Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Jarum Emas: Cabaran Baru Harun

January 3, 2010 Harian Metro | Comments (0) admin @ 7:58 pm



Oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

Rap
TAHUN baru, azam pun baru. Itu biasa walau azam lama lambat laun ditelan zaman. Usahkan kita, kalangan artis tidak sunyi memasang azam selagi hayat dikandung badan.

Orang yang tidak tahu berazam boleh tergolong dalam kelompok hidup segan mati tidak mahu kerana hakikat hidup kita sendiri maklum amal kebaikan yang kita kerjakan di dunia akan mendapat ganjaran di akhirat, itu azamlah namanya.

Bagi penggiat hiburan, perubahan pucuk pimpinan dalam persatuan, terutama Seniman dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), jelas menyerlahkan azam baru yang dinanti oleh artis mahupun karyawan yang bernaung di bawah persatuan masing-masing.

Menjanjikan harapan pada ahli adalah azam setiap presiden.

Taburlah apa saja janji, manifesto atau impian tetapi ada juga janji sekadar mencurah air di daun keladi.

Tidak terlewat untuk mengupas perubahan dalam Seniman agak menarik apabila Datuk Mustapha Maarof ditewaskan Harun Salim Bachik.

Selama dalam bidang hiburan, saya tidak nampak karisma Harun sebagai ketua. Barangkali juga imej lawak yang dibawakannya hingga minda kita sudah didoktrin Harun bukan orang serius tetapi siapa tahu melalui kepercayaan diberi ahli, Harun boleh membentuk aura tersendiri dari sehari ke sehari untuk menjadi presiden yang bukan setakat disegani, bahkan dihormati penggiat seni tanah air.

Menjadi ketua dalam satu persatuan besar seperti Seniman banyak yang perlu dikorbankan seperti masa, tenaga bahkan wang ringgit untuk persatuan terus menghela nafas panjang. Presiden yang masih ligat berlakon TV dan filem seperti Harun harus bijak mengurus masa untuk diri, keluarga dan ahli.

Paling penting, membentuk minda rasional bukan emosional ke arah presiden yang profesional. Cuma sebagai pemerhati insan seni, saya tidak berapa berkenan ketika Harun kali pertama muncul secara langsung dalam Malaysia Hari Ini (MHI) beliau menimbulkan isu beberapa pelakon veteran keluar mesyuarat peralihan kuasa daripada Mustapha beralih kepadanya. Nada Harun ketika itu seperti mengharapkan simpati.

Kenyataan seperti itu seharusnya tidak diluahkan dalam satu rancangan ‘live’ yang terhad masanya, apatah lagi kemunculan pertama selaku presiden untuk satu persatuan besar yang lebih suku abad kewujudannya.

 

 

Sepatutnya kemunculan pertama atas kapasiti sebagai presiden, Harun terus membentangkan agendanya ke, manifestonya ke atau harapannya ke, ke arah mana harus dibawa Seniman, dan paling penting strategi mengharmonikan Seniman supaya tidak ada puak menyokong artis veteran dan puak artis angkatan muda.

Menimbulkan isu kelompok artis veteran meninggalkan mesyuarat, secara automatik penonton, rakyat dan kita yang tidak tahu sudah diberitahu Seniman baru diterajui Harun diboikot oleh artis tertentu. Masalah dalaman lebih elok diselesai sesama sendiri atau dipendam, bak pesan orang tua usah buka pekung di dada sendiri.

Seperkara perlu difikirkan Seniman pimpinan baru ialah bagaimana untuk menukar ‘mind set’.

Harian Metro

Nukilan Sleeq

Harian Metro | Comments (0) admin @ 7:38 pm

Oleh MURSHID EUNOS

Rap
MESKIPUN zaman muzik hip hop yang pernah mewarnai industri muzik Malaysia sudah berlalu akibat dihanyutkan rentak indie yang mula menakluki pendengar, alasan itu tidak menggugat perjuangan dua bersaudara dari Singapura, Sleeq untuk terus memperkenalkan melodi nukilan mereka kepada peminat tempatan.

Kumpulan dianggotai Alyph (Alif Abdullah) dan Syarif (Ahmad Syarif) ini, kedua-duanya berusia 20 tahun, gigih mengintai ruang bagi menyebarkan pengaruh muzik mereka di sini.

Mereka kini tampil bergaya apabila single, Cun Saja, mendapat tempat di corong radio tempatan, sekali gus menyuntik semangat Sleeq yang ditubuhkan pada 2005 untuk berusaha memancing lebih ramai peminat dan mahu dikenali sebagai kumpulan mempertaruhkan irama pop, hip-hop dan R & B.

Kumpulan yang menjadikan irama Michael Jackson, JayZ, Usher dan Craig David sebagai kompas mereka dalam penciptaan muzik berkesempatan mempromosi album terbaru mereka berjudul Classiq ketika bertandang ke ibu kota baru-baru ini dengan kerjasama syarikat pengedar di Malaysia, Metadome Sdn Bhd.

Syarif yang gembira dengan sambutan pendengar tempatan terhadap lagu Cun Saja tidak melepaskan peluang untuk bercerita mengenai album terbaru mereka.

Tidak hanya itu, dua pemuda kreatif ini yang mencipta semua lagu untuk album mereka kecuali Kau Buat Aku yang diilhamkan oleh komposer Indonesia mengharapkan publisiti dan rangka promosi ini dapat menolak mereka ke pentas luar memandangkan selama ini ramai hanya mengenali lagu mereka berbanding wajah sebenar.

‘Classiq mengandungi 13 lagu, iaitu sembilan Melayu dan empat Inggeris. Sebelum album ini dipasarkan, banyak lagu kami diputarkan di radio tempatan Singapura, antaranya Pilihan Aku, Cun Saja, Sembunyi dan Moviestar.

‘Namun kami akui pasaran di Singapura tidak seluas Malaysia. Justeru, tawaran dan undangan nyanyian tidak semeriah mana berbanding teman artis dari Singapura yang mencipta nama di sini.

‘Senario di Malaysia, lagu kami terlebih dulu dikenali berbanding publisiti diraih. Ramai tertanya-tanya siapa kami dan ini masa sesuai untuk memperkenalkan diri kepada peminat di Malaysia,’ katanya yang pernah melancarkan album EP berjudul ‘In The Q’ pada 2007.

Judul lagu lain yang terkandung di dalam album penuh sulung mereka adalah Classiq, Untuk Dia, Fireworks, Mabuk, My Spy, Tanya Nama, Ain’t About Later, Terima Kasih Sayang dan Selamat Malam.

 

 

Lain bagi Alyph yang mengakui pelbagai cabaran dan pengalaman yang melingkari diari mereka sepanjang penerbitan album ini.

Dia sempat berkongsi keperitan mereka dalam membahagikan masa antara pelajaran dan perjuangan dalam muzik.

Bagaimanapun, keserasian dan persefahaman antara kedua-dua mereka memudahkan proses pembikinan selain mengatur jadual kerjaya seni.

‘Rumit untuk menyiapkan album ini kerana kami masih menuntut ketika itu. Keluarga tidak pernah menghalang, sebaliknya terus memberi galakan. Cuma mereka selalu ingatkan supaya pelajaran tidak diabaikan. Bayangkan, keluarga saya sanggup melabur untuk membeli set studio mini yang dipasang di bilik tidur saya untuk memudahkan kami mencipta lagu selain melakukan proses rakaman.

‘Walaupun tidak secanggih mana, itu sudah cukup memudahkan kami. Saya banyak eksperimen muzik sendiri selain mencipta lagu, manakala Syarif berkebolehan memberi sentuhan akhir serta menulis lirik. Oleh itu, pembahagian kerja sangat mudah dan seimbang.

‘Malah, kombinasi karya kami sangat bersesuaian memandangkan kami punya minat muzik sama,’ kata pelajar jurusan Rekaan Produk dari Politeknik Singapura ini yang pernah diuruskan oleh Imran Ajmain dan KRU Singapura.

Kini Sleeq bersedia melancarkan single kedua mereka, Untuk Dia, bagi terus memancing peminat tempatan.

Selain berhasrat diterima baik, kedua-dua anak muda yang menyimpan niat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam jurusan muzik dan audio ini sedia berdepan tanggungjawab sebagai rakyat negara republik itu, menyertai program khidmat negara selama dua tahun.

Harian Metro

FILEM: Filem Imaginasi Buka Tirai

Harian Metro | Comments (0) admin @ 7:28 pm

Oleh FIRDAUS SAHAT

Rap
MEMBUKA tirai tayangan untuk 2010, penonton layar perak mula disajikan dengan sebuah filem imaginasi hasil sentuhan sutradara terkemuka Hollywood, Terry Gilliam berjudul The Imaginarium Of Dr Parnassus bermula 1 Januari lalu.

MEMBUKA tirai tayangan untuk 2010, penonton layar perak mula disajikan dengan sebuah filem imaginasi hasil sentuhan sutradara terkemuka Hollywood, Terry Gilliam berjudul The Imaginarium Of Dr Parnassus bermula 1 Januari lalu.

Meskipun memasuki hari ketiga tayangannya, sambutan diperoleh produksi berkenaan sungguh menggalakkan. Bayangkan saja, selepas Avatar melabuhkan tirainya dengan sajian teknik janaan komputer yang menakjubkan, kini hadir pula sebuah filem bercorak sama tetapi berlainan konsep untuk memenuhi permintaan penonton.

Barangkali ramai melihat hasil karya Gilliam terdahulu seperti seperti Monty Python, Brazil, Time Bandits, 12 Monkeys dan The Brothers Grimm. Bagaimanapun, saran penulis jangan samakan filem berkenaan dengan karya terbarunya.

Melihatkan prebiu di negara Barat, rata-rata memuji filem bercorak pengembaraan dan fantasi ini. Dengan teknologi canggih, Gilliam membawa penonton menyusuri kehidupan lelaki bergelar Doktor Parnassus yang menjalin kerjasama dengan syaitan untuk kekal hidup selama-lamanya.

Tambah menarik, Gilliam berjaya menyiapkan filem berkenaan meskipun selepas kematian pelakon utamanya yang memegang watak Tony, Heath Ledger. Malah, menambah keseronokan menonton, Gilliam mengadaptasikan watak Tony kepada tiga teraju utama menggantikan Ledger iaitu Johnny Depp, Jude Law dan Colin Farrell.

Meskipun berlainan pelakon, jalan cerita dipersembahkan sutradara ini menarik. Walau jalan ceritanya berbelit, kesudahannya menjanjikan sesuatu di luar jangkaan.

Barangkali juga Depp, Law dan Farrell punya tarikan tersendiri dalam watak dibawa. Melihatkan kredibiliti mereka sebelum ini, penonton pasti dapat mengagak bagaimana gaya lakonan yang bakal dipersembahkan.

Untuk 2010, The Imaginarium Of Dr Parnassus menjadi filem CGI pertama membuka tirai untuk tayangan layar lebar. Jika belum berpuas hati dengan karya berkenaan, pelbagai filem menarik bakal dipaparkan tidak lama lagi, antaranya Alice In Wonderland, karya komedi animasi daripada Chris Sanders dan Dean DeBlois berjudul How To Train Your Dragon, Prince Of Persia: The Sands Of Time dan Legion.

 

 

Harian Metro

FILEM: Hantu Hitam Putih

Harian Metro | Comments (0) admin @ 7:18 pm

Rap
JU-On: White Ghost & Black Ghost menampilkan beberapa kelainan, terutama aspek penceritaan. Usah diukur pada kesan bunyi atau sebarang visual canggih kerana tiada yang mampu buat penonton teruja, sebaliknya fokus hanya pada penceritaan semata-mata.

Filem berdurasi lebih dua jam ini bukan saja sarat dengan babak seram, tetapi pujian wajar diberi kepada barisan pelakonnya kerana mampu menghayati watak dengan perkesan.

Sinopsis Ju-On kali ini lebih rumit apabila menggabungkan dua cerita berlainan. Black Ghost menceritakan perihal jururawat bernama Yuko (lakonan Ai Kago) yang menjaga kanak-kanak aneh, Fukie yang sering diganggu janin kembarnya.

Marah kerana tidak mampu hidup seperti Fukie, makhluk menakutkan itu memberontak sehingga berlaku pelbagai insiden ngeri di hospital. Manakala White Ghost pula berkisar mengenai seorang lelaki yang kecewa dengan hidupnya sehingga dirasuk unsur jahat supaya membunuh semua ahli keluarganya sebelum dia menggantung diri.

Ketika cuba membunuh diri, lelaki itu merakam kata-kata akhirnya dan disambut suara seorang gadis bernama Mirai. Pelakon popular Jepun, Akina Minami menggalas watak Akane menjadi saksi pembunuhan Mirai dan mengalami pelbagai kejadian aneh.

Setiap watak berjaya diterjemahkan dengan kemas, namun penonton mungkin keliru apabila gerak ceritanya disampaikan secara terbalik bagi memastikan penonton terus berteka-teki.

Hantu budak kecil berwarna biru yang sinonim dengan rangkaian filem Ju-On masih dikekalkan, cuma kelibatnya hanya muncul seketika cuma. Apapun, filem ini berupaya buat penonton tidak senang duduk, malah kesan bunyinya juga tidak berlebihan.

FILEM: Ju-On: White Ghost & Black Ghost
ARAHAN: Mari Asato dan Ryuta Miyake
PELAKON: Kago Ai dan Minami Akina
GENRE: Seram

 

 

TAYANGAN: 7 Januari 2010
ULASAN: Murshid Eunos

Harian Metro

FILEM: Suami Isteri Diburu

Harian Metro | Comments (0) admin @ 7:08 pm

Rap
NARATIF filem ini ringkas. Sepasang suami isteri yang tidak lagi hidup di bawah satu bumbung menjadi saksi satu pembunuhan dan diarah bersembunyi buat sementara waktu bagi mengelak diburu pembunuh itu.

Di bawah program perlindungan saksi, mereka diberi identiti baru dan perlu belajar menerima antara satu sama lain di Wyoming. Membesar di kota besar yang dikelilingi dengan teknologi terkini membuatkan mereka kekok hidup di kawasan pedalaman itu.

Secara peribadi, filem ini mengecewakan meskipun mengetengahkan dua bintang besar. Gandingan Sarah Jessica Parker sebagai Meryl Morgan dan Hugh Grant (Paul Morgan) kurang sesuai. Bahkan Grant nampak terlalu tua dan statik untuk Sarah yang jauh lebih energetik.

Jalan ceritanya meleret, belumpun separuh tayangan sudah terasa bosan. Jika watak pasangan Morgan dikembangkan, mungkin naratifnya lebih menarik.

Penonton disajikan dengan ketegangan hubungan ini yang berpunca daripada sikap curang Paul, namun jika didedahkan sedikit gambaran latar belakang mereka seperti bagaimana mereka bertemu, pasti penceritaan akan lebih lengkap dan sempurna ditonton. Begitu juga dengan sedikit gambaran mengapa pembunuhan itu berlaku.

Kepincangan itu bagaimanapun ditampung dengan lakonan mantap Michael Kelly sebagai pembunuh upahan, Sam Elliott dan Mary, pegawai polis Wyoming yang bertanggungjawab melindungi pasangan Morgan.

Filem ini sesuai ditonton peminat fanatik Sarah dan Grant. Jika mereka tidak ada dalam senarai pelakon kegemaran anda, mungkin ini alternatif terakhir jika tiada aktiviti di hujung minggu.

FILEM: Did You Hear About The Morgans?
ARAHAN: Marc Lawrence
PELAKON: Hugh Grant, Sarah Jessica Parker Michael Kelly, Sam Elliot dan Mary Steenburgen
GENRE: Komedi / Romantik

 

 

TAYANGAN: 31 Disember 2009
ULASAN: Shakilawati Abd Rahman

Harian Metro

FILEM: Dongeng Pikat Remaja

Harian Metro | Comments (0) admin @ 6:58 pm

Rap
FILEM ke-24 Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) yang menelan belanja RM1.4 juta ini mungkin boleh memenangi hati penonton remaja dan kanak. Bagaimana pula dengan penonton dewasa? Kalau anda sukakan cerita ringan dan pasang niat dari awal untuk berhibur, barangkali boleh layan.

Berpaksikan kisah dongeng pari-pari, garapan sulung Azmi kurang berjaya. Pengalaman mengarah dokumentari, drama bersiri dan telefilem belum cukup kuat untuk Azmi mencuba nasibnya di layar lebar.

Namun terlalu awal untuk menilai kebolehan sebenar sutradara muda ini kerana Duhai si Pari-Pari adalah eksperimen pertamanya. Mungkin jika diberi peluang lagi selepas ini garapannya akan jadi lebih molek dan kemas.

Azmi bernasib baik kerana filemnya dibintangi Liana Jasmay, Que Haidar, Nabila Huda, Remy Ishak dan Harun Salim Bachik yang mampu menggalas watak masing-masing dengan baik.

Merekalah penyeri jalan cerita yang perlahan pergerakannya. Que berjaya memberi nafas kepada watak Syadon yang lurus bendul biarpun ada kalanya mimik muka dan sikapnya mengundang rasa mual.

Aktor ini berani keluar daripada kepompong persembahannya yang sebelum ini sinonim dengan watak memberontak, berat dan antagonis. Pelakon ini berjaya buang jauh rasa malu hingga dapat memberikan ekspresi wajah dan bahasa tubuh yang tidak terjangkau di fikiran peminat setianya sebelum ini.

Sama seperti Que, Nabila dan Remy juga memikul tanggungjawab serupa apabila perlu tampil dengan mimik muka dan gaya yang mencuit hati penonton.

Apa tidaknya, jika sebelum ini Remy biasa tampil dengan perwatakan pemuda kacak, namun menerusi garapan Azmi dia sangat berbeza. Seperti biasa persembahan Nabila tidak mengecewakan apabila dia berjaya menterjemahkan watak Mala, wanita penggoda dan kaki kikis yang berjaya memperdayakan ramai lelaki.

Filem ini mengisahkan Syadon berasa hidupnya sempurna apabila bertemu Mala. Satu hari, dia mendapati Mala cedera dipukul dan diugut penjahat bernama Budi.

Bagi menyelamatkan Mala, Syadon menyerahkan semua wang dan keretanya kepada Budi tanpa mengetahui dia sebenarnya diperangkap. Syadon dipukul hingga pengsan dan ditinggalkan di lorong gelap. Apabila tersedar, Syadon terjumpa sebuah teko keemasan dan membawanya pulang.

 

 

Keesokannya Syadon terkejut apabila seorang gadis bernama Pari tidur di sebelahnya. Seperti saya jelaskan tadi, jika anda mahu menonton filem ini, jangan letak harapan terlalu tinggi kerana ceritanya biasa saja. Apapun, ia berpotensi buat anda ketawa dan mungkin dapat melupakan masalah yang menyesak fikiran buat seketika.

ILEM: Duhai Si Pari-Pari

ARAHAN: Azmi Md Hata

PELAKON: Liyana Jasmay, Que Haidar, Remy Ishak, Nabila Huda, Harun Salim Bachik dan Datuk Aziz Satar

GENRE: Komedi

TAYANGAN: 31 Disember 2009

ULASAN: Shakilawati Abd Rahman

Harian Metro

Wajah Baru Quickie

Harian Metro | Comments (0) admin @ 6:38 pm

Oleh MURSHID EUNOS

Rap
SELEPAS lebih empat tahun mewarnai skrin 8TV dengan konsep bual bicara santai, 8TV Quickie mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam membentuk ramai pengacara berbahasa Inggeris yang berwibawa dan bervisi.

Kepetahan serta gaya spontan Marion Counter, Rina Omar, Henry Golding, Aishah Sinclair, Belinda, Jen dan ramai lagi memikat penonton.

Tidak hanya meraih pengalaman awal daripada program kendalian penerbit Ahmad Khairi Zulkifli, sebaliknya hampir semua bintang ciptaan stesen TV berkonsep urban ini jelas berpotensi sehingga kelibat mereka cepat disambar saluran antarabangsa.

Sentiasa ingin pembaharuan dan nafas penerbitan yang jauh ke depan, satu lagi strategi mula diserap masuk dengan mengadakan sesi pencarian bakat baru untuk menghiasi dimensi baru Quickie.

Selepas empat lokasi dijelajah sekitar Lembah Klang yang menghimpunkan lebih 800 calon, akhirnya 8TV kini bersedia memperkenalkan enam calon akhir bagi merebut tempat mengendalikan program siaran langsung ini.

Menurut Ahmad Khairi, elemen bijak berkomunikasi dengan karakter bersahaja dan spontan adalah satu pakej wajib untuk setiap perantara, selain personaliti mereka.

‘Program Quickie Search satu cara untuk memberi lebih kelainan kepada konsep asal. Meskipun kami tidak mengubah kandungan program, corak penyampaian perantara dapat menghidupkan suasana lebih meriah.

‘Kami inginkan wajah baru untuk memberi impak kepada penonton. Memandangkan semua pengikut kami remaja, kandungan mesti mantap selain menawarkan lebih hadiah dan cenderahati.

‘Bagaimanapun, enam peserta ini tidak semestinya berpeluang menyertai 8TV Quickie kerana bakat dan mutu persembahan mereka masih dalam proses penilaian, yang mana setiap minggu kami akan cuba melihat kemampuan mereka mengendali program.

‘Sistem undian digunakan dalam menentukan peserta kegemaran penonton melalui promosi dan material publisiti di 8TV.

 

 

‘Namun peluang untuk mereka muncul sebagai keluarga 8TV tidak tertutup begitu saja meskipun tidak terpilih kerana ada banyak lagi program lain,’ katanya yang bakal menyerahkan tugas penerbit kepada Khairul Adzweri Rosle bermula Januari ini.

Projek pencarian ini menyediakan dua kelas untuk setiap pesertanya, termasuk pengajian komunikasi dan perhubungan awam serta kelas keterampilan diri.

Setiap peserta berpeluang mendekati personaliti televisyen yang lain serta pihak penerbitan untuk terus menimba ilmu melengkapkan diri sebelum sedia dirakam di depan kamera.

Mengakui terkejut dan gembira apabila terpilih ke peringkat akhir sebelum diterima masuk sebagai pengacara, bekas penyampai skrin antarabangsa, Channel V serta X Fresh TV, Naqib Shamsuri mengharapkan dirinya berjaya menembusi fasa pemilihan ini.

‘Sentiasa jujur dalam penyampaian adalah resipi utama untuk berjaya. Malah saya yakin dengan bakat yang ada untuk bersaing. Namun, soal cemburu tidak wujud kerana masing-masing ada kelebihan.

‘Melihat tugasan yang perlu kami lakukan, ia dapat membentuk setiap pengacara itu tidak hanya kelihatan cantik di depan kamera, sebaliknya kami didedahkan dengan rutin harian yang lebih mencabar seperti penyelidikan dan mencari bahan berita. Ia pengalaman yang berharga,’ kata graduan jurusan pengurusan perniagaan berusia 23 tahun ini.

Pendedahan sama turut membentuk karakter pelajar jurusan penyiaran, Jamie Roscom. Katanya, yang lebih penting sebagai penyampai 8TV Quickie adalah personaliti dan kepetahan menyusun kata.

Dia yang pernah tampil dalam iklan komersial Pantene dan H1N1 sebelum ini berkata, persediaan ke arah pemilihan akhir mula dilakukan.

‘Program ini perlu seorang pengacara muda, bertenaga, lincah dan tersendiri. Kriteria ini penting untuk menarik minat penonton. Ini satu cabaran buat saya,’ katanya.

Quickie Search turut menampilkan gadis jelita berusia 21 tahun, Megan dan peserta termuda berusia 18 tahun, Sam. Selain itu, Shakir dan Vix, masing-masing berusia 26 tahun juga berpeluang merebut peluang ke set 8TV Quickie dalam proses pencarian ini.

Harian Metro

Tuah Pak Jabit

Harian Metro | Comments (0) admin @ 6:28 pm

Oleh IZWAN MOHAMAD DAN

Rap
KEHADIRAN lelaki ini dalam industri perfileman bukan baru, sebaliknya bermula awal zaman 1980-an lagi ketika Allahyarham Aziz Jaafar melantiknya sebagai Penolong Pengarah bagi filem Penentuan, selain terbabit dalam filem Anak Sulung Tujuh Keturunan bersama hero handalan Dharma Harun Al-Rasyid ketika itu.

Turut dikenali sebagai pengarah banyak drama televisyen, bekas penulis hiburan ini langsung tidak berkecil hati walaupun kurang dikenali meskipun watak dibawanya dalam tiga filem arahan Mamat Khalid iaitu Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan terbaru Hantu Kak Limah Balik Rumah memberi impak besar.

Abdul Kadir Abdul Manap, 60, yang dikenali sebagai Man Kadir Shamsi tidak kisah seandainya masyarakat tidak mengenalinya secara peribadi, asalkan watak yang dipangkunya diingati ramai, khususnya watak Pak Jabit yang seakan-akan sinonim dengan bapa kepada enam anak ini.

‘Saya tak kisah jika orang tidak mengenali saya kerana yang penting watak yang saya bawakan mampu diingati orang ramai.

‘Dalam usia saya sekarang bukan populariti yang dikejar, sebaliknya kepuasan bekerja, terutama dengan pengarah bijak seperti Mamat Khalid,’ katanya sewaktu ditemui di lokasi penggambaran Hantu Kak Limah Balik Rumah di Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mengambil contoh Salleh Kamil yang satu ketika dulu terkenal dengan watak antagonis, cukup berbeza dengan keperibadian sebenar yang kelakar dan suka bergurau.

Bercerita mengenai tawaran berlakon, datuk kepada empat cucu ini juga tidak menafikan menerima pelawaan dalam beberapa produksi, namun menolaknya dengan alasan tidak sesuai dengan watak, apatah lagi ada yang memintanya berlakon berpegangan dengan wanita.

Selain soal hukum agama, dia harus menjaga kedudukannya sebagai orang kampung yang sudah tentu menimbulkan pelbagai andaian jika berkelakuan sedemikian walaupun menurut tuntutan skrip.

‘Walaupun sekadar berlakon, saya tak mahu ahli keluarga dan masyarakat mempersoalkan keperibadian kelak jika bersetuju melakonkan babak yang tak sesuai dengan diri.

‘Habis berlakon, saya juga sama seperti insan biasa yang tinggal di kampung,’ katanya yang menetap di Kampung Rantau Panjang, Lanchang, Pahang.

 

 

Berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, beliau yang tampil bekerjasama kali pertama dengan Mamat menerusi drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel mengakui pengarah itu sarat idea kemasyarakatan dan penuh falsafah hidup.

Baginya, penggiat seni yang ada sekarang kekurangan tiga aspek penting dalam berkarya, menyebabkan banyak mesej tidak dapat diterima penonton.

‘Dalam menghasilkan filem yang baik, tiga perkara penting ialah hiburkan mereka, beritahu mereka dan lahirkan falsafah.

‘Bagi saya, menerbit filem berasaskan masyarakat adalah satu cara menghasut dengan cara baik untuk ke jalan kebaikan,’ katanya.

Harian Metro

Cemburu Aznil

Harian Metro | Comments (0) admin @ 6:08 pm

Oleh FIRDAUS SAHAT

Rap
TIDAK dinafikan, Nabil agak cemburu melihat kejayaan pengacara nombor satu tanah air, Aznil Nawawi. Malah, pernah juga terdetik di hatinya untuk menyaingi kredibiliti selebriti terkenal itu.

Melihat bagaimana Aznil membina nama dan populariti daripada awal pembabitannya sehingga kini sudah cukup membuatkan Raja Lawak Musim Ketiga ini iri hati.

Jika ada yang terkejut dengan kenyataan ini, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad meminta jangan terlalu cepat membuat kesimpulan.

Kata Nabil, cemburunya pada kejayaan Aznil adalah daripada sudut positif, malah dia menganggap Aznil idola yang mahu dicontohinya.

‘Saya amat meminati Aznil. Malah, saya turut melakukan kajian bagaimana dia mampu mengecapi kejayaan dalam bidang ini.

‘Dulu, Aznil bermula sebagai pengacara Pop Kuiz. Sejak itu, dia memberanikan diri mencuba sesuatu yang baru dan kini, benih yang ditanam akhirnya membuahkan hasil walaupun ia memakan masa berbelas tahun.

‘Inilah yang saya cemburukan. Dia seorang yang tabah. Sepanjang memasuki dunia hiburan, cabaran yang perlu ditempuhinya bukan calang-calang. Tetapi akhirnya, dia berjaya mendapatkan apa yang diinginkan.

‘Sehingga kini, siapa yang tidak tahu mengenai program kendalian Aznil? Rasanya, semua sedia maklum dengan programnya yang pelbagai,’ katanya.

Tambah Nabil, dia juga mahu berjaya seperti idolanya itu. Namun, dia sedar jalan yang perlu ditempuhi bukan mudah. Malah, semuanya itu turut terpulang kepada soal rezeki.

‘Saya hanya mampu merancang dan kejayaan itu tidak datang bergolek. Jika ada usaha, ia tidak mustahil untuk diperoleh. Lagipun, rezeki itu ada di mana-mana.

 

 

‘Apapun, saya akan berusaha gigih untuk mencapainya. Saya mahu jadikan kejayaan Aznil sebagai landasan untuk terus bergerak dalam dunia seni ini. Walaupun ia memakan masa yang agak lama dan mungkin berpuluh tahun dari sekarang, saya rela menunggunya,’ katanya berjenaka.

Menurut Nabil, Aznil menjadi diri sendiri dalam setiap program yang dikendalikannya dan langkah itulah yang mahu diikutinya.

‘Kini, Aznil cukup terkenal dengan program berunsurkan kanak-kanak. Dalam program itu pula, dia tidak perlu berlakon menjadi orang lain sebaliknya hanya membawa perwatakan sebenar.

‘Jadi, saya juga perlu menjadi diri sendiri dalam setiap program yang saya hoskan. Sedikit gila-gila dan tabur lawak jenaka mungkin dapat memikat penonton. Tapi saya sedar, bukan mudah nak tarik perhatian orang dan banyak lagi yang perlu saya pelajari, ‘ kata anak jati Mambau, Negeri Sembilan ini.

Seperti idolanya itu, Nabil turut mengacarakan program berbentuk kanak-kanak berjudul Pondok-Pondok yang disiarkan menerusi TV9. Katanya, bukan mahu meniru gaya persembahan Aznil sebaliknya ia menjadi cabang untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang seni.

‘Aznil sudah sedia maklum dengan program kanak-kanaknya dan dia begitu popular dengan program berkenaan. Jadi, saya cuba mengikut jejak langkahnya.

‘Ini tahun kedua saya bersama Pondok-Pondok. Mulanya, saya ingatkan kerja Aznil mudah tetapi sebenarnya tidak. Berkerja dengan anak kecil ini cukup payah.

‘Mahu melayan kerenah, ragam dan mood berbelas orang itu kadang-kadang memeningkan kepala juga. Namun bila sudah biasa, ia berubah menjadi satu keselesaan dan saya seronok melakukannya.

‘Insya-Allah, siapa tahu jika program ini meletup, saya juga mampu menjadi seperti Pak Nil yang digilai ramai kanak-kanak,’ katanya berjenaka.

Berbicara mengenai program program Raja Lawak yang memasuki musim terbaru, Nabil menjelaskan dia tidak pernah risau jika penerimaan penonton terhadap dirinya mula pudar. Bukan kerana ego mahupun berlagak sombong, sebaliknya dia mempunyai peminat sendiri yang setia menyokongnya.

‘Jujurnya saya tidak pernah rasa tergugat dengan persaingan yang bakal diterima. Lagipun bakat saya dicungkil menerusi Raja Lawak musim kedua dan sekarang sudah memasuki musim keempat. Saya masih di sini, malah penerimaan peminat masih utuh.

‘Ini membuktikan persaingan langsung tidak menjejaskan populariti yang diterima. Setiap kali membuat mana-mana persembahan, sambutan yang diterima daripada peminat amat menggalakkan.

‘Tambahan pula, pentas seni kita kekurangan bakat pelawak yang berkualiti. Jadi, bakal juara Raja Lawak musim ini dapat memenuhi kekosongan itu.

‘Lagipun, saya sudah merasakan kehidupan bergelar anak seni, Juara program Raja Lawak dan banyak lagi yang nyata mengubah hidup saya. Jadi, biarlah orang lain pula berpeluang merasainya,’ katanya.

Harian Metro

Selebriti Indie Dalam Xpresi Kembara

Harian Metro | Comments (0) admin @ 5:58 pm

Oleh MURSHID EUNOS

Rap
PROGRAM terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM yang berkonsep kembara pelancongan dengan gabungan elemen muzik, Xpresi Kembara, akan kembali menemui penonton dengan suntikan kelainan sepanjang Januari ini.

Lima selebriti indie popular dijemput untuk turut bercuti dalam usaha menyokong kempen cuti-cuti Malaysia. Antaranya kumpulan 6ixth Sense yang meneroka keseronokan kota keriangan Genting Highland pada 2 Januari. Ini diikuti penyanyi Yuna yang menjelajah seluruh pelusuk bandar raya Ipoh seminggu kemudian.

Episod pada 16 Januari pula menampilkan kumpulan Bunkface yang melihat keunikan di A Farmosa Resort, Melaka selain Awanband di Pulau Pinang dan kumpulan Couple di Cameron Highlands.

Selain melawat dan meninjau keindahan setiap lokasi percutian, kumpulan muzik itu serta Yuna akan turut sama menyertai pelbagai aktiviti di setiap lokasi bagi memberi gambaran lebih jelas untuk tatapan penonton.

Bayangkanlah apabila selebriti generasi muda, Adi yang juga vokalis 6ixth Sense menaiki pelbagai permainan mencabar di Genting Highlands dan Yuna merasai pengalaman di pasar pagi Memory Lane, Ipoh.

Vokalis Bunkface, Sam juga tidak melepaskan peluang melihat secara dekat binatang buas seperti harimau dan buaya di Safari World A Farmosa Resort.

Program berbentuk santai seperti ini bukan sekadar rujukan percutian buat penonton, tapi turut mendekatkan peminat dengan artis kesayangan mereka.

Ini kerana selebriti terbabit turut bertemu peminat dan menjual cenderahati, termasuk album mereka, secara eksklusif di lokasi yang mereka kunjungi. Mereka turut membuat persembahan secara live di depan peminat.

Pastikan temu janji untuk menyaksikan setiap episod program remaja, Xpresi Kembara dengan gelagat menarik artis indie sepanjang Januari, setiap Sabtu, jam 12.31 tengah hari, di TV1.

 

 

Harian Metro