AwanBand Tumpang Tasha?
SELEPAS muncul dengan single pertama, Kartita, AwanBand kini mempertaruhkan pula single kedua mereka, Lintasan Bintang. Apa yang menarik mengenai lagu itu, klip videonya menampilkan penerima anugerah Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), iaitu Tasha Shila.
Mengenengahkan nama Tasha dilihat sebagai satu strategi bijak Awanband, tambahan pula saham gadis cantik itu mendadak naik sejak memenangi gelaran yang menjadi idaman setiap bintang baru menghiasi persada seni.
“Memang kami sudah jangka orang akan anggap yang kami cuba menumpang populariti Tasha. Tambahan pula, dia baru saja menang anugerah di ABPBH yang lalu, justeru, secara tidak langsung memanglah orang akan anggap begitu.
“Apa yang pasti, kami memilih Tasha bukan kerana populariti semata-mata. Kami mengikuti perkembangannya dan berpendapat dia seorang yang berbakat besar dan sesuai dengan karakter wanita yang ingin digambarkan dalam klip video ini.
“Sewaktu melamar Tasha, kami tidak jangka langsung dia sudi menerimanya.
Iyalah, AwanBand bukan nama besar dan boleh dianggap baru dalam aliran perdana.
“Dalam masa melamar Tasha, kami juga mengintai peluang untuk bekerjasama dengan Nora Danish, bagaimanapun ketika itu dia berada di Makkah menunaikan umrah. Manakala seorang lagi pelakon wanita yang kami fikirkan ketika itu adalah Izara Aishah,” kata Mohd Shahzee Zailani, 31, selaku vokalis AwanBand.
Selain Faris, AwanBand turut dianggotai Mohammad Shafry Mohamad, 23, atau Ully selaku pemain gitar utama; Mohd Badlyshah Amiruddin, 27, (Boy – pemain gitar kedua); Rizan Yaakop, 25, (Ijan- dram) dan Mohd Hasnurr Mohd Hashim, 23 (Hasnurr – basis).
Penggambaran Lintasan Bintang atau ‘shooting star’ dilakukan sekitar Putrajaya dan Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Isnin lalu.
Diarahkan oleh Juril Jamali juga vokalis kumpulan Duta Band, ia mengisahkan lelaki yang kecewa ditinggalkan kekasihnya namun lumrah menjadi seorang lelaki sejati pasti mampu mengharungi saat sukar dalam hidupnya.
“Klip video ini tidak menggunakan kesan khas, cuma permainan ‘camera work’ yang luar biasa serta syot yang menarik,” ujar Badlyshah.
Sementara itu, Tasha yang ringkas berseluar denim dipadan T-shirt putih, menambah, dia menerima tawaran itu kerana melihat tiada salahnya jika artis tempatan saling membantu di antara satu dengan lain. Populariti yang dimiliki tidak selamanya milik kita jadi apa salahnya dikongsi bersama yang lain.
“Masa saya dimaklumkan pihak Warner Music mahu menggunakan khidmat saya sebagai model untuk klip video Lintasan Bintang, saya tertanya-tanya siapakah kumpulan AwanBand ini. Kemudian saya Google dan dapati kumpulan itu ‘boleh tahan’ dan ramai pengikut.
“Saya lihat mereka punya potensi untuk berdiri setara kumpulan Hujan, Bunkface dan sebagainya. Kebetulan tarikh yang mereka mereka ingin rencanakan penggambaran klip video ini, saya kelapangan.
“Berhubung AwanBand cuba menumpang populariti saya, rasanya kolaborasi ini ‘situasi menang-menang’ buat kedua-dua pihak. Mungkin ramai peminat AwanBand tidak mengenali saya, begitu juga sebaliknya.
“Kalau benarlah populariti sedikit yang saya ada ini boleh dikongsi bersama yang lain dan memberi impak kepada klip video itu alangkah baiknya . Lagipun, populariti yang dimiliki tidak selamanya milik kita, jadi apa salahnya dikongsi bersama yang lain,” katanya.
Menyorot penubuhan AwanBand, kumpulan ini mula bergerak pada 2007, sebagai indie band. Ketika itu ‘survival’ yang mereka tempuhi bukan calang-calang.
Pernah mereka meminjam instrumen daripada rakan pemuzik yang lain dan membuat persembahan tanpa bayaran selain perlu memulangkan semula peralatan muzik yang dipinjam dalam masa singkat.
Bukan itu saja, sebelum muncul dengan album, mereka pernah menghasilkan dua EP pada 2008 dan 2009. EP pertama mereka tidak memperoleh keuntungan akibat ditipu.
Tidak berputus asa, mereka bangkit dengan semangat dan usaha mengumpul semula sumber kewangan hingga akhirnya berjaya menghasilkan EP kedua yang juga pembungkusan semula EP pertama dengan tambahan dua lagu baru.
Kekuatan suara vokalis dan identiti muzik mereka yang tersendiri menarik minat Warner Music untuk melamar kumpulan itu sebagai artis rakaman. 29 September 2012, menjadi tarikh paling mengujakan apabila album perdana mereka yang memuatkan enam lagu termasuk Oh My Love, Tunggu, Dramatik dan Roda Khayalan, menjengah pasaran.
Mengulas isu artis berkumpulan kerap mengalami perpecahan terutama ketika sedang di puncak, Ully berkata, mereka berharap enam tahun bersama mengharungi susah dan senang tidak menggugat kesetiaan mereka biar apapun dugaan yang datang.
“Kami selalu menjadikan kumpulan Spider dan Coco sebagai inspirasi. Coco misalnya sudah tertubuh selama 12 tahun lalu tetapi masih bertahan kerana minat serta kecintaan mereka yang begitu tinggi dalam muzik. Selepas sekian lama, khabarnya Coco bakal muncul dengan album terbaru tidak lama lagi,” kata Ully.
Harian Metro
Suntik Kelainan
MESKIPUN profil penerbitannya tidak pernah gagal dalam menghasilkan ramai bintang terkenal yang bertahan hingga ke hari ini, hakikatnya, Bintang RTM masih tampak klasik dan tiada pesona yang mampu menarik penonton melekat
di depan televisyen.
Bagaimanapun merentasi berdekad penganjurannya, Bintang RTM 2012 kali ini menjanjikan sesuatu yang berbeza baik dari sudut penerbitannya mahupun idea persembahan.
Malam Sabtu lalu, Bintang RTM 2012 ke udara dengan menampilkan lapan peserta dalam minggu suku akhir pertama. Formatnya diubah secara keseluruhan. Daripada 200 penyertaan yang diterima sepanjang proses uji bakat, hanya 16 yang dibawa ke auditorium untuk melalui proses minggu suku akhir. Baki lapan lagi akan bertanding malam Sabtu ini dalam saingan suku akhir kedua pula.
Daripada 16 persembahan dalam dua minggu ini, hanya 12 pula yang akan dipilih untuk ke peringkat separuh akhir 1 dan 2 pada 9 dan 16 Jun depan.
Menurut penerbitnya, Mohd Yusni Mohamed Ali, konsep dan format sebegini sengaja disuntik untuk mencerminkan kelainan kepada Bintang RTM 2012 yang selama ini kurang mendapat perhatian ramai kerana tenggelam dengan pelbagai lagi program realiti lain.
Selain yakin dengan format baru ini akan memberikan nafas baru kepada konsep penganjurannya, Yusni turut percaya yang Bintang RTM 2012 perlukan perubahan bagi memberikan pandangan yang berbeza kepada pengikut setianya.
“Kali ini memang kami kecilkan skala pemilihan dan peringkat untuk ke pentas akhir kerana ia lebih praktikal dan nampak lebih sengit saingannya. Bayangkan, 16 peserta yang terpilih perlu bersaing sekali lagi dalam dua minggu berbeza bagi merebut tempat ke peringkat akhir. Malah persembahan mereka turut diadili oleh tiga pengkritik jemputan yang akan memberikan pandangan dan penilaian.
“Kemudiannya daripada 12 peserta yang terpilih itu akan melalui proses penyingkiran yang mana hanya lima peserta saja yang akan mara ke peringkat akhir pada 8 Julai depan. Saya fikirkan ia sesuatu yang berbeza dan memberikan cabaran kepada peserta untuk bekerja dengan lebih keras lagi bagi memancing hati penonton dan juri yang mengadili.
“Selain itu, Bintang RTM 2012 turut menampilkan kelainan pada susunan muziknya setiap minggu. Mereka diiringi pemuzik handalan secara ‘live’ dan cabaran buat mereka adalah kesemua susunan muzik dan permainan melodi lagu yang dinyanyikan itu akan diubah bagi memberikan pembaharuan kepada mereka.
“Justeru setiap peserta juga perlu peka dan memahami akan susunan muzik agar nyanyian mereka selari dan tidak tersasar hingga menampakkan kecacatan. Kiranya perubahan pada permainan muzik ini dapat membuktikan sejauh mana kebolehan mereka dalam menyampaikan lagu secara profesional dan serius,” katanya lagi.
Minggu suku akhir pertama Bintang RTM 2012 malam Sabtu lalu menyaksikan persaingan anak Kota Belud, Sabah yang kini berusia 25 tahun, Mohd Hafsyam Noordin (Hafsyam) yang menyampaikan lagu Awan Nano, Aisha Masnamimi Safia @ Shafie menyanyikan lagu Kau Ada Kamu, gadis berusia 16 tahun, Shalina Gunainthran dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang dan Ibnu Farid Kamaruddin dengan lagu nyanyian asal Anuar Zain berjudul Sedetik Lebih.
Satu-satunya peserta berbangsa Cina yang berusia 16 tahun, Hoo Seen Sam (Lilienne) pula yakin menyampaikan lagu berbahasa Cina, Mengaku Salah dan gadis berusia 20 tahun dari Sabah, Diandra Justine tampak yakin dengan vokal lantang menerusi lagu Ain’t Got You.
Seorang lagi peserta yang punya potensi cerah, Nurul Shazia Mohd Rozaini pula menyampaikan lagu Bertakhta Di Hati sebelum peserta yang terakhir malam itu, Fitri Hakim Omar Walid mendendangkan lagu yang punya melodi indah, Haruskah Di Uji.
Kesimpulannya selepas meneliti kesemua persembahan sepanjang dua jam bersiaran, Bintang RTM 2012 gagal mencapai piawaian kebiasaannya seperti tahun-tahun lalu penganjuran.
Persembahan kesemua lapan peserta terlalu berhati-hati dan sederhana hingga ada kalanya tidak langsung mencerminkan sebuah pertandingan yang mencari bakat nyanyian untuk dijadikan pelapis.
Hanya Diandra, Shazia dan Fitri saja menonjol dengan imej dan persembahan berani malam itu dan selebihnya hanya menyanyi seperti tiada objektif ingin merebut peluang ke peringkat seterusnya.
Mungkin kerana Bintang RTM 2012 sudah sedia meletak tanda aras yang tinggi dengan menghasilkan banyak nama besar termasuk Sudirman Arshad, Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza, lantas melihat pada mutu persembahan peserta malam itu begitu mengecewakan dan terlalu biasa.
Meskipun juri jemputannya, penyanyi terkenal, Ning Baizura dan Pengarang Majalah Media Hiburan, Meen Tahrim banyak memberikan pujian berbanding ketua juri juga seorang pemain saksofon dan komposer muzik, Jari, namun rata-ratanya peserta di peringkat suku akhir ini tiada pesona seorang penghibur.
Masalah lain yang ketara dilakukan oleh peserta malam itu adalah lontaran vokal yang masing-masing lebih suka menyanyikannya secara sederhana dan tidak berhabis-habisan selain banyak menyanyikan lagu pada nota muzik yang salah.
Teknik masih longgar dan hampir kesemua peserta gagal mengikut rentak susunan muzik dengan sempurna.
Mungkin pada minggu kedua suku akhir malam Sabtu ini akan menampilkan perubahan besar kepada lapan lagi peserta yang akan bersaing kerana jika mutu persembahan masih sama, Bintang RTM 2012 akan gagal menghasilkan seorang bintang yang mampu dijadikan pelapis kepada dunia seni suara tempatan.
Konsert itu turut dihiburkan dengan persembahan selingan oleh Zamani, Sharifah Zarina dan kumpulan Forteen selain diacarakan oleh Muaz Mohamed yang setidak-tidaknya menyelamatkan program agar tampak lebih santai dan bersahaja.
Bintang RTM 2012 yang bermula sejak 5 Mei lalu bersiaran secara langsung pada setiap Sabtu pukul 9 malam di TV2.
Harian Metro
Borak Lokasi: Asalisham Selesa Dengan Murali
“INI kali pertama bekerjasama bersama dengan pengarah yang ‘tahu-bagaimana’ seperti Murali. Beliau tidak banyak bercakap tetapi setiap kata dipertuturkan beliau membuatkan kami sudah faham ada dimahukan. Lebih menyeronokkan berada di lokasi penggambaran ini adalah berkongsi pengalaman melihat sendiri beliau duduk di kerusi ‘pengarah’ menilai lakonan dan perjalanan visual daripada skrin.
“Bukan itu saja, teknik pengarahan beliau spontan, sangat ‘cool’ dan tidak menunjukkan sikap ‘bossy’ memberi arahan sebaliknya beliau sendiri bekerja memberi pandangan apa perlu dibuat bersama krew sepanjang menyiapkan syot.
“Jika sepanjang 11 tahun lalu banyak membuat dokumentari dan videografi, saya kini berada di lokasi bersama pemenang anugerah pengarah terbaik dan pemenang anugerah pelakon pembantu terbaik, Soffi Jikan. Mereka memang berkarakter dan serius terhadap dengan watak perlu dibawa masing-masing,” kata jurukamera, Asalisham Mohd Ali, 35.
Menurutnya, semua rakaman berjalan lancar dan tidak dirasakan sebagai tugasan yang ‘stress’. Malah apa menariknya, penggambaran Taubat Seorang Samseng ini memiliki warna dan keterangan yang bagus seolah-olah paparan visual seperti sebuah filem kerana banyak menggunakan bukaan ‘aperture’ yang besar.
“Penekanan kami berikan terhadap Taubat Seorang Samseng adalah mendapatkan pencahayaan yang bagus bagi mendapatkan hasil seperti diharapkan. Aspek teknikal memang antara keutamaan lain diberi perhatian sepanjang menyiapkan drama ini kerana kami tidak mahu kualiti dipaparkan bernilai rendah.
“Apapun, lokasi dan masa penggambaran juga sesuai dan tidak membebankan dan semuanya ‘on-time’. Ini pengalaman baru saya dan berharap dapat terus bekerjasama bersama Murali selepas ini. Berada di lokasi bersama orang berpengalaman dan matang membuat diri terasa matang lebih cepat dan keadaan seperti itu memang saya harapkan kerjaya seni seperti ini memerlukan kreativiti dan inspirasi daripada orang lain.
“Lagipun, saya suka melihat cara orang lain bekerja dan mencapai kejayaan dengan cara mereka sendiri,” katanya.
Kata Asalisham, dia menimba pengalaman bersama beberapa produksi lain sebelum ini.
“Menggunakan terlalu banyak peralatan juga belum tentu boleh menghasilkan apa diharapkan kerana kreativiti dan kelainan lebih penting menghasilkan drama berkualiti,” katanya.
Harian Metro
Borak Lokasi: Kaya Unsur Nasihat
DRAMA Taubat Seorang Samseng adalah telefilem pertama diterbitkan oleh Nissay Ventures Sdn Bhd. Ini kerana Nissay sebelum ini lebih banyak menghasilkan dokumentari berkisar kenegaraan dan majalah televisyen dan program penjelajahan untuk siaran RTM.
Antara dokumentari pernah diterbitkan adalah Setitik Budi Segunung Intan, Adat Perpatih dan Ibu Soko yang membentuk latar masyarakat dan sejarah Negeri Sembilan.
“Menerusi telemovie Taubat Seorang Samseng, kami mahu menyampaikan sesuatu yang baru kepada penonton. Kami cuba menjadi sebuah produksi serba-boleh dalam menyampaikan produk berkualiti untuk stesen penyiaran dan sajian jiwa yang berkait rapat dengan masyarakat dan dekat di hati penonton.
“Memandangkan masyarakat semakin moden dan sibuk, drama ini dibuat sebagai satu mesej kepada mereka kerana budaya samseng berlaku dalam masyarakat sekarang. Ia diperkayakan dengan unsur nasihat kerana sesiapa saja boleh terbabit dalam gejala ini tanpa disedari sekiranya tidak diberi didikan dan jiwa tidak diisi dengan nilai keagamaan yang kukuh,” kata Mohd Yassin Mohd Ismail selaku penerbit Taubat Seorang Samseng.
Menurutnya, jalan cerita berkonsep kerohanian dan unsur keagamaan memang diselitkan dalam telefilem ini. Cabaran paling besar adalah individu yang mempunyai sejarah kisah buruk lalu dan menyusahkan orang lain menerusi jenayah dilakukan cuba kembali ke pangkal jalan.
“Bukan saja hubungan dengan orang lain terjejas malah keluarga sendiri pun belum tentu dapat menerima kehadiran seorang yang dianggap menconteng arang ke muka.
“Selain drama ini, kami juga sedang menyiapkan program masakan 13 episod bertajuk Rasa Borneo. Penggambaran dilakukan di Sabah bersama seorang chef terkenal dan akan bersiaran tidak lama lagi.
“Matlamat kami adalah terus mendapat kepercayaan menghasilkan apa saja program mengenai negara Malaysia ini. Buat masa ini, kami sedang mengumpul bahan dan membuat penyelidikan untuk menyiapkan sebuah dokumentari televisyen ‘human-interest’ mengenai pemimpin yang pasti ditunggu rakyat Malaysia,” katanya.
Harian Metro
Borak Lokasi: Taubat Seorang Samseng
KAMPUNG Dusun gempar seketika dengan pekikan dan jeritan orang kampung. Suasana kemarahan itu meluap-luap ketika mereka menanti kehadiran Rokiman (lakonan Soffi Jikan) di halaman rumahnya kerana dia baru dibebaskan dari penjara.
Dengan wajah emosional, sekumpulan pemuda diketuai Amir (Zamarulhisham) tidak sabar-sabar mahu menghalaunya kembali. Mereka mahu meludahnya, menumbuk dan melemparkan air cili sebagai tanda protes kembalinya Rokiman. Bagaimanapun, usaha itu tidak kesampaian kerana Rokiman tidak pulang ke rumah sebalik terus ke surau apabila tiba di kampung terbabit.
Apa yang pasti, penampilan Rokiman begitu berbeza selepas empat tahun merengkuk dalam penjara kerana disabitkan kesalahan sebagai samseng dalam penculikan, rompakan dan perdagangan manusia. Penampilan Rokiman dengan bersongkok serta berjubah juga langsung tidak dikenali termasuk pak imam kampung itu.
Kebencian mereka terhadap Rokiman masih menebal hinggakan sukar untuk menerima dan mempercayai Rokiman sudah berubah. Bahkan, Bakri (Abu Bakar Ahmad atau Tawil), bapa kepada Rokiman langsung tidak mahu bersalam. Dia tidak dapat menerima hakikat sekalipun anaknya itu sudah bertaubat dan mendapat hidayah kembali menjadi seorang insan yang berubah sama sekali sepanjang menerima hukuman di penjara.
Babak ini adalah syot hari terakhir penggambaran telefilem berupa drama berat bertajuk Taubat Seorang Samseng terbitan Nissay Ventures Sdn Bhd. Ia membariskan ramai pelakon berpengalaman seperti Rita Rudaini, Zamarulhisham, Zulkifli Ismail, Maimon Mutalib, Harry Zainal, Kaza dan ramai lagi.
Murali Abdullah selaku pengarah menyuntik banyak unsur menarik sepanjang lapan hari penggambaran yang berlatar suasana kehijauan di Kampung Damai, Kuang, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.
Kata Murali, babak dirakam terbabit berkisar mengenai kemarahan dan kebencian orang kampung terhadap seorang samseng yang kembali ke kampung selepas dia insaf dengan segala kejahatan pernah dilakukannya selama ini.
“Telefilem ini antara paling saya ‘enjoy’ berada di lokasi penggambaran. Dengan sedikit pengubahsuaian jalan cerita, ia memberi sedikit kelainan bagi menukar wajah cerita dipaparkan.
“Saya memberi penekanan terhadap sinematografi dan cuba membangkitkan suasana latar menarik. Biasanya, cerita arahan saya memberi penekanan kepada kekuatan dialog tetapi kali ini saya mahu memberikan latar yang cantik.
“Mesej Taubat Seorang Samseng sangat kuat untuk memberi didikan kepada generasi baru. Budaya samseng bukan sesuatu yang disukai dalam masyarakat tetapi ia berlaku kerana desakan hidup dan dorongan atau ganjaran yang membuat manusia senang lupa diri dan berbuat sesuatu yang memberi padah buruk kepada diri sendiri.
“Unsur paling utama mahu disampaikan adalah perubahan adalah sesuatu sukar diterima dalam hidup.
“Contoh paling mudah, kita sukar untuk menerima hakikat kita akan tua dari sehari ke sehari.
“Apa dapat diperkatakan, kita sebenarnya takut dengan perubahan berlaku dan ada masanya tidak bersedia berdepan dengan keadaan itu.
“Faktor nilai juga antara saya tekankan sepanjang proses menyiapkan telefilem ini.
“Secara moralnya, kita sentiasa hidup dalam ketakutan dan banyak melalui frasa emosi sepanjang 24 jam sehari. Kesilapan berlaku di mana-mana dan dari situ kematangan fikiran boleh menimbang sama ada menerima atau sebaliknya.
“Bukan itu saja, mesej lain cuba diketengahkan adalah seorang ayah juga sukar menerima anaknya apatah lagi orang lain yang pernah melalui pengalaman buruk bersama seorang samseng.
“Untuk mengetahui cerita ini, seseorang perlu menonton kesudahannya apabila ditayangkan di Astro Oasis pada 23 Mei ini,” katanya.
INFO:
Tajuk: Taubat Seorang Samseng
Genre: Drama berat
Penerbit: Nissay Ventures Sdn Bhd
Penulis Skrip: Sharifah Abu Salem
Tarikh Siaran: 23 Mei 2012 (jam 9.00 malam)
Saluran: Astro Oasis (106)
Penerbit: Mohd Yassin Mohd Ismail
Penerbit Eksekutif: Rozi Aziz/Mohd Razzi Mohd Yassin
Pengarah: Murali Abdullah
Penolong Pengarah: Amilianor Nawari
Pengurus Produksi: Raja Mohammad Mohd Ismail
Penolong Pengurus Produksi: Mohamad Azlan Shah Mohamad Brahim
Kesinam-bungan: Nursyaida Mohd Anuar
Propmaster: Sharidan Abdul Rahim
Propman: Mohd Shafizul Mohd Haris
Solekan: Elle Rahman
Runner: Mohd Syawal Roslie
Handy: Nur Afandi Fauzi
Jurukamera: Asalisham Mohd Ali
Pencahayaan: El Hirman Mohd Ariffin
Pembantu Pencahayaan: Saiful Izwan Abd Hamid
Audio: Jamal Abdullah Abdul Aziz
Grip: Yusli Othman
Best Boy: Ahmad Firdaus Ahmad Faizul
Harian Metro
Yasmin Terharu
TEWAS lagi! Beginilah nasib dialami kumpulan Beruang Comel yang bertarung dalam program Super Spontan (SS) yang disiarkan menerusi Astro Warna (132) dalam pakej Mustika pada setiap Jumaat jam 10 malam.
Episod minggu keenam yang menyaksikan penyingkiran Cat Farish selepas tewas kepada kumpulan Angsa Ganas, berulang apabila kalah lagi minggu lalu, memaksa anggota lain menyingkirkan peserta wanita tunggal dalam kumpulan ini iaitu Yasmin Hani sebelum tirai persaingan Super Spontan minggu ketujuh dibuka.
Seterusnya mereka sekali lagi tewas pada persaingan yang berlangsung di Studio Finas, Hulu Kelang pada Jumaat lalu dan terpaksa menyingkirkan seorang lagi anggota pada permulaan Super Spontan minggu kelapan Jumaat ini.
Kali ini mereka tewas dengan undian sebanyak 45 peratus berbanding Angsa Ganas yang mengutip 55 peratus undian yang ditentukan sepenuhnya oleh penonton.
Kini, Beruang Comel hanya tinggal Johan, Bell Ngasri, Yasmi, Sathiya dan Ropie meneruskan perjuangan dengan diterajui Reza Salleh selaku pengurus. Manakala Angsa Ganas kekal dianggotai Zizan, Suhaimi Yusof, Tauke, Nana Mahazan dan Rahim R2 dengan pengurus pasukan, Rashid Salleh.
Bersama pengulas, Harun Salim Bachik dan Datuk AC Mizal yang menggantikan Afdlin Shauki sebagai pengulas undangan, cabaran yang diberikan ialah Pantun Dua Kerat, Beku, Jurujual Langsung, Dialog Dalam Tin dan Direktor Tak Siuman.
Memandangkan sudah minggu ketujuh, setiap peserta semakin dapat menyesuaikan diri dengan permainan yang memerlukan mereka berfikir secara pantas dan spontan. Dengan kerjasama berpasukan yang mencetuskan rasa lucu, menjadikan penonton seronok mengikuti SS setiap minggu.
Agak malang buat Yasmin apabila disingkirkan. Biarpun mengakui sedih kerana kebetulan membawa ramai kawan bagi menyokong kumpulannya malam itu, dia menerima keputusan ini dengan hati terbuka.
“Saya sebenarnya tak terfikir nak terkeluar kerana dah seronok bermain dalam SS. Bahkan ketika dibawa keluar, saya menangis terharu dengan tepukan yang diberikan rakan-rakan dan peminat. Saya akui dah gian untuk bermain dengan cabaran dalam SS.
“Sebelum ini saya pernah tengok program Spontan dan pernah terfikir nak sertai.
Tak sangka akhirnya Afdlin ajak saya turut serta dan peluang ini tak saya lepaskan. Tak dinafikan pelbagai perasaan dirasai pada minggu pertama. Tapi lama kelamaan saya dapat sesuaikan diri dan seronok.
“Walaupun tersingkir, saya pasti akan datang menyokong kawan-kawan lain. Saya juga menafikan kenyataan mengatakan pembabitan saya dan Nana hanya untuk mencukupkan bilangan anggota kerana peranan kami turut penting dalam pasukan.
“Rasional yang diberikan Afdlin ialah susah nak dapatkan artis wanita yang berani dan kami berbangga dapat bersaing dalam SS. Saya memang sukakan komedi tapi saya bukanlah ‘stand up comedy’,” katanya yang gembira dengan pencapaiannya dalam program ini.
Selain Zizan dan Johan yang menjadi tumpuan peminat, peranan Tauke Raja Lawak dan Ropie juga turut mewarnakan SS. Ada-ada saja idea spontan mereka yang mencetuskan ketawa di kalangan peminat.
Tauke yang ditemui mengaku gembira kerana masih kekal bersaing. Bahkan dia juga menjelaskan kedudukan Angsa Ganas selesa kerana adanya sokongan penonton.
“Saya lega kerana peminat kekal menyokong dari awal sehinggalah sekarang.
Sebenarnya sejak minggu pertama lagi saya dah rasa gementar dan sentiasa cuba buat yang terbaik supaya peminat berpuashati.
“Saya hanya buat yang terbaik dan peminat yang berhak tentukan sama ada ia bagus atau tidak. Ada ketikanya saya rasa buntu juga bila beraksi, maklumlah program ini spontan yang memerlukan kita kena cepat berfikir. Namun saya kena ambil peluang ini untuk buktikan kredibiliti saya sebagai pelawak.
“Sebagai persediaan, saya sering berlatih dengan kawan-kawan rapat dan adakalanya sendirian. Menerusi cara inilah saya dapat memantapkan lagi komedi saya,” katanya yang masih aktif menghiburkan peminat bersama kumpulannya, Jambu.
Ropie pula mengakui biarpun permainan dalam SS nampak mudah, ia semakin mencetuskan suspen apabila semakin tiba ke penghujung.
“Setiap kali tiba Jumaat, saya fikirkan bagaimana nak beraksi dalam program ini. Apatah lagi kami sudah kalah tiga kali berturut-turut. Saya juga sedih dengan penyingkiran Yasmin, tapi ini permainan dan kami perlu akur dengan peraturan ditetapkan.
“Kadangkala kita susah nak menilai persembahan kita. Minggu ini (minggu ketujuh) saya takut tak menjadi tapi menjadi pula. Sebelum ini pula persembahan saya tak bagus tapi saya rasa bagus. Apapun, pembabitan saya dalam setiap permainan ditentukan oleh pengurus.
“Dia rasa semua orang ada peranan masing-masing dan saya juga tak rasa terbeban. Berkenaan peluang untuk menang, saya sukar mengagak kerana masih ramai yang tinggal untuk bersaing. Saya serahkan semuanya kepada peminat menentukan,” katanya mengulas peluang bergelar juara serta meraih wang tunai RM100,000 serta kereta Toyota Camry 2.0G.
Sementara itu, kemunculan Amir sebagai komentar di tengah-tengah kehangatan persaingan dilihat kadangkala mencetuskan rasa kurang senang peserta dan penonton dengan soalan provokasinya.
Menjawab persoalan ini, dia memberitahu hanya menjalankan tugas yang diamanahkan. Malah Amir mengakui dirinya seorang yang pendiam di luar kerja.
“Hubungan saya dengan peserta di luar program sangat rapat. Sebenarnya soalan provokasi yang dikeluarkan bukanlah dari saya kerana saya hanya buat apa yang disuruh. Kalau orang tak suka, maknanya kerja saya menjadi,” katanya.
Harian Metro
Soseh Soseh: Ramai Menangis Tengok Hoore! Hoore!
SELEPAS filem Ombak Rindu karya hebat Osman Ali, nampaknya muncul sebuah lagi filem Melayu yang bakal membuatkan penonton sayu, sebak dan menangis di pawagam.
Tidak lain tidak bukan ia adalah filem genre muzikal sentuhan terbaru pengarah Saw Teong Hin, terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Real Film Sdn Bhd.
Bukan SS sengaja nak ‘propa’ tapi perkara ia disampaikan sendiri ramai rakan SS yang berpeluang menontonnya ketika sesi previu Hoore! Hoore! berlangsung di pawagam TGV, KLCC, malam kelmarin.
Khabarnya, ramai penonton dan rakan media yang membuat liputan tidak kira wanita mahupun lelaki ‘macho’ turut sama menangis terisak-isak ketika menonton filem genre muzikal ini. Sebab utama adalah jalan cerita selain ia menggunakan lagu-lagu popular Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Nyata semua penonton tersentuh mendengar lagu-lagu nostalgia dendangan Sudirman seperti Ayah dan Ibu, Terasing, Salam Terakhir, Pelangi Petang dan banyak lagi yang dinyanyikan semula.
Bukan saja kita sebak dengan lagu-lagu arwah Sudir, malah semua pelakon baru yang ditampilkan terutama Farah Nazirah yang memegang watak utama sebagai Nurul Aiman cukup memberangsangkan dan berjaya membuka mata ramai orang kerana bukan saja boleh menari, berlakon, malah menyanyi dengan baik sekali.
Seperti kata Teong Hin, filem ini bukan menceritakan kisah hidup Sudirman sebaliknya menggunakan konsep seperti filem Mamma Mia! dan siri Glee yang terkenal dengan elemen muzikal itu.
Lagu-lagu nostalgia Sudir saja sudah cukup membuat kita berasa dekat dengan arwah yang melewati dua dekad meninggalkan kita. Selain bakat baru, filem ini dimantapkan lagi dengan lakonan Akim AF, Kilafairy, Adibah Noor, Harun Salim Bachik dan Fauziah Nawi. Begitulah hebatnya penangan filem muzikal karya Teong Hin yang pernah mengarahkan filem epik Puteri Gunung Ledang dulu.
SS sendiri memang tidak sabar menonton filem ini apabila ia mula menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula 24 Mei ini. Jom kita tengok ramai-ramai!
SS: Kagum dengan usaha Astro menjayakan kempen akuSUDIRMAN.
Harian Metro
Soseh Soseh: Artis Mangsa Janji Mulut
ATAS dasar kepercayaan, seorang artis wanita popular ini kecewa dan terkejut apabila pada saat-saat akhir, namanya digugurkan daripada terbabit persembahan dalam satu majlis hiburan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Kata sumber SS, pada awalnya atas dasar mengenali pihak penganjur, maka artis itu pun memaklumkan persetujuannya. Bagaimanapun, difahamkan, tanpa alasan munasabah, artis tadi terpaksa berputih mata dan terlepas peluang mengadakan persembahan yang dijanjikan.
Menurut teman itu lagi, artis terkenal tadi yang menjadi mangsa keadaan itu terpaksa akur kerana dia pun tidak ada mengambil sebarang deposit bayaran.
Namun kepercayaannya sudah tergugat terhadap penganjur tadi.
Pun begitu, hati artis yang luka itu terubat juga apabila ada pihak lain sudi memberi tawaran persembahan terbaru kepadanya.
Menurut sumber SS, penganjur terbaru cukup selesa dengan artis itu kerana dia tidak pernah berkira walaupun dirinya sudah popular.
Walaupun artis itu tidak rugi apa-apa, bagi SS, cara penganjur kita melamar artis mestilah lebih profesional. Kalau rasa teragak-agak dan ada agenda lain, maka lebih baik jangan suka tabur janji mulut. Tentu artis itu sendiri sudah membatalkan agenda lain memandangkan ada pihak mahu mengambilnya menyanyi.
Apapun, inilah ragam dan onak duri yang harus sedia dilalui mereka yang bergelar anak seni. Ini kerana tidak semua penganjur persembahan bersikap telus dalam menyuarakan tawaran. Ada kalanya, hari ini dimaklumkan OK tapi esok lusa tiba-tiba main gugur saja nama orang.
SS: Terkejut pula dengan sikap seorang artis yang sekarang tidak lagi memandang ‘token’ atau sagu hati tapi kena bayar ikut kehendaknya. Hmmm…
Harian Metro
Big Bang Pilih Malaysia
PENGARUH K-Pop yang melanda Malaysia kini bukanlah perkara biasa sebaliknya sudah menjadi fenomena besar hingga ada di antara kumpulan muzik popular dari Korea Selatan itu memiliki kelab peminat tersendiri. Begitulah juga dengan kumpulan K-Pop popular, Big Bang.
Selepas berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan pelbagai anugerah berprestij dimenangi, Big Bang cukup mendapat tempat di hati peminat mereka di negara ini. Justeru, kemunculan kumpulan muzik itu sememangnya ditunggu ramai terutama dengan kemunculan album mini kelima mereka, Alive pada Februari lalu.
Seiring dengan kemunculan album itu juga, Big Bang memulakan siri konsert jelajah mereka bermula di Stadium Gimnastik Olimpik, Seoul sebelum ke beberapa negara Asia, Amerika Utara, Amerika Syarikat dan Eropah.
Terkini, YG Entertainment, syarikat pengurusan Big Bang, mengumumkan bahawa band terbabit memilih Malaysia sebagai salah satu lokasi Asia Tenggara selepas Filipina.
Jelas sekali berita gembira itu disambut baik peminat Big Bang, atau lebih dikenali sebagai VIP, di mana Pengasas Big Bang 1st Malaysia, Migo Ho merancang mengadakan beberapa aktiviti menarik bagi menyambut ketibaan mereka.
“Selepas beberapa spekulasi mengenai kehadiran Big Bang di Malaysia, akhirnya peminat di sini boleh menyaksikan sendiri persembahan mereka di Kuala Lumpur selepas YG mengumumkannya secara rasmi pada jam 5 petang, kelmarin (Selasa).
“Justeru, kami cuba merangka beberapa aktiviti antaranya Flashmob ketika ketibaan mereka kelak, serta kini giat mengumpul ucapan terima kasih peminat untuk diserahkan kepada YG dan Big Bang sebagai tanda penghormatan kerana memilih Malaysia,” katanya.
“Peminat tentunya tidak sabar untuk menantikan kehadiran konsert itu dan berjumpa dengan mereka. Big Bang sentiasa tampil dengan kejutan dan kami percaya konsert ini tidak terkecuali,” katanya.
Walaupun ada anggota kumpulan ini terpalit dengan kisah sensasi, namun sokongan peminat mereka tidak pernah pudar. Buktinya, ketua kumpulan Big Bang, G-Dragon pernah ditahan selepas dilaporkan terbabit dalam skandal ganja tahun lalu dan Daesung pula terlebih dulu berdepan saat getir apabila dituduh menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal kala pulang selepas menjalani rakaman program televisyen di Yanghwa.
Berikutan dua insiden itu, Big Bang terpaksa menunda malah membatalkan beberapa siri jelajah konsert mini mereka di sekitar Asia Tenggara pada hujung tahun lalu.
Apapun, G-Dragon akhirnya dilepaskan tanpa tuduhan apabila didapati tidak bersalah sementara dakwaan ke atas Daesung juga digugurkan. Dua insiden itu nyata memberi tamparan hebat kepada tingkah pergerakan setiap ahli Big Bang dan hanya tiga daripada mereka yang datang ke Malaysia tahun lalu sempena menjayakan program Malam K-Pop 2011.
Bagi Kwon Jiyong (G-Dragon), Dong Youngbae (Taeyang), Choi Seunghyun (TOP), Kang Daesung (Daseung) dan Lee Seunghyun (Seungri), kehadiran album Alive menonjolkan kematangan mereka dari segi komposisi lirik dan lagu, selain dijadikan metafora kepada insiden yang berlaku sebelum ini.
Single pertama mereka, Blue, mencatat jumlah tontonan 1.5 juta pelayar Youtube selepas 24 jam ia dimuat turun, disusuli single Fantastic Baby dan Bad Boy.
Harian Metro
Pesanan Sejagat Sami Yusof
SUDAH menjadi stigma kebiasaan di kalangan masyarakat pemerhati seni hiburan tanah air terutama lapangan muzik yang mengkategorikan irama Timur Tengah atau berunsurkan pengaruh Tanah Arab sebagai lagu nasyid.
Masyarakat kita sudah terbiasa dengan situasi begitu. Tambahan pula apabila lirik-liriknya berkaitan dengan keagamaan dan ketuhanan, secara tidak langsung mereka melabelkan lagu-lagu begini sebagai lagu nasyid.
Perkembangan ini juga tempias kepada penyanyi kelahiran Tehran yang membesar di London, Sami Yusof apabila ramai yang melabelkannya sebagai penyanyi nasyid.
Pun begitu, lelaki berusia 31 tahun ini tidak menolak gelaran itu.
Bagaimanapun Sami yang juga seorang komposer dan penulis lirik banyak menyampaikan mesej berbentuk sejagat terutama berkaitan dengan penyatuan manusia di dunia ini.
Hal ini diakui oleh wakil Shue Ellis Communications, Shuhainie Shamsudin yang bekerjasama dengan Offshore Entertainment Production Sdn Bhd membawa Sami ke Kuala Lumpur untuk Konsert Salaam yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai depan.
Menurut Shuhainie, kesejagatan lagu Sami tidak hanya kepada unsur-unsur agama Islam semata-mata, sebaliknya lebih kepada perpaduan manusia di dunia ini.
“Selalu orang kita fikir, lagu-lagu berirama Timur Tengah pastinya lagu nasyid. Orang kita terikat dengan stigma begitu termasuk apabila mereka mendengar lagu-lagu nyanyian Sami Yusof.
“Walhal lagu-lagunya lebih daripada itu yang menjuruskan kepada pembangunan kerohanian yang boleh diterima oleh semua tanpa mengira bangsa, kaum, adat budaya dan agama.
“Sami mahu lagu daripada albumnya termasuk yang terbaru, Salaam diterima semua kerana mesejnya universal. Namun sebagai orang Islam, dia berbangga dapat menyampaikan mesej kerohanian ini kepada semua, sekali gus dapat memperkenalkan muziknya,” kata Shuhainie.
Sami bukan nama baru di kalangan penggemarnya. Sami yang juga komposer dan penerbit, menerbitkan album pertamanya, Al-Mu’allim pada 2003 dan diikuti My Ummah pada 2005 menjadikan namanya begitu besar di Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah dan Asia Tenggara. Malah album ketiganya, Wherever You Are yang diterbitkan pada 2010 mengukuhkan lagi namanya di persada muzik antarabangsa apabila keseluruhan jualan tiga album itu mencecah 12 juta unit.
Lagu Supplication yang ditampilkan di dalam filem The Kite Runner, karya yang dicalonkan di Golden Globe Award untuk category Filem Bahasa Asing Terbaik 2007.
Lagunya dinyanyikan di dalam bahasa Inggeris, Arab, Turki, Parsi, Urdu, Azeri dan Melayu. Persembahannya melangkaui benua termasuk di Wembley Arena London dan Shrine Auditorium, Los Angeles. Paling diingati dalam sejarah pencapaian beliau ialah ketika konsert di Taksim Square, Istanbul yang menarik 250,000 penonton sehingga majalah Time menggelarkannya sebagai Islam’s Biggest Rockstar.
“Boleh kata ia suatu fenomena dengan apa yang berlaku di Turki itu tetapi di Malaysia juga pengikutnya ramai sejak album pertama lagi. Malah album keempatnya, Salaam bakal dilancarkan di Malaysia pada Julai nanti.
“Konsert Salaam adalah kesinambungan kepada usaha Sami untuk memperjuangkan muzik dan mesej sejagat yang ingin disampaikan kepada semua. Sami memandang Malaysia sebagai lokasi pasaran penting kerana dia kagum dengan keunikan negara kita yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup bersatu aman damai.
“Sesuai dengan Salaam sebagai album penyatuan dan begitu juga konsert yang bakal diadakan pada 14 Julai nanti di Stadium Malawati, Shah Alam ini yang berkonsepkan kesatuan ummah.
“Konsert ini adalah nadi serta hadiah Sami kepada peminatnya yang selama ini hanya mendengar lagu dan menonton video muziknya,” kata Shuhainie lagi.
Menurut Shuhainie yang sebelum ini mengendalikan konsert Olivia Newton-John: Live in Malaysia 2012 baru-baru ini, Konsert Salaam adalah produksi mega yang menggabungkan tenaga profesional teknikal dan pemuzik dari serata dunia.
Menariknya, Sami turut mengundang Datuk Siti Nurhaliza untuk berduet dengannya menerusi lagu You Came To Me yang dirakam mereka baru-baru ini yang akan dimuatkan di dalam album Sami. Selain Siti, MOHRAM bakal beraksi di pentas antarabangsa itu.
“Konsert Salaam ini juga sebenarnya mampu membangkitkan nostalgia di kalangan pengikut Sami daripada album-album terdahulu.
“Sami begitu kreatif sehinggakan persembahan untuk konsert ini turut mendapat sentuhannya sebagai pereka konsert dan konsep,” katanya.
Tiket sudah dijual bermula dengan harga RM55 dan menariknya kerana pihak penganjur menyediakan pakej diskaun untuk pelajar dan korporat.
Tiket boleh didapati di Victoria Music Centre di Plaza Sungai Wang, Kuala Lumpur, The Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Tropicana City Mall dan Amcorp Mall.
Malah turut dijual di Rock Corner di Tingkat 3 Mid Valley Megamall, The Gardens Mid Valley City, KLCC, One Utama, The Curve, Subang Parade, dan KL LIVE, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Harian Metro