Skip to content

Posts from the ‘Berita Harian’ Category

4
Oct

Nafi Himpit Fasha




pix_gal0
Cinta Elysa buka ruang Johan beraksi di sisi pelakon pujaan

LIMA bulan lalu, ketika jejaka ini muncul bersama dua lagi rakannya menghiasi muka depan ruangan Hip, mungkin tidak ramai yang mempedulikan kehadirannya dalam kancah seni. Waktu itu, dia hanyalah pelakon pembantu dalam drama bersiri Juvana terbitan Filmscape Sdn Bhd.
Benar bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tidak sampai pun lima bulan membabitkan diri secara serius sebagai pelakon, nama Johan Ariff As’ari, 25, mula meniti di bibir peminat, terutama wanita.
Sikap ganasnya sebagai Botak dalam drama Juvana cukup meninggalkan kesan dalam hati penonton. Kini, hati peminat sekali lagi terkesan dengan lakonannya sebagai Aril dalam drama Cinta Elysa.

Baru setahun jagung dalam dunia lakonan, Johan sudah pun mendapat kepercayaan penerbit untuk mendukung watak utama, malah dia juga amat beruntung apabila berpeluang beraksi di sisi pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Eman Manan dan Fasha Sandha.

Kali pertama menemubualnya dulu, Johan seorang yang lurus dan jujur. Ketika temu bual terbaru ini dilakukan pun, sikapnya masih sama seperti dulu. Namun anak muda ini turut melahirkan kebimbangan tidak mampu mengekalkan sikap sedemikian satu hari kelak.

“Alhamdulillah selepas Juvana tamat, saya mendapat beberapa tawaran daripada stesen televisyen dan produksi lain. Hendak katakan banyak, tidaklah juga, tetapi Allah mempermudahkan perjalanan saya.

“Dapat berlakon di samping pelakon yang ada nama dan muncul pula pada waktu perdana adalah satu kurniaan rezeki yang tidak saya sangka-sangka. Apabila Allah memberi rezeki, saya percaya dia tidak memilih siapa kita. Walau apapun, rezeki dalam bidang lakonan tetap halal sekiranya kita berniat dalam hati tujuan berlakon adalah untuk berdakwah.

“Contohnya, jika peminat melihat lakonan saya, kemudian terdetik di hati mereka tidak mahu melakukan perkara sama seperti saya lakukan, itu sudah menjadi satu dakwah,” katanya yang tidak sangka dapat berlakon di samping pelakon yang cukup diminatinya, Fasha.

Dipertemukan dalam drama Cinta Elysa yang menemui penonton setiap Selasa, nyata merapatkan hubungannya dengan wanita itu. Gara-gara berlakon bersama, mereka sering dilihat berdua-duaan walau ke mana saja.

Maka timbul suara-suara sumbang kononnya Johan cuba menghimpit Fasha. Atau paling tidak, mahu menumpang populariti wanita itu bagi melonjakkan namanya.

Bagaimanapun, dakwaan itu jelas sekali mengejutkan jejaka ini. Katanya, langsung tidak pernah terlintas dalam kotak fikirannya untuk menaruh hati kepada wanita secantik dan terkenal seperti Fasha.

“Saya menghormatinya kerana dia sudah lama berada dalam industri. Pengalaman Fasha dalam dunia lakonan juga cukup luas. Malah pernah satu ketika dia berada di atas dan secara tiba-tiba namanya jatuh, tetapi dia masih mampu bertahan. Dia tahu jatuh bangun dalam dunia seni, yang membuatkan saya begitu mengagumi dirinya. Setakat ini saya belum meletakkan sebarang perasaan untuk bercinta dengan Fasha.

“Saya mengaku, sebelum bergelar pelakon, saya begitu mengagumi lakonan Fasha. Tidak terlintas satu hari nanti saya akan mendapat peluang berlakon dengannya.

“Sebelum bertemu dengan Fasha, saya amat berdebar, rasa kekok, semuanya bercampur-baur. Tetapi selepas digandingkan, saya dapat rasakan keserasian antara kami, sekali gus melenyapkan perasaan bimbang itu,” katanya.

Bimbang lupa diri

BERKALI-kali dia menyatakan kebimbangan akan lupa diri apabila semakin dikenali. Acap kali juga dia meminta supaya ditegur seandainya terlihat perubahan padanya.

“Saya memang takut sangat menjadi manusia lupa diri. Sekiranya kita mula lupa diri, ia bermakna zaman kejatuhan kian menghampiri. Oleh itu, setiap kali berada di set, saya tidak pernah berasakan diri sudah cukup bagus.

“Sebaik saja mendengar perkataan ‘cut’, saya akan segera mendapatkan pengarah untuk bertanya kekurangan pada lakonan saya. Memang saya mengaku, ketika berlakon dalam Juvana, saya pernah menangis kerana tidak berjaya mengekalkan momentum watak Botak. Tapi lama-kelamaan keyakinan semakin dapat saya pupuk.

“Setiap kali berada di set juga, saya sering mencuri peluang mendekati pelakon yang bagus. Saya banyak meminta petua lakonan daripada mereka. Dua pelakon yang amat saya kagumi ialah Zahiril Adzim dan Bront Palarae. Bagi saya, mereka pelakon yang sangat hebat,” katanya yang mengimpikan untuk menggenggam trofi pelakon terbaik satu hari nanti.

Mungkin pada ketika ini, masih terlalu awal untuk dia mengimpikan trofi itu, namun jejaka yang sedang menangguhkan pengajiannya dalam Diploma Kaunseling, Kolej Universiti Islam Melaka ini tetap mengharapkan trofi berkenaan.

“Sebagai seorang pelakon, saya memang berharap dapat menjadi pelakon yang terbaik, bukannya popular. Tolok banding seorang pelakon adalah pada anugerah. Sekiranya dapat menaiki pentas untuk mengambil trofi sebagai pelakon terbaik, ia penghargaan besar buat saya kerana orang menyedari penat lelah saya,” katanya.

Azam tamat pengajian

PENGAJIANNYA masih berbaki tiga semester, bagaimanapun kesibukan dirinya yang kini bergelar pelakon menyebabkan Johan belum dapat menyambung kembali kursusnya.

Bagaimanapun, dia yang juga adik kepada pelakon Farah Alya ini tetap berazam menamatkan juga pengajiannya kerana menyedari kepentingan ilmu. Selain menuntut di Melaka, Johan juga pernah menuntut ilmu agama di Jambi dan Batam, Indonesia, selama setahun, serta mampu menghafaz dua juzuk al-Quran.

“Walaupun sibuk berlakon, saya tidak pernah lupa pada pengajian. Setakat ini saya tidak tahu bila lagi akan menyambung kembali kursus, tetapi saya bertekad akan tetap menghabiskannya juga.

“Saya juga tidak pernah lupa dengan ilmu agama. Jika ada waktu terluang saya akan mengulang kaji dan membaca al-Quran untuk memastikan saya tidak lupa,” katanya yang berhasrat menubuhkan sebuah syarikat penerbitan bersama kakaknya.

Berita Harian

10
Mar

ABPBH: Santai Di Pantai Merdeka

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Finalis ABPBH2009 melepak di pusat percutian yang diberi wajah baru

HEMBUSAN bayu laut yang dingin serta pemandangan menarik Gunung Jerai dan Tanjung Dawai menyambut kedatangan rombongan finalis, media dan krew Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang menginap di Pantai Merdeka Beach, Kota Kuala Muda, Kedah. Biarpun rombongan itu tiba kala angka jam sudah pun melewati angka 12 malam, namun rasa penat akibat perjalanan jauh hilang sebaik saja kaki memijak lokasi pelancongan yang baru setahun lalu beroperasi dengan wajah baru itu. Deru angin yang bagaikan mengusap dan membelai wajah menambahkan lagi kesegaran kepada mereka yang pada awalnya dihambat rasa mengantuk. Sejuknya, hingga sampai ke tulang hitam.

Selepas menerima kunci bilik, masing-masing bergegas menuju ke chalet melepaskan lelah. Terasa beruntung kerana chalet yang didiami rombongan ini berhadapan dengan laut. Kelihatan masih ada beberapa tetamu yang menginap di hotel ini menjalankan aktiviti memancing.

Bunyi ombak di pantai dan sesekali kedengaran kicauan burung membuatkan Pantai Merdeka Resort sesuai dijadikan tempat bercuti dan menenangkan fikiran. Memetik kata-kata finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi, tempat ini memang sesuai untuk bercuti bersama suami. Hanya mereka berdua, tanpa diganggu sesiapa.

Suasananya yang santai dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan membuatkan lokasi percutian di sini juga semakin popular di kalangan pengunjung dalam dan luar negara.

Ini diakui Pengarah Pantai Merdeka Resort, Zulkhpli Nayan yang memberitahu penginapan yang mula beroperasi pada Februari tahun lalu, menjanjikan satu pengalaman indah kepada pengunjungnya.

“Sebelum syarikat Zubina Jubilee Sdn Bhd mengambil alih pengurusan kawasan ini, tak dinafikan tempat ini kurang mendapat sambutan. Namun, selepas Sultan Kedah meminta saya menguruskan kawasan pelancongan itu ditambah mendapat restu dan sokongan dari Majlis Perbandaran Sungai Petani, kami mula membaik pulih kawasan pelancongan ini.

“Untuk tujuan itu, ia membabitkan kos RM5.1 juta. Modal itu dikongsi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan. Selepas berwajah baru, saya lihat ada kemajuan dari segi bilangan pengunjung yang datang menginap di sini,” kata Zulkhpli yang juga seorang kontraktor.

Berkonsepkan tropikal, Pantai Merdeka Resort juga menjanjikan keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan mereka.

“Kami ada menyediakan pakej untuk seminar, persidangan, hari keluarga, bulan madu, kerja berpasukan dan kem motivasi, selain pakej perkahwinan dan bulan madu dengan harga yang berpatutan.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti lasak seperti meredah hutan, bola tampar pantai, futsal, aerobik dan menawarkan khidmat bot untuk ke Tanjung Dawai,” jelasnya sambil memberitahu kebersihan dan keselamatan adalah dua aspek yang amat diutamakan untuk keselesaan pengunjung.

Pantai Merdeka Resort mempunyai 50 unit bilik penginapan, dua dorm dan sebuah kafe iaitu Bayu Beach Cafe.

“Ada konsep selerak (buffet) dan juga hidangan ala-carte (pesanan). Kami menyediakan hidangan BBQ jika ada permintaan daripada pengunjung. Disebabkan bilik yang ada terhad, kami bercadang untuk menambahkan lagi tempat penginapan selain menambah kemudahan lain seperti pusat karaoke khusus untuk pengunjung yang gemar menyanyi,” katanya.

Jika tiada aral melintang, ujar Zulkhpli syarikatnya itu juga akan membuka sebuah hotel di Terminal Lapangan Terbang Bayan Lepas.

Menurut Zulkhpli lagi, lokasi pelancongan itu akan dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 26 April depan.

“Lokasi pelancongan ini memang dekat dengan hati baginda kerana ia menyimpan nostalgia sewaktu baginda muda-muda dulu. Istimewanya, baginda mempunyai chalet sendiri di sini iaitu chalet DiRaja yang terletak menghadap pantai.

“Baginda beberapa kali menginap di situ. Insya-Allah, pada 26 april depan, Baginda akan mencemar duli, merasmikan pusat pelancongan ini,” ujarnya.

Mengenai kesudian mereka bekerjasama dengan ABPBH 2009 apabila menaja penginapan rombongan finalis, media dan juga krew, Zulkhpli mengakui pengaruh besar pada anugerah tahunan itu mampu memberikan promosi terbaik untuk Pantai Merdeka Beach Resort.

“Sebagai sebuah acara yang glamor, ABPBH mempunyai ramai pengikut. Secara tidak langsung, apabila kami bekerjasama dengan acara sehebat ini, ia juga adalah satu cara promosi yang terbaik buat kami.

“Lagipun, sebagai lokasi pelancongan yang baru dibuka, kami mahu rakyat Malaysia tahu bahawa Pantai Merdeka Resort sudah berwajah baru. Membabitkan diri bersama ABPBH, saya rasa adalah langkah terbaik untuk merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Bagi mereka yang ingin merasakan sendiri kedamaian serta keindahan Pantai Merdeka Resort, bolehlah melayari laman web www.merdekabeachresort.com ataupun menghubungi talian 04.4377555 atau 0174787589.

Berita Harian

25
Feb

Bintang Idola Kecil TV9 Dalam Misteri Rumah Tua

SELEPAS selesai mengikuti program realiti hiburan kanak-kanak Idola Kecil 2, kini mereka memanjangkan lagi bakat nyanyian mereka kepada lakonan menerusi drama bersiri Idola Kecil Misteri Rumah Tua.

Drama bersiri ini akan dibintangi peserta Idola Kecil 2 seperti Dayana (Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah), Azzam (Muhammad Azzammuddin Lop Hisham), Arill (Muhamad Fhazrill Fesol), Maulud (Mohd Farid Mohd Azmi), Ain (Zur’Ain Abd Rahim), Fienaz (Syafienaz Shari), Tasha (Nurul Natasha Jaffri), Nurul (Nurul Ain Sollehah), Jiha (Noranajihah Yunus) dan Sam (Khor Sam).

Misteri Rumah Tua sudah memulakan penggambarannya di sekitar Hulu Pangsun, Hulu Selangor sepanjang cuti sekolah sempena sambutan Hari Raya Cina lalu.

Drama bersiri yang merangkumi tiga episod ini akan disiarkan di TV9 pada cuti sekolah iaitu 15, 16 dan 17 Mac ini jam 7 malam.

Peserta Idola Kecil 2 ini juga akan bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Illya (Senario) yang melakonkan watak sebagai bapa tiri Dayana dan Arill serta Fizz Fairuz sebagai bapa kepada Azzam. Kisah ini bermula apabila Azzam yang baru kematian ibu sentiasa mengalami mimpi ngeri yang penuh misteri di mana di dalam mimpi itu Azzam sering bertemu dengan seorang kanak-kanak perempuan berpakaian gaun putih.

Kanak-kanak itu yang dilakonkan oleh Dayana seolah-olah mengajak Azzam ke suatu tempat seperti ingin menunjukkan sesuatu. Azzam menceritakan mimpi ngerinya kepada bapanya tetapi atas nasihat doktor, bapanya membawa Azzam pulang berehat di kampung kerana menyangka Azzam berada di dalam keadaan trauma kerana kematian ibu kesayangan.

Azzam ingin membuktikan bahawa itu semua tidak benar. Ketika pulang ke kampung, dia melihat sebuah rumah usang yang sering muncul di dalam mimpinya. Azzam dengan bantuan sepupu dan rakan-rakan, nekad untuk menyiasat rumah misteri yang sentiasa muncul di dalam mimpinya. Apabila tiba di rumah itu mereka dapati rumah itu didiami oleh seorang lelaki yang tidak pernah bercampur dengan jiran tetangganya.

Sikap ingin tahu Azzam berlipat ganda apabila dia melihat kelibat seorang budak perempuan di hadapan rumah itu yang seakan-akan budak di dalam mimpinya. Misteri mimpinya bertambah apabila budak perempuan di dalam mimpinya itu menangis dan meminta Azzam menyelamatkannya. Dengan ditemani sepupunya, Azzam berjaya memasuki rumah itu dan bertemu dengan Arill, seorang budak lelaki yang kurus yang diikat dan dikurung.

Segala teka-teki terjawab apabila Arill memberitahu ayah tirinya (Illya Senario) yang mengalami sakit jiwa mendera dia dan kakaknya, Dayana, setelah kematian ibu mereka. Situasi menjadi semakin cemas apabila lelaki kurang siuman itu menangkap dan turut mengurung Azzam di dalam rumah itu. Apakah kesudahan drama menarik ini? Sampai bilakah roh Dayana akan terus menghantui Azzam.

Berita Harian

12
Feb

Drama Siri Komedi Bujang Sepah Di Astro Prima

ASTRO Prima Saluran 105 membawakan sebuah lagi drama komedi ringan bersiri terbaru berjudul Bujang Sepah Lalalitamplom yang bakal menemui penonton pada setiap Rabu, jam 10.30 malam bermula 10 Februari.

Drama komedi 13 episod arahan Fahizal Abdullah ini dijayakan oleh gabungan barisan pelakon baru dan lama tanah air seperti Juara Raja Lawak Musim 3; kumpulan Sepah selaku watak utama Bujang Sepah, pelakon dan penyanyi yang cukup terkenal dengan kebolehannya meniru lenggok badan, tutur percakapan, suara dan juga mempunyai rupa paras yang hampir serupa Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee; Musly Ramly sebagai Abdul Kibas, seniman serba boleh yang cukup aktif sebagai pelakon, pengarah filem, pelawak dan penulis skrip; Datuk Aziz Sattar sebagai Pak Long Mustar, pelakon berbakat yang cukup sinonim dengan watak polis; Raja Azrey sebagai Abdul Qhuyyob, pelakon baru yang semakin dikenali menerusi drama Kampung Jaguh di Astro Warna; Nur Akma sebagai Rona, bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang semakin meningkat menerusi drama Kau Dan Aku di Astro Ria; Ika Nabila sebagai Rini, pelakon baru berbakat besar yang dicungkil menerusi program realiti Anak Wayang; Dayana sebagai Runu dan Eiz sebagai Suzana.

Pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, Astro amat berhati-hati dalam pemilihan kandungan yang ditayangkan menerusi setiap salurannya bagi memastikan penonton menerima perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.

Katanya, di bawah payung penjenamaan Astro Megadrama, destinasi utama bagi drama Melayu hebat yang cukup sinonim dalam membariskan variasi program dan drama mantap menerusi salurannya yang pelbagai.

Keputusan untuk menyambung kisah mereka ke dalam bentuk drama ini diambil berikutan maklum balas positif yang diterima selepas penyiaran telefilem menarik iaitu Bujang Sepah Si Lalalitamplom dan Lemang Si Bujang tahun lalu.

Kami berharap ia mampu mendapat tempat di hati penonton dan mengulangi kejayaan telefilem lain yang turut disambung ke dalam bentuk drama bersiri seperti Halimah Jongang dan juga telemovie Sonata Labu Labi dalam Kempen Tribute Khas Inspirasi P Ramlee, katanya.

Drama Bujang Sepah Lalalitamplom ini mengisahkan kemunculan seorang pengusaha dan pemilik Syarikat Pemegang Harta bernama Tuan Abdul Kibas lakonan Musly Ramlee yang sedang mengalami masalah kerugian aset syarikatnya.

Dia mempunyai tiga anak dara yang cukup ayu bernama Rona, Rini dan Runu. Dia juga mempunyai seorang penasihat terhormat, Abdul Qhuyyob yang cukup tersohor kerana sering memberi nasihat kepada ketua-ketua mafia Arab.

Kisah bermula apabila Tuan Abdul Kibas dan penasihatnya berpakat untuk menyeleweng harta yang bakal diwarisi oleh tiga jejaka Bujang Sepah. Ikuti Drama ini di Astro Prima setiap Rabu, 10.30malam.

Berita Harian

5
Feb

Orkestra Guna Alat Muzik Tradisional

Oleh Rozdan Mazalan

Langkah pelihara dan manifestasi kepelbagaian seni budaya rakyat Malaysia

BAGAIMANAKAH bunyinya apabila alat muzik tradisional seperti rebab, seruling, sape, sitar, zhong ruan, gouhu, gambus, kompang dan banyak lagi disatukan di dalam sebuah orkestra yang dapat melahirkan satu irama yang harmoni?

Adakah ia mampu melahirkan muzik seperti mana orkestra moden yang dapat membawa pelbagai genre muzik hari ini. Keunikan inilah yang bakal dilahirkan dengan penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah Istana Budaya, (IB) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Ini juga menunjukkan negara bakal melahirkan satu identiti muzik tersendiri yang berusaha menjangkaui ke peringkat antarabangsa.

OTM adalah kumpulan pemuzik hasil dari gabungan elemen muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik di negara ini bersatu di bawah satu muzik dengan bunyian yang harmoni.

Tidak dinafikan, negara terlalu kaya dengan khazanah seni budaya pelbagai kaum dan etnik, namun jika tidak dikomersialkan masakan muzik kita mampu bersaing sebaris muzik antarabangsa.

Pengarah Muzik merangkap konduktor OTM, Mohd Yazid Zakaria berkata, bagi memelihara dan manifestasi kepelbagaian seni budaya rakyat agar terpelihara dan terus unggul, OTM memperkenalkan lebih 30 alatan muzik tradisional pelbagai kaum.

“Keunikan struktur OTM adalah hasil penggabungan alat muzik dan pemuzik pelbagai kaum dan etnik di negara ini. OTM mempunyai satu seksyen yang menggabungkan alat muzik bergong seperti cak lempong, gamelan, gong dan kulintangan.

“Seksyen ini adalah identiti utama OTM yang tidak terdapat di dalam mana-mana orkestra terkenal di dunia. Seksyen ini adalah sebuah unit yang diletakkan di bawah Bahagian Muzik IB sebagai suatu cabang baru yang akan diwujudkan.

“Kita mengkelaskan lima bahagian alat muzik mengikut kelasnya yang tersendiri iaitu alatan muzik yang digesek seperti rebab (12), gouhu (8), erhu1 (4), erhu2 (10), cello (4) dan D/Bass (2).

“Bagi alat tiupan pula seperti Seruling Melayu (2), Seruling Cina (2), Seruling India (2), Serunai/Bansi/Puput (3). Alat tali yang dipetik seperti Yang Qin (1), Sape (4), Sitar (4), Mandolin (4), Pipa (2), Zhong Ruan (2), Gambus (4).

“Alatan bergong seperti Bonang (1), Saron pekin/baron/demung (3), Gong /Gamelan/Kulintangan (1) dan Cak Lempong/Saluang/Bangsi (2).

“Tidak lupa juga kita turut menggunakan alat perkusi seperti Piano (Concert Master) dan Drum set tradisional (1), Pergendangan Melayu/India (5), Keyboard dan Timpani (1),” katanya yang membabitkan 86 ahli muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik.

Menurut Yazid, orkestra tradisional di dunia mula berkembang lebih 10 tahun lalu di Korea manakala di China sudah menjangkau 50 tahun usianya. Di kedua-dua negara ini orkestra tradisional sudah mencapai taraf antarabangsa dan ia juga dijadikan rujukan bagi penubuhan OTM di negara ini.

“Memandangkan negara kita antara negara yang kaya dengan budaya etnik pelbagai kaum di dalamnya serta memiliki tenaga pengajar yang profesional masakan kita tidak mampu menubuhkan orkestra tradisional ini.

“Ini bererti negara bakal menjadi negara ketiga yang mempunyai orkestra tradisional sendiri di dunia. Cabarannya tetap ada, dengan perkembangan ini, alat muzik tradisional diadaptasi mengikut ‘tonal scales’ dari barat dan ‘chromatic spectrum’. Alat muzik tradisional ini diubahsuai mengikut spesifikasi antarabangsa.

“Perkembangan ini berjaya mengangkat muzik tradisional ke taraf antarabangsa setaraf dengan muzik moden. Perbezaan ketara struktur orkestra Barat dan tradisional adalah dari segi budaya dan cita rasa. Hasilnya kedua-dua orkestra tradisional dan Barat boleh digabungkan serta masing-masing boleh memainkan lagu dari skor lagu yang sama,” katanya.

OTM yang bakal dilancarkan Menteri KPKK, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini bertempat di Panggung Sari IB turut menjadikan OTM sebagai pusat pemuliharaan dan pembangunan terhadap muzik tradisional yang menjadi dasar kepada penubuhannya di mana nilai estetika dan keasliannya sentiasa terpelihara.

“Konsep orkestra adalah berdasarkan pertimbangan terhadap asas seperti menyerapkan nilai budaya pelbagai kaum sebagai teras utamanya selain mempertimbangkan dengan teliti berkait isu evolusi muzik dan pengekalan identiti muzik asli dan warisan.

“Makna dan syarat berkaitan perlu jelas agar hasil evolusi identiti muzik asli dan tradisional tidak dipertikaikan. OTM mesti beridentitikan masyarakat majmuk negara ini dari segi kemanusiaan dan muzikal iaitu timbre, bentuk, warna, teknik permainan, identiti muzik yang terhasil melalui melodi, ritma tonaliti, skala, mode, mood dan sebagainya,” katanya yang turut menyusun pelan jangka pendek dan panjang penubuhannya.

Pelan jangka pendek, panjang

ANTARA pelan jangka pendek yang diambil dari tahun pertama hingga tahun ketiga ialah melancarkan program mencari bakat profesional yang berpengalaman secara berterusan untuk mengisi kerusi pemuzik utama (Principal Musician).

Dalam usaha mencari bakat baru, OTM akan sentiasa mengadakan sesi uji bakat ke seluruh negara secara berterusan untuk diisi di dalam pemuzik jemputan OTM.

Impian penubuhan OTM adalah ingin mewujudkan struktur orkestra yang lengkap setaraf Orkestra Simfoni Malaysia (OSM), selain mengenalpasti komposer dari IB dan dari luar untuk mencipta karya baru berdasarkan konsep OTM.

Bagi mempromosikan pelbagai aktiviti OTM, mereka akan menjalinkan kerjasama erat dengan semua universiti di seluruh negara terutama Aswara serta menggalakkan mereka menubuhkan sebuah ensemble tradisional sendiri.

Sementara pelan jangka panjang yang disusun bermula tahun ketiga hingga tahun ke-10 adalah untuk memberi perhatian berterusan terhadap Outreach Program Master Classes dan Coaching terutama untuk generasi baru.

Pelaksanaan ini juga membabitkan industri pembuatan alat muzik tradisional secara profesional dan komersial mengikut standard antarabangsa. Selain mengadakan bengkel dan latihan secara berterusan antara pemuzik, komposer, penggiat seni dan ahli akademik yang terbabit secara langsung dengan muzik tradisional dan etnik.

Kesimpulannya, pembangunan industri muzik adalah antara elemen dalam industri kreatif yang menjadi bidang baru dan berpotensi tinggi menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara. Penubuhan OTM dapat melahirkan penggiat seni yang berwibawa dan mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam industri muzik seterusnya mempromosikan seni budaya dan industri pelancongan negara.

Berita Harian

1
Feb

Dengarnya…: Astro Oasis Cari Imam Muda

KETIKA ini produksi Astro sedang rancak menjalankan uji bakat Akademi Fantasia musim kelapan. Tapi Cik Normah tak teruja pun nak menunggu keputusan siapa yang layak untuk menyertainya. Iyalah saban tahun, Cik Normah tengok graf Akademi Fantasia makin menurun biarpun akui pihak Astro rating tetap tinggi.

Cuba tengok American Idol musim kesembilan sekarang ini yang juga sedang rancak mencari pelapis juara terdahulu seperti Kelly Clarkson, Carrie Underwood dan Fantasia Barrino. Setiap kali tengok bakat baru yang ditapis, Cik Normah teruja kerana bakat mereka tak pernah kering.

Bukan Cik Normah tak nak sokong produk tempatan, tapi kalau setakat nak mencukupkan syarat saja nak adakan pertandingan itu, lebih baik tak payah buat. Tapi apakan daya, Akademi Fantasia akan tetap muncul pada tahun ini. Kita tunggu sajalah, siapa yang bakal bergelar pelajar nanti.

Sebenarnya Cik Normah bukan nak membebel mengenai Akademi Fantasia sangat. Yang Cik Normah nak kongsi ialah mengenai saluran Islamik di Astro iaitu Astro Oasis. Kalau di TV9, boleh berbangga dengan Akademi Al-Qurannya, mungkin selepas ini Astro Oasis pula bakal muncul dengan sebuah pertandingan.

Cik Normah dapat tahu pertandingan itu akan mencari bakat muda yang boleh diketengahkan sebagai imam. Sejuk Cik Normah dengar mengenai usaha saluran itu. Cik Normah tak tahu lanjut sangat mengenai hal ini. Hanya dapat tahu sikit saja. Khabarnya uji bakat akan diadakan tak lama lagi. Siapa berminat? Bolehlah turut serta.

Berita Harian

5
Jan

Penangan Idola Kecil

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


TIGA pemenang Idola Kecil 2, dari kiri, Ain, Dayana dan Azzam.

Kebanyakan peserta berpotensi dan berbakat besar untuk diketengahkan sebagai penyanyi

ANDAI dinilai dari segi vokal, tentu tidak ramai yang menyangka mereka sebenarnya masih di bangku sekolah. Bukan saja suara mereka menyamai orang dewasa, malahan persembahan yang mereka tonjolkan boleh dikatakan setaraf dengan penyanyi profesional. Cuma yang membezakan mereka adalah bentuk fizikal. Manakala yang lain, mereka sempurna sebagai seorang penyanyi.

Bukan bercakap kosong namun itulah komentar yang diberikan juri pertandingan akhir program realiti Idola Kecil 2 yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) , malam Sabtu lalu. Menerusi pertandingan yang diterbitkan produksi TV9 itu, adik Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah (Dayana) dinobatkan sebagai juara menewaskan enam pencabar lain yang memberikan saingan sengit malam itu. Menduduki tempat naib juara adalah adik Muhammad Azzammuddin Lop Hisham atau Azzam manakala tempat ketiga pula dimenangi adik Zur’ain Abd Rahim atau Ain.

Lihat saja bagaimana reaksi penonton sewaktu ketiga-tiga bintang kecil ini beraksi, seluruh dewan gegak gempita dengan jeritan dan sorakan penonton. Malah poster dan juga sepanduk kelihatan di sana sini tanda sokongan yang tidak berbelah bagi.

Mengulas persembahan yang ditonjolkan setiap peserta Atilia berkata kebanyakan peserta dilihat mempunyai potensi dan berbakat besar untuk diketengahkan sebagai penyanyi.

“Sejak peringkat uji bakat lagi saya sudah melihat bakat yang ada pada Dayana yang ketika itu menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu. Cara penyampaian yang menarik iaitu sentiasa tersenyum sewaktu menyanyi serta bersahaja membuatkan saya rasa dia mempunyai bakat semula jadi dalam bidang ini. Dia juga mempunyai pakej lengkap sebagai seorang penyanyi. Walaupun agak nakal namun dia fokus dalam apa yang dilakukannya.


AKSI Daya ketika menyampaikan lagu Suatu Impian.

“Azzam pula mempunyai vokal unik dan mempunyai ramai peminat. Tasha dan Arill mempunyai vokal yang wow!. Saya bangga dengan prestasi yang ditonjolkan mereka. Saya sebenarnya adalah seorang yang tak suka kanak-kanak menyanyi. Pada saya biarlah mereka selesaikan persekolahan mereka terlebih dulu sebelum menyanyi seperti yang dilakukan ibu saya.

“Namun selepas melihat bakat mereka yang tonjolkan, kita rasa sayang jika bakat yang mereka miliki dibiar begitu saja kerana mereka adalah pelapis untuk penyanyi sedia ada. Jadi kita tak seharusnya mempersiakan bakat mereka,” ujar Atilia pada sidang media kemudiannya. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Primeworks Studios Sdn Bhd, Farisha Pawanteh, Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin dan Pengurus Pemasaran Dutch Lady, Sharon Tan.

Pendapat itu turut disokong komposer terkenal, Adnan Abu Hassan sambil menyifatkan mereka adalah yang terbaik kerana diuji dengan cabaran yang cukup hebat.

“Saya datang ke pertandingan ini tanpa menaruh sebarang harapan yang tinggi. Namun tak sangka pula yang mereka sebenarnya mempunyai bakat semula jadi yang mengagumkan. Bukan mudah untuk menyanyikan lagu baru, apatah lagi lagu baru yang mereka nyanyikan itu mempunyai komposisi yang cukup mencabar dan susah untuk dinyanyikan,” ulas komposer yang banyak melahirkan penyanyi terkenal ini.


SITI Amirah Daya bersama ayah dan ibu.

Mengulas kekalahan salah seorang peserta Tasha walaupun mendapat pujian juri kerana mempunyai vokal hebat dan keyakinan diri yang cukup tinggi, Atilia berkata dalam peringkat itu, bakat bukan saja tidak mencukupi.

“Saya akui dia berbakat tetapi dalam pertandingan ini kami mencari mereka yang mempunyai Faktor X dan pemenang hari ini mempunyai ciri-ciri itu,” jelas anak kepada penyanyi Salamiah Hassan ini.

Selain Atilia dan Adnan, juri undangan malam itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif 8TV/Ketua Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Sementara itu mengulas status peserta program ini yang dikhabarkan bakal bergelar artis rakaman apabila pihak Sony Music Entertainment (M) Sdn Bhd berminat untuk melamar mereka, Rozaina berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

“Besar kemungkinan keenam-enam mereka bakal; muncul dalam album kompilasi. Pun begitu, mereka juga bakal terbabit dengan program terbitan kami pada masa akan datang,” ujar Rozaina sambil memberitahu, program ini akan diteruskan tahun depan dan akan diadakan dalam bentuk skala yang lebih besar.

Kongsi hadiah bersama keluarga

CANTIK, berbakat dan popular. Itulah tiga ciri yang terdapat pada pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Senawang, Seremban yang membuatkan dia paling layak untuk dinobatkan sebagai Juara Idola Kecil 2. Namun dia sama sekali tidak menyangka yang bakal terpilih untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta pingat memandangkan saingannya pada malam itu hebat-hebat belaka.

”Saya memang tak sangka akan menang dan rasa sangat terharu dengan keputusan ini. Malam itu, saingan saya paling dekat adalah Azzam dan Ain kerana vokal mereka yang kuat.Apapun saya bersyukur dengan kemenangan ini,” kata Dayana yang juga meminati seni lakon dan gemar menari ini.

Bukan saja bergelar juara tetapi juga dipilih sebagai Idola Popular, sebuah anugerah khas yang disediakan penaja utama, Dutch Lady. Dengan kemenangan itu juga, Dayana membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,000. Ditanya apakah yang akan dilakukan dengan wang kemenangannya itu, pelajar berusia 10 tahun ini berkata, dia mahu berkongsi hadiah kemenangannya itu dengan ahli keluarganya.

“Saya mahu belikan telefon bimbit buat emak dan ayah saya serta hadiah untuk atuk dan nenek saya. Manakala selebihnya saya simpan untuk belajar. Mereka banyak menyokong saya sebelum ini dan saya mahu mereka merasai apa yang saya nikmati ini,” ujar Dayana yang menyampaikan lagu baru Suatu Impian dan Jika Kau Ubah Fikiran, nyanyian Mila.

Berita Harian

24
Dec

8TV Siarkan Drama Bersiri Popular Boys Over Flower Dari Korea

SIRI televisyen dari Korea yang diadaptasi daripada komik Manga Jepun iaitu Hana yori Dango atau Boys Over Flower yang popular kini disiarkan di 8TV sejak 16 Disember lalu.

Drama ini mendapat sambutan hangat selepas ia disiarkan di Korea pada awal tahun ini. Peminat drama Korea berunsur romantik yang dialih bahasa ke Mandarin ini dapat menonton drama bersiri ini setiap Isnin hingga Jumaat jam 8.30 malam. Drama bersiri 34 episod ini membariskan pelakon muda yang cukup popular antaranya Koo Hye Sun, Lee Min Ho, Kim Hyun Joong, Kim Joon dan Lee Shi Yeong.

Boys Over Flowers berkisarkan kehidupan pelajar di sebuah kolej. Koo Hye Sun yang melakonkan watak Jan Di, seorang gadis biasa yang datang dari keluarga sederhana mengendalikan sebuah kedai dobi berdekatan dengan kolej terkenal Shin Hwa yang majoritinya adalah pelajar kaya.

Jan Di diterima masuk ke kolej tersebut selepas dia menyelamatkan seorang pelajar yang yang hampir melompat dari bumbung kolej akibat dibuli dan seterusnya dia ditawarkan biasiswa untuk belajar di kolej tersebut.

Jan Di menerima tawaran tersebut dengan hati yang berat dan kemudiannya mengetahui bahawa ada sekumpulan pelajar lelaki yang menggelarkan diri mereka F4 cukup digeruni kerana tabiat mereka yang suka membuli pelajar lain. Jan Di sedaya upaya cuba mengelakkan diri dengan kumpulan ini kerana tidak mahu menimbulkan masalah.

Namun, apabila rakan Jan Di dengan tidak sengaja menjatuhkan ais krim ke atas kasut Goo Joon Pyo (Lee Min Ho) yang bertindak sebagai ketua kumpulan F4, Jan Di tanpa berfikir panjang terus mempertahankan rakannya itu sebelum dia menjadi mangsa.

Walaupun menerima pelbagai ugutan Jan Di tetap dengan pendiriannya yang tegas tidak mahu mengalah dengan kumpulan itu. Jan Di sering membangkitkan kemarahannya, Joon Pyo dalam diam sudah jatuh hati kepada Jan Di.

“Penonton Malaysia tentu akan menyukai drama bersiri ‘Boys Over Flowers’ ini dan pastinya akan menjadi hit di Malaysia sepertimana di Korea. Jalan cerita yang menarik dengan barisan pelakon-pelakon muda Korea yang semakin popular ini pastinya membuat anda semua melekat di kaca tv masing-masing,” kata Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim.

Berita Harian

7
Nov

Cinta Duyung

Oleh Zaidi Mohamad

Saling menghargai mengeratkan Dingdong dan Marian

BAGI peminat dunia hiburan tanah air, nama dua pelakon dari Filipina iaitu Marian Rivera dan Dingdong Dantes mungkin agak asing berbanding Jericho Rosales dan Kristine Hermose. Jericho, misalnya, bukan saja dikenali kerana drama lakonan dari negara kelahirannya tetapi juga menjadi antara pelakon filem Bilut arahan Bade Azmi pada tahun 2007.

Marian dan Dingdong boleh ‘ditemui’ peminat tempatan apabila drama lakonan mereka berjudul Dyesebel akan disiarkan menerusi saluran Astro Prima tidak lama lagi.

Drama Dyesebel ini mirip dengan filem separa komedi terbitan tempatan, Duyung yang dibintangi barisan pelakon seperti lakonan Abu Bakar Omar, Maya Karin, Saiful Apek, Awie, Yasin Yahya dan Yasmin Hani serta Raja Norbaizura.

Drama terbitan syarikat televisyen di Manila iaitu GMA Network berkisarkan dipadankan daripada novel grafik popular karya Mars Ravelo. Dyesebel ialah watak ikan duyung yang dilakonkan Marian. Malah ia pernah dihasilkan beberapa kali dalam format filem di sana.

Ceritanya hampir sama animasi Little Mermaid, mengenai cinta terhalang antara manusia dan ikan duyung. Drama itu mendapat sambutan di Filipina menyebabkan Astro Prima berminat untuk menyiarkannya bermula 9 November ini.

Kata Marian, paling mencabar buat dirinya sepanjang penggambaran drama itu ialah terpaksa dalam air sambil kakinya memakai kostum yang direka khas. Barangkali kesengsaraan yang pernah ditanggung Maya Karin ketika beraksi untuk filem Duyung turut dirasai Marian.

“Watak saya lebih memberi tekanan berbanding watak di darat yang dilakonkan Dingdong. Selama sebulan sebelum ke penggambaran drama, saya melakukan latihan dan menghadiri bengkel yang dianjurkan pengarah. Saya perlu belajar berenang dan bernafas di dalam air.

“Berenang mungkin boleh dianggap mudah, tapi bagaimana kalau berenang menggunakan ekor? Pengalaman ini menjadi kenangan berharga buat saya. Dingdong banyak memberi sokongan untuk memberikan aksi terbaik,” kata Marian yang turut aktif sebagai model dan penyanyi.

Kemesraan Marian dan Dingdong menjadi pasangan kekasih dalam drama Dyesebel dikatakan terbawa-bawa sehingga di luar lokasi.

Media di Filipina menyatakan keintiman Marian, 25 dan Dingdong, 29 bukan lagi rahsia. Cinta lokasi ternyata menyatukan mereka.

Ketika muncul dalam sidang media memperkenalkan mereka dan drama Dyesebel di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, terpancar keceriaan yang jelas antara pasangan ini. Malahan mereka dilihat seolah-olah tidak boleh berenggang seperti belangkas kerana sering berpimpin tangan dan tidak lekang dengan senyuman apabila ditegur wakil media yang menemubualnya.

Marian dan Dingdong kali pertama digandingkan menerusi drama Miramar pada tahun 2007, tetapi hanya pada tahun lalu menerusi drama Dyesebel ada panahan cinta yang mula melekat di antara mereka.

Kata Dingdong ketika ditanya sejauh mana hubungan mereka, menjelaskan mereka menjadi rapat apabila dia dan Marian saling menghargai bakat lakonan masing-masing. Penjelasan Dingdong disambut dengan senyuman Marian.

“Dia memberi inspirasi untuk hidup saya dan begitu juga sebaliknya. Kami serasi untuk hidup bersama dan lebih mudah juga apabila kami sama-sama menceburi bidang yang sama. Saya rasa aliran bercinta sesama artis ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Semuanya

terpulang kepada kita untuk mengaturnya,” kata Marian ringkas sambil cuba mengalih topik lain.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani menjelaskan sudah lama drama berbahasa Tagalog tidak disiarkan di saluran terbabit. Menerusi kajian yang dibuat oleh bahagian penyelidikan dalaman Astro, ternyata ada permintaan drama dari Filipina.

Drama Dyesebel mengandungi 64 episod disiarkan setiap Isnin hingga Rabu mulai jam 2 petang. Katanya, gabungan Dingdong dan Marian diharap akan mencetuskan fenomena di negara kita yang gemarkan drama dari sana.

“Daripada 25 tajuk yang diberikan GMA Network, kita berasakan Dyesebel ini sesuai untuk tontonan tempatan. Namun harus ditekankan di sini, biarpun kita membuka peluang untuk drama luar, keutamaan sebanyak 95 peratus masih kepada kandungan tempatan. Sinetron dari Indonesia dan drama berbahasa Tagalog tetap disiarkan namun sekurang-kurangnya untuk tempoh tidak lebih dua jam sehari,” katanya.

Berita Harian

8
Oct

Geng Bas Sekolah Berwajah Baru

Oleh Farihad Shalla Mahmud


WAJAH baru yang akan memeriahkan Geng Bas Sekolah musim ketiga.

Jalan cerita lebih mantap dan semakin menghiburkan

APABILA drama bersiri kesukaan ramai kanak-kanak, Geng Bas Sekolah kembali bersiaran baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya mengapa senarai pelakonnya untuk musim terbaru ini terdiri daripada muka baru? Ke mana menghilangnya pelakon sebelum ini? Itulah persoalan yang timbul sewaktu menghadiri majlis pratonton drama Geng Bas Sekolah yang berlangsung di Cathay Cineleisure, baru-baru ini.

Berdasarkan maklumat yang dinyatakan pihak Astro sebelum ini, siri ini adalah antara drama terbitan Astro yang mendapat rating tertinggi. Justeru apabila musim ketiga ini diwarnai wajah-wajah baru, apakah drama Geng Bas Sekolah ini mampu mempertahankan popularitinya? Apakah penggemar siri ini dapat menerima pembaharuan yang diperkenalkan untuk musim kali ini?

Menjawab pertanyaan ini, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata mereka yakin populariti Geng Bas sekolah akan terus bertahan walaupun drama bersiri itu menggunakan wajah baru.

“Pelakon drama bersiri Geng Bas Sekolah ini sebenarnya tidak pernah tetap. Setiap kali musim terbaru, pelakonnya pasti bertukar. Pertukaran ini sebenarnya dibuat dengan persetujuan bersama Astro dan produksi drama ini. Bagaimanapun, untuk musim terbaru ini, kami membuat sedikit pembaharuan dari segi jalan cerita dan perwatakan.

“Semua watak dan juga nama mereka berbeza dengan yang sebelumnya. Malah jalan ceritanya juga lebih menarik kerana untuk musim ini, kami menyelitkan watak kaki buli. Watak kaki buli ini akan selalu mengacau geng Bas Sekolah. Sebelum ini kemunculan mereka sekali sekala saja,” kata Zainir ketika ditemui selepas majlis pratonton itu berakhir.

Musim baru drama 26 episod ini memperkenalkan Muhammad Izz Irfan yang mendokong watak Fendi, Nora, Emily, Vijay dan Hafiz yang mengikat tali persahabatan melalui pertemuan mereka sewaktu menaiki sebuah bas sekolah yang sama. selain Azrul Zaidi yang memegang watak sebagai pemandu bas bernama Abang Reza. Maka di situlah bermulanya pengembaraan mereka yang terpaksa melalui pelbagai pengalaman dan cabaran yang menjadi asam garam di alam persekolahan mereka.

Bagaimanapun, apabila melihat unsur buli membabitkan pelajar yang masih bersekolah rendah dipaparkan dalam drama ini, timbul keraguan apakah unsur negatif seperti ini wajar dipertontonkan kepada kanak-kanak kerana ia jelas menggambarkan budaya kurang sihat serta menjadi contoh tidak baik kepada mereka.

Mengulas persoalan itu, Zainir berkata walaupun ada dipaparkan unsur negatif tetapi mesej yang ditekankan tetap menjurus ke arah kebaikan.

“Setiap episod akan meninggalkan kesan positif dengan mengajar kanak-kanak berdikari dan berfikir dengan bijak dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, untuk adegan buli, di penghujungnya nanti setiap kejahatan pasti mendapat balasan. Unsur pengajaran moral yang kami paparkan itu diselitkan dengan cara tersirat dan tidak membosankan penonton.

“Dalam rancangan ini juga, kanak-kanak dipaparkan sebagai penyelamat kepada sesuatu situasi dan tidak bergantung kepada orang dewasa untuk berjaya. Ia juga amat menekankan kepentingan semangat kerjasama antara satu sama lain apabila menghadapi masalah dan sentiasa mengingatkan kanak-kanak tentang nilai persahabatan yang penting dalam perkembangan diri sendiri,” kata Zainir lagi.

Sementara itu, mengulas pembabitan mereka dalam drama ini, lima sekawan ini bersetuju pengalaman berada di lokasi penggambaran adalah sesuatu yang cukup bermakna. Lebih-lebih lagi apabila ini adalah kali pertama mereka berdepan dengan kamera.

“Saya akui memang susah berlakon terutama apabila kena hafal skrip. Banyak kali juga saya kena ulang rakaman tetapi penat macam mana pun seronok,” kata Amir Johar yang memegang watak Hafiz.

Begitu juga dengan Alya Sabrina yang memegang watak Nora dalam drama ini. Katanya, selain teruja kerana berpeluang untuk berlakon dalam siri kegemarannya, dia juga seronok kerana dapat bertemu kawan-kawan baru di situ.

Rancangan Geng Bas Sekolah akan disiarkan setiap hari Jumaat jam 2.00 petang, bermula 25 September lalu menerusi Astro Ceria di saluran 611. Manakala siaran ulangan adalah pada setiap Ahad jam 11.30 pagi.

Berita Harian