Skip to content

Posts from the ‘Berita Harian’ Category

7
Oct

Tidak Serik




Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Elfira anggap masih terlalu awal untuk fikir masa depan dalam bidang seni

SEKALI pandang, wajah gadis darah campuran Cina dan Arab berusia 15 tahun ini seakan-akan wajah pelakon cilik drama dari Indonesia. Namun, sebenarnya dia yang bernama Elfira Loy ini hanya sekadar bakat baru di arena seni tempatan. Mewarisi kecantikan daripada ibunya, pesona wajahnya mungkin dapat diketengahkan sebagai pelakon pelapis di negara kita.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk meramalkan perjalanan kerjaya seninya yang bermula 2006. Ketika ini pun saat ditanya ke mana hala tujunya dalam bidang seni, dia masih belum mempunyai jawapan pasti. Semuanya masih seperti di awang-awangan.

Bukan bermaksud tidak tetap pendirian, yang pasti langkahnya masih terlalu jauh untuk dibicarakan. Hakikatnya, Elfira mempunyai dunianya yang tersendiri kerana dia masih belajar dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan ini.

Seperti remaja lain, dia juga mempunyai cita-cita untuk bergelar itu dan ini. Angan-angan kosong itu tak salah untuk dikongsi dan siapa tahu ia mungkin menjadi pendorong terbaik masa depan.

Katanya, dia masih mengingati pesanan Datin Seri Tiara Jacquelina supaya belajar bersungguh-sungguh sebagai jaminan masa depan.


ELFIRA dilihat mempunyai pakej lengkap untuk bergelar pelakon hebat suatu masa nanti.

“Soal glamor atau apa-apa yang kita impikan akan datang dengan sendirinya jika rezeki menyebelahi hidup kita. Tapi untuk mencapai apa yang diidamkan, ia juga perlu diiringi dengan usaha. Saya sebenarnya belum tahu apa yang bakal saya lalui pada masa mendatang.

“Begitu juga dengan sama ada saya mahu serius dalam dunia lakonan atau tidak. Saya boleh katakan semuanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PMR. Saya tidak tahu sama ada saya akan menjadi pelakon untuk selama-lamanya,” katanya yang cukup meminati pelakon remaja Hollywood, Selena Gomez.

Dalam pembabitan seni keluarganya, adiknya, Ezzrin Loy, 12, terlebih dulu terjun ke bidang lakonan. Bahkan adik beradiknya yang lain, Ezzlisa Loy (13) dan termasuk abangnya, Ezzra Loy (18) turut mengikuti jejak yang sama.

Elfira sebenarnya lebih terdedah kepada dunia iklan komersial, namun selepas melihat adiknya sibuk di lokasi penggambaran, mula terbit perasaan cemburu di hatinya untuk mencuba bakat dalam bidang lakonan. Ternyata sikap cemburunya itu memberi makna dan tafsiran tersendiri.

Rezeki mula menyebelahinya apabila dapat berlakon teater muzikal Ali Baba yang dipentaskan di Istana Budaya pada 2006 di samping pengacara popular, Aznil Nawawi. Daripada situ, minatnya terhadap dunia lakonan semakin bercambah dan dia tidak betah duduk diam dengan mengisi masa untuk berlakon.

“Saya bertuah kerana dapat mengasah bakat lakonan menerusi bidang teater terlebih dulu di bawah bimbing pengarah, Zaifri Husin yang mengarahkan teater Ali Baba. Malahan teater itu mendapat pengiktirafan Persembahan Terbaik Muzikal kanak-kanak di India November 2007 dan saya turut ke sana meraikannya.

“Ketika mula berlakon teater dan asyik dimarahi pengarah, saya pernah bercakap dalam diri dengan mengatakan teater itu akan menjadi lakonan pertama dan terakhir saya. Tapi perasaan itu hanya singgah seketika saja kerana daripada sisi lain, saya banyak menimba pengalaman berharga dan berguna di pentas teater.

“Teater banyak menyuntik semangat saya. Daripada tidak boleh menari dan seperti ‘kayu’, saya sudah boleh menari. Jadi tidak rugi berlatih selalu dan dimarahi, saya berjaya membuatkan hati puas. Selain Ali Baba, saya juga pernah berlakon dalam teater muzikal Ibu Zain musim pertama dan kedua memegang watak Ibu Zain di zaman remaja,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn itu.

Berbakat sebagai pengacara TV

APABILA ditanya mengenai senario perkembangan dunia hiburan tempatan, Elfira mula mengerut dahi memberi isyarat betapa kosong pengetahuannya terhadap perihal itu. Mungkin ada bagusnya juga jika Elfira tidak terlalu mengambil tahu mengenai dunia hiburan kerana otaknya masih belum ‘tercemar’ dengan apa juga kaitan bidang itu.

“Saya juga tidak tahu sebarang gosip hiburan. Kehidupan saya hanya di lokasi penggambaran dan kemudian kembali menjadi pelajar seperti remaja lain. TV pun saya jarang tengok. Saya lebih suka menonton DVD cerita dari Korea.

“Lagipun saya banyak memberi tumpuan kepada belajar dan dan kelas tuisyen. PMR pun akan bermula tidak lama lagi,” katanya yang baru saja muncul dengan drama Qalisha bagi siaran Astro Prima bersempena Ramadan lalu.

Menurut Elfira, dia bersyukur biarpun memilih jalan untuk menjadi pelakon ketika ini, pelajaran tidak sesekali diabaikan. Malah, sepanjang membabitkan diri dalam dunia seni, akuinya, dia tidak pernah menimbulkan masalah di sekolah dan cikgu turut memberi sokongan padu.

Selain berlakon, Elfira turut mempunyai kebolehan mengacara. Antara program yang pernah menggunakan khidmatnya seperti Berani Jadi Bos (Astro Ceria), Cuti-cuti Famili (RTM 1), Selamat Pagi Putera Puteri musim 1 dan 2 (TV1), Shana dan Nina, Kids n Cash (TV3).

Profil: Elfira Loy
Nama penuh: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
Tarikh lahir: 8 Mac 1994
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Bilangan adik beradik: Anak kedua daripada empat beradik
Pengalaman seni: Sejak 2006
Emel atau Myspace: nurulelfiraloy@yahoo.com
Iklan: Motosikal Honda, Sunway Lagoon, Mee Sedap, Institut Jantung Negara, Bank RHB, Mamee Slurp.
Teater: Ali Baba, Ibu Zain 1 & 2
Drama dan telefilem: Tentang Bulan The Series, Persis. Kak Long, Permata Hati, Persinggahan, Sanggar Cinta Raudhah dan Cinta Itu Buta.

Daripada kaca mata Elfira Loy

Lakonan: Bidang ini perlu banyak mengkaji watak kerana kalau tidak lakonan itu tidak akan menjadi dan sebaik-baiknya ia perlu dijadikan seperti dalam dunia realiti.

Teater: Adalah langkah pertama saya untuk terus mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Impian: Mahu berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.

Dunia seni: Ketika ini, dia tidak terlalu mempedulikan apa yang terjadi dalam dunia seni. Katanya, dia cuma hidup dalam dunianya yang tersendiri.

20 tahun lagi: Barangkali sudah berkahwin dan mempunyai kerjaya. Malah, apa juga yang diingininya dapat dibeli.

Penghargaan
Solekan: Fiza Zainuddin (012-2217031)
Busana dan lokasi : Butik Calvin Thoo, Tingkat 4, Lot 10 (019-3199578)

Berita Harian

5
Oct

Suka, Duka Di Sebalik Pembikinan Sumpah Bunian

Oleh Rozdan Mazalan

DRAMA bersiri Sumpah Bunian yang sudah disiarkan di sebuah stesen TV setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang sejak 30 September lalu mengambil masa 53 hari untuk disiapkan.

Apa yang menarik penggambaran drama 19 episod itu dilakukan pada bulan Ramadan yang lalu tetapi dapat disiapkan dengan sempurna mengikut jadual ditetapkan.

Pengarahnya, Adam Hamid berkata, setiap pekerjaan yang dihasilkan, pastinya tidak terlepas daripada cabaran yang harus dilalui, begitu juga dengan produksi ini apabila terpaksa menjalani penggambaran pada bulan Ramadan.

“Saya bersyukur kerana kebanyakan lokasi yang dipilih untuk menjalani penggambaran drama ini tidak terlalu berat dan terdedah dengan kawasan yang panas. Mereka juga diberikan rehat dan memberi peluang untuk melakukan solat apabila tiba waktunya.

“Kami memberhentikan penggambaran jam 6 petang dan beramai-ramai ke pasar Ramadan untuk membeli juadah dan berbuka puasa beramai-ramai. Suasana ini cukup seronok dan ia dapat mengeratkan hubungan kami antara petugas dan pelakon,” katanya.

Drama fantasi Sumpah Bunian yang ditulis oleh Sharifah Abu Salim adalah cerita yang ringan namun mempunyai mesej yang berat untuk direnungkan oleh penonton.

“Ramai pernah dengar cerita dunia bunian, tetapi tidak mengetahui secara terperinci bagaimanakah sebenarnya dunia bunian yang sebenar.

“Bunian adalah makhluk Allah seperti manusia lain juga, tetapi mereka hidup di dunia lain yang terpisah dengan dunia kita, di dalam al-Quran juga ada disebut mengenai dunia bunian ini,” kata Adam yang ditemui di lokasi penggambaran drama itu baru-baru ini.

Barisan pelakon Sumpah Bunian terdiri daripada Rizal Jaafar, Nora Danish, Elly Mazlien, Qazem Nor, Bienda, Mahmud Ali Bashah, Dian P Ramlee, Fetty Zul, Mubarak Majid dan Aznah Hamid.

Pendukung watak Adam, Rizal Jaafar mengakui watak yang diterima kali ini sedikit berbeza dengan watak yang pernah dilakukan selama ini.

“Pengalaman bekerja dengan pengarah, Nora (Danish), Elly (Mazlien) dan semua pelakon termasuk kru cukup menyeronokkan saya,” katanya.

Nora pula memegang watak Hawa iaitu makhluk bunian yang memiliki kecintaan yang sejati, taat, ikhlas dalam memilih seseorang masih berpeluang membawakan watak baik.

“Selama ini, saya menerima watak baik dan sopan. Kadang-kadang teringin juga untuk mempelbagaikan watak. Mungkin belum masanya lagi.

“Jika diberi pilihan teringin hendak bawa watak yang kasar, gila, psiko dan banyak lagi yang belum pernah saya cuba. Ada orang kata air muka saya susah sikit hendak diberi watak seperti ini tetapi jika belum cuba belum tahu,” katanya.

Beza pula bagi Elly yang memegang watak Azeera, seorang perempuan jahat, busuk hati dan tidak boleh melihat orang lain bahagia,” katanya.

Berita Harian

25
Sep

Dengarnya…: Selamat Pengantin Baru Damian



DAMIAN sah bergelar umat Islam Ogos lalu.

SEKALUNG tahniah Cik Normah ucapkan kepada bekas anggota kumpulan VE, Damian Mikhail Seet, 31 yang akan melangsungkan hari bahagianya pada musim raya ini. Tak silap Cik Normah, Damian dan bakal isterinya, Nadia Dayana Mohd Yahya akan bernikah pada raya pertama ini. Bagaimanapun, majlis persandingan akan diadakan pada 26 September.

Mengikut kad undangan yang diterima di meja Hip, majlis persandingan akan diadakan di sebuah lokasi menarik di Cyberjaya. Mungkin konsep perkahwinan di tepi pantai yang akan dipilih pasangan memandangkan lokasi yang dipilih memang sesuai benar untuk merealisasikan konsep sebegitu.

Buat Damian dan bakal isterinya, Cik Normah doakan semoga ikatan perkahwinan yang bakal terjalin kelak akan terus mengukuhkan ukhuwah dan kebahagiaan sesama anda. Insya-Allah, kalau ada kesempatan, Cik Normah akan ke majlis perkahwinan itu. Tapi, Cik Normah cuti raya dua minggu.

Mungkin teman sepejabat Cik Normah yang sudah mula bertugas pada raya kedua dan seterusnya tengok-tengokkan siapa yang akan membuat liputan majlis ini. Tapi Cik Normah pun malas nak ganggu mood kawan sepejabat yang nak pulang beraya. Biar raya puas-puas dulu dan kemudian baru fikir mengenai kerja.

Cik Normah difahamkan Damian yang tampil dengan lagu single Jelita bertunang Ogos lalu pada bulan yang sama jejaka kacak ini memeluk Islam. Bertambah lagi saudara baru di negara kita dan Cik Normah harap agama Islam akan terus menjadi pegangan Damian buat selama-lamanya. Insya-Allah.

Sebelum terlupa, Insya-Allah kalau jadi, Ahad ini kita akan beraya dan kepada yang pulang ke kampung itu dengan kenderaan awam ataupun sendiri, diharap akan sentiasa berhati-hati di jalan raya. Jangan sampai ada khabar duka yang singgah hingga meleraikan kebahagiaan dan keindahan sambutan Syawal. Kalau makan ketupat dan rendang itu, jangan lupa Cik Normah di sini ya!

Berita Harian

2
Sep

Resipi Istana Papar Juadah Istimewa Kerabat Diraja



Nurul Khusna Uma

RESIPI Istana, sebuah program televisyen terbitan Primeworks Studios, buat pertama kalinya mengetengahkan kerabat diraja serta mereka yang rapat dengan pihak istana untuk berkongsi resipi tradisional turun temurun berserta keunikan masakan istana dan gaya hidup golongan diraja.

Program 13 episod ini dihoskan bakat baru, Nurul Khusna Uma, finalis program realiti Gadis Melayu musim pertama menemui penonton TV3 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 22 Ogos lalu pada jam 12.30 tengah hari.

Istimewanya, dalam kesibukan kerabat diraja memenuhi pelbagai kegiatan harian, program Resipi Istana berjaya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada beberapa kerabat diraja seperti Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun, Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, adinda Sultan Johor, Tunku Tun Maimunah Sultan Ismail dan anakanda Sultan Kelantan, Tengku Amalin Aishah Putri Sultan Ismail Petra.

Selain menyaksikan kepakaran kerabat diraja memasak, Resipi Istana turut memaparkan keindahan istana seperti Istana Anak Bukit, Alor Star, Kedah, Istana Raja Di Hilir dan Istana Riswin, Ipoh, Perak, Istana Kenangan Indah, Kangar, Perlis dan Istana Bukit Gedung, Johor.

Sepanjang penggambaran yang dilakukan sejak Jun tahun ini, kru produksi mengutip pelbagai kenangan manis dan pengalaman yang cukup berharga. Perasaan risau dan bangga saling bercampur-baur. Namun, segala-galanya terhakis. Anggapan masyarakat bahawa golongan istana sombong dan sukar didekati, tidak benar sama sekali.

Bak pepatah, tidak kenal, maka tidak cinta, biar pun terikat dengan protokol istana, namun sikap prihatin dan keterbukaan mereka membuatkan kru produksi cukup selesa. Antara pengalaman dan momen paling menarik, ketika kru produksi membuat rakaman bersama Raja Puan Mahkota Perak, Raja Nazhatul Shima yang lebih mesra dipanggil Tengku Dotti di Istana Riswin, Ipoh, Perak.

Keramahan dan sikapnya yang sporting melayani kru sepanjang dua hari rakaman, tidak dapat dilupakan. Sambil memasak masakan kegemaran keluarga seperti Daging Gulung, Gulai Tempoyak Udang dan Mi Kuah, loghat Perak pekatnya, membuatkan kru tidak kering gusi. Namun, apa yang pasti, Tengku Dotti bukan sekadar puteri raja kerana beliau juga pakar memasak.

Begitu juga ketika kru produksi membuat rakaman di Kota Bharu, Kelantan bersama Tengku Amalin. Berperwatakan manja dan lemah-lembut, kejelitaan Tengku Amalin diwarisi daripada bondanya, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Bergelar majistret termuda di negeri Kelantan, ketokohan Tengku Amalin bukan saja di mahkamah tetapi beliau juga tidak kekok di dapur. Kru produksi juga cukup terharu apabila diberikan layanan mesra malah kru diraikan pada majlis hidangan panggang di Istana Kandis, Bachok, bersama kekandanya, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan kerabat diraja Kelantan yang lain.

Namun, paling mengujakan ketika krew melakukan penggambaran di Istana Raja Di Hilir bersama YAM Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Kesudian baginda berkongsi resipi kegemaran kerabat diraja Perak selain menyelaraskan ruang santap yang cukup berseni, pasti membuat penonton terpukau. Malah, keindahan hiasan warisan Perak seperti tekat dan labu sayong dipersembahkan dengan cukup teliti.

Resipi Istana ini diterajui Penerbit Eksekutif, Ezzah Aziz Fawzy, penerbit Khairol Bariah Kamaruddin, wartawan Emmy Zalfarina Adenan dan Sulastri Mohd Juki serta pembantu penerbitan Amaani Ahmad.

–>

Berita Harian

30
Jul

Oh La La Emeer

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


EMEER,Sha (kanan) dan Amira bersama hadiah yang dimenangi.

Dinobatkan sebagai juara pertama pertandingan nyanyian terbitan TV9

KEGAGALAN bukan bermakna tewas buat selama-lamanya. Tidak salah bermimpi kalau diiringi dengan usaha jitu. Dua tahun lalu, Emeer atau Mohd Emeer Mohd Bakri hanya satu langkah saja untuk mara ke pentas akhir My Starz LG musim pertama.

Bagaimanapun, rezeki tidak menyebelahinya. Tetapi, tahun ini impian Emer untuk menjadi seorang juara tercapai apabila namanya diangkat sebagai juara Pertandingan Nyanyian Oo La La yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.

Program yang julung kali diterbitkan TV9 berkonsepkan kekeluargaan itu menyaksikan saingan sengit dua lagi peserta akhir iaitu Sha dan Amira untuk merebut ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000 dan pakej percutian.

Dihoskan Sazzy Falak, ternyata tuah menjadi milik Emeer yang berdepan laluan mudah kerana peratusan undiannya di awal rancangan sudah meninggalkan jauh saingan lain.

“Sejak seminggu saya demam selsema tetapi Alhamdulillah, ia tidak menjejaskan peluang untuk memberikan persembahan terbaik. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana Sha dan Amira juga mempunyai peluang yang sama untuk menang pertandingan ini.


AZMEER dan Atilia diundang sebagai juri profesional mengadili finalis yang berentap pada malam kemuncak Oo La La.

“Dengan wang RM30,000 ini saya mahu jadikan sebagai simpanan. Saya sedar jauh lagi perjalanan saya, namun usia bukan penghalang untuk saya mencapai impian bergelar penghibur,” katanya yang mahu berjaya dalam bidang pelajaran.

Pada pertandingan akhir yang dibawakan secara langsung oleh TV9 itu, Sha iaitu anak saudara kepada Aris Ariwatan, satu-satunya calon tunggal membabitkan keluarga di kalangan artis, berpuas hati sebagai naib juara dan memenangi wang tunai RM20,000.

Amira pula di tempat ketiga membawa pulang RM10,000. Mereka juga masing-masing menerima hadiah pakej percutian di hotel terpilih.

Kejayaan dan sambutan yang diperoleh berdasar musim ini memberi isyarat Oo La La akan diteruskan.


TRIO juara Mentor musim pertama hingga ketiga, Pija, Fiq dan Black menyanyikan lagu Sejati.

Ketua Penjenamaan Kumpulan, Komunikasi Korporat dan Pembangunan Perniagaan TV9, Noor Amy Ismail berkata, sekiranya diteruskan, TV9 akan tetap mengekalkan konsep yang sudah dibuat pada musim pertama iaitu menekankan hubungan kekeluargaan.

“Tidak kiralah sama ada peserta itu orang biasa atau mempunyai hubungan dengan artis, ia syarat utama pertandingan ini. Kemenangan Emeer membuktikan biarpun dia tidak mempunyai ikatan dengan keluarga artis, rezeki masih berpihak kepadanya,” katanya.

Tambahnya mengenai hala tuju tiga finalis itu, Amy berkata TV9 tidak menjanjikan sebarang kontrak berbentuk album. Bagaimanapun, katanya, peluang untuk mereka terus mengasah bakat terbentang luas.

“Kita ada program terbitan TV9 dan saluran TV lain dalam Media Prima Sdn Bhd. TV9 sendiri menerusi program Apa Khabar Orang Kampung dan Suarasa boleh dijadikan landasan untuk mereka mengembangkan bakat,” katanya.

Sementara itu, Azmeer yang diundang menjadi juri profesional bersama Atilia mengakui kecenderungan peserta pertandingan lebih gemar memilih lagu ‘kitar semula’ yang sering kali menjadi pilihan wajib.

“Saya bersetuju kebanyakan program realiti nyanyian dilambakkan dengan lagu yang sama. Kalau diberi pilihan lagu lain yang tidak klise, lagi bagus. Tetapi lazimnya, pertandingan yang berorientasikan undian SMS di samping juri profesional selalunya peserta memilih lagu yang popular dan orang suka. Ia sebagai kelebihan untuk menarik minat pengundi.

“Peserta pertandingan nyanyian juga sebenarnya perlu didedahkan dengan pemilihan lagu yang betul. Ada sesetengah lagu tidak sesuai di bawa bertanding. Contohnya lagu Gadis Melayu yang dinyanyikan Emeer hanya sesuai untuk membuat persembahan saja,” kata Azmeer.

Kata komposer itu lagi, beliau berharap format mengekalkan penyertaan hubungan kekeluargaan boleh diteruskan pada musim mendatang. Mengenai finalis Oo La La, Azmeer berkata, ketiga-tiga peserta mempunyai keistimewaan tersendiri, namun yang membezakan mereka hanya kepada kesilapan yang dilakukan.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai nada suara yang sedap. Tapi yang menggugat mereka hanya pada kesilapan yang dilakukan. Ada banyak faktor yang mendorong kejayaan Emeer dan begitu juga dengan kekalahan Sha dan Amira.

“Tiada yang sempurna di dalam dunia ini. Masalah lupa lirik sering terjadi namun ia bukan tabiat yang bagus. Sha sendiri hilang fokus hingga lupa lirik di awal persembahannya, namun, membalas dendam memberikan persembahan mantap untuk segmen seterusnya.

“Emeer kerap memasuki pertandingan nyanyian di TV. Semangat dan usahanya serta disokong undian yang tinggi membuahkan hasil. Sha dan Amira juga boleh menyinar seperti Emeer,” kata Azmeer.

Kemuncak Oo La La yang diterbitkan Azman Ghaffar turut dimeriahkan dengan penyanyi undangan yang berduet bersama finalis seperti Ezlynn, Misha Omar dan Lan (bekas vokalis Meet Uncle Hussain). Malah, trio juara Mentor musim pertama hingga ketiga, Pija, Fiq dan Black tampil menghangatkan debaran sebelum diumumkan keputusan pemenang.

Format undian dibahagikan kepada skala 50 peratus untuk undian SMS dan selebihnya juri profesional yang dilantik.

Berita Harian