Perang Eina & Bkay Belum Selesai!
Ditulis oleh wahida othman

Bermasam muka selepas terjerat dalam satu kontroversi, hubungan dua orang pelakon baru, Eina dan Bkay Nair dikatakan masih lagi belum pulih. Kedua-dua masih teguh mempertahankan diri masing-masing membuatkan tiada jalan perdamaian ditemui buat ketika ini.
Biarpun sudah lebih lima bulan filem Ratu yang dikatakan menjadi punca perbalahan ini tamat tayangannya di seluruh panggung, namun perang dingin antara kedua-dua artis ini masih lagi belum tamat.
Ia berikutan beberapa perbalahan yang berlaku sewaktu filem Ratu mula ditayangkan pada Februari lalu, selepas Eina dikatakan cuba mencetuskan kontroversi apabila dikhabarkan menjadi dalang yang bertanggungjawab menyebarkan gosip, Abd Latiff mempunyai skandal dengan Pengurus Koordinasi dan Perhubungan Awam, anak syarikat Lineclear, Wayang Studios International (WSI), Tryambikay Vendages Nair (Bkay) yang heboh diperkatakan orang di persada seni tanah air ketika itu.
Biarpun masing-masing sudah mengeluarkan kenyataan di media-media, namun hubungan itu nampaknya tidak juga menemui penyelesaian.
Bertembung dalam majlis The Blue Kebaya Showcase yang diadakan di The Weld semalam, Eina dan Bkay kelihatan tidak betah untuk beraksi dihadapan satu lensa yang sama, masih terpancar kedinginan yang tidak dapat disorokkan oleh wajah dan aksi mereka ketika itu, Bkair dan Eina kemudiannya mengaku, mereka masih belum bertegur sesama sendiri.
“Selepas apa yang terjadi, tidak ada sebarang bentuk perhubungan antara pihak saya dan dia. Biarpun sebelum ini, ada pihak ketiga cuba menjernihkan hubungan antara saya, dia dan pihak Ratu The Movie, tapi tidak juga berjaya.
“Memang filem sudah lama keluar panggung, namun perkara ini masih belum selesai, dan saya juga masih belum menerima bayaran yang sepatutnya lagi.
“Tentang saya dan Bkair, sememangnya saya sudah agak kami akan bertembung di mana-mana majlis, kerana industri kita bukanlah terlalu besar untuk menyorok antara satu sama lain, tapi setakat ini jika bertembung sekali pun, kami tidak pernah bertegur siapa dan biasanya, kami hanya buat hal masing-masing,”jelas Eina.
Enggan berlakon bersama
Selepas apa yang berlaku pada dirinya, jelas Eina, hatinya masih belum bersedia untuk bekerjasama dengan Bkay. Namun, setiap yang berlaku pada masa lalu tetap menjadi pengajaran untuknya di masa akan datang.
“Serik untuk berlakon itu memang tidak ada dalam diri saya, apa yang berlaku sebelum ini saya jadikan pengajaran untuk saya terus berusaha dimasa akan datang.Saya berterima kasih pada mereka yang banyak menasihati agar saya lebih berhati-hati selepas ini.
“Untuk berlakon dengannya (Bkay) itu saya rasa tidak. Kalau ada yang tahu situasi antara kami, mereka mesti faham. Saya tidak boleh memaksa perasaan untuk berbaik sedangkan dalam hati masih terasa pedihnya, jadi untuk itu, saya rasa eloklah jika kami tidak lagi bergandingan,”jelas Eina.
Menyanyi
Baru berusia 16 tahun, Eina bukan sahaja mahu menceburi bidang lakonan, tetapi gadis cantik ini juga sedang dalam proses untuk menghasilkan single pertamanya yang akan mula dirakamkan selepas raya nanti.
“Saya baru saja selesai penggambaran drama Pucuk Muda Kerabu Tauge, dan selepas ini saya akan berehat sementara ramadhan. Sepanjang ramadhan saya akan tumpukan sepenuhnya untuk meneliti single terbaru saya yang bakal dirakamkan selepas raya nanti.
“Saya memang meminati bidang nyanyian, malah dari awal lagi saya masuk kedunia hiburan ini, saya sudah memilih untuk menjadi penyanyi, namun entah bagaimana rezeki dalam bidang lakonan nampak lebih mendahului.
“Untuk single ini saya memilih lagu daripada Adnan Abu Hassan, sebab saya memang meminati lagu-lagu hasil sentuhannya,”jelas Eina yang tidak menggunakan mana-mana syarikat rakaman untuk menghasilkan singlenya ini.
Mangga Online
Nazim Othman Sudah Mula Demand?
Ditulis oleh wahida othman

Dia masih belum ‘siapa-siapa’ dalam dunia seni ini, malah tidak berlebihan jika dikatakan Nazim Othman masih terlalu jauh daripada menggenggam gelaran bintang paling popular sekarang ini.
Namun bagi anak muda kelahiran Johor ini, populariti bukan misi utama dia membabitkan diri dalam dunia seni ini, yang menjadi matlamat utamanya adalah kepuasan dalam setiap watak yang dilakonkan di setiap drama dan filem nanti.
Bertatih dan merangkak untuk naik keatas, dia mengakui agak sukar membawa dirinya melompat terus keatas, sedaya mungkin mempertahankan diri daripada dipalit kotoran kontroversi, Nazim juga sebenarnya terlalu berhati-hati dalam memilih watak yang diberikan kepada agar tidak terlalu streotype.
Menolak hampir beberapa buah filem kerana mutu skripnya dirasakan tidak bersesuaian dengan dirinya dan agak ringan dimatanya, Nazim bagaimanapun menolak sangkaan dia terlalu demand dalam pemilihan watak.
Baginya, kekuatan sesebuah watak adalah satu titik tolak untuk dia dikenali kerana kerjayanya semata-mata.
“Saya tidak mahu terlalu terikat dengan karektor yang sama dalam setiap watak yang saya lakonkan. Ini kerana, sebagai pelakon ia menjadi kewajipan saya untuk memberikan yang berbeza dan berlainan untuk dihidangkan kepada penonton.
“Saya tidak menyangkal jika dikatakan masih belum popular, dan saya akui setakat saya masih belum berjaya melakon sebarang filem, namun itu masih belum penting bagi saya.
“Tawaran filem itu ada, cuma setakat ini saya masih belum berminat untuk mengambilnya. Filem mempunyai skala yang besar dan seharusnya ia mempunyai jalan cerita yang menarik.
“Saya tidak akan mengambil filem yang saya rasakan watak itu terlalu ringan dan karektor yang kurang menarik kerana saya mempunyai target sendiri dalam pemilihan watak.
“Bagi saya memilih itu penting, dan setakat ini saya tidak ralat kerana tiada filem lagi. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana rezeki untuk tahun ini sangat memuaskan, dan setiap tawaran yang saya terima mempunyai perbezaan untuk setiap watak,”jelas Nazim yang bakal muncul dalam drama Impian Raya Emelyn untuk TV9.
Mangga Online
8 Tahun Bercinta, Akhirnya Tomok Sah Milik Ayu
Ditulis oleh wahida othman

Lapan tahun bercinta, kini Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail selamat diijab kabulkan bersama Rahayu Abas (Ayu) pada pukul 9.30 malam tadi.
Membawakan tema bidadari, Tomok dinikahkan oleh Pegawai Pentadbir Agama dan Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jaluli dengan berwalikan bapa Rahayu, Abas Mohd Saidon.
Tomok yang juga membawa sembilan dulang hantaran termasuklah wang mas kahwin bernilai RM300 dan wang hantaran bernilai RM12697.11 turut menerima 11 dulang hantaran daripada pihak pengantin perempuan. 
Cantik menggayakan busana rekaan pereka muda, Hatta Dolmat pada malam itu, menurut Tomok, penantian mereka selama lapan tahun akhirnya berakhir pada malam ini.
“Saya sangat-sangat gembira lepas akad nikah selamat dijalankan, setelah lapan tahun kami bercinta, mengharungi susah dan payah bersama akhirnya kami selamat disatukan dimajlis pernikahan ini. Kami ambil masa lama untuk sampai ke tahap ini kerana kedua-duanya sibuk dengan kerja.
“Saya mencari orang yang memahami kerjaya saya sebagai artis, lapan tahun berkawan banyak gosip-gosip tersebar, namun saya lihat Ayu masih boleh menerima saya dan memahami keadaan saya,”jelas Tomok yang mula mengenali Ayu sebelum memasuki program realiti, One In A Million lagi.
Seperti Tomok juga, sudah tentu isterinya ini gembira meraikan hari bersejarah mereka ini. Biarpun faktor usianya yang lima tahun lebih berusia daripada Tomok, namun wanita cantik ini tidak menjadikan jarak usia itu untuk mengukur cinta mereka.
“Mengenali Tomok semenjak dia masih berusia 19 tahun, walaupun ketika itu masih muda namun selepas berkawan dan kemudiannya bercinta saya dapat rasakan ada keserasian antara kami berdua. 
“Lapan tahun bercinta, tipu kalau saya katakan saya tidak pernah cemburu dia bersama peminat-peminatnya, tapi kini saya dah mula memahaminya dan menghormati peminat-peminatnya, juga dirinya,”luah Ayu yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur.
Masih belum mengetahui kemana hala tuju untuk mereka berbulan madu, Tomok dan Ayu bagaimanapun sudah membuat perancangan untuk bercuti di kawasan pantai.
“Setakat ini kami masih belum rancang untuk pergi ke mana-mana tempat untuk berbulan madu, tapi dalam angan-angan, kami mahu bercuti dikawasan pantai seperti di Bali.
“Tentang anak pula, kalau boleh saya mahu secepat mungkin dan kerana saya memang sangat menyenangi kanak-kanak,”jelas Tomok lagi.
FOTO: SYEFRY MONIZ & MOHD AZIM
Mangga Online
Mak Dara Nyonya Runtun Jiwa
Ditulis oleh Rosli Manah
Selama ini Kita sering melihat penampilan penuh gaya Ibu Halimah Shuib, pengasasa perniagaan berasaskan herba, Jamu Mak Dara (JMD) sebagai seorang yang kekal anggun dalam meniti usia emas. Dia masih memiliki pinggang yang ramping.
Agaknya kerana penampilannya itu produk JMD laris dan mendapat perhatian pengguna. Tapi tahukah kita perjalanan lara penuh duka yang dilaluinya sebelum mengecap kesenangan hari ini? Kejayaan Halimah hari ini didasari banyak limpahan air mata.
Suka duka kehidupan zaman kanak-kanak yang nakal, alam remaja yang tidak sempat dinikmati serta alam rumah tangga yang membawa derita, diceritakan dalam teater Mak Dara Nyonya yang bakal dipentaskan mulai 6 Julai hingga 12 Julai ini di MaTIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Watak Halimah dibawakan oleh pelakon teater hebat, Juhara Ayub. Kemunculan Juhara dalam mempersembahkan isi hati Halimah muncul secara monolog. Walaupun hanya Juhara yang berbicara menceritakan watak-watak lain dalam kehidupan Halimah, kisah sedih perjananan hidupnya mampu meruntun jiwa.
Masakan tidak, Halimah yang sedang mengecap bahagia, tiba-tiba tersentak apabila mengetahui lelaki yang dikahwini kerana cinta suci membara rupa-rupanya sudah memiliki anak lima daripada perkahwinan pertama. Luluh hatinya kerana selama ini dia berpegang pada prinsip tidak mahu mengahwini suami orang.
Lebih merentap hatinya apabila pembantu rumah yang dibawa masuk ke rumah secara diam-diam menggoda suami sehingga mereka berkahwin. Perkahwinan yang direstuinya kerana tidak mahu melihat suami yang dicintai melakukan kemungkaran itu rupa-rupanya membawa padah lebih besar dalam hidup. Keluarganya hancur.
“Saya tersentak dan macam orang gila apabila mengetahui rumah tempat kami berlindung telah dijual oleh suami saya.” Demikian antara dialog meruntun jiwa penonton.
Saat rumah terjual menjadi titik paling hitam dalam hidupnya apabila terpaksa keluar dari rumah yang dihadiahkan oleh ibunya, Mak Dara. Dia balik ke kampung orang tua di Rengit, Johor. Tak lama dia di Rengit kerana dugaan tetap datang.
Halimah yang memiliki susuh tubuh menarik itu menjadi buruan lelaki dan kebencian wanita. Banyak fitnah yang diterimanya. Dia membawa diri ke Kuala Lumpur dan menjadi tukang masak di Genting Highlands. Sekali lagi dugaan datang. Heboh sekampung orang mengatakan Halimah jadi pelacur di tempat peranginan itu.
Macam-macam dugaan yang dilalui seperti tinggal di tapak bengkel bas, tidur di warung tempat berniaga makanan, anak-anak terpisah dan tinggal merata tempat, anak-anak tercicir persekolahan, hampir makan racun dan sebagainya dipersembahkan dalam pementasan yang ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. itu.
Di akhir perjalanan hidupnya, Halimah temui kabahagiaan bersama anak-anak apabila resipi membuat jamu amalan turun temurun warisan keluarga dijadikan asas perniagaan. Hari ini Halimah dan keluarga mengecap kebahagiaan dan perniagaan yang diasaskannya juga semakin berkembang.
Ada bab negatif dalam kisah hidup Halimah Shuib. Segalanya dipentaskan tanpa berselindung kerana ia sebuah perjalanan hidup bukannya kisah fiksyen. Ada yang nampak bagai membuka pekung di dada.
“Bagi pihak saya dan keluarga, saya melihat kisah ibu saya ini sebagai satu teladan kepada sesiapa sahaja agar tidak mudah putus asa apabila dilanda masalah. Alangkah baiknya kalau perkara positif dalam perjalanan hidup ibu saya boleh memberi motivasi kepada orang lain untuk mengecap kejayaan.
“Itulah tujuan utama kami bersetuju mementaskan kisah hidup ibu saya. Bukan mahu bermegah dengan kejayaan hari ini, sebaliknya saya mahu memberi semangat kepada orang lain untuk terus berusaha dalam mencapai apa yang mereka inginkan.
“Banyak lagi kisah pahit yang dilalui ibu dan kami sekeluarga, tapi kisah ini lebih kepada kisah ibu saya. Lagipun tak boleh dipentaskan semuanya, pasti terbatas dengan durasi persembahan,” kata Pengarah Urusan JMD yang juga anak Halimah, Syed Mohd. Gadaffi Syed Ali semasa ditemui selepas pementasan prebiu baru-baru ini.
Dua cerita dalam satu pementasan
Selain kisah Ibu Halimah, teater Mak Dara Nyonya turut membawakan nashkah tulisan Allahyarham Wisran Hadi (meninggal dunia 28 Jun lalu) berjudul Nyonya. Nyonya dilakonkan oleh Syerry Syed Abdullah, Zaifri Hussin, Misha Omar, Norzizi Zulkifli, Sarimah Ibrahim dan Fara Fauzana.
Walaupun ia kisah yang berlainan, tapi sebenarnya kedua-dua kisah tersebut ada persamaannya. Nyonya dan Halimah, sama-sama menjadi mangsa lelaki yang dirampas haknya.
Batal show 9 Julai gara-gara Bersih
Sebagaimana persembahan hiburan lain yang dinasihatkan pembatalan pada tarikh 9 Julai gara-gara perhimpunan haram Bersih, teater arahan Rosminah Tahir itui juga akan dibatalkan pada hari tersebut.
“Pembeli tiket yang sudah menempah tiket pada tarikh tersebut boleh menukar tarikh tontonan ke hari lain atau meminta dikembalikan wang mereka.
“Pihak polis menasihatkan kami membatalkan persembahan pada hari tersebut kerana tidak mahu terjadinya perkara yang tidak diingini,” kata penerbitnya dari CTRA Production, Siti Rohayah Atan.
Mangga Online
Aizat Amdan Jelajah Borneo Julai Ini!
Ditulis oleh wahida othman

Pernah mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert untuk dirinya sendiri, Aizat Amdan ternyata puas apabila dia berjaya merealisasikan konsert Aizat Amdan Live In Damansara pada 29 Januari lalu.
Berpuas hati dengan apa yang berjaya dilakukan atas usaha dirinya dan abangnya, Anas, Aizat tidak mahu cita-citanya itu sekadar boleh di tonton oleh peminatnya yang berada di sekitar semenanjung.
Lantas, usai konsert lalu, dia berjanji untuk turun mengadakan konsert buat peminat-peminat di Sabah dan Sarawak, dan kini Aizat membuktikan dia bukan sekadar berjanji kosong.
Buktinya, Aizat kini mengatur langkah membuat persiapan untuk beraksi dihadapan ribuan peminat di dua kota iaitu Kuching pada 16 Julai dan di Kota Kinabalu pada 22 Julai akan datang.
“Mungkin saya terlewat sedikit daripada apa yang pernah dijanjikan, namun masanya masih lagi sesuai dan saya tetap akan kotakan apa yang pernah saya janjikan.
“Di Kuching, konsert akan diadakan di Stadium Tertutup Perpaduan, Petra Jaya pada 16 Julai dan di Kota Kinabalu pula, akan diadakan di Kadazan Dusun Cultural Association, Penampang pada 22 Julai.
“Banyak persembahan istimewa sudah dirancang untuk konsert disana nanti, dan saya akan membawa beberapa artis jemputan seperti DJ Fuzz dan Altimet untuk turut bersama saya meriahkan suasana konsert itu nanti,”jelas Aizat.
Tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga RM35 (biasa) dan RM55 (VIP). Sebarang pertanyaan lanjut boleh lawati laman www.aizatamdan.com
Belajar
Walaupun sibuk dengan pelbagai program dan siri jelajah, Aizat masih lagi mahu meneruskan niat untuk menyambung pelajarannya.
“Perancangan untuk sambung belajar itu tetap akan berjalan, tetapi institut muzik yang bakal saya masuki itu tidaklah mempunyai peraturan yang kuat, dan saya boleh berulang alik dari tempat pengajian ke Malaysia untuk meneruskan kerjaya saya di sini.
“Lagipun, masa belajar saya begitu fleksibel dan saya harus bijak memberi komitmen antara pelajaran dan kerjaya,”jelasnya.
Mangga Online
Kegilaan K Pop Makin Menjadi-Jadi
Ditulis oleh Rosli Manah

Kegilaan kepada muzik arus Korea yang dikenali sebagai K Pop semakin berleluasa di negara ini. Semakin banyak ruang untuk kemasukan kumpulan dari Korea untuk mengadakan persembahan di sini. Pengikut mereka juga ramai.
Kalau muzik Melayu lebih kepada anak -anak muda Melayu dan muzik cina kepada remaja Cina, K Pop nampaknya berjaya menarik remaja pelbagai kelompok tanpa sempadan bahasa pertuturan mereka.
Sebab itulah Astro Hitz menerbitkan sebuah program berkonsep realiti yang menggunakan muzik K Pop sebagai asas utamanya. Mereka menerbitkan K-Pop Hitz Telent Show yang akan mula bersiaran 23 Jun hingga 4 Ogos ini di Astro Hitz (saluran 705).
Program sebanyak lapan siri itu menampilkan Jehan Miskin sebagai pengacara. Jehan juga bertindak selaku penerbit eksekutif program tersebut. Program itu turut mendapat kerjasama Organisasi Pelancongan Korea.
“Kami mengambil kesempatan untuk menerbitkan program ini kerana kami lihat sambutan peminat terhadap gelombang K Pop sangat kuat. Kami mahu peminat turut sama merasai sendiri arus muzik K Pop ini,” kata Pengurus Saluran Astro Hitz, Cheong Cheng Vei dalam sidang akhbar di Plaza Korea, Kuala Lumpur pagi ini.
Bagi remaja berusia lebih 18 tahun yang berminat dalam nyanyian solo, berkumpulan serta tarian menggunakan muzik K Pop, mereka adalah peserta yang dicari-cari untuk menyertai ujibakat. Bagi yang ingin mendaftar awal, boleh berbuat demikian di laman www.facebook.com/astrohitz.
Formatnya sedikit berbeza dengan program realiti lazim apabila menggunakan juri profesional senbagai penentu kemaraan peserta. Sebanyak empat siri uji bakat diadakan dan dua finalis akan di piilih di setiap lokasi uji bakat. Lapan finalis akan berentap di siri kelima.
Pememang akan dibawa ke Korea dan berpeluang mengadakan persembahan di Lotte World Theme Park, Korea. Pentas persembahan itu akan dikongsi bersama artis Korea yang turut mengadakan persembahan di sana nanti.
Ujibakat akan di adakan di Wangsa Walk, Wangsa Maju pada 18 Jun diikuti pada 25 Jun di Berjaya Times Square. Seterusnya Jehan dan krew akan ke The Curve pada 2 Julai dan diakhiri pada 9 Julai di SACC Mall, Shah Alam.
“Saya teruja sekali dengan program ini. Selain mengacara, saya juga terlibat sebagai orang belakang tabir daripada awal sehingga akhir program.
“Ia bukan idea daripada syarikat saya, sebaliknya daripada pihak Astro Hitz. Bila saya dilantik untuk menerbitkannya kami berbincang dan ada sedikit input yang kami serapkan,” kata Jehan.
Pengarah Urusan Organisasi Pelancongan Korea, Yun Jae-Jin juga menyambut baik usaha penerbitan program ini, apatah lagi semasa drama, muzik dan budaya Korea sedang diminati di seluruh dunia.
“Saya yakin K-Pop Hitz Talent Show akan menjadi memontum yang hebat untuk menjadikan budaya K-Pop di Malaysia sebagai satu gaya hidup dan mengeratkan lagi persaudaraan di antara Malaysia dan Korea,” katanya.
Mangga Online
Saya Selesa… Siti Nordiana
Ditulis oleh Rosli Manah

Dulu Siti Nordiana sering dilabel sebagai penyanyi kesayangan orang kampung kerana lagu-lagu dan imejnya yang disenangi. Sebab itu sehingga hari ini dia masih mampu bertahan walaupun sudah lama tak muncul dengan lagu baru.
Tapi kemunculan album baru, Semakin Jelas menampilkan Siti Nordiana atau Nana tampil dengan gaya lebih urban. Lagu-lagu barunya juga semakin moden. Penampilannya sedikit berani dan pernah jadi kritikan apabila berimej seksi dalam satu majlis tidak lama dulu.
“Saya selesa dengan imej ini. Nak kata seksi sangat pun tak juga… dulu saya pernah pakai baju yang menampakkan separuh bahu, tapi orang tak kata apa pun.
“Saya mahukan perubahan itu sahaja. Bukannya mahu lari daripada imej penyanyi kampung. Dalam album ini hanya dua lagu yang kedengaran urban, selebihnya macam lagu-lagu dulu juga,” kata Nana semasa ditemui pada majlis pelancaran albumnya di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur semalam.
Dalam album baru tersebut Nana mempertaruhkan lagu Semakin Jelas ciptaan Azlan Abu Hassan dan sebuah lagu rancak ciptaan kumpulan Sixsense berjudul Tak Tahan. Memang kedua-dua lagu tersebut menampilkan gaya baru Nana.
“Saya akui payah juga untuk merakam lagu Tak tahan kerana saya tak pernah merakam lagu konsep sebegitu. Tapi arus muzik hari ini dah berubah, jadi saya juga harus menghasilkan apa yang diingingi oleh peminat. Saya harap peminat saya akan menerima perubahan yang cuba dilakukan ini,” katanya.
Album terbitan FMC itu turut memuatkan lagu-lagu rakaman terdahulu yang belum dimuatkan dalam mana-mana albumnya iaitu Pujuklah Jiwaku, Zapin Berzapin, Joget Pilihan Jiwa, Nilai Di Hati dan Ke Pangkuan Tersayang.
“Saya bukan remaja lagi. Saya rasa imej ini sesuai dengan perubahan usia saya,” kata ibu tunggal kepada seorang anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan pelakon Allahyarham Faizal Yusop itu.
FMC bukan sahaja memasarkan album, sebaliknya bersama-sama VCD karaoke yang memuatkan kesemua lagu daripada album itu. Kesemua lagunya juga boleh dimuatturun sebagai nada dering.
Mangga Online
Kilafairy Makin Hot
Ditulis oleh Rosli Manah

Kalau ditanya siapa artis baru yang sedang hot masa kini, pasti nama Kilafairy antara yang tersenarai. Walaupun belum banyak kejayaan yang diraihnya, namun nama pelakon itu semakin diberi perhatian oleh peminat.
Pernah tempias gosip pasal bibir seksinya apabila dikatakan melakukan rawatan kecantikan, namun ia lenyap begitu sahaja apabila lakonannya semakin terserlah. Dia juga tidak mudah melatah dengan gosip tersebut.
Hari ini cerita itu sudah senyap. Tapi Kila masih hot apabila menjadi buruan ramai lelaki yang cuba mendekatinya. Maklumlah pucuk muda itu memiliki susuk tubuh yang dikategori sebagai seksi walaupun dia berpakaiaan menutup keseluruhan badan.
Paling bererti baginya bila kehadirannya dalam industri tidak lagi dikaitkan dengan ibunya penyanyi hangat era 80-an, Rohana Jalil. Dia bekerja keras dan tak senang bila ada yang mengatakan menumpang nama penyantyi lagu Rayuanku itu untuk dikenali.
“Alhamdulillah hari ini orang sudah nampak Kila berdiri dengan sendiri. Orang seperti abang (saya) yang melihat Kila sejak kecil, tahu yang Kila memang berusaha keras untuk sampai ke tahap ini. Sejak kecil Kila menyanyi untuk mengenengahkan diri. Kila tak mahu dikaitkan dengan ibu.
“Dulu ada juga orang kata Kila menumpang nama ibu untuk terjun ke dunia seni. Orang rapat dengan Kila dan famili tahu bagaimana Kila berusaha keras untuk terjun ke dunia seni ini.
“Bila ada yang nampak usaha Kila itu dan
tidak mengaitkan dengan ibu, Kila rasa sangat senang. Memanglah dalam majlis-majlis tertentu ibu ada juga mengikut Kila. Yalah ibu lakukan itu untuk menjaga Kila,” kata pemilik nama penuh Shakila Nisha Jangir Khan ini.
Mahu rakam album
Tujuan utamanya terjun ke dunia hiburan untuk menjadi penyanyi. Tapi namanya lebih dahulu terserlah dalam lakonan. Sekarang filem Karak lakonannya sedang mendapat tempat di pawagam. Lakonannya juga mendapat pujian penonton.
“Memang Kila mahu merakam lagu sebab nyanyian memang jadi minat Kila sejak kecil. Tapi kami perlu berbincang kerana konsep yang mahu dibentuk oleh KRU belum sesuai dengan diri Kila. Kila ni sejak kecil suka nyanyi lagu Hindi, jadi Kila lebih kepada lagu-lagu pop.
“Tapi sebagai artis, Kila kena ikut juga apa corak muzik yang mahu dibentuk oleh KRU. Mereka juga sedang mencari muzik yang sesuai dengan penampilan dan vokal Kila,” katanya yang bernaung di bawah bumbung syarikat KRU itu.
Kila sekarang sedang sibuk menjalani penggambaran drama Ayu Suraya.
Mangga Online
Fir Affandi Banyak Tawaran Berlakon
Ditulis oleh Rosli Manah

Siapa sangka kemunculan selama dua minggu di Konsert Akademi Fantasia 9 benar-benar mengubah nasib Fir Affandi menjadi realiti. Ada pihak yang nampak kehadirannya dan menawarkan watak dalam beberapa buah drama.
Sekarang Fir sibuk menjalani penggambaran drama. Terkini dia sedang menyiapkan drama Berselindung Di Sebalik Kaabah setelah selesai beberapa drama, antaranya Hantu Susu dan Ceciter Cinta. Jadualnya semakin padat.
“Alhamdulillah nampaknya ada juga rezeki saya dalam bidang seni. Saya pun memang minat berlakon, jadi tawaran yang datang saya terima sebaiknya.
“Syukurlah rezeki saya agak murah dalam bidang lakonan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sebagai model produk Alfio Raldo baru-baru ini.
Wajah Fir akan menghiasi katalog kempen terbaru Alfio Raldo yang akan diedarkan sekitar bulan depan kepada pelanggan. Dia melaram jam tangan, kacamata, beg sandang dan tal ipinggang model terbaru keluaran Alfio Raldo.
“Saya juga ada menghantar lagu demo kepada sebuah syarikar rakaman. Saya dah berbincang dengan mereka dan sekarang sedang menunggu keputusan daripada pihak mereka. Kalau tidak diterima, saya akan terus berusaha untuk menempatkan diri saya dalam bidang nyanyian,” kata pemilik nama penuh Firdaus Affandi ini.
Fir, 22, sebelum ini pernah menyanyi di kelab di Kuching, Sarawak dan pengalaman itu boleh digunakan apabila menjadi artis rakaman nanti. Selama dua bulan menetap di Kuala Lumpur, dia belum lagi dapat tawaran menyanyi.
“Sekarang saya fokus pada lakonan terlebih dahulu sebab banyak pula tawaran yang datang. Sekiranya segala perbincangan berjalan lancar, saya akan berlakon sebuah drama bersiri pula pertengahan bulan ini,” katanya kepada Mangga Online.
Pengalaman jadi model
Bila namanya dipilih menjadi wajah penghias katalog Alfio Raldo, Fir tidak berfikir panjang menerimanya. Apatah lagi menyedari jenama Alfio Raldo yang sangat terkenal.
“Saya ni masih baru, jadi saya anggap kemunculan wajah saya dalam katalog itu nanti sebagai promosi buat saya juga,” katanya lagi.
Bercerita pasal jodoh dengan Alfio Raldo, kata Fir segala-galanya datang secara tiba-tiba apabila pegawai syarikat itu menghubungi seorang kawannya untuk memperkenalkan model baru. Kawannya itu ada kaitan dengan model-model dalam tugasnya.
“Kebetulan hari itu saya ada kerja bersama kawan saya tu. Bila dapat tahu mereka mencari model, kami singgah sekejap di pejabat mereka untuk memperkenalkan saya.
“Hari itu juga mereka menyatakan persetujuan memilih saya. Sebagai orang baru saya terima sahaja tawaran dan tak mahu terlalu memilih sangat.
“Kebetulan tarikh fotografi juga dibuat ketika penggambaran drama Berselindung Di Sebalik Kaabah berehat,” kata Fir kepada Mangga Online.
Walaupun mengambil masa yang panjang untuk sesi fotografi tersebut, Fir kelihatan sabar menunggu. Apatah lagi dia berganding dengan model wanita profesional dalam sesi itu.
“Walaupun hanya berdiri di depan kamera, penatnya sama juga dengan masuk set berlakon,” jelas Fir.
Kikis pelat Sarawak
Biasanya anak muda dari Sabah atau Sarawak pelat negeri mereka kuat sehingga payah mahu dibuang. Malah ada penyanyi dari sana yang masih kuat pelatnya walaupun sudah lama menetap di Semenanjung.
“Saya ada ramai juga kawan di Semenanjung, jadi sedikit demi sedikit saya boleh hilangkan loghat Sarawak. Kalau nak berlakon di Semenanjung, kenalah kikis pelat Sarawak.
“Lainlah kalau dapat watak sebagai lelaki Sarawak, bolehlah saya gunakan loghat Sarawak,” kata Fir lagi.
Mangga Online
Awal Ashaari Umum Bertunang?
Ditulis oleh wahida othman
Mengubah status hubungannya di laman sosial popular Facebook, daripada ‘single’ kepada ‘Engaged’ pada 31 Mei yang lalu, ramai yang menyangka pengacara dan pelakon kacak, Awal Ashaari sudah mengikat tali pertunangan bersama kekasihnya, Scha Al-Yahya.
Apatah lagi hari lahir Scha yang jatuh pada 30 Mei, semakin membuatkan ramai yang tertanya-tanya sama ada Awal Ashaari sudah melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup pada tarikh berkenaaan.
Bertemu lelaki kelahiran Kuala Lumpur ini di majlis sidang media program realiti Mari Menari musim kedua, dia yang bertindak sebagai pengacara untuk program ini mengakui dengan sendirinya mengubah status di dalam facebook milik peribadinya daripada ‘Single’ kepada ‘Engaged’.
“Ya memang saya yang ubah status itu, dan ia bukannya telah digodam ataupun di ubah oleh orang lain. Sebenarnya, saya tidak berniat untuk mengelirukan sesiapa, dan ianya hanya gurauan.
“Saya dan Scha masih belum bertunang, biarpun kami memang sudah merancang untuk pergi lebih jauh dalam hubungan kami ini. Namun, apa yang tertulis di Facebook itu hanya sekadar gurauan semata-mata.
“Saya sudah lama tidak membuka Facebook peribadi, jadi kebetulan semalam saya mempunyai masa terluang dan sedikit bosan, jadi saya sengaja menukar status di dalam Facebook. Kebanyakan rakan-rakan di dalam akaun Facebook peribadi saya itu terdiri daripada rakan-rakan rapat dan keluarga, jadi pada awalnya saya tidak menyangka ada mengetahui perkara ini.
“Setakat ini hubungan saya dengan Scha masih berjalan seperti biasa, tidak banyak yang berubah melainkan kami semakin sibuk dengan tugas masing-masing. Memang kami ada bercerita tentang hubungan ini, tapi setakat ini masih belum ada keputusan yang sahih sama ada kami akan bertunang dahulu ataupun terus berkahwin, tapi Insya-Allah, jika ada majlisnya kami akan memberitahu pada umum, dan bukannya majlis tertutup,”cerita Awal Ashaari.

Mari Menari
Kembali beraksi diatas pentas Mari Menari untuk musim yang seterusnya ini, jelas Awal, kerana minat dia sanggup menolak dua buah drama dan satu filem demi untuk mengacarakan program realiti ini.
“Saya tak sangka program ini berlangsung awal, kerana pada jangkaan saya ia akan keluar pada bulan November ataupun Disember. Saya memang minat mengacara, dan kebetulan sejak dari musim pertama saya sudah mengacarakan program ini, saya mahu ia berterusan selagi mereka memerlukan saya.
“Tak dinafikan saya lebih meminati bidang pengacaraan berbanding lakonan, jadi bila ada tawaran sebegini saya lebih memilihnya. Namun, ia tidak bererti saya sudah cuci tangan daripada berlakon, sekiranya ada tawaran yang bersesuaian dengan jadual, saya tetap akan terima juga.
“Sekali lagi bergandingan dengan Lisa Surihani sebenarnya langsung tidak beri masalah pada saya, dari awal lagi kami mudah mencari keserasian, dan senang berurusan dengannya,”jelasnya.
Mangga Online