Antara Bisnes & Seni
Lana Nordin
JIKA dihitung setiap kali wajahnya mewarnai ruang publisiti di dada akhbar mahupun majalah, figura berwajah manis dengan personaliti menarik ini tidak terlepas daripada soal peribadinya yang dibicarakan.
Meskipun cuba mengelak dan menyembunyikan diri, ia bagai sudah terikat untuk persoalan kontroversi. Kononnya sering kali tampil dengan imej seksi dan kisah-kisah remeh yang diungkap, nama Lana Nordin seakan terjerat dengan persoalan ‘panas’.
Hakikatnya, pelakon popular yang sebelum ini dikenali menerusi drama siri Gol & Gincu, Kaizer, Astana Idaman 3 dan Dunia Baru ini tidak sekali menadah diri untuk ‘ditembak’ namun sudah menjadi lumrah sepak terajang dunia seni, kontroversi dan spekulasi bagai permainan buatnya.
Jelas pemilik nama sebenar Mazlina Hasan Nordin ini ketika ditemui petang minggu lalu di Balai Berita, biar apa saja orang ingin bercerita, yang penting adalah nawaitu dan arah tuju diri sendiri.
“Sudah lali rasanya menerima kritikan atau segala cacian kerana itulah ‘makanan’ sejak awal melangkah dalam dunia ini. Namun untuk saya mengalah adalah mustahil, sebaliknya setiap apa yang diperkatakan itu saya jadikan pembakar semangat untuk buktikan kepada mereka yang saya bukan begitu.
“Kalis peluru memang sesuai digelar kepada saya kerana itulah yang saya amalkan hingga kini. Jika tidak mengenali saya lebih dekat, usah lekas menjatuh hukum kerana saya tidak pernah mengharapkan kisah panas apatah lagi kontroversi semata-mata ingin popular. Itu persepsi lama yang sudah lapuk,” katanya.
Mengenali Lana, si pemilik personaliti menggoda dengan sikapnya yang rendah diri adalah seorang yang berterus-terang. Jika tidak menepati cita rasa dan seleranya akan terus diperkatakan kerana padanya, sikap jujur lebih baik daripada suka bersembunyi.
Justeru tambahnya lagi sebaik persoalan mengenai kekasih hatinya ketika ini, jika benar ada kekasih atau menjalin hubungan cinta akan terus diceritakan kepada mereka yang bertanya.
Lebih menarik petang itu, Lana yang pernah mengacarakan program Jejak Pulau dan XTune sebelum ini lebih rancak berkongsi mengenai lapangan perniagaan yang diceburinya.
“Saya langsung tidak terfikir soal cinta atau kekasih kerana alhamdulillah, apa yang pernah saya impikan sebelum ini sudah pun sebelah kaki menjadi kenyataan. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sejak dulu lagi minat saya adalah pada dunia perniagaan. Lama juga saya menimba pengalaman dan mencari kekuatan, kini saya sudah pun bergelar usahawan.
“Setakat ini saya sudah memiliki syarikat sendiri yang menguruskan banyak perniagaan berkaitan jual beli rumah dan tanah, hartanah dan beberapa cabang perniagaan yang lain. Itulah yang saya lakukan sekarang dan banyak masa diberikan untuk meletak sepenuh fokus pada dunia impian saya ini. Saya bersyukur kerana diberikan rezeki dan kepercayaan sebegini.
“Lakonan adalah satu lapangan yang memperkenalkan saya dan mengukuhkan nama untuk memudahkan urusan kerja lain. Kini selepas apa yang saya usahakan sudah hampir berjaya dan saya sudah nampak hasilnya daripada syarikat milik sendiri ini, saya rasa lakonan akan menjadi perkara kedua. Saya memang gilakan perniagaan dan kini semakin serius untuk mengukuhkan nama sebagai usahawan berjaya.
“Insya-Allah akan lebih berkembang perniagaan jual beli tanah dan hartanah kerana saya bersungguh-sungguh ingin merealisasikan semua yang saya lakukan ketika ini. Sekarang apa yang banyak saya lakukan adalah menjadi orang tengah untuk urusan jual beli tanah termasuk pembalakan dan ladang. Setakat ini saya sudah nampak hasilnya dan kesenangan yang ada juga semuanya dari usaha berniaga ini,” katanya yang juga pemilik syarikat Charisma Works dan Karisma Electric.
Terlanjur bercerita mengenai perniagaan dan perancangannya sebagai seorang usahawan, terlintas pula persoalan ke mana pula arah lakonannya selepas ini?
Jelasnya yakin, hidup perlu realistik.
“Sampai bila saya mampu bertahan menjadi pelakon? Itulah yang selalu saya fikirkan dan keluarga tanyakan. Mampukah saya bertahan hingga 20 tahun lagi sebagai pelakon dan adakah nama dan bakat saya diperlukan pada masa itu sedangkan saingan terlalu banyak dan senario industri juga semakin meruncing.
Ada saja masalah yang timbul terutamanya dari aspek bayaran pelakon dan nasib anak seni hari ini.
“Lantas mengapa perlu saya tunggu dan mengharap sesuatu yang belum pasti kerana prinsip hidup saya begitu mudah. Realistik dan sentiasa peka pada sekeliling.
Saya perlukan sokongan lain untuk terus mencari rezeki bagi membantu keluarga dan membina hidup sendiri. Alhamdulillah peluang dan rezeki dibentangkan kepada saya dan inilah keputusan terbaik yang perlu saya lakukan.
“Sepanjang berkecimpung dengan serius dalam dunia perniagaan, saya sudah nampak arah tuju dan objektif masa depan yang lebih terjamin. Itulah yang harus saya kejar dan terus berusaha mengukuhkan lagi tapak sedia ada,” katanya.
Mengalih sedikit perbualan kepada dunia lakonannya, Lana tetap bersyukur kerana masih ada pihak produksi yang yakin kepada kredibilitinya.
Meskipun tidak henti dilanda kontroversi, nama dan bakatnya seolah berada di gelanggang tersendiri.
Buktinya, lakonannya dalam filem yang kini hangat ditayangkan, Chow Kit mendapat pujian ramai.
“Chow Kit adalah sebuah filem yang saya sifatkan punya kesenian dan keistimewaan tersendiri. Plot ceritanya begitu santai dan bersahaja dengan pembangunan watak yang kesemuanya begitu realistik dan jelas termasuk watak saya sendiri, Siah seorang pelacur yang membesarkan anak, namun terjerat pula dengan masalah apabila anaknya dirogol.
“Ia mengisahkan senario sebenar di Chow Kit yang jarang sekali diketahui umum.
Saya begitu tertarik dan yakin filem ini akan memberikan satu dimensi tersendiri kepada industri hiburan kerana memaparkan sesuatu yang unik dan melangkaui imaginasi kini,” katanya.
Lana turut muncul dalam filem Lagenda Budak Setan dengan melakonkan watak Zaharah selain sebuah lagi filem sentuhan Afdlin Shauki berjudul Parti Vs Orang Minyak dan Tokak garapan pengarah Sabree Fadzil pada tahun ini.
Trivia Lana Nordin
Nama Sebenar…Mazlina Hasan Nordin
Tempat Lahir…Bintawa, Kuching, Sarawak
Profesion…Pelakon dan pengacara
Status…Bujang
Filem..Remp-It, Main-Main Cinta
Drama TV…Gol & Gincu, Kaizer, Astana Idaman 3, Dunia Baru, Mendung Berarak Kelabu, Impian Itu Milik Kita, Kamasutra, Akademi Cinta, Puteri, Cebisan Duka, Aku Juga Perlu Cinta dan Tidurlah Permaisuri
Program TV…Jejak Pulau (13 episod), XTune untuk saluran Astro Ria.
Harian Metro
Rentak Artis Asia: Bermotosikal Malam Pertama
RIAK tegang masih belum terhapus sepenuhnya di raut wajah Ashanty meskipun ketika ditemui dia sudah sah menjadi milik Anang Hermansyah, selepas mereka diijabkabulkan di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta, petang Sabtu lalu.
“Ia pernikahan pertama saya, jadi saya tidak tahu bagaimana perjalanannya. Saya agak tertekan. Saya paling bimbang jika Anang tersasul ketika melafazkan akad nikah, justeru sepanjang proses pernikahan itu saya banyak beristighfar.
“Alhamdulillah, lafaz akad nikahnya lancar dan semua berjalan baik sehingga selesai acara,” kata Ashanty bersyukur kerana perancangan panjang mereka untuk bersatu sebagai suami isteri menjadi realiti pada 12 Mei lalu.
Saya senang dengan peralihan waktu, dia juga berubah seperti saya. Kalau dulu agak payah untuk diajak bergurau tetapi sekarang tidak lagi. – Ashanty
Anang, 43, mengakui pelbagai rasa menyelubungi dirinya selepas kembali memegang tanggungjawab sebagai seorang suami. Sempat melahirkan kebingungan, keterujaan lelaki kelahiran Jember, Jawa Timur itu membuatnya berasa pernikahan dengan Ashanty ibarat perkahwinan pertamanya.
“Teruja, bingung semuanya saling bercampur aduk. Banyak permintaan Ashanty yang saya tentang, barangkali dia pun tidak tahu apa yang saya rasa.
“Ia seperti pengalaman pertama saya diijabkabulkan. Terima kasih Allah kerana memberi kelancaran dalam menyempurnakan hajat besar kami ini,” katanya.
Ashanty atau nama lengkapnya, Ashanty Siddik Hasnoputro, 27, tidak menafikan Anang sudah banyak berubah berbanding ketika mereka pertama kali berkenalan.
Anang katanya, dulu seorang yang agak kaku dan agak berat mulut namun sedikit sebanyak berubah santai serta semakin mudah didekati.
“Saya senang dengan peralihan waktu, dia juga berubah seperti saya. Kalau dulu agak payah untuk diajak bergurau tetapi sekarang tidak lagi.
“Selepas menjadi suami isteri, banyak perkara yang perlu saya dan suami bertoleransi. Banyakkan bersabar supaya rumah tangga aman, damai dan bahagia,” katanya.
Pada upacara itu, Ashanty menerima mas kahwin sepersalinan peralatan solat, dua set perhiasan dan wang Rp12.512 (RM4.13) yang melambangkan tarikh kelahiran mereka.
Dengan sekali lafaz, Anang rasmi melepaskan zaman dudanya apabila sah bergelar suami kepada Ashanty yang sekali gus membawa gelaran ibu kepada dua cahaya mata, Aurel dan Azriel hasil perkahwinan pertama lelaki itu dengan penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti.
“Ibu sudah mengingatkan saya jangan meminta berlebih daripada pihak lelaki. Cukup sepersalinan kelengkapan solat supaya sentiasa ingat kepada ibadah.
“Apatah lagi selepas bergelar suami, Anang sekali gus menjadi imam dan ketua kepada keluarga yang bakal kami bangunkan bersama.
“Anang sebelum ini pun ada memberitahu mahu menghadiahkan sesuatu tetapi saya sudah memaklumkan kepadanya, jangan memberi apa yang di luar kemampuannya,” katanya.
Selesai acara pernikahan, pasangan mempelai itu melepaskan sepasang merpati dan belon merah dan biru untuk menambah keindahan suasana petang yang penuh kebahagiaan itu.
“Melepaskan merpati adalah simbolik kami mahu bersama, berkekalan hingga ke akhir hayat. Merpati akan setia kepada pasangannya dan begitu juga pernikahan ini, semoga akan abadi untuk selamanya,” kata Ashanty.
Menyentuh persiapan perkahwinan mereka, Anang berkata, mereka sudah lama menyiapkannya namun tidak ramai yang tahu mengenainya termasuk keluarga.
Malah lagu ciptaannya, Jodohku kata Anang, adalah simbolik suara hatinya yang mengharapkan percintaannya dengan Ashanty diakhiri dengan ikatan pernikahan.
Anang juga tidak mahu menangguhkan lagi perancangan mereka untuk segera menimang cahaya mata malah berharap harapan besar dia dan isteri akan menjadi kenyataan nanti.
“Resepsi akan diadakan pada 20 Mei ini (esok) di Shangri-La Hotel, Jakarta kerana tidak ramai dapat hadir pada majlis pernikahan kami.
“Selepas itu, pada 26 Mei, kami bersama keluarga akan mengerjakan umrah dan berbulan madu. Tidak lama di sana, namun perjalanan itu sangat bermakna kerana kami mencari keberkatan dalam perkahwinan.
“Sebelum itu, saya mahu membawa Ashanty mengelilingi kota Jakarta dengan motosikal. Ia mempunyai terlalu banyak sejarah buat saya dan saya memang serius menunggang motosikal kerana tidak tahan dengan kesibukan lalu lintas Jakarta,” katanya.
Ashanty yang juga anak bongsu lima bersaudara tidak ralat apabila terpaksa membataskan karier nyanyiannya sebagai memenuhi permintaan anak kedua, Anang iaitu Azriel yang mahu dia memperuntukkan lebih banyak masa di rumah.
“Saya tidak boleh lagi terlalu mengutamakan karier. Cukup dalam seminggu, dua kali saya keluar bekerja. Ia bukan masalah besar buat saya kerana saya juga selesa di rumah,” katanya.
Berita Harian
Marian Lali Gosip Nakal
‘Saya tidak hamil’
LIMA tahun meniti gelora industri hiburan sudah cukup untuk Marian Rivera memahami segala permainan dan gosip nakal yang terpaksa ditelan meskipun ada ketika hatinya menjerit menolak apa yang diperkatakan umum.
Biar bertebaran pelbagai laporan kurang enak yang barangkali melukakan hati, Marian, 27, belajar untuk tidak melatah sebaliknya cukup dengan menghamburkan tawa sebagai jawapan kepada gosip mengarut itu.
Marian yang sedang hangat mencuri perhatian penonton tempatan menerusi drama bersiri, Everlasting Love yang disiarkan TV3 dikatakan hamil, hasil hubungan dengan kekasihnya iaitu aktor popular Filipina, Dingdong Dantes.
Terbaru, gadis kelahiran Madrid, Sepanyol yang membina populariti menerusi drama berantai popular seperti Marimar, Dyesebel, Darna dan Amaya ini dihadapkan dengan sebuah lagi persoalan berat.
Marian yang sedang hangat mencuri perhatian penonton tempatan menerusi drama bersiri, Everlasting Love yang disiarkan TV3 dikatakan hamil, hasil hubungan dengan kekasihnya iaitu aktor popular Filipina, Dingdong Dantes.
“Ia bukan lagi kejutan. Lima tahun saya berada dalam industri hiburan, malah sering menjadi subjek kepada pelbagai kontroversi membuatkan saya sudah lali menerima semua ini,” kata Marian yang jelas tidak goyah dengan gosip yang bertiup.
Penerima anugerah Bintang TV Fenomena oleh Guillermo Mendoza Memorial Scholarship Foundation (GMMSF) pada kemuncak Anugerah Hiburan Box-Office ke-38 meleraikan kekeliruan apabila mengakui bukan dirinya yang mengandung.
“Sebaliknya Trina, adik Dingdong yang menunggu kelahiran cahaya mata keduanya. Mungkin ada yang keliru mengenainya,” kata Marian yang memuncak popularitinya selepas membintangi siri Marimar pada 2007.
Enggan membuang masanya melayan isu remeh yang tidak pernah berkesudahan, Marian sebaliknya selesa menghitung segala kurniaan Tuhan.
“Jadual kerjaya saya terlalu padat. Selain menyempurnakan penggambaran My Beloved yang kembali menemukan saya dengan Dingdong, saya juga akan beraksi dalam siri baru, Tweets for My Sweet.
“Ia sebuah sitkom yang menyaksikan saya berkongsi skrin dengan Nova Villa, Barbie Forteza, Elmo Magalona, Sheena Halili, Chef Boy Logro dan Roderick Paulate.
“Saya begitu teruja menantinya, apatah lagi sudah lama tidak beraksi selepas kali terakhir membintangi sitkom, Show Me The Manny,” katanya.
Mengakui berdepan sedikit cabaran menangani dua perwatakan berbeza apabila berlakon sitkom dan drama fantasi serentak, namun Marian melihatnya sebagai ruang mencari keseimbangan selepas terikat dengan lakonan berat dalam My Beloved.
Aktres dan penyanyi yang tersenarai dalam barisan 10 Wanita Tercantik 2012 itu juga menyatakan perasaan tidak sabar untuk kembali ke layar perak dalam filem terbitan Regal Entertainment yang menemukannya dengan Coco Martin.
“Ia antara projek paling saya nantikan. Filem itu bakal diarahkan Maryo J Delos Reyes. Sebuah filem yang begitu dramatik dan mendesak saya untuk membuat persediaan rapi memikirkan gandingan saya ialah seorang pelakon hebat.
“Saya pernah bertemunya pada sidang media pelancaran filem itu. Pada permulaan kami cuma saling berpandangan, itu perkara biasa memandangkan kami belum pernah bekerjasama.
“Tambahan pula, saya dan Coco bernaung di bawah stesen berbeza namun saya percaya, apabila penggambaran berlangsung keserasian akan tercipta,” katanya.
Seakan tidak lekang diulit kontroversi, Marian turut dibelenggu episod bermasam muka dengan pelakon, Katrina Halili yang kembali dibangkitkan.
Menepis gosip yang diperkatakan, Marian mempertahankan, mereka berdua saling bertegur sapa ketika berlakon bersama dalam My Beloved.
“Kami sudah lama membenamkan isu itu lama sebelum penggambaran Marimar tamat. Mungkin kerana Katrina sedang hamil, jadi dia berdepan peralihan mood mengapa tidak kita semua cuba memahaminya,” katanya.
Dicemburui Dingdong
MENGAKUI perjalanan hidupnya semakin selesa, malah percintaan yang dijalani selama tiga tahun bersama Dingdong kekal stabil, Marian bagaimanapun masih belum bersedia untuk menamatkan zaman solonya.
“Belum terfikir ke arah itu lagi (perkahwinan). Kami bahagia bersama, mengapa harus merosakkannya dengan perkahwinan,” katanya.
Melihat teman lelakinya yang aktif menekuni dunia politik selepas Dingdong dilantik sebagai jurucakap kepada agensi belia kerajaan selain menubuhkan Yes Pinoy Foundation, Marian turut ditanya perkara sama.
“Saya akan menyokong dalam apa juga lapangan yang disertainya,” katanya mengenai jejaka yang pertama kali ditemui ketika dia menghadiri sesi uji bakat drama Marimar pada 2007 di Quezon City.
Cinta yang mendalam membuatkan Dingdong cemburu apabila Marian beraksi intim dengan pelakon lain. Malah ketika jejaka itu bertandang ke Kuala Lumpur pada akhir April lalu untuk mempromosikan Endless Love, Dindong meluahkan perasaan rindunya terhadap Marian menerusi laman Twitter miliknya.
Seperti teman lelakinya, Marian selesa mengambil pendekatan untuk membicarakan perkara itu apabila tiba masanya nanti.
“Perkahwinan adalah sesuatu yang sangat istimewa, jadi kami tidak mahu memusnahkan masa yang tepat. Apabila tiba masanya nanti, kami pasti akan bercerita mengenainya,” katanya.
Berita Harian
Laskar Pelangi 15 Episod
“HIDUPLAH untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya”. Itulah antara dialog dalam Laskar Pelangi yang pastinya mempunyai mesej tersendiri pada setiap penonton, sesuai untuk dijadikan pengajaran masyarakat pada hari ini.
Justeru, bersempena dengan sambutan Hari Guru 2012 yang baru diraikan pada 16 Mei lalu, TV AlHijrah mengambil peluang menyiarkan sebuah drama yang sarat dengan kisah kehidupan suka duka, semangat dan kecekalan anak-anak Pulau Belitong berserta guru-guru mereka di dalam mengejar mimpi ini setiap Selasa, Rabu dan Khamis.
Sudah tentunya penayangan drama bersiri 15 episod ini dilihat sebagai khabar gembira bagi penggemar filem dari seberang terutamanya mereka yang mengagumi hasil penulisan Andrea Hirata. Apatah lagi filem Laskar Pelangi sememangnya menarik dan mendapat sambutan menggalakkan.
Drama Laskar Pelangi mula ditayangkan sejak 15 Mei, jam 8.30 malam hingga jam 9.30 malam bagi menggantikan drama Facebook Ustazah Shamsiah. Pemilihan drama yang baru ditayangkan di stesen televisyen Indonesia SCTV pada Disember 2011 ini dibuat atas reaksi positif penonton dari seberang.
Pada masa yang sama, ia dilihat sesuai dengan visi dan misi TV AlHijrah yang mahukan bahan tontonan alternatif keluarga yang memberi inspirasi, mendidik sekali gus menjadi penggerak kepada perubahan ke arah kebaikan.
Istimewanya, drama ini lebih banyak menjanjikan emosi dan jalan cerita yang lebih terperinci diambil secara langsung di dalam bahagian-bahagian novel yang tidak pernah digarapkan di layar lebar. Meskipun jalan ceritanya agak berbeza dibandingkan dengan versi yang dipertontonkan di layar lebar, ia tetap mempertahankan bahagian-bahagian penting di dalam filem.
Antaranya, keseluruhan cerita masih berlatar belakang kehidupan warga Belitong dengan budaya Melayu yang kuat. Malahan lokasi penggambarannya juga masih dikekalkan iaitu di Pulau Belitong. Keunikan drama bersiri ini harus ditonton untuk diteladani dan dijadikan iktibar.
Selesai menonton, akan tertanam di hati penonton akan pentingnya pelajaran, nilai persahabatan, erti kasih sayang dan mengejar impian hidup. Contohnya Pak Irfan selaku guru besar mempunyai semangat juang yang tinggi untuk meneruskan perjuangan di Sekolah Muhammadiyyah sehingga nyawanya berakhir.
Pengorbanan yang tinggi inilah wajar dicontohi oleh semua golongan masyarakat terutamanya kalangan pendidik demi memastikan anak didik mereka berjaya dunia dan akhirat.
Dibintangi oleh Andika sebagai Ikal, M. Kholiq (Lintang), Nano Romanzah (Kucai), Jeffry Yanuar (Harun), Prisia Nasution (Ibu Muslimah) dan Ikranegara (Pak Irfan), kisah penuh dramatik ini bermula apabila Sekolah Muhammadiyyah, sebuah sekolah kampung di Belitong dengan kemudahan asas yang serba kekurangan, membuka pendaftaran baru untuk murid-murid kelas tahun empat.
Tidak semudah itu untuk membuka sebuah sekolah, syarat dan arahan yang diberikan oleh pihak atasan harus dipatuhi. Sekolah Muhammadiyyah akan ditutup seandainya pendaftaran pelajar-pelajar baru tidak mencukupi 10 orang. Sehingga saat akhir pendaftaran, hanya 9 orang pelajar yang mendaftar.
Kesemua sembilan pelajar yang diketuai oleh Kuchai kecut perut menantikan kehadiran pegawai dari Jabatan Pelajaran. Harun seorang pelajar yang baik hati namun sedikit terencat akal sepatutnya menjadi orang ke-10 mendaftar. Sakit hati dengan teguran Kuchai kepadanya, Harun merajuk dan menyorok di kawasan sekitar perigi berdekatan sekolah.
Saat semua cemas termasuk guru mereka Ibu Muslimah, Harun tiba-tiba muncul dan menjadi pelajar terakhir yang mendaftar sekali gus membolehkan Lintang, Mahar, Syahdan, Ah Kiong, Kucai, Samson, Sahara, Trapani, dan Ikal bersekolah seperti biasa di bawah bimbingan Ibu Muslimah dan Pak Irfan.
Disebabkan kejayaan mereka mengekalkan sesi persekolahan tersebut, gelaran anak Laskar Pelangi diberikan oleh Ibu Muslimah terhadap mereka.
Harian Metro
Iqram, Sherson Teruja
ARTIS dan selebriti popular, Iqram Dinzly, Ifa Raziah dan pengacara rancangan masakan 5 Rencah, 5 Rasa (TV3) , Sherson Lian akan muncul untuk memeriahkan pembukaan outlet Ayamazz Roti Impit ke-21 di pasar raya Giant, Cheras, esok (19 Mei), mulai jam 2 hingga 4 petang.
Kehadiran Iqram dan Sherson bagi mewakili generasi muda hari ini yang sibuk dengan pelbagai aktiviti. Dalam kesibukan itu mereka mesti mengekalkan kesihatan dan kecergasan badan dengan mengamalkan pemakanan sihat.
Meskipun kebanyakan makanan segera di luar sering dilabelkan sebagai pemakanan yang kurang sihat namun Ayamazz Roti Impit memberi jaminan mereka hanya menyajikan yang terbaik kepada pelanggan dan sesuai untuk semua peringkat usia.
Menurut Iqram, walaupun dia antara penggemar makanan segera tetapi dia masih berhati-hati dalam memilih menu dan sebaik saja diperkenalkan kepada Ayamazz Roti Impit, dia terus menikmatinya tanpa was was.
“Sebagai orang bujang yang sentiasa sibuk, saya tiada masa langsung untuk memasak sendiri dan jalan terbaik serta cepat adalah membeli. Memang ada banyak pilihan makanan di luar sana tetapi untuk mencari makanan berkhasiat sebagaimana kita memasaknya sendiri, agak sukar.
“Bagi saya, Ayamazz Roti Impit menyediakan pelbagai pilihan menu yang sedap dan mudah untuk dinikmati,” katanya.
Sementara itu, Sherson pula berkata, sebagai tukang masak sudah semestinya dia sangat mementingkan kualiti bahan digunakan dalam masakan.
“Selain sedap, ia mestilah baik untuk kesihatan tubuh badan.
“Oleh itu, kepada mereka yang suka makan makanan segera, berhati-hati memilih jangan ambil mudah saja.
“Dalam keasyikan kita menikmati pelbagai jenis makanan, kita mesti tahu apa bahan digunakan dan bagaimana ia disediakan,” katanya.
Ayamazz Roti Impit baru saja dilancarkan tiga bulan lalu tetapi sudah mendapat sambutan menggalakkan.
Mereka yang ingin berjinak-jinak dalam bidang perniagaan bolehlah mencuba jenama terbaru ini yang menyediakan pelbagai cara perniagaan seperti pembukaan outlet, kiosk, berniaga menggunakan motorsikal dan lori kecil.
Berikutan sambutan menggalakkan, pada hari itu juga nanti Ayamazz Roti Impit akan memperkenalkan dua menu baru iaitu pasta tom yam dan bolognese.
Harian Metro
Teh Tenang Bertudung
MELIHAT imej Teh Syuhaidah Mat Sharip sekarang yang sudah bertudung, mungkin ada cerita menarik ingin dikongsi dengan peminat.
Ketika ditemui baru-baru ini, Teh yang juga wartawan penyiaran, pengacara dan penerbit program bual bicara, Wanita Hari Ini (WHI), berkata semuanya bermula selepas dia pulang dari bercuti dari Pulau Bali bersama teman-teman rapatnya.
Personaliti bermata galak ini nampaknya mengikut jejak dua lagi rakan pengacara WHI iaitu Azizah Ariffin dan Rina yang sudah pun lebih awal ‘berhijrah’. Pengacara lain yang terbabit dalam WHI ialah Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan dan Nor Azura Azizul Aznam.
Bagi Teh, semuanya kerana kesedaran yang datang dari dalam dirinya sendiri untuk berubah tanpa paksaan dari sesiapapun.
“Sebenarnya, saya sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung dan hanya menunggu masa tepat untuk melakukannya. Selepas balik dari umrah di Tanah Suci Makkah, pada April 2011, saya masih belum lagi bertudung tapi hasrat itu semakin meluap.
“Namun saya terbuka hati untuk benar-benar bertudung sebaik saja kembali dari bercuti dari Pulau Bali awal tahun ini.
“Semuanya berlaku selepas saya menyaksikan sendiri gejala sosial dan pergaulan bebas tanpa batasan pelancong asing di Pulau Bali yang memang terkenal dengan kelab hiburan serta dianggap syurga dunia itu. Hati saya terus terdetik untuk bertudung kerana tidak mahu terpengaruh dengan gaya hidup bebas golongan muda itu,” katanya.
Menolak imej tudung yang dianggap segelintir pihak sebagai satu ‘trend’, kata Teh, dia banyak berdoa dan meminta hidayah dari Allah SWT semoga diberi ketetapan hati.
“Apabila datang ke set WHI dengan imej bertudung, ramai rakan-rakan rapat terkejut dengan imej terbaru saya ini. Tapi selepas itu, semuanya memberi sokongan pada saya untuk terus kekal dengan imej ini,” katanya.
Anak keempat dari lima beradik yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui hati dan jiwanya kini lebih tenang selepas bertudung.
Kata Teh lagi, selepas bertudung, dia berasa lebih yakin dengan dirinya.
“Emaklah yang paling gembira melihat perubahan imej saya ini. Kini, selepas selesai ke udara di WHI, saya akan mengisi masa dengan mengikuti kelas agama, terjemahan dan tafsiran al-Quran bersama beberapa rakan artis seperti Irma Hasmie, Siti Nordiana dan Yatt Hamzah.
Ditanya kenapa dia masih bergelar solo pada usia awal 30-an, kata Teh yang pernah putus cinta juga lebih suka menyerahkan soal jodoh itu pada ketentuan Ilahi. Sebelum ini, dia pernah menjalinkan hubungan serius dengan jejaka yang bekerja di sebuah syarikat akhbar tempatan selama dua tahun.
Bekas pemenang tempat kedua, program Malaysian Top Host 2005 ini mengakui masih banyak lagi ilmu yang ingin dipelajarinya dalam memantapkan lagi program bual bicara yang mengupas isu semasa itu.
“Dari segi perubahan WHI sekarang adalah kandungannya yang lebih banyak dengan penonton dan antara program bual bicara yang mendapat sambutan ramai memberangsangkan dengan mencecah ‘rating’ 600,000 hingga 700,000 penonton. Bukan saja wanita, program WHI juga diminati kaum lelaki,” katanya.
Harian Metro
Ziana Dalam Kelas Tersendiri
PENGALAMAN cukup banyak mendewasakan Ziana Zain. Memulakan langkah awal dengan mengikuti ayahnya, Zain Abdullah atau mesra disapa Pak Zain, menyanyi bersama Kombo Polis, hari ini Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain, 44, mampu tersenyum lebar apabila dia terus diburu untuk menjayakan sesuatu persembahan.
Statusnya sebagai Diva Pop juga menjadikan penampilan Ziana dalam setiap acara begitu ditunggu-tunggu peminat. Terbaru, kemunculannya menghiburkan tetamu sempena Pencarian Ibu – Hati anjuran Harian Metro, Ahad lalu di Hotel Holiday Villa, Subang, memang berjaya menghidupkan suasana.
Biarpun hanya sekadar menyampaikan tiga lagu, Ziana yang tampil dengan skirt paras lutut merah bersulam biru, tetap mengundang kekaguman di kalangan hadirin. Apa tidaknya, tubuh ibu kepada empat anak ini kekal ramping persis anak dara, begitu dicemburui, ditambah kecantikan serta kelantangan vokalnya yang kekal bertahan. Semua itu menjadikan Ziana berada dalam kelas tersendiri.
Memulakan persembahan menerusi majlis yang ditaja Softlan itu dengan lagu Syurga Di Hati Kita, Ziana kemudian bingkas turun ke bawah pentas mendekati tetamu. Peluang ini tentunya tidak dipersia-siakan oleh mereka apabila masing-masing berebut-rebut merakam foto kenangan.
Berehat seketika bagi memberi laluan kepada acara lain, Ziana tampil semula dengan lagu berikutnya, Kalau Mencari Teman. Aura penghibur jelas terlihat pada dirinya apabila memilih lagu yang kena dengan konsep acara. Sebagai penamat, dia menyampaikan lagu duet terbarunya yang dirakam bersama Sohaimi Meor Hassan iaitu Misteri Cinta. Sekali lagi kelantangan suaranya memukau semua yang hadir.
Ketika ditemui, Ziana memberitahu persembahan pada petang itu lebih bercorak santai bagi menghiburkan semua yang datang.
“Dulu saya memang rajin buat persembahan pada Hari Ibu. Tapi sekarang saya tak rasa terkilan kerana zaman itu sudah berlalu dan saya pernah merasainya. Tapi kalau dijemput penganjur membuat persembahan, saya tak akan menolak kalau ada masa,” katanya.
Sementara itu, Ziana yang juga duta Slim World Beauty House akan tampil bertemu peminat anjuran produk itu di Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Mei ini dan Kuching, Sarawak pada 20 Mei.
Sejak bergelar isteri kepada Armin Zaharin Ahmad dan ibu kepada empat anak iaitu Muhammad Aiman, Muhammad Amar serta kembar, Muhammad Airil & Siti NurQaseh, Ziana akui rasa gembira apabila dapat bertemu mereka yang bergelar ibu.
“Anak-anak saya pun sudah mula tahu bagaimana hendak luahkan perasaan mereka apabila tiba Hari Ibu. Anak yang besar akan beri kad dengan pelbagai ucapan. Sebagai ibu, saya rasa terharu. Suami saya pula lebihkan berat kepada sambutan ulang tahun perkahwinan kami dan ulang tahun hari jadi saya. Tapi dia tetap ingatkan anak-anak mengenai Hari Ibu.
“Zaman saya waktu kecil-kecil dulu, memanglah kita tak sambut sangat Hari Ibu. Apabila masuk sekolah barulah saya tahu ada hari istimewa untuk meraikan ibu.
“Kalau kita tak rai bukannya kita tidak ingatkan ibu, cuma sekarang orang mula meraikannya secara besar-besaran,” katanya.
Beralih kepada karier, Ziana memberitahu peminat akan dapat menyaksikan gandingannya bersama Anuar Zain yang bakal bertindak sebagai penerbit untuk album terbarunya nanti. Bagaimanapun dia perlu menunggu kerana jadual Anuar terlalu padat.
“Saya serahkan segala-galanya pada Nuar untuk memilih lima hingga lapan lagu untuk album ini. Sebenarnya dia yang tawarkan diri untuk bantu dan saya beri kepercayaan kepada dia.
“Sudah tentu kami mahu lihat album ini cepat disiapkan dan akan cuba yang terbaik untuk kepuasan peminat,” katanya.
Harian Metro
Hoore! Hoore! Mengasyikkan
BUKAN saja hati tersentuh dan sebak menghayati lagu-lagu popular dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, filem genre muzikal Hoore! Hoore! karya Saw Teong Hin memang sebuah karya yang sarat dengan mesej persahabatan dan kekeluargaan.
Itulah kelainan dipaparkan dalam filem muzikal terbitan Astro Shaw Sdn Bhd (ASHW) dengan kerjasama Real Film Sdn Bhd yang dihasilkan khusus oleh Teong Hin untuk memberi penghargaan kepada penghibur yang sudah dua dekad meninggalkan kita.
Antara lagu popular Sudirman yang mewarnai filem ini adalah Ayah dan Ibu, Pelangi Petang, Terasing, Salam Terakhir, Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua (Hidup Sederhana), Hoore! Hoore!, Kasih, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, One Thousand Million Smiles (versi Melayu), Anak Gembala dan Balik Kampung.
Walaupun lagu itu dirakamkan semula dengan mendapat sentuhan komposer terkenal Audi Mok, ia tetap berjaya membawa diri kita dekat dengan Allahyarham.
Malah, rata-rata penonton dan pihak media yang hadir pada sesi pratonton filem itu di pawagam TGV KLCC, baru-baru ini akui sangat terhibur dan memberi maklum balas cukup positif kepada pengarah dan barisan pelakon.
Ketika ditemui, Teong Hin berkata, dia masih gementar menanti reaksi peminat membabitkan filem muzikal pertamanya itu apabila masuk ke pawagam kelak.
Selaku pengarah, sudah pasti Teong Hin mengharapkan filem itu akan mendapat kutipan pecah panggung bila menjengah pawagam seluruh Malaysia.
“Kali terakhir saya mengarah ialah filem ialah Apa Kata Hati, empat tahun lalu (2009). Dulu ramai juga berkata Apa Kata Hati filem karya yang bagus tetapi ia tidak berjaya dari segi kutipan tiket.
“Justeru, saya tak mahu lekas dibuai pujian orang dan tak berani nak ramal berapa sasaran kutipan. Biarlah penonton menilai hasilnya sendiri nanti.
“Namun yang pasti bagi saya, ia filem muzikal pertama arahan saya dan kalau ia berjaya kelak, pasti itu akan menyuntik semangat untuk diri saya,” katanya.
Terus terang, kata pengarah filem epik Puteri Gunung Ledang ini lagi, dia memang berminat membuat muzikal sejak dulu lagi namun baru sekarang impian itu kesampaian.
“Sebenarnya masih banyak lagu Allahyarham Sudirman yang saya ingin muatkan dalam filem ini tapi, selepas pemilihan dibuat, saya kena pilih lagu yang popular yang bersifat sedih, gembira, cinta, suasana kampung dan kekeluargaan untuk disesuaikan dengan jalan ceritanya,” kata Teong Hin.
Berkongsi cabaran mengarahkan filem itu kata Teong Hin, ia membabitkan tempoh masa penggambaran singkat iaitu 27 hari.
“Saya percaya bukan mudah untuk membimbing pelakon baru menari, menyanyi dan berlakon dalam tempoh singkat namun, dengan bimbingan koreografer profesional, mereka mampu memberikan komitmen terbaik.
“Filem ini membabitkan kos RM1.6 juta dan menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik, Pahang,” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga buat kajian mendalam lebih dua tahun untuk menghasilkan jalan cerita filem ini dengan bekerjasama penulis skrip, Shahriman Wahab.
“Saya perlu merujuk hal berkaitan dengan keagamaan, isu gadis bertudung memasuki pertandingan ratu dan perkara yang mungkin boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu. Dengan bantuan Shahriman, barulah saya mula mengarah,” katanya.
Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan pertaruhan beberapa wajah baru dalam filem itu, Teong Hin berkata: “Bukan senang hendak menggilap bakat baru dan ia memang risiko mengambil mereka berlakon tapi takkan kita ingin tonjolkan muka yang sama saja.
“Sebenarnya saya temui Farah Nazirah untuk pegang watak utama (Nurul Aiman) dalam tempoh tiga hari sebelum sesi uji bakat kami selesai.
“Farah mampu menari, menyanyi dan berlakon dengan baik kerana itu kriteria utama yang kami cari-cari untuk beraksi dalam Hoore! Hoore! dan digandingkan pula dengan artis yang sudah terkenal, Akim (watak Johari).”
Filem ini menceritakan mengenai Nurul Aiman bertubuh agak gempal, lurus bendul dan kurang keyakinan diri namun baik hati. Nurul ada dua sahabat baik yang juga rakan sekampung dan sekolah iaitu Lana dan Azadan.
Nurul juga anak pasangan Hairil dan Lia. Nenek Nurul, Zaimah juga tinggal bersama mereka. Di sekolah, Nurul ada seorang kawan, Johari yang segak dan berbakat.
Dalam diam, Johari yang juga anak Cikgu Murshid, sangat menyukai Nurul manakala Lana dan seorang gadis sekolah yang cantik, Rita, turut meminati Johari. Namun Rita pula gadis yang ego dan selalu mencetuskan masalah.
Barisan pelakon lain adalah Kilafairy (Rita), Harun Salim Bachik (Hairil), Adibah Noor (Lia), Sahronizam Noor (Cikgu Murshid), Aznil Nawawi (Rizal), Fauziah Nawi (Nenda Zaimah), Nur Shazwana (Lana), Afi Faris (Azadan), Shahila Shariff (Mimi), Syafiqah Md Jemey (Mira), Mohamad Nabil (Sham), Mohd Faiz (Pian).
Filem menarik ini akan mula ditayangkan di 64 pawagam seluruh Malaysia bermula 24 Mei ini.
Harian Metro
SOSEH SOSEH: Bomoh Luar Negara
SS ingatkan pada zaman moden ini, orang dah tak ‘main’ dengan bomoh, tok dukun atau pawang lagi. Kalau sakit pergi saja ke hospital. Tetapi apa yang SS fikirkan meleset sama sekali. Semakin moden, semakin galak pula orang menggunakan ilmu sihir. Agaknya tahap kesabaran orang sekarang dah semakin menipis, jadi jalan terbaik mereka terpaksa menggunakan ‘kuasa’ lain untuk menakluk orang lain. Hebatkan?
Penyakit akibat ilmu hitam ini lain macam kerana pakar perubatan pun tak boleh kesan. Ada yang siang sihat tetapi menjelang Maghrib tiba-tiba demam menjadi-jadi dan tak kebah-kebah. Ada yang tiba-tiba jadi murung dan wajah hilang seri.
Dalam dunia hari ini, saingan sangat sengit. Ada yang nak naik pangkat pun, kena pakai khidmat tok dukun. Maka orang yang sepatutnya dinaikkan pangkat akan dipinggirkan begitu saja.
Cerita terbaru yang SS dengar, ada mekap artis kaki ‘mandrem’ dan demi mencari tok dukun yang handal, dia sanggup pergi sehingga ke luar negara. Huh! naik bulu roma SS kerana setahu SSlah, tok dukun di negara yang dimaksudkan itu biasanya akan menggunakan benda kotor atau pun ‘makhluk asing’ untuk ‘menundukkan’ orang yang bakal menjadi mangsanya.
Apabila tok dukun itu menggunakan bantuan ‘makhluk asing’, biasanya mandrem itu cepat mujarab. Ada yang sanggup ‘bomohkan’ kawan sendiri sampai bawa mautlah.
Menurut rakan-rakan terdekat kepada mekap artis ini, dulu dia ini biasa-biasa saja di mana kerjayanya tidaklah meletup seperti sekarang. Kini, dia dah popular dan namanya kerap menjadi sebutan. SS yakin, rakan-rakan lain bukanlah cemburu dengan kejayaannya itu, cuma mereka tak suka caranya yang mencari makan dengan jalan yang ‘kotor’ dan hina.
Kalau betul bagus, gunakan saja kemahiran dan kudrat yang ada untuk mencari rezeki bukan dengan menggunakan khidmat ekstra tok dukun. Pernah juga SS tengok wajah sesetengah artis yang sudah disolek, tersangatlah berseri-seri bagai bulan di pagar bintang. Sebelum itu dicalit mekap. SS tengok wajahnya kusam saja.
SS: Bomoh demam pun cari doktor.
Harian Metro
SOSEH SOSEH: Petua Kotor Jinak Suami
SS tumpang bahagia apabila tengok suami isteri yang hidup bahagia dan saling berkasih sayang. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. SS lihat di mana ada artis ini, adalah isteri bersamanya dan ke mana isterinya pergi, sudah tentu artis ini akan menemaninya. Bahagia sungguh!
Bukan senang nak mencari pasangan suami isteri yang sehati sejiwa. Tetapi pasangan suami isteri ini, macam belangkas mengalahkan mereka yang sedang bercinta. Semoga rumah tangga mereka berkekalan selamanya.
Bagaimanapun pada hujung minggu yang lalu, SS terserempak seorang kawan lama. Dia ini asalnya orang industri juga tetapi dah lama bersara kerana memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak yang semakin membesar. Pun begitu, meskipun sibuk dengan kerja di dapur, dia masih berhubung dengan kawan-kawan lama yang selalu memberinya maklumat terkini termasuklah cerita rumah tangga artis yang SS perkatakan di atas.
Kata kawan SS ini, rumah tangga artis yang bahagia itu ada makna yang tersirat di sebaliknya. Menurut kawan SS lagi, datuk saudara sebelah isteri artis itu pandai ‘berubat’ orang dan dengan wajah yang serius, dia menyambung ceritanya yang sensasi itu. Jadi supaya artis itu sentiasa sayangkan isterinya dan mendengar segala cakapnya, dia sudah memberi petua kepada cucu saudara kesayangannya itu.
Petua yang minta diamalkan itu membuatkan tekak SS geli geleman, loya dan rasa nak muntah. Memang SS tak sanggup nak melakukannya iaitu mencampurkan minuman atau makanan suami dengan air kencing sendiri. Nauzubillah.
Kalau betullah cerita yang kawan SS sampaikan, akan dapat balalah si isteri. Kalau bukan sekarang pun, mungkin ketika malaikat maut datang menjemput nanti.
Kasih sayang antara suami isteri boleh dipupuk dengan pelbagai cara dan bukannya dengan bagi makan benda kotor. Teringat SS filem lakonan Sofea Jane iaitu Suami, isteri dan…
SS: Tergamak suami isteri artis teguk air kencing syaitan secara terbuka di depan khalayak.
Harian Metro