Bilik Pengantin Idaman
Fabrik langsir sepadan dengan hiasan katil boleh tambahkan seri![]()
Oleh
Amilia Gani
ANTARA soalan yang pernah saya terima sebagai pereka hias profesional ialah daripada seorang bakal pengantin.
Beliau memberitahu bahawa teman-temannya ingin menghiaskan bilik pengantin pada hari majlis perkawinannya kelak.
Walaupun teman-temannya tidak berpengalaman menghias, beliau bersetuju untuk menerima saranan mereka kerana dengan cara demikian beliau mungkin juga dapat berjimat.
Lantas, beliau meminta nasihat saya tentang bagaimana menghias bilik pengantin.
Bilik pengantin adalah ruangan yang paling popular pada hari majlis perkawinan.
Hadirin yang datang, terutama tamu perempuan akan menjengah ke bilik pengantin dan melihat-lihat pengantin serta perhiasan yang ada di dalam bilik tersebut.
Memilih bilik pengantin adalah langkah pertama sebelum menentukan apakah pengantin memerlukan seorang penata hias ataupun hanya memerlukan teman untuk menghias bilik pengantin tersebut.
BILIK PENGANTIN DI RUMAH PENGANTIN SENDIRI
Sekiranya bilik pengantin adalah di rumah pengantin sendiri dan di bilik tidur utama, maka pengantin mungkin memerlukan hiasan dalaman serta aksesori yang lebih kekal.
Maka itu, seorang penata hias amat sesuai diberi tugas untuk menghias bilik itu supaya ia tidak sahaja sesuai dengan majlis, bahkan akan membuatnya lebih berfungsi selepas majlis perkahwinan.
Seperti juga mengubah suai sebuah rumah, penata hias akan berbincang dengan pengantin tentang konsep keseluruhan majlis pengantinnya.
Adakah majlis itu berkonsep tradisional, moden atau kontemporari dan apakah warna yang akan digunakan untuk pelamin?
Contohnya, dinding bilik tersebut berwarna biru dan penghuni telah memilih konsep putih merah.
Penata hias mungkin dapat mengubah suai perabot-perabot di bilik itu serta memilih jenis bahan, warna, reka bentuk dan ruang yang ada untuk menimbulkan suasana yang di idamkan oleh pengantin.
Pentas pelamin, baju, bunga, tempat majlis makan dan sebagainya semuanya harus berhubungan.
BILIK PENGANTIN DI RUMAH IBU BAPA
Ada kala bilik pengantin terletak di rumah ibu bapa dan bilik itu hanya digunakan untuk sementara sahaja. Tentu sekali peruntukan bagi menghias bilik pengantin itu tidak perlu keterlaluan.
Menghias bilik pengantin tidak sahaja melibatkan pembelian aksesori yang baru, menukar kain langsir serta membersihkan bilik. Dekorasi sebegini hanya mencantikkan bilik, tetapi tidak semestinya menyerikan suasana majlis perkahwinan itu.
Dalam mendapatkan teman-teman untuk membantu menghiaskan bilik atau menggunakan khidmat penata hias, ada beberapa perkara yang perlu yang diberikan perhatian:
Ruang bilik serta susunan perabot-perabot perlu diteliti. Tentukan bagaimana bilik itu akan memenuhi kegiatan majlis akad nikah dan sebagainya. Contohnya, tentukan tempat duduk pengantin, arah kiblat, berapa kerusi diperlukan dan bagaimana bilik akan didinginkan.
Warna dinding juga amat penting dan bagaimana ia boleh memberikan suasana yang lega dan lapang, lebih-lebih lagi bilik itu akan penuh sesak.
Bentuk katil serta warna cadar dan bantal harus sesuai dengan konsep yang dipilih. Warna dan fabrik langsir yang sepadan dengan hiasan katil juga boleh tambahkan seri.
Meja konsol dan meja mekap juga perlu dihiaskan dan pemilihan warna juga amat penting. Ia boleh di hiaskan dengan pasu bunga, lilin wangi atau aksesori yang menunjukkan karakter pengantin. Penggunaan cermin penuh yang tinggi juga amat berkesan.
Jangan hadkan tempat gambar berbingkai di dinding di atas kepala katil sahaja. Anda boleh kreatif dalam menentukan pilihan gambar dan tempat untuk meletakkan gambar berbingkai itu.
Pencahayaan bilik bukan semata-mata untuk menerangi ruangan. Penggunaan lampu siling, lampu meja, lampu tumpu atau lilin boleh membekalkan kesan dan fokus yang diperlukan.
Bilik pengantin akan kelihatan lebih indah dengan hamparan permaidani atau karpet. Banyak karpet yang mempunyai keunggulan tersendiri. Karpet dapat mengubah suasana ruangan menjadi romantis dalam sekelip mata.
Karpet juga dapat menutup jubin atau lantai yang sudah retak tanpa kita harus bersusah payah membongkar lantai.
Penggunaan kipas atau alat pendingin udara serta aroma harum juga boleh membawa keselesaan serta kesan yang tenang kepada semua yang berada di dalam bilik pengantin.
Membeli barang-barang untuk menghiasi bilik pengantin seperti bunga, cadar dan kain langsir, memakan masa dan perbelanjaan boleh mencapai $500 hingga $800.
Ada kala pengantin lebih selesa menggunakan khidmat penata hias dan harga khidmat mereka juga berpatutan.
Khidmat yang ringkas sekitar $400 hingga $900 dan khidmat penuh iaitu termasuk membina perabot dan katil boleh mencapai ribuan dolar.
Nota: Penulis ialah konsultan tata hias dari Facelift Design & Interiors Laman web beliau ialah www.faceliftdesign.biz
Cyberita
Solekan Mata
Mekap tampak ‘natural’ trend tahun ini![]()
Oleh
Zawiyah Salleh
TAHUN baru, fesyen pakaian, tas tangan dan kasut serba baru. Bagaimana pula dengan trend solekan, adakah tiada berubah atau ada perubahan kecil?
Setiap tahun, kaum wanita yang mengikuti perkembangan fesyen dan solekan, mengambil berat tentang warna yang diperkenalkan, terutama warna pembayang mata dan gincu yang sering berubah mengikut cita rasa para pengusaha serta pengeluar alat-alat solek.
Mengikut trend tahun ini, kaum wanita digalakkan menyolek wajah dengan cara yang lebih natural iaitu mekap yang dipakai tidak terlalu tebal, oleh itu bedak asasnya perlu sesuai dengan warna kulit kita.
Demikian nasihat pemilik syarikat alat solek jenama Doll Me Up Cosmetics (DMU), Cik Nazlin Hilal, 31 tahun, agar menggunakan sedikit sahaja bedak asas (foundation) untuk menutup tanda jerawat atau tanda-tanda yang terdapat pada wajah anda dan mekap yang digunakan pula tidak perlu terlalu tebal.
Jika kulit muka licin dan bersih, anda tidak perlu menggunakan bedak asas, sebaliknya anda hendaklah menggunakan pelembap muka dan kemudian mekap. Wajah anda akan kelihatan lebih berseri.
Menyentuh tentang bedak asas pula, kalau boleh, pilihlah yang mengandungi bahan galian (mineral powder) agar kulit anda kelihatan cerah dan segar.
Bagaimana caranya untuk memilih bedak asas yang sesuai dengan kulit anda?
Beliau menyatakan biasanya kebanyakan wanita mencalit sedikit sahaja bedak asas di bahagian tangan sebelum memilih warna yang sesuai, sedangkan cara ini tidak tepat.
‘Anda perlu mencalitkan sedikit bedak asas di bahagian dagu kerana warnanya sesuai untuk wajah anda pada keseluruhannya. Setelah memilih mekap, anda perlu menggunakan pembayang mata yang sesuai sekiranya anda menghadiri sesuatu majlis.
‘Di kalangan orang kita, warna coklat untuk pembayang mata adalah satu kemestian. Anda perlu meninjau warna lain yang disesuaikan dengan kulit kita iaitu biru, hijau, ungu atau merah agar kelihatan lebih menyerlah. Jangan memilih pembayang mata berdasarkan warna pakaian yang akan dipakai pada hari itu.’
Jika anda telah menyolekkan bahagian mata dengan lebih menyerlah, maka gincu yang digunakan pula biarlah warna yang lembut ataupun pengilat bibir (lip gloss) sahaja sudah memadai.
Untuk membolehkan kaum wanita terutama juru mekap menyolekkan wanita dengan gaya yang lebih menarik, DMU telah mengadakan pertandingan Mekap Keindahan Pulau (Island Beauty Make-Up) di atas sebuah kapal persiaran di terminal feri Marina South Pier baru-baru ini.
Pertandingan yang disertai oleh 12 orang juru mekap itu dimenangi oleh Cik Roslinda Roslan, 24 tahun, yang bertugas sebagai setiuasaha projek di sebuah syarikat.
Beliau belajar cara mekap sejak enam bulan lalu, dan sebelumnya sering memerhatikan ibunya, Cik Radziah Ahmad, 44 tahun, yang pernah berkhidmat sebagai mak andam sambilan untuk kira-kira 20 tahun.
Anak sulung daripada lima orang adik beradik itu berkata: ‘Saya suka melihat ibu menyolekkan pengantin dengan memberi keutamaan kepada bahagian mata. Untuk menambah pengetahuan, saya belajar di luar dan kemudian meminta pandangan ibu saya, yang telah pun berhenti bekerja sebagai mak andam sejak 10 tahun lalu.
‘Untuk pertandingan ini, saya gambarkan warna yang sesuai untuk pembayang mata seperti merah untuk bunga, kuning gambaran matahari, hijau warna pohon dan biru pula air laut. Saya gabungkan warna ini sebagai pembayang mata yang menyerlah dan dihiasi dengan hiasan bulu ayam yang telah saya carikkan.
‘Bagi saya, mata memainkan peranan penting untuk solekan wajah seseorang kerana dalam apa sahaja pertemuan, mata kita bertentangan terlebih dahulu dan kemudian barulah beralih ke bahagian bibir serta pipi,’ ujarnya.
Tempat kedua dimenangi oleh Cik Syerina Dzulkifli, 34 tahun, yang bertugas sebagai pegawai eksekutif di sebuah jabatan pemerintah, telah mengikuti kursus mekap di Carrie Academy lebih setahun yang lalu kerana minat menjadi juru mekap sebagai hobi pada masa lapang.
‘Di akademi ini, kami turut diberi peluang untuk menyolekkan peragawati atau orang perseorangan yang akan memperagakan fesyen, dan saya juga pernah menyolekkan beberapa orang penyanyi setempat untuk majlis jamuan malam.
‘Untuk pertandingan mekap DMU, saya gabungkan pembayang mata yang berwarna biru, hijau dan kuning agar kelihatan lebih menyerlah apabila bertentangan mata, manakala untuk gincu pula, saya memilih warna yang lebih lembut seperti merah jambu,’ tambahnya.
Cyberita
Aku Sebuah Komputer Riba
AKU dilahirkan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Bedok dalam tahun 2008. Dengan jenama terkenal dan rekabentuk terbaru yang dihasilkan dalam empat warna menarik, aku dan kawan-kawanku dihantar ke bilik pameran sebuah pusat jualan komputer terkemuka di Funan Centre.
Selang tiga hari kemudian sepasang suami isteri dan anak perempuannya yang berusia 12 tahun mengunjungi bilik pameran pusat tersebut dan memutuskan untuk membeli aku. Anak perempuannya memilihku kerana warna biruku yang menarik hatinya.
Aku difahamkan bahawa aku dibeli sebagai hadiah hari jadi budak perempuan itu, yang kemudian aku kenali sebagai Siti Aida. Aku dibeli dengan harga $1,300. Mungkin Siti Aida adalah anak emas mereka.
Siti Aida begitu gembira menerima aku. Dia meletakkan aku di atas meja tulis berhampiran katil di bilik tidurnya.
Sejak aku dibeli Siti Aida begitu menyayangi aku. Setiap kali selepas menggunakan aku, dia pasti membersihkan diriku dengan sehelai kain lembut. Dia tidak membenarkan walau sebutir habukpun melekat pada tubuhku.
Aku berasa begitu gembira kerana dia menjadikan aku sebagai sahabat karibnya. Setiap kali selepas pulang dari sekolah dan selesai menyiapkan kerja rumah serta mengulangkaji pelajarannya, dia akan bersama- sama denganku.
Aku berjanji akan berbakti sebaik mungkin kepada tuanku itu. Bak kata pepatah, kami umpama aur dengan tebing.
Selain menjadi temannya belajar, aku juga dijadikannya teman berhibur apabila dia melungsuri Internet untuk menari bahan-bahan pelajaran atau ketika dia mahu bermain ‘game’ atau berceloteh seketika dengan kawan-kawannya.
Dia menggelarkan ‘puteri’. Tetapi, bagi diriku dialah puteri yang sebenar kerana kebaikannya selama ini terhadapku.
Catatan tambahan: Pelajar juga boleh menggunakan pengenalan berbeza untuk karangan ini seperti ‘Zaman kecanggihan komputer menyebabkan hampir setiap pelajar sekolah rendah kini disediakan dengan sebuah komputer riba oleh ibu bapa yang sedar betapa pentingnya alat elektronik ini untuk kepentingan pelajaran anak-anak mereka.’
TIP 101
Contoh karangan lengkap berdasarkan soalan ‘Aku sebuah komputer riba’ adalah seperti berikut. Para pelajar perlu beri perhatian contoh pengenalan, simpulan/peribahasa dan penutup yang dilampirkan.
Cyberita