengenai kejadian itu.

Sekalipun laporan berkenaan tidak menamakan siapakah pelakon wanita dan lelaki itu, namun pembayang yang diberikan, jelas menggambarkan pelakon wanita itu ialah Puteri Sarah, manakala teman lelakinya, Ammar Alfian. Pun begitu, sebaik saja berita berkenaan disiarkan, telefon bimbit Sarah dan Ammar, sudah ditamatkan perkhidmatan apabila Zubir sendiri cuba menghubungi mereka untuk mendapatkan kepastian, namun gagal.

Sebelum ini, Zubir pernah terbaca kenyataan Ammar menerusi sebuah portal hiburan, dia mendakwa perhubungannya dengan Sarah tidak berdepan sebarang masalah, malah kedua-duanya sedang merancang untuk percutian bersama, justeru mana mungkin berlaku pergaduhan fizikal seperti dilaporkan akhbar tempoh hari. Manakala Sarah hingga ke hari ini terus ‘menghilangkan diri’, Zubir belum lagi membaca sebarang kenyataannya.

Inilah yang dikatakan sudah terang lagi bersuluh. Dah sah-sah kejadian yang berlaku tempoh hari menjadi kes polis, Ammar masih berdolak-dalik menafikan insiden berkenaan. Mungkin Ammar malu dan selagi boleh ingin menafikan perkara itu. Ammar tak pernah belajar dari kesilapan lalu ke atau mungkin anda ni jenis keras hati?

Sarah pula kenapa terus berdiam diri, lambat laun anda pasti terserempak dengan media atau Zubir sendiri berjaya memperoleh nombor telefon bimbitnya yang baru.

Lainlah kalau Sarah nak berhenti berlakon dan berhijrah ke luar negara. Kalau masih ada niat nak berlakon lagi, tak perlulah terus sembunyikan diri. Sarah dah lupa ke kejadian setahun lalu apabila Zubir ‘menerjah’ ke lokasi penggambaran drama selepas dia tidak menjawab panggilan telefon dan kiriman SMS Zubir. Bagi Zubir, Sarah juga seorang yang keras hati.

Kalau dua-dua dah tergolong dalam ‘spesies’ keras hati, masih nak melarikan diri daripada media massa, cakap pun putar-belit, berdolak-dalik, nasihat Zubir berhenti sajalah jadi pelakon. Jangan disebabkan anda berdua, rosak imej artis! Kita masih berada di bulan Syawal, justeru Zubir susun 10 jari memohon maaf andai kata Sarah dan Ammar terguris hati dengan komen pedas ini.

ZUBIR: Sekalipun ada artis senior pernah ‘sentap’ dengan teguran dan kritikan panas dilemparkan, namun tetap beri kad raya sempena lebaran ini.

Bintang Pop

4
Sep

‘Bukan Terdesak Jual Imej Seksi’

Nurul
Nurul
SIKAP segelintir masyarakat yang membuta tuli menjatuhkan hukum tanpa terlebih dulu bertanya duduk perkara sebenar melukakan hati penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Wahab. Memang seksi itu sinonim dengan dirinya tetapi kata Nurul, itu bukan bererti dia bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan impak baik dan buruk sesuatu perbuatan. Sebagai umat Islam, Nurul kesal dengan paparan iklan pusat kecantikan, Glow & Glamour, baru-baru ini, yang menyinggung sensitiviti umat Islam.

Namun, Nurul yang menjadi jurucakap kepada pusat kecantikan itu akui jangan terus mengecam dirinya. Nurul mengakui kesilapannya, malah turut memohon maaf atas kekhilafan tidak disengajakan itu. Bagaimanapun, maruah yang tercemar lantaran teguran lantang di dada sebuah akhbar mendesak Nurul berjuang mendapatkan keadilan. B’POP mendapatkan penjelasan daripada Nurul.
B’POP: Nurul sedia ambil tanggungjawab atas kesilapan yang berlaku?
NURUL: Saya faham dan terima kesilapan itu sebagai kekurangan diri. Namun, jangan terus menghukum tanpa memberi ruang untuk saya menjelaskan perkara sebenar. Mengapa tulisan itu membuta tuli menjatuhkan hukum saya bersalah? Apa yang ditulis itu lebih terdorong mengikut emosi penulis tanpa bertanya dulu fakta yang tepat. Itu yang membuat saya kecewa dan marah. Jangan cepat menghina orang, seolah saya tidak ada akal untuk membezakan apa yang baik dan buruk. Apakah kerana penampilan seksi saya, maka saya dihukum membelakangkan agama hanya kerana terdesak mencari duit? Itu sesuatu yang tidak adil.

Mengapa tidak ambil tindakan segera untuk menjelaskan perkara sebenar?

Salah saya kerana tidak bertanya gambar mana akan digunakan untuk promosi sempena Aidilfitri. Kerjasama kami bukan baru, malah sebelum ini tidak pernah menimbulkan masalah besar. Mereka juga memahami sensitiviti masyarakat di Malaysia yang berbilang bangsa. Cuma kali ini, reka bentuk iklan itu dibuat pereka baru yang mungkin tidak peka kemuliaan Ramadan dan Aidilfitri. Mereka tersalah pandang tetapi selepas ditegur, mereka pantas bertindak memohon maaf di laman sosial, Facebook atas kesilapan tidak disengajakan itu. Memandangkan Glow & Glamour sudah memohon maaf kepada umum, jadi saya anggap perkara itu selesai.

Namun orang tetap salahkan Nurul? Mustahillah Nurul tidak menasihati mereka foto mana yang sesuai untuk digunakan.

Kalau nak tahu, gambar digunakan untuk promosi diambil pada hujung 2009. Gambar sama juga pernah dipakai untuk promosi sebelum ini tetapi tidak menimbulkan kontroversi. Sesi fotografi itu memakan masa sehingga 12 jam di mana saya menggayakan pelbagai rekaan baju termasuk tiga kebaya untuk promosi raya. Memandangkan kerjasama sebelum ini tidak timbulkan masalah, jadi saya memberi kepercayaan kepada mereka untuk memilih imej dan foto bersesuaian. Masyarakat boleh menerima foto itu tetapi apabila diletakkan imej masjid di belakang, ia agak keterlaluan. Jika ditanya kepada saya, kesilapan itu tidak patut berlaku. Itu bukan bermakna mereka berniat menghina Islam. Cuma mereka tersalah pandang dan itu yang membuatkan ramai kurang selesa dan marah. Saya sendiri belajar daripada kesilapan itu.

Ada orang cakap Nurul terdesak berimej seksi untuk menagih perhatian peminat sebab populariti merudum?

Itu yang saya pelik. Saya sudah 16 tahun dalam industri, sudah puas merasai apa itu glamor dan sensasi. Jika saya terdesak untuk jual imej seksi, lebih baik jadi pelacur daripada ke sana sini menyanyi. Saya bekerja keras menjual bakat, malah hidup selesa dengan rezeki sebagai anak seni jadi pada kedudukan mana yang membuatkan saya kelihatan terdesak? Saya sedih dengan mentaliti orang sebegitu. Mereka meletakkan diri mereka seperti malaikat yang cuma tunduk menurut perintah Allah. Apakah mereka yang mengecam saya itu bersih daripada dosa? Disebabkan pandangan seperti ini membuatkan ramai artis bersikap hipokrit. Artis terpaksa tunduk kepada kemahuan sesetengah pihak, sedangkan sikap sebenar jauh daripada apa yang dipaparkan. Mahukah mereka saya jadi begitu?

Memang suka berimej seksi?

Saya akui ketika foto itu diambil saya memang suka bergaya seksi. Tetapi apabila usia meningkat dan pelbagai reaksi kurang menyenangkan diterima daripada peminat, saya mula berubah. Sejak awal tahun ini, saya mula berhati-hati dengan penampilan. Saya tidak mahu imej seksi saya disalahertikan dan menimbulkan marah kepada peminat. Peliknya ketika saya seksi dulu, tiada pula yang berani menegur keras seperti itu. Langsung tidak menjadi isu.

Bintang Pop