Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Pukulan & Pukauan Adam

March 23, 2010 Lost | Comments (0) admin @ 9:16 am



Penyanyi berpegang pada falsafah
ingin jujur pada diri sendiri

Oleh
Siti Hairani Aznor

BAYANGKAN percikan bunga api yang menghiasi kelam malam dengan ledakan berwarna-warni yang berdansa mengikut rentak nadi, menyelubungi pancaindera dengan rasa taksub lantas membuat anda terpaku dek keindahan detik itu.

Begitulah dahsyatnya penangan suara Adam Lambert ketika ia bergema mengisi ruang teater Pantages Hollywood, Universal Studios Singapore, di acara untuk peminat yang pertama diadakan di Asia Tenggara, baru-baru ini.

Kebolehan beliau menghibur secara langsung memang tidak diragukan lagi setelah jutaan penonton di serata Amerika membuat undian secara SMS sehingga beliau berjaya ke peringat akhir American Idol tahun lalu.

Pertunjukan khas untuk tetamu istimewa itu telah memuatkan sekitar 1,500 anggota media dan peminat yang telah memenangi cabutan nombor bertuah melalui pembelian album Adam Lambert edisi khas dan juga penyertaan peraduan di stesen-stesen radio di serata Singapura dan Malaysia.

Maka itu, bayangkan betapa sukarnya mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan eksklusif ini.

Sesi tandatangan bersama peminat Adam Lambert yang pertama di seluruh Asia Tenggara pula telah diadakan di Bugis Junction pada 13 Mac lalu.

Adam berjaya memukau para penonton dengan persembahan akustik lagu-lagu daripada album sulungnya, For Your Entertainment, seperti Music Again, Broken Open, Whataya Want From Me, Sleepwalker dan Down The Rabbit Hole.

Dengan tenaga suara lantang yang dapat menembusi lapisan cakerawala, beliau mencetuskan ledakan histeria di kalangan peminat setia yang menggelarkan diri mereka Glamberts, setiap kali beliau tarik suara.

Dengan jaket hitam sarat labuci dan seluar jeans gaya tirus, Adam yang telah membuat pengakuan terbuka pada pertengahan tahun lalu mengenai status gaynya menerima sambutan hangat daripada peminat berbilang bangsa dan peringkat umur.

Sewaktu wawancara khas bersama beliau diadakan di Hotel Ritz-Carlton, jejaka berusia 28 tahun yang dibesarkan di San Diego, California, itu kelihatan begitu selesa dengan gayanya yang tersendiri.

Lengkap dengan pembayang mata hitam dan celak tebal yang menghidupkan lagi kebiruan warna matanya, Adam cukup relaks dan bersahaja ketika berinteraksi.

Apabila ditanya mengenai gaya penampilan beliau, Adam menyenangi segalanya yang unik dan lain daripada lain.

‘Lebih menonjol, lebih baik!’ katanya diikuti derai tawa.

Adam yang baru pertama kali menjejakkan kaki di kota Singa juga sangat menyukai makanan yang pedas dan telah sempat menikmati hidangan ketam berlada. Hmmm… mungkinkah itu rahsia di sebalik suara lantang beliau?

Beralih kepada yang lebih serius ketika membincangkan soal muzik, Adam yang turut menulis empat lagu dalam album sulungnya itu mengakui lebih mudah meluahkan isi hatinya dan pengalaman hidup dengan mengarang lagu seperti Aftermath, yang sedikit sebanyak mencerminkan cogan kata hidupnya.

Falsafah hidup beliau ialah tidak membohongi diri sendiri.

‘Jujurlah pada identiti anda dan jangan gentar mencuba sesuatu yang tidak pernah diterokai,’ ujar jejaka berketinggian 1.85 meter itu dengan penuh ketekunan.

Menyingkap persembahannya di Anugerah Muzik Amerika, beberapa bulan lalu, yang telah mencetuskan gelombang kontroversi hangat, Adam tampak tenang sahaja mengingatinya.

Apabila diajukan soalan sama ada beliau rasa dirinya adalah contoh baik kepada para peminat, Adam berkata:

‘Saya adalah seorang penyanyi dan saya cuba menjadi diri sendiri. Saya bukan cuba menjadi contoh ikutan atau mengajar sesiapa.

‘Saya sekadar menjalankan tugas. Mungkin suatu contoh yang peminat dapat ikuti adalah menjadi diri anda yang sebenar walaupun anda rasa diri anda berbeza daripada orang lain.’

Buat masa ini, Adam menunjukkan sokongannya kepada peserta American Idol (musim kesembilan), Todrick Hall yang mempunyai bakat menari selain menyanyi.

Namun sayangnya, Todrick baru sahaja tersingkir di pusingan yang lalu. Adam turut memuji mutu bakat peserta American Idol yang semakin baik dan menganggap Crystal Bowersox dan Andrew Garcia sebagai earthy atau asli dan mempunyai gaya tersendiri yang menyebabkan tahap persaingan semakin sengit.

Nota: Siri American Idol disiarkan di Star World (Saluran 18) setiap Rabu dan Khamis, 8 malam. Ulangannya ialah pada 12 tengah malam.

Cyberita

Undi Jangan Tak Undi! Isma & Bunkface

March 3, 2010 Lost | Comments (0) admin @ 7:30 pm

Isma

Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail adalah isteri kepada vokalis kumpulan 2 By 2, Zul.

Menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh, ibu kepada lima cahaya mata yang dilahirkan pada 21 Mei 1979 hanya mampu berpuas hati di kedudukan tempat kelima. Ketika berentap di AF, adiknya Tomok pula menyertai sebuah lagi pertandingan realiti iaitu One In A Million dan berjaya bergelar juara..

Dia kemudian menyertai sebuah lagi program realiti iaitu Sehati Berdansa. Bagaimanapun Isma hanya mampu berada di peringkat separuh akhir saja.

Sebelum menyertai AF dan Sehati Berdansa, Isma kerap memenuhi undangan persembahan membabitkan Kombo Seni Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia dan band Dcity Tops IPK Kuala Lumpur.

Dia mula menyanyi ketika usia 18 tahun dan pernah menimba pengalaman menyanyi selama tiga tahun di Restoran Cerana.

Bunkface

Bunkface dianggotai Paan, 22, Sam, 22, dan Youk, 20. Mereka adalah tiga sahabat yang mengenali satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Mereka juga tinggal di kawasan yang sama iaitu Taman Sri Andalas, Klang. Kerjaya mereka bermula selepas menyertai Battle of The Band dan Time Blast Off.

Walaupun tewas mereka bertuah apabila pihak Astro menerbitkan klip video lagu Silly Lilly sebaik tersingkir dari Time Blast Off. Sejak itu, nama Bunkface secara perlahan-lahan mencipta populariti dan berjaya menembusi arus perdana muzik.

Antara lagu popular kumpulan ini ialah Situasi, Revolusi, Extravaganza. Malah lagu Situasi ciptaan serta dendangan kumpulan itu berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke 24.

Menang besar ketika Anugerah Shout! yang dianjurkan oleh 8TV. Kumpulan ini memenangi anugerah utama iaitu The Ultimate Shout! Awards malah mencipta dua lagi kejayaan apabila menggondol anugerah Rockstar dan Break Out.

Berita Harian

Aca & Atuk Dalam Versi Drama Televisyen Di TV2

January 19, 2010 Lost | Comments (0) admin @ 7:20 pm

DRAMA rantaian yang mengangkat kisah komedi dengan bintang pelakon yang mampu mencuit hati pastinya menarik perhatian penonton. Mulai malam ini, jam 8.30 malam menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyajikan drama berjudul Aca dan Atuk yang pastinya memenuhi impian penonton.

Watak Aca dan Atuk yang dijadikan drama ini diadaptasi daripada siri komik yang menggunakan nama sama terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB).

Menariknya drama bersiri 13 episod arahan Kamaruldin Hassan ini mengisahkan kehidupan dua beradik, Ujang lakonan Chomatt Samad dan Aca yang tinggal bersama datuk mereka lakonan Hamid Gurkha.

Setelah kematian kedua ibu bapa mereka, Ujang dan Aca juga mempunyai kakak iaitu Kak Wok namun sudah berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur.

Kisah mereka bermula ketika Aca diserang demam panas hingga menyebabkan dia hilang akal. Keadaan Aca yang sering mendatangkan masalah kepada Ujang dan Atuk, kerana tingkah laku Aca sering menjadi bahan kemarahan orang kampung.

Selain itu Aca juga sering dibuli oleh penduduk kampung, disebabkan itu Ujang bertindak untuk mempertahankan adiknya sehingga menimbulkan pergaduhan.

Perkara ini amat tidak disenangi oleh orang kampung dan akhirnya Ujang mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur. Di sana Ujang sentiasa bersama rakannya Joe, dan dia menginap di rumah Kak Wok. Pelbagai kejadian dan dugaan yang diharungi oleh Ujang sepanjang dia berada di sana.

Ujang kembali ke kampung untuk meneruskan kehidupannya kerana hanya di kampung tempat yang paling sesuai dengannya.

Sekali lagi Ujang ditimpa musibah apabila dia ditangkap bersama Aca kerana disyaki menagih dadah. Kakak mereka , Kak Wok tidak mahu membantu atas sebab yang lepas apabila Ujang menginap di rumahnya dulu. Ujang dan Aca akhirnya dilepaskan kerana tidak bersalah.

Sekembali mereka ke kampung Atuk, Aca dan Ujang meneruskan usaha untuk berniaga ayam. Namun berjayakah usaha mereka dan bagaimana pula penerimaan orang kampung terhadap Atuk dan dua orang cucunya itu?

Drama terbitan Unit Drama TV RTM ini turut mengetengahkan lakonan bersahaja Hamidah Wahab, Anne Ngasri, Abu Bakar Juah dan Fadilah Mansor.

Berita Harian

Jehan & Scha Tak Patah Semangat

December 27, 2009 Lost | Comments (0) admin @ 7:24 pm

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Berkongsi perasaan: Scha, Jehan cekal hadapi cabaran dunia artis

BANYAK khabar kurang enak sedang bertebaran di ruang udara dunia hiburan mengenai aktres muda yang hangat mencipta nama, Scha Al-Yahya.

Khabar bernada cemburu, seolah-olah ingin menjatuhkan karier seni Scha yang semakin memuncak kebelakangan ini. Ia membangkitkan kebingungan kepada gadis berusia 26 tahun itu.

Scha yang hadir ke sesi fotografi khas bersama B’Pop ditemani gandingannya dalam siri Awan Dania 2 siaran Astro Ria, Jehan Miskin, cuma mampu mengeluh.

Desah hati pemilik nama lengkap, Sharifah Norazean Syed Mahadzir Al Yahya ini, dia sendiri aneh bagaimana semua khabar itu timbul.

Hakikatnya, dia masih lagi Scha yang dulu. Scha yang kental menjunjung prinsip profesional, tanpa sedikit pun gelap mata dengan limpahan tawaran yang datang.

“Scha masih di lokasi Awan Dania untuk menyudahkan blok kedua penggambaran, jadi agak pelik bagaimana timbul cerita Scha digugurkan daripada siri itu?,” soal Scha bingung.

Saat diasak bertubi-tubi dengan satu demi satu kontroversi, kesabaran Scha terus diuji apabila perpisahannya dengan Fahrin Ahmad kembali dibangkitkan media.

Apa daya Scha untuk menolak semua itu? Sekadar termampu, dia hanya menutup mulut daripada terus mengulas dan akhirnya menyumbang kemusnahan kepada kariernya.

Kata Scha, cukup sudah dia menerima tekanan gara-gara perpisahan mereka dulu. Dia tidak mampu lagi menanggung lara apabila masyarakat pantas menuding jari, meletak seluruh kesalahan pada bahunya.

“Orang mungkin nampak Scha kuat tetapi Scha juga pernah rapuh menongkah dugaan. Scha tidak kesal melalui pengalaman itu. Lumrah kehidupan pasti akan ada pasang surut serta kecacatan.

“Orang tidak menilai kekuatan itu daripada mana kita jatuh. Scha perlu bangun untuk terus mengejar impian dan mencari kepuasan kerana kerjaya seni itu masih terlalu luas untuk Scha terokai,” katanya memohon pengertian.

Simpati dengan apa yang dilalui Scha, Jehan, 29, yang sudah enam tahun berpengalaman menjadi anak seni mengakui, ada kalanya sukar untuk menelan kepahitan sebuah perpisahan.

Apatah lagi, apabila memilih hidup sebagai artis, mereka sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada terima atau tidak, isu peribadi akan terus menjadi rencah yang membantu memperkenalkan lagi nama seseorang artis itu.

Itu hakikat yang tidak mampu ditepis Jehan. Namun kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, seseorang artis perlu bijak mengimbangi permainan publisiti supaya diri dihormati dan kerjaya mereka dipandang tinggi masyarakat.

“Saya pernah merasai apa yang Scha lalui. Biarkan saja apa orang cakap kerana akhirnya kita yang sebenarnya lebih mengenali diri sendiri.

“Insya-Allah, lama kelamaan ia akan pergi sendiri. Ia berlaku kepada saya apabila kini fokus publisiti lebih terarah kepada karier, bukan lagi cerita peribadi,” kata pelakon utama Merong Mahawangsa itu menitipkan pesanan.

Belum selesa

DUA tahun bertapak dalam industri hiburan, perjalanan karier Scha dilihat meluncur laju. Selain berlakon, Scha turut diberi peluang meneroka cabang seni lain iaitu pengacaraan.

Semua peluang itu meletakkan Scha dalam ruang selesa. Betapa tidak kerana nama Scha sentiasa tersenarai dalam barisan finalis anugerah berprestij.

Bagaimanapun, gadis ini tidak mahu segera mendabik dada. Scha sebaliknya melihat 2009 sebagai tahun permulaan untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak pencinta hiburan.

“Memang apa yang dicapai ini di luar jangkaan. Tetapi semua itu tidak datang sekelip mata. Pada permulaan Scha juga berhempas pulas untuk mendapat kepercayaan. Alhamdulillah, kerja keras Scha diberi perhatian. Jangan cepat andaikan Scha berada dalam zon selesa kerana hakikatnya perjalanan Scha baru bermula.

“Jujurnya Scha masih lagi mencari momentum untuk terus menapak dalam bidang ini. Scha perlu pantas mencari momentum itu supaya tidak tenggelam. Scha belum selesa lagi,” katanya merendah diri.

Sampuk Jehan yang mula mencipta nama menerusi filem Qaisy & Laila, dalam perjalanan menuju ke sesuatu destinasi setiap manusia pasti akan melalui ujian yang memperlahankan langkah.

Baginya, tiada yang lebih penting selain membulatkan tekad dan berusaha menuju destinasi tanpa perlu berputus asa.

Kata Jehan, dia sentiasa ingat pesanan pelakon berkarektor, Shaharuddin Thamby supaya mengutamakan kualiti kerja kerana dari situ duit dan populariti akan hadir.

“Rezeki juga memainkan peranan tetapi saya tidak sesekali duduk berpeluk tubuh dan menanti saja peluang yang datang.

“Berlakon adalah karier profesional saya. Tetapi pada masa sama, saya turut menilai beberapa sudut lain termasuk kekuatan skrip, kreativiti pengarah dan prestasi produksi.

“Saya tidak terlalu memilih. Saya terima watak kecil jika ia mampu memberi impak kepada jalan cerita. Untuk apa saya duduk menanti watak utama tetapi peranan yang diberikan tidak mampu mengangkat jalan cerita.

“Itu kerja sia-sia,” kata Jehan yang mengharapkan industri hiburan diwarnai lebih ramai penggiat muda kreatif yang akan membanggakan produksi tempatan.

Teruja menanti 2010

TATKALA diajak mengimbas perjalanan sepanjang 2009, Jehan menyimpulkan, dia meniti tahun yang cukup menggembirakan terutama untuk kariernya.

Pembawa watak Benjy dalam siri Awan Dania 2 itu berkata, 2009 membuka ruang besar kepadanya untuk meneroka pelbagai karektor yang menguji kemantapan persembahannya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, Jehan yang mengukir laluan sebagai pelakon menerusi drama arahan Osman Ali, Dengan Nama Cinta masih tercari karya yang mampu mengulangi pencapaian yang diraih Qaisy & Laila.

Karya bermutu sebegitu kata Jehan, hanya sesekali hadir tetapi dia percaya apabila tiba waktunya kesempatan itu akan terarah kepadanya.

“Saya percaya kepada rezeki,” katanya yang kembali bersatu dengan Osman Ali menerusi filem Cun yang membariskan pelakon seperti Maya Karin, Remy Ishak dan Scha sendiri.

Scha pula melihat 2009 sebagai tahun percubaan yang menguji, namun berharap 2010 akan membentangkan warna lebih ceria untuk kehidupan dan kerjayanya.

Pinta Scha kepada Ilahi, 2010 akan membawa ketenangan dalam dirinya serta kelancaran untuk terus menyusuri hidup dalam kerjaya yang dicintainya.

INFO: Jehan Miskin Nama Penuh : Mohd Jehan Bin Miskin Tempat Lahir : Pulau Pinang Kerjaya : Pelakon, Model Filem: Qaisy & Laila (2005); Gong (2006); Nana Tanjung (2006); Nana Tanjung 2 (2007); Anak Halal (20070; Skrip 7707 (2007) dan Merong Mahawangsa (2009) Antara Drama: 5 Jingga; Manjalara; Incredible Tales (Singapura); Senja Di Ufuk Timur; Ejen 016; Kasih Di Bawah Bayu; Frontpage; Inspirion; Life Line (Singapura); Di Pinggiran Hati; Seiras; Dan Jendela Pun Terbuka; Gila-Gila Pengantin; Bunga Senja; Traffic Light dan Miftahul Jamilah.

INFO: Scha Nama Penuh: Sharifah Norazean Syed Mahadzir Tarikh Lahir: 30 Mei 1983 Asal: Sungai Petani, Kedah Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik Pendidikan: Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam Pencapaian: Dewi Remaja 2006/2007 Filem: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns Drama: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu dan Awan Dania 2 Pengacaraan: Sehati Sejiwa dan Astro On Demand Komersial: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom, My EG dan Bio Essence

Bintang Pop

December 24, 2009 Lost | Comments (0) admin @ 3:18 pm

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PERNAH menimba pengalaman sebagai pelakon dan pengacara, selebriti Khairulizam Abdul Rahman atau nama komersial, Khir Rahman masih bersemangat mengembang karier seninya.

Mungkin ada yang tidak perasan, minatnya pada bidang seni diwarisi daripada ibu bapanya, Datuk A Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad yang popular menerusi kugiran Orkes Nirwana pada pertengahan 60-an. Bagaimanapun, Khir lebih cenderung pada bidang lakonan terutama teater berbanding nyanyian.

Merujuk pada lakonan, Khir lebih banyak menerima tawaran sebagai pelakon pembantu. Sebelum ini, dia pernah terbabit menjayakan beberapa filem antaranya Puteri Gunung Ledang (2004), Potret Mistik, Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Rock (2005), Gubra (2006), Cuci serta Los Dan Faun (2008).

Namun, dalam filem Rock arahan Mamat Khalid, Khir mula diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai penyanyi rock iaitu Jijo Alfonso Pareira Abdullah di samping pelakon berpengalaman lain seperti Que Haidar, Hasnul Rahmat dan Shoffi Jikan.

Katanya, dia tidak kisah mencipta nama menerusi watak sampingan sebaliknya sentiasa berusaha memberikan lakonan terbaik yang meninggalkan kesan pada penonton.

Perkembangan terbaru, Khir, 36, kini sibuk di lokasi penggambaran filem … Dalam Botol yang diterbitkan Raja Azmi Raja Sulaiman. Berbeza dengan penampilan sebelum ini, Khir mendapat peluang besar apabila ditawarkan mengarah filem ini.

Kata Khir, dia tidak terlalu berfikir lama untuk menyatakan persetujuan pada tawaran yang diberikan kerana merasakan mengarah filem adalah impiannya.

“Pada saya, filem adalah suatu karya yang bernilai tinggi, susah untuk dibuat tetapi menyeronokkan. Ketika mula membaca skrip filem ini, saya terus tertarik dan bersetuju menggalas tanggungjawab besar ini.

“Saya melihat filem ini mempunyai ‘bahan’ yang bagus cuma bagaimana mahu dipersembahkan dengan menarik, ia perlu difikirkan. Malah saya sendiri berpandangan niat Raja Azmi untuk menerbitkan filem ini tidak salah dan dia juga cuba sampaikan filem yang positif pada penonton,” katanya.

Khir yang pernah mengarah beberapa filem pendek seperti Selekoh dua tahun lalu mengakui faktor pengetahuan dan pengalaman dalam lakonan sebelum ini banyak membantu dirinya agar menjadi pengarah berjaya.

 

 

Dalam pada itu, dia menyatakan ada sikap produser dan pengarah yang lebih berminat hasilkan filem untuk mengaut keuntungan semata-mata tanpa mementingkan aspek kualiti.

Baginya, filem ini yang mengisahkan cinta antara lelaki sejenis adalah kisah benar yang wujud dalam kehidupan realiti. Katanya, dia bukan mahu jual seks dalam filem ini tetapi mahu sampaikan mesej kemanusiaan yang dapat dikongsi pada watak dipaparkan.

“Saya berharap penonton tidak terlalu awal menghukum filem ini gagal kerana kisah kontroversi yang ingin ditampilkan. Namun, saya terbuka untuk terima kritikan penonton apabila filem ini ditayangkan nanti,” katanya.

Filem ini dibintangi Diana Danielle bersama dua bakat baru, Azharudin Ramli (Arja Lee) dan Saiful Redzuan Abu Bakar (Wan Raja) yang tampil melakonkan watak utama. Ini adalah filem sulung Khir dan peluang ini juga diterima selepas pengarah asal, tarik diri.

Harian Metro

Jarum Emas: Bisa

December 20, 2009 Lost | Comments (0) admin @ 6:48 pm

Rap
MINGGU lalu, ketika makan malam di sebuah restoran di Curve, pelakon Esma Daniel diterpa pasangan lelaki dan wanita India. Berderau, adakah dia buat salah kerana manalah tahu pasangan usia lewat 20-an itu ada masalah peribadi dengannya.

Sangkaan Esma meleset sebaik pasangan itu menyapa dalam bahasa Inggeris tertarik menonton lakonannya dalam Santau.

Terpancar senyuman puas di wajah Esme kerana sesudah 20 tahun menceburi lakonan, dengan filem pertamanya Interlud arahan Othman Zainuddin pada 1991, ini kali pertama peminat bukan Melayu memberi komen positif terhadap lakonannya.

Kepuasan lebih berganda kerana sekian lama memerah keringat di pentas seni bermula sebagai peragawan, dramatis dan pelakon filem, ini juga kali pertama Esme diberi kepercayaan menjadi hero dalam filem.

Tiga filem lain lakonannya terdahulu ialah XX Ray, Salah Bapak dan Anak yang sekadar menggalas watak pembantu. Ratusan drama dibintangi; Sembilu Kasih saja sebanyak 200 episod selain menjadi Dr Syamil dalam Bio-Nik, tetapi belum dapat menyerlahkan auranya sebagai hero.

Lantas kepercayaan diberi ‘bos besar’ MIG Production Sdn Bhd, David Teoh melalui filem Santau arahan Azahari Zain yang kini rancak memeriahkan pawagam tanah air, satu perkembangan sihat bagi menceriakan persada seni kita.

Istilah ‘tiada yang lama, mustahil ada yang baru’ acap kali terpacul di bibir artis tempatan, tetapi realitinya belum ada keyakinan pada kita untuk mengangkat hero di kalangan aktor berusia 40-an atau 50-an, apatah lagi 60-an.

Trend filem kita hero rata-rata muda belia, penyudahnya bagi aktor usia melepasi 40 tahun atau penghujung 30-an, kempunan sajalah jika mahu menjadi hero dalam filem.

Produser dan pengarah tidak berani menanggung risiko satu hal, dan bertambah banyak hal bila birokrasi stesen lebih terarah pada artis bergetah serta tiadanya skrip bersesuaian untuk meletakkan aktor usia 40-an dan 50-an memegang watak utama.

Trend filem kita sama dengan filem Indonesia. Hero remaja zaman persekolahan seperti Rano Karno, Roy Marten dan Barry Prima kian tersisih dalam penerbitan filem seberang. Hero muda yang muncul, tidak ramai yang gagah perkasa tetapi ‘jambu mambu’ ada.

 

 

Berbeza filem Hollywood, Bollywood selain filem Cina, penerimaan peminat terhadap ‘hero tua’ tidak berbelah bagi. Sekadar contoh, bagaimana Jacky Chan yang berusia 54 tahun masih boleh bergandingan dengan Jet Li, 45, dalam The Forbidden Kingdom.

Di sini, usahkan nak angkat aktor seusia Jacky, seusia Jet Li yang belum setengah abad pun belum pasti. Jolokan hero tua yang dilabel pada Rosyam Nor tanpa disedari meletakkan satu titik noktah; untuk menjadi hero purata usia sudah disyaratkan.

Agak tidak adil jika aktor seperti Rosyam atau seusia dengannya menempelak media kerana jolokan hero tua itu sudah menjadi polemik. Sebabnya perkataan ‘hero tua’ adalah cetusan idea rakan artisnya, Erma Fatimah melalui filem Diva Popular.

Barangkali Erma jaki lihat artis lelaki seperti Rosyam yang lingkungan usia sepertinya masih boleh bergandingan dengan artis wanita remaja, baik dalam drama mahupun filem. Tidak seperti artis wanita yang sewaktu dengan Erma, terlalu ganjil untuk mereka berpasangan dengan hero remaja, kalaupun ada watak seperti antara adik dan kakak tetapi terlalu terhad, lalu terciptalah hero tua.

Agak menarik pula mutakhir ini aktor berusia setengah abad kian mendapat pengiktirafan. Kemenangan Eman Manan meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem dan Ahmad Tarmimi Serigar pula Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin 2009 serta Santau memberi peluang pada Esma, boleh memberi tempias positif pada aktor lama untuk lebih bersemangat.

Jika kena gaya dan jalan cerita, tidak mustahil hero lama seperti Sidi Oraza, Mustapha Kamal, Nasir Bilal Khan, Badrul Muhayat, Yusof Wahab, Faizal Hussein, Sabree Fadzil mahupun Dharma Harun Al Rashid boleh memegang watak utama.

Jika hero kita dilahirkan di Hollywood atau Bollywood, usia bukan batu penghalang pada mereka, namun segala-galanya bergantung pada Santau.

Seandainya eksperimen David berjaya ke atas Esma, hero lama kita berkemungkinan tidak lagi gigit jari untuk kembali beraksi mencuri hati peminat sebagai hero sejati.

ADAM: Salam Maal Hijrah 1431

D

Lost | Comments (0) admin @ 6:38 pm

Oleh MURSHID EUNOS
metahad@hmetro.com.my

Rap
MENEWASKAN kira-kira 300 peserta untuk gelaran juara pencarian penyanyi berkumpulan, A Mild Live Wanted pada 2007 tidak sesekali menjadikan D’Masiv besar kepala atau merasa puas.

Sebaliknya, lima anak muda kelahiran Indonesia ini terus berusaha mencuri ruang untuk meletakkan nama mereka sebaris penghibur lain.

D’Masiv yang diketuai vokalisnya Rian Ekky Pradipta, pemain gitarnya Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadhan, Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass), dan Wahyu Piadji (dram) gigih memperkasakan muzik mereka.

Taruhan melodi balada, Cinta Ini Membunuhku sekurang-kurangnya mampu dianggap satu kejayaan selepas ia menjadi siulan peminat muzik di Malaysia.

Menjadikan pemain muzik seperti Muse, Switchfoot dan Incubus sebagai inspirasi, D’Masiv mampu menangkis tanggapan kumpulan ini sebagai satu lagi percubaan anak muda untuk menyamai kumpulan lain di sana, terutama sekali Nidji, Ungu dan juga Peterpan.

Mungkin latar kehidupan mereka yang getir sebelum bergelar anak seni membuatkan kelima-lima pemuda kreatif ini bekerja keras mengubah taraf hidup di samping membantu keluarga.

Peluang keemasan yang berjaya membawa mereka ke sebuah fasa selesa seperti sekarang adalah mustahil untuk dipersiakan.

Peluang bertemu mereka selepas persembahan Soundrenaline 2009 di Bali, Indonesia baru-baru ini membuka cerita mereka sejak bergelar selebriti. Segala pencapaian yang diraih setakat ini adalah permulaan kepada sebuah perjalanan yang masih jauh.

Menurut Rian, kehidupannya bersama empat lagi teman muziknya kini adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan. Rasa syukur dan gembira mereka tidak mampu digambar dalam kata-kata kerana akhirnya impian mereka bukan lagi omong kosong.

‘Kami masih hijau dalam bidang ini, namun apa yang kami rasakan sekarang seakan satu anugerah besar. Bagaimanapun, apa yang kami kecapi hari ini masih tidak boleh dijadikan kayu ukur bagi menilai kredibiliti D’Masiv.

 

 

‘Sebenarnya kami bersama sejak 2003, namun peluang untuk ada di persada seni ini hanya selepas kami menggenggam gelaran juara. Terus nasib dan haluan kami jauh lebih baik.

‘Alhamdulillah, kami diberi peluang berkongsi pentas dengan nama besar lain di konsert Soundrenaline ini buat kali ketiga.

‘Yang seronoknya, ini kali pertama kami merasakan D’Masiv adalah band popular dan berjaya mendapat perhatian peminat muzik di sini. Ketika persembahan pertama di lokasi sama, kami masih baru dan tidak dikenali. Malah, ramai peminat beralih ke pentas lain sehingga yang berdiri menyaksikan persembahan kami boleh dikira dengan jari,’ katanya.

Tambah Rian, kini mereka boleh tersenyum apabila lagu mereka mula dinyanyikan bersama. Malah jeritan peminat membuatkan mereka lebih bertenaga.

‘Namun ini tidak bermakna kami sudah selesa dan berani meletakkan nama kami sebagai band popular kerana masih banyak lagi perlu kami pelajari, terutama aspek persembahan dan penghasilan lagu lebih bermutu.’ katanya.

Menyifatkan segala rezeki dan peluang yang datang sebagai satu rahmat, Rian menambah, D’Masiv adalah kumpulan muzik yang sentiasa memandang positif dan menampilkan identiti tersendiri.

Malah, selepas kejayaan album sulung mereka, Perubahan pada 2008, pintu rezeki lebih luas mula terbuka di depan mata mereka.

‘Kini kami mampu mengadakan persembahan solo seperti siri konsert jelajah kami di beberapa kota utama di Indonesia, termasuk Bandung dan Jakarta.

‘Sambutan juga di luar jangkaan, lebih-lebih lagi nada dering lagu kami mencecah enam juta muat turun. Mungkin ini petanda positif buat kami. Oleh itu kami akan terus memastikan nama D’Masiv tidak terkubur.

‘Jadual disediakan pengurusan membuatkan kami tiada masa untuk melakukan aktiviti lain. Banyak jemputan persembahan dan undangan siri konsert jelajah yang perlu kami ikuti,’ tambahnya.

Kumpulan kini mula popular dengan lagu Jangan Menyerah, album khas yang dipasarkan Ogos lalu. Album mini yang memuatkan dua lagu baru – Mohon Ampun Aku dan Jangan Menyerah ini dijadikan sebagai pengubat rindu peminat mereka.

Harian Metro

December 15, 2009 Lost | Comments (0) admin @ 3:18 pm

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

KONTROVERSI perkahwinan juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Mohammad Faizal Ramly, 25, semakin heboh diperkatakan. Paling ketara apabila majlis perkahwinan pemuda berasal dari Terengganu yang berlangsung awal tahun ini tidak mengundang media selain tanpa pengetahuan keluarga pasangan masing-masing.

Begitupun, Faizal menolak keras dakwaan itu malah mengakui majlis perkahwinan berlangsung lancar dan mendapat restu ibu bapa mereka berdua. Cuma dia tidak mahu soal peribadi termasuk majlis perkahwinan dihebohkan begitu juga mengenai tidak mengundang media.

Terus merahsiakan apa sebenarnya yang berlaku, dia berkata hidupnya kini bahagia. Bagaimanapun, dia belum bersedia memperkenalkan isteri kepada media demi menghormati permintaan keluarga. Bagi Faizal kerjaya seni tumpuan utamanya dan cerita peribadi biarlah menjadi hak miliknya sendiri.

“Sebenarnya apa yang saya lakukan adalah ke arah kebaikan. Tidak timbul soal membelakangi sesiapa dalam hal ini. Sudah tentu saya mahu berkongsi hari bahagia bersama keluarga, saudara dan kenalan.

“Apa yang boleh saya maklumkan setakat ini, kehidupan peribadi dan kerjaya seni saya berjalan dengan baik. Apapun kita tunggu majlis sidang akhbar yang akan diadakan pada 21 Disember ini untuk menjelaskan segala kekusutan yang berlaku,” katanya.

Ketika dihubungi Faizal dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah untuk menghadiri sesi promosi filem terbaru lakonannya, Pulau Asmara. Sesi promosi untuk filem terbitan syarikat Alakazam Production Sdn Bhd (Alakazam Production) itu akan diteruskan ke Pulau Langkawi dan Kuantan, Pahang.

Faizal yang bernaung di bawah syarikat rakaman Alakazam Production berkata dia tidak berniat untuk merahsiakan mengenai kehidupan peribadinya. Walaupun ada yang membuat andaian negatif terhadap perkahwinannya itu termasuk kononnya dia dan pasangannya ditangkap khalwat.

“Apa yang saya buat ini tidak mahu mengganggu kehidupan dan ketenteraman keluarga kedua-dua belah pihak. Fokus utama sekarang pada bidang seni. Apatah lagi ketika ini perjalanan seni saya semakin lancar. Saya tidak mahu orang salah anggap dengan apa yang berlaku. Tambah pula tidak perlu ada pihak yang cuba menghuru-harakan keadaan,” katanya.

Teraju filem Pulau Asmara itu dijangka tampil bersama album solo tidak lama lagi juga menerusi syarikat Alakazam Production. Kepercayaan yang diberikan rumah produksi itu, memberi nafas baru kepada Faizal yang sebelum ini dilabel antara artis yang sukar dihubungi dan berdepan masalah disiplin.

 

 

Harian Metro

Liyana & Jac Bakat Semakin Hebat

December 13, 2009 Lost | Comments (0) admin @ 7:34 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus

Selepas diiktiraf dalam Anugerah Skrin 2009, dua artis artis bertanding pula dalam festival filem di Taiwan

SURATAN atau kebetulan. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai dua bintang yang lahir daripada ‘genre’ berbeza ini. Liyana Jasmay, 21, pelakon remaja berbakat besar, yang kini berjinak-jinak bergelar penyanyi, manakala Jaclyn Victor, 31, penyanyi bersuara lantang, semakin diiktiraf bakatnya sebagai pelakon. Kini, kedua-duanya berjaya mendapat pengiktirafan pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) berdasarkan bakat cemerlang mereka.

Liyana atau lebih mesra disapa Nana, seorang pelakon sepenuh masa, serius dengan kerjayanya, tapi tak pernah jemu memenuhi hasratnya bergelar penyanyi sekalipun menerima kritikan pedas, manakala Jaclyn atau Jac pula, meskipun layak dilabel memiliki suara ‘gergasi’, namun percubaan pertamanya di layar perak tidak pernah menghampakan, malah berjaya membuka mata peminatnya, dia sebenarnya memiliki aura tersendiri.

Lebih menarik, apabila Nana dan Jac digandingkan sebagai penghias muka depan B’Pop minggu ini, kedua-duanya mengakui ini adalah pertama kali mereka bergaya serentak di depan lensa yang sama!

Tahun 2009 benar-benar membawa tuah kepada Nana apabila dua anugerah berprestij industri perfileman negara, berada di genggamannya. Berlakon ketika usianya mencecah sembilan tahun dan baru lima tahun bergiat secara serius di kaca TV mahupun layar perak, sudah mampu menobatkan Nana sebagai aktres terbaik, sekalipun dia bukan dilahirkan daripada keluarga seni, jauh sekali mendapat pendidikan formal dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, apa yang saya peroleh hari ini semuanya kerana minat dan cinta yang mendalam kepada seni lakonan. Sekiranya kita dilahirkan daripada keluarga seni, mahupun memperoleh ijazah perfileman dari luar negara, tapi kalau tak minat dengan apa yang kita buat, tak guna juga. Saya ambil contoh Uncle Rosyam Nor, kejayaannya hari ini adalah kerana kerja keras dan minat yang menebal kepada kerjaya lakonannya,” kata Nana.

Nana akan mewakili negara ke Festival Filem Asia Pasifik edisi ke-53 (FFAP53) di Bandaraya Kaohsiung, Taiwan mulai 17 hingga 20 Disember ini menerusi filem Papadom. Filem lain yang menjadi pertaruhan negara ialah Talentime dan Wayang. Justeru, adakah Nana sudah bersedia menerima kenyataan sekiranya dia dinobatkan sebagai Aktres Terbaik FFAP53 itu nanti?

“Apabila terpilih mewakili negara ke FFAP53, bagi saya itu sebenarnya satu kemenangan, tapi sekiranya diumumkan sebagai Aktres Terbaik FFAP53, itu memang kerja gila! Bayangkan, industri perfileman Malaysia perlu berdepan dengan negara ‘gergasi’ filem lain seperti Thailand, Korea dan Iran. Justeru, memang saya tak pernah terlintas menggenggam trofi berkenaan, perjalanan saya masih jauh,” kata Nana lagi.

Selepas dikenali sebagai pelakon, Nana kini sedang mengatur strategi untuk melebarkan sayapnya sebagai penyanyi pula. Namun, belum sempat dia ‘berlari’ mengejar cita-cita itu, Nana terus dilemparkan dengan pelbagai tanggapan negatif, kononnya dia menyanyi kerana menjejaki populariti ‘teman tapi mesranya’, Aizat, vokalnya tidak mantap, lagu-lagunya tiada identiti, meniru dan bermacam-macam lagi.

Namun, bagi Nana dia tidak mudah melatah dengan kata-kata itu. Tambahnya lagi, semakin ramai orang bercakap mengenai kerjaya nyanyiannya, ia sesuatu yang positif, sekali gus memberi petanda, orang sekeliling mengambil berat terhadap dirinya.

Nana akui masih intim dengan Aizat

Ketika populariti Nana sedang meniti di puncak, pelbagai andaian negatif terus dilemparkan kepadanya, terbaru menerusi ruangan pojok, Dengarnya… oleh Normah Becok, terbitan Berita Harian 2 Disember lalu, dia dikatakan bercakap tidak berlapik dan mengikut perasaan ketika temubual bersama program Gala TV, Astro Awani, baru-baru ini.

Menerusi temuramah itu, Nana didakwa memberikan jawapan dengan menampakkan dirinya sedikit bongkak dan menyakitkan hati apabila mendengar kata-katanya itu. Dia juga dikatakan sudah berlagak ‘kekwat’ (sombong) dengan segelintir pihak gara-gara populariti yang diraihnya hari ini.

“Ketika temubual itu, saya mengaku memberikan jawapan dengan penuh semangat, sekali gus kedengaran suara saya agak kuat. Namun, saya tidak pernah berniat bersikap kurang ajar atau bangga diri dengan sesiapa. Saya hanya bercakap soal industri, ikhlas daripada diri sendiri. Namun, sekiranya tindak tanduk saya itu tidak disenangi ramai, saya dibenci, orang sakit hati, saya akan turn down dan minta maaf.

“Kekwat? Terpulanglah apa orang nak cakap. Bagi saya, tak semua orang suka dengan kita. Justeru, terpulanglah kepada persepsi masing-masing untuk menilai. Tapi, percayalah, setinggi mana pun saya berada di puncak, saya tetap seperti dulu, saya hormat dengan semua orang.

“Namun, sekiranya ada yang membenci diri saya, jauhkan diri anda daripada saya, jangan jadi hipokrit,” katanya yang mengakui masih berkawan baik dengan Aizat, namun belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin.

Tuah tarikh 4 Disember

Sementara itu, Jac menganggap Anugerah Khas – Yasmin Ahmad yang dinobatkan kepadanya adalah hadiah paling bermakna dalam hidup selain majlis pertunangannya kerana ASK2009 yang diadakan pada 4 Disember lalu dan bertunang pula pada 4 Disember 2006.

“Sebenarnya 4 Disember itu adalah hari ulang tahun kelahiran saya. Siapa menduga, saya tak pernah menyangka, pembabitan sulung saya di layar perak, rupa-rupanya berbaloi! Menerusi Talentime, saya dapat dua anugerah industri perfileman negara. Tapi, sekarang Yasmin Ahmad sudah meninggalkan kita semua, jadi adakah anugerah ini masih berbaloi buat saya?

“Ketika hayatnya, Allahyarham Yasmin pernah menawarkan saya filem baru selepas Talentime, saya begitu bersemangat untuk mencuba lagi. Tapi, sekarang dia sudah tiada, justeru semangat saya juga pergi bersamanya. Saya dah tak mahu berlakon lagi. Tapi, itu perasaan saya ketika itu. Namun, selepas menerima trofi berkenaan daripada adik Yasmin, Datin Orked Ahmad, dia sempat berbisik sesuatu kepada saya di pentas.

“Saya tersentak, saya harus meneruskan legasi dunia lakonan Yasmin Ahmad! Kini, hati saya terbuka kembali untuk berlakon. Namun, antara nyanyian dan lakonan, nyanyian tetap menjadi keutamaan saya. Nyanyian ‘cinta’ pertama saya. Jika ada tawaran lakonan dan jadual penggambarannya tidak bertembung aktiviti nyanyian, kemungkinan besar saya akan menerima pelawaan itu,” kata Jac.

Jac akui tunang setia

Semakin ramai kemunculan bakat baru yang dicungkil daripada program realiti, adakah Jac berasakan kedudukannya tergugat?

“Semakin ramai penyanyi, ia sebenarnya persaingan yang sihat. Bagi saya, muzik adalah sesuatu yang subjektif, luas dan sewajarnya kita jangan ada perasaan negatif. Jangan berpura-pura jadi kawan saya, akhirnya tikam saya dari belakang! Saya lebih rela, kalau ada yang tak suka dengan saya, sila jauhkan diri daripada saya,” kata Jac berterus-terang.

Bertunang sudah tiga tahun, bila lagi hendak mendirikan mahligai perkahwinan?

“Saya memang sentiasa merancang ke arah itu (kahwin), tapi ekonomi sekarang tak stabil, Chris terpaksa pulang ke UK (United Kingdom) dan sambung kerja di sana. Memang saya tak suka ‘percintaan jarak jauh’, tapi nak buat macam mana, saya dah lali,” katanya lagi.

Apabila berjauhan, tak risau ke Chris ada skandal dengan wanita lain di UK?

“Tunang saya bukan jenis macam tu, saya tahu sangat perangainya. Gerak hati saya mengatakan dia seorang yang setia, mana tahu skandal-skandal ni!,” kata Jac tergelak.

INFO: Liyana NAMA PENUH: Liyana Jasmay TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988 ASAL: Kuantan, Pahang KELUARGA: Bongsu daripada empat beradik PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor (sambung belajar Mac 2010) FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari (tayang 31 Disember 2009), Niang Rapik The Movie (Februari 2010) dan Papadom 2 (penggambaran bermula 2010) DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa dan Sari Maya ALBUM (EP): Liyana Jasmay (berada di pasaran 18 November lalu) LAGU: Aku Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta, Penyelamat Cinta (duet bersama Aizat), Pelik dan Kejam DUTA: Maybelline PENCAPAIAN: Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah menerusi Papadom dan Pelakon Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) menerusi Kami The Movie

INFO: Jaclyn NAMA PENUH: Jaclyn Victor atau Jac TARIKH LAHIR: 4 Disember 1978 ASAL: Kuala Lumpur KELUARGA: Sulung daripada empat beradik PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur ALBUM TERBARU: Jaclyn Victor III berada di pasaran pada 1 September 2009 FILEM: Talentime PENCAPAIAN (NYANYIAN): Juara Malaysian Idol (MI) pada 2004; anugerah emas pada Shanghai Music Festival (2005); mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20); Penyanyi Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006; Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) memenangi kategori Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu kesemuanya menerusi album Gemilang dan Persembahan Vokal

Wanita Terbaik (AIM14) PENCAPAIAN: (LAKONAN): Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) dan Anugerah Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) TARIKH BERTUNANG: 4 Disember 2006 NAMA TUNANG: Chris Bellamy

Bintang Pop

Tiga Kisah Jenayah Malaysia Di Crime & Investigation

December 11, 2009 Lost | Comments (0) admin @ 8:00 pm

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

SEBUAH lagi siri baru diperkenalkan oleh Crime & Investigation Network (CI) bermula 6 Disember lalu berjudul Crime Investigation Asia. Sebagai permulaan, enam kes jenayah sebenar yang menggegarkan dari benua Asia dibuka dan dihidupkan semula dalam bentuk lebuh terperinci.

Daripada kisah jenayah pukau ke pembunuh bersiri yang misteri, daripada kes penculikan berganda ke pembunuhan bekas Ratu Cantik Malaysia dan rampasan senjata api. Semuanya dibongkar CI untuk memberikan penontonnya paparan semula mengenai jenayah yang pernah menarik perhatian umum.

Dengarkan apa kata anggota penyiasat dan polis yang menjejaki penjenayah bagi setiap kes, perhatikan juga apa kata pakar forensik yang mengkaji segala bukti, serta penjelasan saksi, keluarga mahupun rakan-rakan yang meratapi pemergian mangsa.

Kes jenayah sebenar di Asia ini mula disiarkan 6 Disember lalu dan akan muncul di kaca TV anda pada setiap Ahad, jam 9 malam di saluran CI (Astro 732).

Di antara enam program di bawah CI Asia, tiga daripada judul berkenaan diterbitkan di bawah kerjasama antara AETN All Asia Networks (AAA Networks) dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Ia sebahagian daripada perjanjian penerbitan bersama bagi menghasilkan kandungan asal Malaysia bagi siaran saluran History (Astro 555), CI (Astro 732) dan Biography Channel (Bio).

Menurut Pengurus Besar AAA Networks, Louis Boswell, perjanjian itu menggariskan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha menjadikan saluran terbabit lebih dekat dengan penonton tempatan dan mereka sendiri teruja untuk menayangkan lebih banyak kisah dari negara ini yang tidak pernah diceritakan, di ketiga-tiga saluran.

Pada Januari lalu, AAA Networks dan Finas menjemput syarikat penerbitan negara ini untuk merebut peluang bekerjasama dengan mereka. Judul yang terpilih kemudian diberikan geran untuk dihasilkan sebagai dokumentari bagi siaran saluran terbabit. Tiga kisah Malaysia itu mula ditayangkan pada 6 Disember sehingga 20 Disember ini.

Minggu lalu, penonton sudah pun mengikuti kisah Spellbound: Crime of the Mind, sebuah dokumentari yang memaparkan lakonan semula beberapa kes pukau. Setiap kes menunjukkan bagaimana cara pukau berbeza dilakukan ke atas mangsa. Diarah dan diterbitkan oleh Naguib Razak, penonton dikatakan mudah mengikuti kisah ini yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Pada 13 Disember, kes rompakan senjata api terbesar pernah berlaku di negara ini pula disiarkan menerusi judul Al Maunah: The Malaysian Arms Heist. Dokumentari terbabit diarahkan Lydia Lubon. Ia memaparkan bagaimana kejadian mengejutkan negara itu berlaku menerusi lakonan semula. Ia juga memuatkan temubual bersama mereka yang terbabit dalam kes ini.

Akhir sekali, dokumentari berjudul Jean Perera: The Beauty Queen Murder arahan Gerard Benedict akan menemui penonton. Program ini membawa orang ramai mengikuti semula kejadian pembunuhan bekas Ratu Cantik Malaysia sehingga ia muncul kes cukup sensasi pada era 70-an.

Berita Harian