Malam Puisi Utusan Di Melaka

Kumpulan kopratasa
MALAM Puisi Utusan tahun ini cukup istimewa kerana acara berprestij itu buat pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur.
Memilih bandar raya bersejarah Melaka sebagai lokasi utama menjadikan program tersebut lebih istimewa kerana dapat memberi peluang kepada masyarakat luar Kuala Lumpur menikmati deklamasi puisi penyair-penyair tersohor.
Malam Puisi Utusan anjuran Kumpulan Utusan dan ExxonMobil dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka dan Mydin Mohamed Wholesales Berhad (Mydin) ini diadakan di perkarangan Mydin MITC, Ayer Keroh pada Rabu ini pukul 8.45 malam. Ia turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis Melaka (Penama) dan Astro menjadi rakan penyiar rasmi.
Acara deklamasi puisi tidak sama dengan konsert hiburan yang banyak diadakan sama ada di Kuala Lumpur atau di tempat-tempat lain. Deklamasi acara unik dan menikmati puisi juga suatu yang istimewa. Kepada mereka yang mahu menikmati deklamasi puisi, acara di Mydin Mall ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Pada kali ini warga sekitar Melaka Bandaraya Bersejarah berpeluang menikmati deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Kemala yang baru sahaja dianugerahkan Sasterawan Negara akan mendekmalasikan puisi istimewanya pada acara kali ini. Selain Kemala, Malam Puisi Utusan akan menjadi lebih bermakna dengan kemunculan penyanyi lagu dikir barat Halim Yazid. Peminat dikir barat memang mengenali Halim Yazid yang memberikan suntikan intelektual kepada lirik lagu-lagu dikir barat nyanyiannya.
Tidak ketinggalan penyair bersuara lantang, Syukri Abdullah, Marsli N.O, Lim Swee Tin, Khalid Salleh dan Kumpulan Kopratasa. Mereka mempunyai gaya dan pendekatan tersendiri untuk memukau penonton dan kali ini masyarakat di Melaka Bandaraya Bersejarah berpeluang menyaksikannya.
Penyair-penyair ini mempunyai peminat yang besar dan pengaruh yang hebat. Kerana kehebatan itu mereka ditampilkan dalam Malam Puisi Utusan pertama di luar Kuala Lumpur. Selain itu penganjur juga menampilkan dua insan istimewa, Noor Muha Aziz dan Zuraidah Jaafar yang berbakat besar dalam bidang puisi.
Malam Puisi Utusan ini juga turut memberi pendedahan kepada kalangan artis terhadap puisi. Mereka diundang mendeklamasikan puisi. Antaranya ialah Sharifah Aini, Rozita Che Wan, Zamani Slam, Hazama AF9. Puisi adalah satu genre sastera yang paling hebat. Kerana itu menjadi matlamat penganjur untuk mendekatkan golongan artis dengan karya sastera yang hebat. Semoga dengan mendekati puisi, artis-artis boleh menambah nilai keterampilan dalam karya mereka.
Kerana itu penyertaan mereka dalam acara ini tidak boleh diukur kemampuan mendeklamasi tetapi kesediaan untuk menghayati genre seni yang luar kemahiran mereka. Keyakinan mereka untuk mendeklamasi puisi lebih penting daripada mutu persembahan. Peminat juga boleh melihat penampilan berbeza artis yang mereka minati pada Malam Puisi Utusan di Melaka.
Utusan
Iwan AF8 Sedar Diri Pemalu
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Kata Iwan, dia memang sengaja mengelak diri dari terlalu mendapat pendedahan media.
KELIBAT penyanyi berusia 21 tahun ini berada di pentas program Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) hanya menyerlah tahun lepas.
Namun seakan ada yang tidak kena apabila pesona Emirza Azwan B. Zulazrin Chew atau lebih dikenali sebagai Iwan ini bagai sudah tenggelam.
Walhal, peminat tahu bahawa sepanjang AF8 berlangsung, Iwan sentiasa mendapat tumpuan meski gagal menempatkan diri sebagai juara dan hanya mampu tersenyum dengan kedudukan lima tangga teratas.
Tak mengapalah. Gagal bukan bermakna gagal selamanya.
Bagaimanapun kata azimat yang dipegang Iwan itu bagai tidak ‘sampai’ untuk dibuktikan kepada semua pihak sekurang-kurangnya buat masa ini.
Setakat punya dua lagu berjudul VIP dan Psiko, ke manalah sangat Iwan mampu berkembang, kan?
Pancaindera bertemu muka dengan empunya diri yang kini berimej botak bagi menemukan jawapan.
Mengaku dirinya semakin menjauh dari lampu sorot dunia glamor, kata anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini, dia tahu puncanya cuma satu, kerana dirinya pemalu.
Menurut Iwan, sifat pemalu yang ada pada dirinya itu menyebabkan dirinya serba sedikit terkandas untuk maju meski tahu untuk menjadi seorang artis, pemalu bukanlah sifat yang wajar dipraktiskan.
‘Ini memang kelemahan saya dari dulu. Tapi kalau berada di atas pentas, rasa malu tu cepat hilang.
‘Saya sedar ia akan bagi impak pada karier dan susah nak cari lubang duit selagi ia tidak dikikis. Dapat tawaran menyanyi yang biasa-biasa tu adalah juga. Tapi nak harap yang hebat dan gempak memang tak ada langsung setakat ini.
‘Tapi InsyaAllah, saya akan cuba berubah sedikit demi sedikit sebab saya dah berazam untuk mula buka lembaran baru dalam hidup saya terutama sebagai pendatang baru dalam industri ini,’ katanya.
Mahu sederhana
Dalam pada itu, anak kedua empat beradik ini mahu untuk kekal bersederhana dalam industri.
Sebagai orang baru dalam dunia hiburan tanah air, pegangannya itu tentu sekali mengejutkan dan berbeza dengan artis lain.
‘Memang inilah diri saya yang sebenar,’ kata Iwan ketika menjelaskan mengenai pendiriannya itu.
‘Memang niat saya untuk tidak terlalu terdedah pada dunia glamor. Saya tak suka dikenali sangat sebab saya percaya kalau kita jarang terpampang di media maka itu membuatkan seseorang artis itu lebih dihargai.
‘Lihat contoh seperti Fazli Zainal. Dia punya bakat yang hebat dalam nyanyian. Dia tak kerap muncul dalam akhbar tapi kerap dapat tawaran dan undangan nyanyian di majlis-majlis tertentu.
‘Rasanya tak salah kalau saya mengamalkan sikap bersederhana ni kerana sekurang-kurangnya ia boleh mengelakkan saya daripada digosip dan ditohmah dengan kontroversi,’ ujarnya yang nampaknya serius untuk terus mengamalkan sikap itu.
Tinggalkan Astro
Bukan mudah untuk seseorang artis baru mengendalikan segala urusan dan aktiviti seni tanpa pengurusan yang profesional.
Namun itu yang berlaku pada Iwan yang kini difahamkan tidak lagi berada di bawah kepompong syarikat rakaman Maestro Talent and Management Sdn. Bhd. (Maestro) selepas setahun mengikat kontrak dengan pihak tersebut.
Kata Iwan, selepas meninggalkan Maestro, semua perkara berkaitan persembahan dan aktiviti seni dilakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa.
Mengulas lanjut kata Iwan, dia sedar banyak perkara yang perlu dipelajarinya lebih-lebih lagi pengalamannya dalam bidang seni masih belum luas.
‘Susah memang susah sebab semua kena buat sendiri. Tapi saya bersyukur kerana ia membuka mata saya untuk lebih bekerja keras.
‘Satu lagi saya nampak yang saya akhirnya boleh buat keputusan sendiri berkaitan apa sahaja dalam bab karier,’ katanya.
Bukan niatnya mahu membuka cerita lama, namun kata Iwan, kalau hendak dibandingkan ketika dia berada di bawah pengurusan Astro, tidak banyak yang dia dapat suarakan untuk membina imejnya sebagai seorang artis.
‘Setahun lebih saya diuruskan Astro, tapi jujurnya saya tak nampak hala tuju saya masa tu. Saya rasa seolah-olah saya tak diberi peluang untuk mencuba.
‘Iyalah, dalam dunia hiburan, kita bukan hanya ada bidang nyanyian. Kita ada lakonan, pengacaraan dan sebagainya. Saya mahu cuba lakukan semua itu.
‘Memanglah saya masuk dalam dunia hiburan sebagai penyanyi apatah lagi AF adalah platform untuk saya memperkenalkan diri kepada mata peminat.
‘Tapi selain menyanyi saya mahu cuba benda lain. Mana tahu saya boleh kembangkan bakat dalam bidang lakonan dan pengacara bukan?
‘Saya mengaku ada kekesalan dalam hati bila cakap hal ni. Tapi tak mengapalah. Sekarang saya dah boleh kendali aktiviti seni sendiri.
‘Jadi lepas ni, saya akan berusaha rebut apa sahaja peluang yang terbentang depan mata,’ katanya.
Utusan
Suara Jamal RM2juta
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Foto FATAH SULAIMAN

Hampir 30 tahun tidak menjejakkan kaki ke singapura, jamal teruja dengan sambutan yang diberikan peminatnya.
DALAM nakal yang manja, dia menggoda. Dengan azimat suara bak buluh perindu, ditambah dengan skrip spontan tuntas dari hati, lalu pentas pun terhidang cerita mesra tanpa sinopsis rekaan.
Sesungguhnya, konsert yang merakam sejarah itu berlalu dengan kelangsungan yang begitu indah.
Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pihak penganjur mendedahkan, hampir RM2 juta berjaya dikutip dalam konsert amal membabitkan penyanyi Jamal Abdillah di Stadium Tertutup Singapura pada 24 September lalu.
Ini adalah penampilan pertama penyanyi pujaan ramai itu, selepas hampir 30 tahun tidak menjejak kaki di pentas persembahan negara jiran itu.
Lebih 7,000 peminat memenuhi seluruh ruang stadium, ia adalah kapasiti maksimum. Pancaindera bersama tiga media Malaysia lain turut dibawa secara eksklusif oleh Warner Music Malaysia ke Singapura untuk menjadi saksi kehebatan biduan negara bergelar Raja Pop itu.
Dalam emosi yang cukup terkawal, Jamal memulakan ‘sihir’nya dengan lagu Gadis Melayu, lalu mencetus suasana gegak-gempita khalayak.
Dalam gerak yang semakin lincah, dia kemudian memberitahu ‘Seronok bila tengok ramai yang masih sayang kepada saya. Malam ini, saya akan berikan segala-galanya untuk anda sebagai membalas segala kasih sayang anda kepada diri saya selama ini,’ katanya sambil terus menari dan menyanyi tanpa henti selama dua jam.
Selain lagu popularnya seperti Kau Lupa Janji, Perjalananku, Di Sudut Kamar Hati, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Jamal turut mengenang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui medley khas.
Lalu bertebaranlah Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang dan Tunggu Sekejap mewarnai ruang.
Jamal kemudian turut menghidangkan lagu daripada album terbaharunya, Raja Pop 2 yang berada di pasaran awal minggu lalu, antaranya Rayuan Maut, Dirundung Derita, Lagu Rindu dan Secupak Dua Cupak.
Disebalik sifat pemalu, Jamal telah menyingkap tabir diri melalui sekian banyak dialog lucu, dilontar secara spontan, lalu mengundang ketawa tanpa henti khalayak sepanjang persembahannya.
Pun pada ketika dia melontar keluhan lewat lagu cinta yang terkandas, kita seperti mahu turut menangis bersamanya.
Itulah kelebihan yang barangkali tidak dimiliki oleh banyak artis, membawa peminat untuk sama ketawa dan berduka bersama sang biduan.
Tirai malam yang santai tetapi mengasyikkan itu ditutup dengan Seroja dan Ghazal Untuk Rabiah.
Dua artis tempatan, Nana Karia dan Fashiha Kamsani turut berduet dengan Jamal dalam konsert yang dibawa oleh Jamiyah Singapura, satu badan yang ditubuhkan untuk menjalankan khidmat pendidikan dari ‘buaian ke liang lahad’ kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara berkenaan semenjak 79 tahun lalu.
Menurut Pengarah Projek Konsert Akustikasih Jamal Abdillah, Mohammad Hosni Malik, sasaran awal konsert amal itu hanyalah sekitar $500,000 (RM1.2 juta), bagaimanapun apa yang dicapai adalah sesuatu yang diluar dugaan sama sekali.
Takut kena tangkap
Sejujurnya menurut Jamal, dia mengambil masa selama 28 tahun untuk kembali ke Singapura kerana takut kepada bayang-bayang sendiri.
Kisah silam terbabit dengan najis dadah, menjadikan dia begitu risau untuk keluar dari Malaysia.
‘Saya takut dengan bayang-bayang sendiri. Ada tawaran buat persembahan di Singapura tetapi saya tak berani sebab takut kena tangkap polis. Macam-macam perasaan bergolak dalam diri bila kita berada dalam dunia khayal.
‘Semua show luar negara saya tolak, terutamanya di Singapura. Selepas bebas daripada ‘benda tu’ dalam enam atau tujuh tahun, sekarang ini baru hati saya terbuka semula.
‘Saya sangat bersyukur dengan sedikit bakat yang ada, saya boleh berbakti kepada orang lain untuk membuat kerja kebajikan. Semoga Allah merahmati setiap apa yang kita lakukan,’ kata Jamal dalam sidang akhbar kemudiannya.
Justeru menurut penyanyi ini, menjadi manusia yang kembali normal adalah satu kekuatan yang mendorong dirinya kepada kerja-kerja amal seperti dilakukan ketika ini.
‘Allah memberi peluang kepada saya untuk berubah, ini rahmat dan nikmat yang diberikan oleh-Nya.
‘Menjadi orang normal ini, banyak benda yang kita boleh buat. Keinginan untuk bersedekah dan melakukan kerja amal ini sebenarnya banyak didorong oleh arwah ayah saya sendiri yang semenjak muda selalu membantu orang lain.
‘Selagi kita boleh membantu insan yang memerlukan, Insya Allah, kita akan bantu,’ katanya dalam ikrar untuk terus aktif membuat kerja kebajikan selagi hayat dikandung badan.
Utusan
Nazirah Berhenti Kerja Demi Nabil
Ditulis oleh wahida othman

Sah bergelar suami isteri selepas di ijabkabulkan tanggal 30 September yang lepas, pelakon dan pelawak, Ahmad Nabil Ahmad, 28 tahun dan pasangannya, Nazirah Ayub, 22, kini bersedia untuk mengharungi segala ombak dan badai yang mungkin akan menduga mereka nanti.
Memahami tugas suaminya sebagai penghibur yang mempunyai ribuan peminat, menurut Nazirah
atau zira, dia bukanlah seorang wanita yang terlalu cemburu dan menerima kerjaya Nabil dengan sebaik mungkin.
“Saya menerima dirinya dan kerjayanya sekali, jadi saya faham tugas dia dan tidak cemburu. Lagipun, saya memang bukan perempuan yang mudah cemburu,” jelas Nazirah yang merancang untuk mengerjakan umrah bersama Nabil.
Tangguh Anak
Berhasrat untuk menimang tiga orang anak dalam perkahwinan ini, Nabil bagaimanapun mengakui dia dan isterinya, masih belum sedia untuk memiliki anak dalam masa terdekat ini.
“Buat masa ini, untuk tahun pertama berkahwin, saya rasa biarlah kami berdua dahulu.
“Mungkin tahun kedua nanti baru kami fikirkan soal anak. Walaupun begitu, saya merancang untuk memiliki tiga orang anak,”jelas Nabil.
Tidak Bekerja
Nazirah yang sebelum ini merupakan seorang pramugari nekad berhenti kerja semata-mata untuk memberi tumpuan dalam rumah tangga.
“Sekarang saya tumpukan perhatian dalam rumah tangga sahaja, mungkin selepas memiliki anak pertama barulah saya akan fikirkan untuk bekeja semula, tetapi bukan lagi sebagai pramugari,”jelas Nazirah.
Mangga Online
Artis Meriahkan Raya
SESIBUK mana pun aktiviti seninya, pelakon dan pengacara Nona, Vanidah Imran tidak mahu melepaskan peluang memeriahkan majlis Rumah Terbuka Kumpulan Media Prima Berhad di Hotel Hilton Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Vanidah atau mesra dengan panggilan Vee yang datang bersama suami, pelakon dan pengarah Rashidi Ishak mengakui sudah mengosongkan jadualnya untuk hadir pada hari itu bukan saja sebagai tanda sokongan sebagai insan seni malah dia turut menjadi sebahagian pekerja TV3 (Nona).
“Sesibuk manapun aktiviti seni, saya cuba luangkan masa untuk majlis ini.
Maklumlah, pada majlis rumah terbuka Media Prima tahun lalu, saya tidak dapat hadir kerana ada komitmen yang tidak dapat dielakkan.
“Justeru, saya pastikan tahun ini saya dapat memenuhi undangan ini walaupun sibuk dengan karier dan keluarga. Saya juga tidak ingin menghampakan undangan rakan wartawan akhbar di bawah NSTP (The New Straits Times Press (M) Berhad) yang memang rapat dengan saya sepanjang berkecimpung dalam bidang seni,” katanya.
Selebriti lain turut hadir menyemarakkan majlis petang itu ialah Lisa Surihani, Sofia Jane, Ana Raffali, Liyana Jasmay, Dafi, Nubhan, Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Umie Aida, Diana Johor, Fida, Rizal AF, Rosyam Nor, Anzalna Nasir, A Galak, Danny X-Factor, Fazren Rafi, Ryzal, Fizo Omar, Darling Ngasri, Bkay Nair, Raja Nor Baizura, Ilyka, Tam Suhaimi, Han Isaac serta ramai lagi.
Begitu juga produser Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosnani Jamil, David Teo, Datin Zaiton Mohd Jiwa, Aziz M Osman, Erma Fatima, Nor Aliah Lee, Den Wahab, Rashid Sibir serta Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.
Kata Vanidah, selain menghargai undangan tuan rumah, majlis rumah terbuka itu dapat mengeratkan tali silaturrahim dengan rakan artis dan personaliti lain.
“Jika nak diikutkan, semua artis mempunyai jadual padat termasuk di lokasi penggambaran drama dan filem tapi apa salahnya jika bercuti sehari untuk memeriahkan majlis rumah terbuka ini.
“Malah saya berpakat dengan kawan baik, Umie dan Sofia untuk sama-sama bertemu di rumah terbuka ini.
“Saya akui susah nak bertemu di luar tapi dengan majlis seperti ini rakan sesama artis boleh bertanya khabar dan mengikuti perkembangan artis lain.
“Saya dan suami sama-sama sibuk dengan aktiviti seni tetapi kami pastikan ada masa walaupun sekejap untuk menghadiri rumah terbuka Media Prima,” katanya.
Rashidi yang juga anggota kumpulan Dead Mushroom dan bakal muncul dengan single tidak lama lagi mengakui, rumah terbuka seperti itu memberi peluang bertemu rakan seperjuangannya yang sama-sama terbabit dalam bidang hiburan.
“Sebelum ini, kami hanya dapat bertemu rakan artis lain pada majlis anugerah saja. Justeru, bila ada acara rumah terbuka membabitkan ramai artis pasti saya tidak ingin lepaskan peluang untuk menjayakannya.
“Bukan saja rakan artis, malah produser dan pengarah drama termasuk yang jarang ditemui di majlis kerana masing-masing sibuk di lokasi penggambaran.
“Kalau tidak dapat berbual panjang pun sekurang-kurangnya dapat bertanya khabar projek terbaru mereka dalam drama dan filem termasuklah artis veteran yang sakit,” katanya.
Dafi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu turut mengakui perkara sama.
Katanya, sibuk macam manapun, dia tetap luangkan masa menghadiri acara rumah terbuka kerana begitu menghargai setiap undangan diterima.
“Kalau tak buat persembahan pun, saya tetap akan tunjuk muka sekejap pada rakan artis dan tetamu yang hadir sebelum kembali bekerja.
“Pada masa sama, saya menghargai jemputan dari Media Prima Berhad yang banyak memberi sokongan dalam membantu menaikkan karier seni sama ada melalui media cetak atau elektronik,” katanya yang sibuk di lokasi drama bersiri Waris musim ketiga terbitan Pesona Pictures dan single terbarunya tidak lama lagi.
Majlis Rumah Terbuka Media Prima Berhad yang buat pertama kalinya digabungkan, dihadiri lebih 2,000 tetamu rakan korporat dan pihak yang memberi sokongan pada kumpulan media terbesar tanah air itu. Tetamu turut dihiburkan dengan alunan muzik ghazal daripada kumpulan pemuzik undangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut meluangkan masa bermesra dengan tetamu yang hadir bersama Pengerusi MPB, Datuk Johan Jaafar; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Amrin Awaluddin;
Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Bujang, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian TV Media Prima, Ahmad Izham Omar, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa, Timbalan Pengarang, Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa ntv7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.
Harian Metro
Konsert Legenda Rock Gegar Tawau

BANDI (kiri), Mus dan Asheed tidak sabar untuk beraksi di sabah.
SETELAH kehangatan Konsert Double Trouble Jelajah Borneo Search & Wings di Tawau tahun lalu, diikuti dengan live showcase dari kumpulan Project Pistol dan Def Gab C pada bulan Jun dan Julai tahun ini, kini daerah Tawau bakal digegarkan lagi dengan Konsert Legenda Rock.
Konsert ini akan dihangatkan empat artis rock terkenal tanah air dalam satu persembahan.
Persembahan yang dijadualkan akan berlangsung pada 1 Oktober depan bakal melibatkan empat nama besar iaitu Ella, Mus (May), Bandi (Amuk) dan Asheed (Def-Gab-C).
Menurut penerbit konsert berkenaan, Rosmin Hashim, pemilihan empat nama tersebut berdasarkan satu kaji selidik yang dibuat mendapati empat ikon muzik itu amat popular di negeri Sabah itu.
‘Seperti May, Amuk dan Def-Gab-C, mereka masing-masing pernah mengalami sendiri kehangatan sambutan peminat di sana menerusi persembahan lalu.
‘Kemunculan Ella pula amat dinanti-nantikan oleh peminat di sana yang belum berpeluang melihat ratu rock negara itu beraksi secara dekat,’ katanya.
Rosmin berkata, peminat yang dikenakan tiket masuk hanya RM20 akan menikmati persembahan selama lebih tiga jam pada malam tersebut.
Bakal diadakan di Kompleks Sukan Tawau Sabah, menurut Rosmin, pihaknya menjangkakan seramai 20,000 peminat akan membanjiri kompleks itu yang bukan sahaja datang dari Tawau tetapi juga daripada daerah berdekatan.
‘Kami menjangkakan peminat bukan sahaja datang dari Tawau tetapi juga dari daerah seperti Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan,’ katanya.
Ditanya mengenai pemilihan Tawau sebagai tempat pilihan, Rosmin berkata, kedudukan geografi Tawau sebagai bandar ketiga terbesar di negeri itu dengan jumlah penduduk melebihi 350 ribu adalah antara faktor pendorong.
Tambahnya lagi, selepas konsert, peminat berpeluang bergambar dengan artis kegemaran mereka dengan sedikit bayaran dikenakan selain boleh membeli kemeja-T konsert yang bakal dijual di tapak persembahan.
Sementara itu, Bandi memberitahu dia sangat teruja untuk mengadakan persembahan tersebut dan menyifatkan peminat di Tawau sangat memberi sokongan setiap kali membuat persembahan di sana.
‘Ini bukan pertama kali saya membuat persembahan di sana jadi saya tahu keadaannya dan bagaimana untuk memenuhi kehendak mereka,’ ujarnya.
Bakal mempersembahkan empat buah lagu, Bandi memberitahu persembahan mereka akan diiringi oleh Point Band selain beberapa kejutan istimewa untuk peminat.
Mengakui teruja untuk bekerjasama dengan tiga lagi sahabatnya di kota Tawau nanti, jelas Mus daripada kumpulan May, dia tetap memberikan persembahan yang terbaik biarpun terpaksa beraksi sendirian tanpa ahli kumpulan yang lain.
‘Terima kasih kepada penganjur kerana memilih kami, sebenarnya ramai lagi artis boleh mengisi konsert ini, tetapi penganjur memberi kepercayaan buat kami untuk memberikan persembahan yang terbaik malam ini.
‘Walaupun tidak bersama ahli band yang lain, tetapi saya tetap mewakili May dan masih menggunakan nama May di sana.
‘Ini bukan kali pertama saya beraksi di Tawau dan Sabah, malah sebelum ini pun sudah beberapa kali May membuat persembahan di sana, dan jujurnya memang penduduk di Sabah memang sangat meminati muzik rock,’jelas penyanyi kumpulan May ini.
Utusan
Berhenti Panggil Saya Klon Yuna – Najwa Latif
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN

Gadis berusia 16 tahun ini bersedia menjadi anak seni sepenuh masa.
KEDENGARAN memang bukan satu isu, tapi itulah kenyataan apabila ada sesetengah pihak yang menyamakan dirinya dengan penyanyi Yuna. Lantaran imej dan perjuangan muzik lebih kurang sama, menyebabkan dia terus dilabel klon Yuna. ‘Dilahirkan’ menerusi medium serupa – laman sosial Youtube – menguatkan lagi persepsi mengatakan dia adalah Yuna seterusnya.
‘Saya dan Yuna adalah dua individu berbeza. Dia adalah bintang dan punya kedudukan tersendiri. Sedangkan saya cuma artis yang baru nak berjinak-jinak dalam industri.
‘Tidak adil andai berterusan melabel saya adalah klon Yuna. Bagi saya peluang untuk buktikan siapa Najwa Latif sebenarnya,’ rayu bintang baru berbakat yang semakin popular dengan lagu Muka Buku dan Carta Hati ini.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga menyatakan rasa kagum terhadap kejayaan Yuna sehingga ke peringkat antarabangsa.
Pencapaian yang dimiliki penyanyi berkenaan juga menjadi pembakar semangat buat gadis berusia 16 tahun ini. Impiannya, dia mahu menjejak langkah Yuna andai rezeki berpihak kepadanya.
Buat permulaan, pemilik nama Imratul Najwa ini terpilih sebagai pemenang Anugerah Bakat Muda Selangor dalam bahagian muzik kategori solo menumpaskan dua finalis lain iaitu Amanda Imani dan Amirah Ali pada 17 September lalu.
‘Sememangnya, saya tidak menyangka meraih kejayaan sejak diperkenalkan secara rasmi kira-kira empat bulan lalu. Memang saya berpuas hati dengan kejayaan ini. Namun tidak pula lekas terlena dengan apa yang ada,’ kata artis rakaman NAR Records ini.
Kejayaan itu juga mencuri perhatian bapa Najwa iaitu Abdul Latif Ismail, 50, dan ibu, Zarina Saamah, 47, yang tidak menyangka kejayaan anak setelah dikhabarkan tentang kemenangan tersebut.
Lantaran itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat ini memeterai janji pada dirinya sendiri atas kejayaan tersebut.
Permuafakatan diri agar tidak mudah lupa diri anda dilimpahi populariti satu ketika nanti. Begitu juga tidak akan berubah atas kehendak orang lain.
‘Saya juga akan cuba berkomunikasi dengan semua penyokong dan tidak terlibat dengan sebarang kontroversi. Kalau boleh saya mahu menjadi artis contoh buat golongan remaja seperti saya,’ kata gadis yang punya kemampuan bermain dram, piano selain gitar ini.
Menyelak kembali bagaimana bakat seninya dikesan, anak ketiga dari empat beradik ini memberitahu semuanya bermula usianya mencecah 14 tahun.
Apabila dia diberi kepercayaan oleh bapanya untuk mengikuti kelas gitar secara formal di Sekolah Muzik Yamaha di Batu Pahat. Bertitik tolak dari situ, dia memberanikan diri untuk memuat turun persembahan bermain gitar di Youtube.
Sokongan kuat daripada kakak Syafika Latif, 22, merakam permainan gitarnya membuatkan dia sudah punya kira-kira 44 klip video di medium berkenaan.
Nyanyiannya boleh diikuti dengan menggunakan enjin carian Youtube: Najwa Latif. Boleh juga ikuti perkembangannya di Facebook: Najwa Latif Fan Page atau Njwalatif (Twitter).
Utusan
Man Bai Kembali
LAMA juga Man Bai tidak keluar dengan album baru. Kalu terakhir dia keluar dengan album solo pada tahun 1997 dan 1998 dengan album Man Bai dan Positif. Pun begitu peminat tetap akan terkenangkan lagu Kau Ilhamku yang cukup menaikkan namanya satu ketika dahulu.
Bersilih tahun, Man Bai tetap matang dalam membawakan lagu. Lagu-lagu yang termuat dalam album terbaru yang berjudul Inspirasi ini juga cukup enak didengar. Paling tidak Man Bai menunjukkan sesuatu yang baru dalam album ini.
Album yang mengandungi lapan buah lagu termuat lagu Kau Ilhamku dan Masih Aku Terasa versi 2011. Lagu lain termasuklah Kita Cinta, Air Mata dan Sendiri.
Utusan
Travelog AirAsia Keliling Dunia

Edd Radze (kiri), Zulfazli dan Datuk Farid Ridzuan ketika berada di London.
SELAMA ini wajahnya hanya berada di belakang tabir tetapi kali ini wajah Edd Radze akan menemui penonton melalui rancangan Trevelog AirAsia yang akan mula bersiaran pada awal November ini di saluran TV3.
Bukan satu ada dua destinasi tetapi Edd Radze akan terbang ke 26 destinasi terbaik di seluruh dunia melalui rancangan ini yang juga merupakan rancangan pertama yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan terbaik dunia itu.
‘Kalau diikutkan memang saya pernah mengendalikan beberapa segmen di Majalah 3 bersama Nurul Syuhada sebelum ini. Itu hanya slot kami bersama rancangan popular tersebut.
‘Melalui rancangan ini, saya akan mengendalikan sepenuhnya aktiviti santai yang berkisah perjalanan ke pelbagai destinasi serata dunia bersama artis-artis popular tanah air.
‘Kita tidak sekadar menyasarkan untuk mempopularkan destinasi semata-mata tetapi dalam masa yang sama mahu para tetamu AirAsia mendapatkan maklumat yang lengkap bila mahu berkunjung ke mana sahaja.
‘Segala-gala ada di sini. Tetamu boleh melihat apa yang kami sediakan termasuklah bagaimana nak daftar masuk, apa yang ditawarkan oleh penerbangan kami, pemilihan hotel dan destinasi-destinasi menarik yang patut dikunjungi,’ jelas Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan AirAsia ini lagi.
Pelbagai informasi lain turut akan diberikan kepada penonton termasuklah perkhidmatan yang ditawarkan oleh AirAsia dan AirAsia X. Produk-produk yang akan diketengahkan termasuklah Tune Talk, Tune Hotel, AirAsia Go dan sebagainya.
Pada 26 September ini, Edd Radzhe akan berkunjung ke kota cinta Paris bersama Maya Karin dan beberapa orang yang lain untuk memulakan siri jelajah dunianya.
Selepas itu jelajah akan mengembara ke destinasi Asia seperti Manila, Filipina, Bandung, Indonesia, Guangzhou, China dan Vietnam sebaik sahaja pulang dari Paris.
Tidak terhenti setakat itu, pelbagai destinasi lain yang sudah disahkan termasuklah London, Australia, Korea Selatan, New Zeland, Jepun dan beberapa tempat lagi menunggu masa untuk dijelajahi.
Beberapa artis popular tanah air sudah mengesahkan tempat untuk bersama dengan program Travelog AirAsia termasuklah Fara Fauzana, Ella, Fauziah Latif, Intan Ladyana, Nora Danish, Juliana Evens, Daphene Iking dan ramai lagi.
‘Memang ramai yang memberikan maklum balas positif pada program yang akan saya kendalikan ini. Ada yang teruja dan tak sabar-sabar lagi nak melihat ia ditayangkan di kaca tv.
‘Ramai juga artis-artis tempatan yang mahu turut serta. Cuma saya cukup berbesar hati apabila Datuk Pahamin Rejab dan Datuk Aziz Bakar sudi untuk turut serta dalam destinasi akan datang,’ kata Edd Radze yang menggunakan khidmat jurusolek Zulfazli Suhadi dalam kesemua episod.
Utusan
Suka Aktiviti Kemasyarakatan
Oleh: ROSLI MANAH
(rosli.manah@utusankarya.com.my)
Foto: JEFFRI IRAN
Pakaian: SELENDANG SUTERA HOUSE BOUTIQUE, JALAN SARIKEI OFF JALAN PAHANG, KUALA LUMPUR
Solekan: WAWAI (012-3219078)
ANAK muda ini berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan. Tapi kelibat Mohammad Edrin Nordin sering dilihat dalam aktiviti kemasyarakatan anjuran Persatuan Anak Jeli Di Perantauan (PAJAR) di Lembah Klang.
Dia aktif kerana mengenali aktivis persatuan itu dan ingin bersama-sama menghulurkan tenaga untuk aktiviti kemasyarakatan. Dia seronok dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat senegeri.
‘Saya seronok dengan aktiviti kemasyarakatan. Kebetulan PAJAR memang aktif dan banyak aktiviti anjuran mereka di Lembah Klang ini. Walaupun bukan rakan sekampung, tapi saya seronok bersama-sama mereka.
‘Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong royong serta membantu dalam aktiviti bercorak mengukuhkan ikatan kekeluargaan,’ kata Edrin kepada Pancaindera.
Sepanjang Ramadan lalu, Edrin bersama-sama dalam aktiviti berbuka puasa bersama ahli persatuan itu yang diadakan di beberapa bandar di Lembah Klang.
‘Kita mengadakan majlis di kawasan mereka. Cara ini dibuat bagi memudahkan ahli hadir. Kalau kita buat secara berpusat mungkin ada ahli yang tak dapat bersama-sama.
‘Aktiviti ini bukanlah bermotif politik sebaliknya lebih kepada bertanya khabar serta menguar-uarkan perkembangan di Jeli kepada mereka secara langsung.
‘Walaupun mereka sudah lama tak balik ke kampung, tapi mereka tahu apakah pembangunan serta isu semasa yang sedang berlaku di sana,’ jelas Edrin.
Edrin juga aktif dalam aktiviti yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO). Dia juga terlibat secara langsung dalam penganjuran perhimpunan pasal isu murtad baru-baru ini.
Nampaknya Edrin macam berminat dalam bidang politik. Dia akui memiliki kecenderungan sebab itulah memulakannya dengan aktiviti kemasyarakatan dan bersama NGO bagi menimba pengalaman bersama masyarakat.
‘Siapa tahu suatu hari nanti saya akan terlibat secara langsung dalam politik,’ kata Edrin lagi.
Sementara itu, tahun ini Edrin beraya di Kuala Lumpur sahaja sebab keluarganya datang dari Kelantan untuk beraya. Kalau orang lain pulang ke kampung, keluarganya pula mahu merasa suasana beraya di Kuala Lumpur.
‘Kalau mahu dibandingkan memanglah beraya di kampung lebih meriah kerana ramai saudara-mara. Tapi saya tetap gembira sebab masih bersama keluarga walaupun tak pulang ke kampung.
‘Ada juga saudara-mara lain yang menetap di Kuala Lumpur, jadi suasana raya masih menyeronokkan,’ kata anak bongsu daripada empat beradik itu lagi.
Utusan